Pengenalan
Perkataan sekolah
berasal dari Bahasa Latin iaitu skhole,
scola atau skholai yang
didefinisikan sebagai pengisian masa lapang dengan perkara yang berfaedah
seperti membaca, menulis dan mengira. Sekolah juga dikatakan sebagai sebuah institusi
pendidikan yang berperanan untuk mengubah dan membentuk pemikiran, tingkahlaku
dan sikap pelajar dalam melahirkan generasi yang seimbang dari segi rohani,
emosi dan jasmani sebagaimana yang diperjelaskan dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan (Norazlinda Saad dan Surendran Sankaran, 2000). Akta Pendidikan pula
mentakrifkan sekolah sebagai tempat dimana pelajar akan diajar didalam sebuah
kelas atau bilik darjah untuk melakukan aktiviti pengajaran dan pembelajaran
(P&P).
Selanjutnya, Mohd
Yusof Othman (1999) menyatakan sekolah sebagai sebuah institusi formal yang
melaksanakan proses pendidikan dari tahap pra persekolahan sehingga ke menengah
atas. Setiap peringkat akan didedahkan dengan sukatan pelajaran yang pelbagai
sesuai dengan objektif yang ingin dicapai. Dalam erti kata lain, sekolah
diibaratkan sebagai sebuah “acuan”. Cantiknya
sesebuah acuan, maka cantiklah kuih yang terhasil. Kuih yang dimaksudkan ialah
guru dan pelajar.
Walaupun setiap
sekolah dibekalkan dengan matlamat kurikulum yang sama dan selaras, tetapi jurang
pencapaian pelajar dalam pendidikan masih ketara jelasnya. Pencapaian ini
dinilai dari kategori gred, skor ujian, pemilihan kursus dan kadar keciciran
sebagaimana yang dinyatakan dalam Majalah Education
Week. Menurut kajian yang dijalankan di Malaysia, mereka mendapati bahawa
faktor utama dalam mendorong kepada perbezaan jurang pencapaian ialah faktor
sosial, lokaliti dan budaya. Faktor ini akan dipecahkan lagi kepada beberapa
faktor yang lebih khusus. Kenyataan ini turut dipersetujui oleh Abdullah Sani
dalam Azman (2001) yang menyatakan bahawa budaya yang diamalkan disekolah juga merupakan
tunjang kepada kejayaan pelajar.
Budaya sekolah
Menurut Deal dan
Peterson (1999), budaya merupakan entiti keseluruhan komplex yang merangkumi
aspek kehidupan serta kebiasaan yang diwarisi, diperolehi dan dipraktikkan oleh
manusia sebagai anggota masyarakat. Manakala budaya sekolah merupakan kompenan
cara hidup sekolah yang meliputi segala amalan di sekolah sama ada diluar atau
didalam bilik darjah yang akan mencerminkan nilai, kepercayaan dan norma yang
dikongsi bersama oleh warganya (Rusni, 2005). Budaya sekolah dikatakan sebagai
warisan turun-temurun dan dibentuk oleh warganya sendiri. Yaakob (2007)
menaktifkan budaya sekolah sebagai pengumpulan nilai dan norma daripada
warganya.
Terdapat tiga jenis
budaya sekolah iaitu budaya instrumental, budaya moral dan budaya ekspresif.
Budaya instrumental ialah budaya yang menekankan kepada mengumpul pengetahuan,
kemahiran dan sikap yang diperlukan untuk lulus dalam peperikasaan disamping
melahirkan pelajar dan warganegara yang sempurna. Manakala budaya ekspresif
bertujuan memenuhi kehendak kreatif dan seni pelajar bagi menghilangkan
tekanan. Akhir sekali ialah budaya moral yang bersangkutan dengan melahirkan
pelajar bermoral dan berkemampuan dalam membuat pertimbangan tentang tingkah
laku. Kesemua budaya ini saling bergantungan. Bagaimana pula, budaya sekolah
ini dikatakan pendorong kepada jurang prestasi pelajar dalam pendidikan. Persoalan
ini menjadi isu yang akan dikupas dengan lebih mendalam yang merangkumi budaya
sekolah, guru dan pelajar disesebuah sekolah.
Isu berkaitan budaya sekolah
Lima aspek yang
akan dibincangkan ini adalah penting dalam merungkaikan persoalan yang selalu
bermain di minda masyarakat kini.
a)
Sistem kepimpinan sekolah
Kemantapan sistem kepimpinan
sekolah adalah kunci utama dalam penghasilan pendidikan yang berkualiti. Sebagai
seorang pengetua, pengamalkan kepimpinan yang berkualiti adalah penentu kepada
kecemerlangan sekolah (Lokman et.al., 2008). Namun, kepimpinan sekolah bukan
sahaja bertanggungjawab dalam membina budaya sekolah yang menjurus kepada
kecemerlangan akademik semata-mata tetapi juga kecemerlangan akal budi,
semangat perpaduan sesama manusia dan berpotensi menggerakkan peradaban tinggi
bangsa Malaysia.
Tidak dinafikan bahawa
setiap sekolah mempunyai persamaan daripada segi kurikulum, kelayakan guru dan
prasarana tetapi yang membezakan setiap sekolah ialah bagaimana sekolah itu
ditadbirkan. Ini akan menjadi penentu kepada keberkesanan sekolah dalam
pencapaian pelajar (Sharifah Md Nor, 2000). Salah satu budaya sekolah yang
diamalkan oleh kebanyakkan pucuk kepimpinan sekolah di Malaysia adalah
penggunaan ‘Tracking System’ dimana
pelajar akan dikelaskan mengikut pencapaian dalam peperiksaan. Pelajar yang
cerdik pandai ditempatkan dalam kelas pertama, kedua dan ketiga manakala
pelajar yang lemah akan ditempatkan dalam kelas keempat, kelima dan seterusnya.
Aktiviti dan cara pengajaran guru adalah berbeza mengikut kelas.
Walaubagaimanapun
setiap sesuatu mesti ada kesan negatifnya. Antara kesan negatif mengamalkan sistem
ini ialah terbentuklah dua puak pelajar iaitu pelajar pandai dan pelajar lemah.
Malahan yang paling membimbangkan adalah pelajar yang pandai akan membuli
pelajar lemah. Secara tidak langsung akan berlakunya kes buli dan sebagainya. Tambahan
lagi, pelajar lemah akan berasa rendah diri dan terasing kerana guru lebih
memberikan perhatian kepada kelas yang pandai berbanding kelas yang lemah.
Selain itu, budaya kepimpinan
disetiap sekolah juga berbeza dari konteks strategi pengurusan pengajaran dan
pembelajaran (P&P) yang mendorong kepada jurang pencapaian akademik pelajar.
Ini dibuktikan oleh Prof. Lim Chap Sam dalam kajian yang dijalankan untuk
mengenal pasti amalan budaya di dua aliran sekolah yang dominan di Malaysia
iaitu SK dan SJKC dimana pencapaian akademik di sekolah jenis kebangasaan (SJK)
adalah lebih tinggi berbanding sekolah kebangsaan (SK) berikutan budaya
kepimpinan yang diamalkan dikedua-dua sekolah ini adalah berbeza sebagaimana
yang diperjelaskan dalam Rajah 3.1
dibawah:
Rajah
3.1 : Perbandingan pengurusan
pengajaran dan pembelajaran di SJK dan SK
Ini jelas
membuktikan bahawa pucuk kepimpinan SJK amat mementingkan pencapaian akademik
berbanding SK. Oleh sebab demikianlah, SJK dikatakan penyumbang kepada kecemerlangan
UPSR negara kita. Tambahan lagi, akhbar Sinar Harian mengeluarkan headline “UPSR 2013 Catat Keputusan
Terbaik” pada 14 November 2013 yang lepas yang menyatakan bahawa seramai
466,167 calon yang menduduki UPSR pada tahun ini telah menyumbang kepada
peningkatan Gred Purata Nasional (GPN) bagi pencapaian keseluruhan sebanyak 0.04.
Ini juga boleh dilihat menerusi laman portal Kementerian Pelajaran Malaysia
(KPM). Namun, bagi subjek Matematik telah menurun sebanyak 0.03 mata GPMP
berbanding tahun lepas dan 70% daripada jumlah ini adalah daripada pelajar di
SJKC.
b)
Masalah disiplin guru
Masalah disiplin di
sekolah merupakan masalah dalam budaya yang wujud sejak sekian lama bukan
sahaja berlaku kepada pelajar malah guru juga tidak terkecuali dalam masalah
ini. Menurut
Siswanto Sastrohadiwiryo (2003), disiplin boleh ditakrifkan sebagai suatu sikap
menghormati, menghargai, patuh dan taat terhadap peraturan-peraturan yang
berlaku serta sanggup menerima hukuman apabila ia melanggar tugas dan yang
diberikan kepadanya. Walaupun
disiplin guru adalah masalah yang kecil jika dibandingkan dengan disiplin
murid, tetapi masalah ini hendaklah dibendung kerana guru merupakan salah satu
elemen yang penting dalam membentuk budaya sekolah yang sihat, bak kata
pepatah, guru kencing berdiri, murid kencing berlari.
Antara isu yang
berkaitan dengan disiplin guru ialah sikap guru yang suka melepak. Walaupun
perkara ini kurang diambil perhatian oleh sesetengah pihak terutamanya pihak
pengurusan sekolah, tetapi perkara ini dapat memberi kesan yang buruk kepada
pelajar terutamanya. Masalah ini semakin
menjadi-jadi sekarang apabila ianya mempengaruhi guru yang lain. Kebanyakannya
guru di sekolah suka menghabiskan masa berjam-jam duduk di kantin sekolah
dengan berborak kosong. Bukan sahaja kantin sekolah, malah bilik guru, makmal
komputer dan pondok pengawal keselamatan juga menjadi lokasi mereka melepak.
Selain itu, guru wanita pula suka menjalankan perniagaan. Antaranya ialah
menjual produk kecantikan dan pakaian. Hal yang demikian menyebabkan mereka
leka serta mengabaikan tugas utama mereka sebagai seorang pendidik.
Di samping itu,
sikap dan tingkah laku guru yang terlalu garang tidak sepatutnya berlaku. Hal
ini kerana pelajar akan berada dalam ketakutan dan suasana pembelajaran akan
menjadi pasif. Tingkah laku guru mudah mempengaruhi pelajar-pelajar. Pelajar
mudah untuk menginterpretasi tingkah laku seseorang guru. Sepatutnya guru
menghabiskan masa terluang untuk merangka pengajaran mereka seterusnya atau
mencari idea lebih menarik untuk
pengajaran seterusnya.
c)
Kredibiliti guru
Mengikut Hi send
(2006), kredibiliti dilihat sebagai suatu konsep yang mempunyai pelbagai
dimensi yang berkait rapat dengan personaliti atau karakter penyampai dalam
proses komunikasi. Penyampai yang berkredibiliti mampu memberi impak terhadap sikap
penerima mesej, perhatian dan perlakuan. Kredibiliti seseorang guru boleh
dilihat apabila guru tersebut dapat memberi komitmen yang tinggi dan
menitikberatkan kejayaan dan pencapaian sekolah. Komitmen guru berkait rapat
dengan keberkesanan sekolah, pencapaian kerja dan pencapaian pelajar. Hal ini
dapat dilihat daripada perilaku guru yang bersemangat mengajar, tidak curi
tulang, memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerja dan mutu kerja serta meletakkan
kepentingan organisasi mengatasi kepentingan peribadi. Guru yang komited lebih
bermotivasi untuk menjayakan sesuatu perubahan.
Seseorang guru yang
berpersonaliti menarik juga menjadi ikutan kepada pelajar disekolah. Dalam erti
kata lain, guru sebagai “role model”.
Menurut Stolp (1995), personaliti guru dapat mempengaruhi pelajar ke arah
situasi pembelajaran yang menggalakkan serta membentuk cara budaya pelajar yang
sesuai berikutan tahap kepercayaan pelajar terhadap guru adalah lebih tinggi berbanding
ibu bapa. Selain itu, guru juga perlu mengendalikan emosi dengan baik dan
stabil. Sekiranya emosi tidak berfikir secara waras, maka akan timbullah
perasaan tertekan terhadap bebanan kerja yang sebenarnya merupakan
tanggungjawab pendidik sendiri.
d)
Kaedah pengajaran guru
Kaedah pengajaran merupakan satu proses guru mengajar yang mana merangkumi
cara dan strategi yang akan digunakan untuk mengajar. Ianya boleh dibahagikan
kepada kaedah pengajaran berasaskan tradisional dan multimedia. Menurut sumber
Pembangunan Pendidikan 2001-2010, salah satu punca pencapaian pelajar rendah
adalah kerana majoriti guru masih menggunakan kaedah pengajaran tradisional dan
kurang menggunakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) untuk menarik minat
dan tidak mampu merangsang proses pembelajaran pelajar dalam mata pelajaran
tersebut.
Menurut Neo dan Rafi (2007), pengajaran secara tradisional merupakan kaedah
‘kapur dan cakap’. Daripada pemerhatian yang dibuat, kaedah ini tidak menarik
dan sukar difahami kerana cara penyampaian guru yang mendatar dan membosankan.
Pengajaran berasaskan multimedia merupakan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi
seperti video, animasi, grafik dan sistem berasaskan komputer. Kaedah ini lebih
menarik dan berkesan untuk penguasaan dan pencapaian para pelajar.
Jika diterokai dengan lebih mendalam, kaedah pengajaran boleh
diklasifikasikan kepada tiga iaitu pengajaran berpusatkan guru, pengajaran
berpusatkan bahan dan pengajaran berpusatkan pelajar. Kaedah berpusatkan guru
bermaksud guru mempunyai kuasa dan mengawal sepenuhnya kelas. Segala maklumat,
pengetahuan, contoh dan perkembangan topik adalah bergantung sepenuhnya pada
guru. Jika luas dan mendalam pengetahuan guru mengenai sesuatu topik, maka
luaslah penerangan guru. Jika tidak, ia akan berlaku sebaliknya. Kaedah ini
tidak menggalakkan pelajar memberi pendapat mereka sendiri.
Kaedah berpusatkan pelajar adalah kaedah yang memberi tumpuan kepada
perkembangan pembelajaran pelajar. Guru memberi pilihan kepada pelajar untuk
mengaitkan pengalaman yang dipelajari dengan pengajaran yang disampaikan.
Manakala guru hanya bertindak sebagai fasilitator. Keadah ini membenarkan
komunikasi dua hala berlaku antara guru dan pelajar seterusnya dapat membina
satu hubungan yang erat antara guru dan pelajar. Guru lebih mudah mendekati
pelajar dan pelajar lebih mudah bertanyakan guru mengenai perkara yang mereka
tidak faham atau keliru.
e)
Sikap, minat dan komitmen pelajar
Isu seterusnya yang
akan dibangkitkan ialah sikap, minat dan komitmen pelajar. The New Oxford
American Dictionary (2005) mendefinisikan sikap sebagai suatu kecenderungan
untuk bertindak terhadap seseorang, objek, keadaan, kejadian atau idea. Sikap dapat
mengambarkan personaliti. Sikap adalah sesuatu yang berbentuk dalaman dan sukar
untuk difahami. Mashita (2002) dan Chong (2003) mendapati bahawa sikap
mempengaruhi pencapaian matematik pelajar. Sikap dapat dibahagikan kepada dua
iaitu sikap positif dan sikap negatif, dimana pelajar yang mempunyai sikap positif mempunyai peluang yang cerah
dalam mencapai kejayaan bagi setiap yang diusahakan. Berlainan dengan pelajar
yang mempuyai sikap negatif seperti malas, sambil lewa, tidak fokus dan kurang
memberi perhatian terhadap pembelejaran, dimana pelajar seperti ini memerlukan
jangka masa yang panjang untuk mendapat kejayaan dalam perkara yang
diusahakannya. Seringkali didengari keluhan daripada guru-guru berkenaan sikap pelajar
yang mempengaruhi pencapaian pelajar dalam setiap ujian yang dilaksanakan.
Dilanjutkan pula
kepada konteks minat pelajar. Minat ialah sesuatu yang dapat merangsang
seseorang untuk melakukan perkara yang diusahakannya dengan baik. Minat juga
dirujuk kepada kecenderungan seseorang untuk mendekati sesuatu objek atau
keinginanya. Dimana minat akan wujud apabila individu tersebut sedar tentang
kecenderungan terhadap objek itu. Quek (2006) mendapati bahawa minat mempunyai
pengaruh yang positif kepada pencapaian murid dalam mata pelajaran matematik. Ringkasnya,
minat mempunyai kaitan dengan sikap.
Apabila seseorang
meminati sesuatu maka ia akan bersikap postif terhadap perkara tersebut. Hal
ini akan menghasilkan sesuatu yang bermakna dan berkesan. Menurut Noraini
(2008) dalam kajiannya mengatakan bahawa pembelajaran yang berkesan wujud jika
ada minat dalam kalangan pelajar dan minat boleh dilihat menerusi kaedah dan
aktiviti pengajaran yang dilaksanakan. Keadaan ini berbeza apabila minat tidak
wujud. Perkara negatif akan diketengahkan oleh pelajar. Antaranya ialah tidak
memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pengajaran guru, menyiapkan kerja yang
diberi dan mempamerkan sikap yang negatif dalam pembelajaran matematik. Selanjutnya,
mencari jalan untuk ponteng kelas matematik.
Komitmen mempunyai
peranan yang penting dalam mencapai kejayaan bagi sesuatu perkara. Ini kerana
melalui komitmen yang terlahir dalam diri setiap individu, maka tujuan yang
hendak dicapai akan terlaksana dengan mudah. Begitu juga dalam pembelajaran
matematik ini, jika seseorang pelajar mempunyai komitmen yang rendah atau
kurang dalam pengajaran matematik, maka apa yang hendak dicapai oleh pelajar
tersebut akan dilaksanakan secara sambil lewa. Ini berbeza dengan pelajar yang
mempunyai komitmen yang tinggi akan sentiasa berusaha untuk menyelesaikan kerja
yang diberikan dengan baik, mencari masa tanpa melengah-lengahkan perkara yang
perlu diselesaikan.
Cara Mengatasi Jurang Pencapaian Pelajar dalam Matematik
Menurut Fullan, sekolah perlu memiliki kompetensi dalam
empat aspek apabila memantau pencapaian pelajar. Aspek-aspek yang perlu diberi
penekanan ialah:
- Kemampuan menganalisa pencapaian dan keputusan pelajar secara terperinci.
- Melaksanakan perubahan kritikal.
- Keupayaan memahami perkembangan di bilik darjah dan merancang pelan pembangunan sekolah bagi meningkatkan prestasi.
- Mengambil langkah terbuka dan proaktif apabila berdepan dengan isu prestasi sekolah.
- Selain itu, budaya kerja sekolah cemerlang perlu dicontohi sebagai contoh, Kolej Tunku Kursiah, (TKC), Seremban telah memperoleh keputusan yang cemerlang dalam PMR dan SPM. Kajian yang dijalankan oleh Nor, Pihie dan Ali(2008) menunjukkan pendekatan headcount berjaya meningkatkan kecemerlangan akademik sekolah itu.
Pelajar lemah memerlukan masa yang lebih untuk pembelajaran (Connelly,2008). Dengan mengkaji data penilaian pelajar, guru dapat merancang atau menggunakan strategi
pengajaran yang sesuai untuk golongan ini. Levy (2008) pula berpendapat,
pendekatan pengajaran yang berbeza (differentiated
instruction) dapat membantu pelajar mencapai atau melepasi
standard akademik yang dikehendaki. Pencapaian murid dapat dipantau melalui
kandungan pengajaran, proses dan hasil yang diperoleh.
Penutup
Secara
kesimpulanya, lima aspek budaya sekolah yang telah dikupas dengan terperinci menyentuh
kepada sistem kepimpinan sekolah, masalah disiplin guru, kreadibiliti guru,
kaedah pengajaran guru serta sikap, minat dan komitmen pelajar. Berdasarkan kepada
kelima-lima aspek yang dibincangkan, dapatlah dirumuskan bahawa budaya sekolah
memberikan kesan yang ketara bagi pencapaian pelajar.
Perlu diingatkan
bahawa, semua isu ini terjadi bukanlah disebabkan oleh satu pihak semata-mata,
tetapi merangkumi kesemua pihak. Berhentilah menunding jari kepada pihak yang
lain sebagaimana yang sering berlaku disekolah kini dimana pihak sekolah yang
beranggapan bahawa jurang pencapaian ini terjadi disebabkan oleh guru dan
pelajar. Tetapi pihak guru pula menyatakan masalah ini terjadi berpunca
daripada pihak kepimpinan dan pelajar. Seterusnya pelajar akan menyalahkanya
kepada pihak kepimpinan dan guru. Situasi sebegini akan terus berlanjutan
selagi jurang pencapaian pelajar dalam pendidikan tidak diatasi. Malah situasi
ini juga akan menyebabkan berlakunya masalah yang tidak diingini disekolah dan
menjatuhkan lagi prestasi pelajar.
Tuntasnya, ayuhlah! Kita
sama-sama berkumpul disatu meja untuk merungkaikan segala masalah ini sistematik
dan sihat. Ingatlah bahawa ciri-ciri budaya sekolah ialah budaya ilmu, budaya
insan yang kamil seperti yang dihasratkan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan,
budaya sihat dan budaya komunikasi yang baik.
No comments:
Post a Comment