Tuesday, December 15, 2015

Programme for International Student Assessment ( PISA)






PENGENALAN

PISA merupakan singkatan kepada Programme for International Student Assessment atau dikenali sbagai sebuah Program Penarafan Mutu Pendidikan bagi pelajar-pelajar 15 tahun di sekolah-sekolah. PISA telah diperkenal dan dikendalikan oleh Organization for Economic Coorperation and Development(OECD) yang merupakan sebuah oranisasi dibawah NCES dan berpusat di Amerika Syarikat. PISA telah menjadi piawaian antarabangsa yang digunakan untuk menilai keberkesanan dan mutu sistem pendidikan sekolah di dunia.
            Secara khususnya di dalam bidang matematik, PISA dapat mengukur kemampuan seorang pelajar dalam penyelesaian masalah. Bermula pada tahun 2000, PISA diadakan setiap tiga tahun sekali. PISA yang berikutnya akan diadakan pada tahun 2015 akan datang. Melalui program ini, pelajar-pelajar tersebut akan dinilai kemampuan dan penguasaan mereka di dalam tiga aspek utama iaitu membaca, Matematik dan Sains.
            Namun, terdapat permasalahan yang timbul apabila mutu pendidikan di Malaysia dikatakan tercorot di Asia Tenggara selepas PISA dijalankan dan keputusan tersebut telah memalukan negara. Antara faktor yang menyebabkan keputusan PISA Malaysia tercorot adalah, sikap murid, format soalan PISA dan keutamaan guru. Sikap murid diakatakan telah mempengaruhi keputusan PISA Malaysia tergolong di dalam Negara yang tercorot kerana ramai pelajar yang mengambil bahagian tidak menjawab soalan PISA dengan bersungguh-sungguh dan menganggap penilaian ini tidak penting. Banyak juga soalan tidak dijawab. Format soalan PISA juga lebih berbentuk teks panjang yang memerlukan pemahaman, penterjemahan, dan refleksi dengan kehidupan seharian. Namun, soalan peperiksaan awam lebih ringkas dan berdasarkan rajah dan jadual. Keutamaan guru juga menjadi faktor kepada kemerosotan pencapaian pelajar dalam PISA.

 KEUTAMAAN GURU
Sejak penglibatan Malaysia pada tahun 2009 sehingga penglibatan kali kedua iaitu pada tahun 2012, kedudukan negara kita masih jauh ketinggalan malah berada pada satu kedudukan yang sangat mengecewakan. Pada tahun 2009, Malaysia berada pada kedudukan ke 55 daripada 74 buah negara manakala pada tahun 2012 pula, Malaysia berada pada kedudukan ke 52 daripada 65 buah negara (Rujuk rajah 1.0). Hal ini telah mendapat perhatian banyak pihak dan menjadi salah satu agenda sistem pendidikan negara untuk meningkatkan kualiti pelajar kita khusunya dalam bidang matematik, sains dan membaca.
Kementerian pelajaran Malaysia telah meletakkan satu garis matlamat berhubung dengan isu PISA dalam kalangan pelajar Malaysia iaitu dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia,PPPM 2013 – 2025. Bagi pencapaian pada 2009, Malaysia berada pada kelompok sepertiga terbawah bagi Bacaan, Matematik dan Sains iaitu jauh di bawah kedua-dua purata antarabangsa dan OECD bagi ketiga-tiga dimensi. Dalam pentaksiran terkini, Malaysia berada sekurang-kurangnya 100 mata di bawah negara serantau seperti Singapura, Jepun, Korea dan Hong Kong dalam ketiga-tiga literasi yang diukur.
Pentaksir memberi makna bahawa perbezaan 38 mata bersamaan dengan pembelajaran satu tahun persekolahan. Ini bermakna, murid 15 tahun di Malaysia seolah-olah ketinggalan hampir tiga tahun persekolahan berbanding dengan murid yang seusia di negara pesaing. Berbanding dengan Shanghai, sistem sekolah dengan prestasi terbaik di dunia dalam PISA 2009 iaitu jurangnya bersamaan dengan empat tahun persekolahan. Menurut analisis PPPM 2012 juga, hampir 60% murid Malaysia gagal mencapai aras minimum dalam Matematik, iaitu profisiensi asas yang diperlukan murid untuk penyertaan efektif dan produktif dalam kehidupan.

Rajah 1.0 Kedudukan pencapaian Malaysia dalam PISA 2012

FAKTOR
Pelbagai faktor yang telah dikesan dalam laporan kajian TIMSS dan PISA berkenaan status pencapaian Malaysia yang sangat merunsingkan. Antara faktor utama yang menyumbang kepada isu ini adalah faktor guru. Kebanyakan guru cenderung menghabiskan sukatan mata pelajaran dengan cepat kerana bagi menyiapkan pelajar menghadapi peperiksaan awam negara. Selain itu, guru terikat dengan lambakan tugasan pengkeranian yang menyebabkan keutamaan guru teralih kepada bidang lain. Guru banyak menggunakan jalan pintas dalam pengajaran untuk memahamkan pelajar seperti memberikan latih tubi yang banyak agar pelajar dapat menghafal kaedah pengiraan berbanding mendorong pelajar untuk berfikir dengan lebih relistik tentang topik yang diajar.
Kaedah ini agak tradisional dan menyebabkan guru tidak mempelbagaikan kaedah dengan lebih kreatif dalam pendekatan pedadogikal (Faridah Abu Hassan, 2013). Hal ini menyebabkan pelajar yang dipilih untuk menduduki peperiksaan PISA akan kurang bersedia dan tidak biasa berhadapan dengan jenis soalan kerana tidak banyak didedahkan dengan teknik-teknik dan kaedah yang tepat untuk menjawab soalan seperti ini yang akhirnya menyebabkan pelajar tidak dapat menjawab dengan tepat.
Selain itu, pendekatan, teknik dan kaedah pengajaran guru juga dilihat tidak holistik terhadap kandungan pelajaran. Guru seharusnya mendorong pelajar untuk menguasai dan mengaplikasi ilmu pengetahuan dan kemahiran yang mereka perolehi bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih bermakna. Hal ini demikian kerana corak soalan PISA adalah dihungkaitkan dengan realiti yang memerlukan pelajar berfikir secara logik dan rasional.
Bebanan guru yang semakin berat sebagai pentaksir kepada dasar PBS menyukarkan lagi persediaan dalam pengajaran mereka. Sebagai pelaksana dasar PBS, guru yang berkaitan dengan PISA tidak mampu memberikan komitmen yang benar-benar berkualiti menuju objektif murni dasar-dasar ini. Oleh itu, keterbatasan waktu, kaedah, pendekatan dan teknik pengajaran guru semakin menurun menyebabkan pelajar tidak lagi menjadi keutamaan dalam menyediakan mereka untuk menjawab peperiksaan PISA.
Kemudian terdapat juga masalah yang berkaitan dengan guru bukan opsyen yang mengajar mata pelajaran matematik di sekolah. Isu guru yang diberi tanggungjawab mengajar selain daripada bidang mereka juga menyumbang kepada kesukaran kepada pelajar dan guru itu sendiri mencapai objektif pelajaran tersebut. Guru yang mempunyai tanggungjawab seperti ini memerlukan usaha berganda dalam persediaan pengajaran mereka dan sangat lemah dari segi teknik-teknik berkesan dalam menyampaikan kandungan pelajaran kerana kurangnya pengalaman dan pendedahan dalam bidang tersebut.
Taklimat pejumpaan pengetua dan PPD pada April 2014 turut menekankan bahawa hanya guru opsyen matematik sahaja yang dibenarkan mengajar subjek ini terutamanya yang melibatkan pelajar tingkatan dua. Jika kita lihat guru yang yang berada dalam ‘bidang terjun’ ini lebih bersikap sambil lewa terhadap tanggungjawab yang diberi kepada mereka. Mereka juga kurang yakin dan bersemangat dalam pengajaran mereka malah mempunyai motivasi yang rendah dalam membuat persediaan mengajar. Natijahnya, guru bukan opsyen menyebabkan kualiti pengajaran terutamanya berkaitan dengan konsep matematik akan semakin menurun.

PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA (2013-2025) 
Dalam usaha untuk bersaing dengan negara-negara maju di dunia, sistem pendidikan DI Malaysia perlu melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, mampu berfikir secara kritis dan kreatif, mempunyai kemahiran kepimpinan yang mantap dan mampu berkomunikasi dengan berkesan pada peringkat global. Selain itu, setiap pelajar di negara ini perlu diterapkan dengan nilai, etika dan rasa tanggungjawab sebagai warganegara agar mereka dapat membuat pilihan yang tepat untuk diri mereka, keluarga dan negara serta dapat mengharungi dan mengatasi cabaran pada masa depan. Bagi mencapai matlamat ini kerajaan komited dalam melaksanakan transformasi terhadap sistem pendidikan di negara ini untuk tempoh 15 tahun akan datang. Transformasi pendidikan ini diharapkan dapat melengkapkan setiap pelajar di negara ini dengan segala kemahiran baru yang diperlukan oleh mereka untuk merebut peluang dan menempuhi cabaran pada abad ke-21.

            Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dibangunkan dengan mengambil kira analisis, temu bual, tinjauan dan kajian yang melibatkan panel pakar pendidikan negara dan antarabangsa. Selain itu, ia turut melibatkan pegawai di kementerian, guru, pemimpin sekolah dan ibu bapa. Perancangan dan inisiatif yang strategik disusun kearah mewujudkan satu sistem pendidikan yang mengutamakan kecekapan, kualiti, kelestarian serta kejayaan yang dapat dilihat dalam tempoh masa yang terdekat.
           
Menjelang tahun 2025, sistem pendidikan di Malaysia seharusnya berupaya mencapai penyertaan menyeluruh pendidikan di peringkat menengah, menempatkan diri pada kedudukan kelompok sepertiga terbaik dalam pentaksiran peringkat antarabangsa, memastikan semua pelajar menikmati peluang yang sama pada pendidikan berkualiti dan seterusnya menyemai identiti Nasional dalam kalangan pelajar.

            Dalam keputusan Program Penilaian Antarabangsa Pelajar (PISA), Malaysia menduduki tangga kedua tercorot di Asia Tenggara termasuk di belakang Vietnam. Selain daripada itu, dalam kalangan negara Asia Tenggara yang turut serta dalam penilaian itu hanya Indonesia yang berada di belakang Malaysia manakala Singapura dan Thailand pula berada pada kedudukan yang lebih membanggakan. Oleh yang demikian, Menteri Pendidikan perlu mengambil langkah yang strategik untuk meningkatkan pencapaian Malaysia dalam PISA. Oleh itu, antara langkah yang akan dilaksanakan adalah menggantung pelaksanaan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) untuk ditambah baik dengan mengambil kira masalah yang disebut oleh Kementerian Pendidikan mengenai kepincangan sistem pendidikan sekolah. Di samping itu, sukatan mata pelajaran dan pendekatan pembelajaran dan pengajaran di sekolah perlu diubah supaya ia menekankan pemahaman konsep dan bukan mengingati fakta dan soalan latih tubi semata-mata.

            Selain itu, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 juga merupakan salah satu tindakan susulan bagi meningkatkan prestasi Malaysia dalam PISA. Hasil kajian PISA menjadi salah satu input utama dalam merangka PPPM (2013-2025). Pada masa yang sama, PISA juga menjadi penanda aras kepada pembelajaran bahasa, matematik dan sains di peringkat antarabangsa. Peperiksaan kebangsaan dan peperiksaan berasaskan sekolah akan diubahsuai untuk menambahkan bilangan soalan yang menguji pemikiran tahap tinggi.

Malaysia sememangnya mempunyai beberapa sekolah bertaraf dunia namun masih terdapat jurang prestasi antara sekolah, guru dan pelajar yang masih boleh ditingkatkan lagi. Pelaksanaan PPPM diharapkan dapat membantu merapatkan jurang tersebut sekali gus menaikkan prestasi pelajar Malaysia dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) yang kini hanya meletakkan negara dalam kumpulan sepertiga bawah dalam kalangan negara Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

Bagi mencapai aspirasi yang terkandung dalam PPPM (2013-2025), negara memerlukan sepuluh anjakan utama. Antara anjakan utama tersebut ialah:

Anjakan 1
Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.
Anjakan 2
Memastikan setiap murid profisien dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.
Anjakan 3
Melahirkan rakyat Malaysia dengan penghayatan nilai.
Anjakan 4
Transformasi keguruan sebagai profesion pilihan.
Anjakan 5
Memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan setiap sekolah.
Anjakan 6
Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan.
Anjakan 7
Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia.
Anjakan 8
Mentransformasi kebolehupayaan dan kapasiti penyampaian kementerian.
Anjakan 9
Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.
Anjakan 10
Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit.
Anjakan 11
Meningkatkan ketelusan untuk akauntabiliti awam secara langsung.

            Pada pendapat ahli kumpulan kami, anjakan yang mempunyai kaitan rapat dengan PISA ialah anjakan 1, anjakan 5, anjakan 6, anjakan 7 dan anjakan 9. Setiap anjakan utama ini dilaksanakan dalam tiga gelombang iaitu gelombang 1 pada tahun 2013-2015, gelombang 2 pada tahun 2016-2020 dan gelombang 3 pada tahun 2021-2025.

ANJAKAN 1 : MENYEDIAKAN KESAMARATAAN AKSES KEPADA PENDIDIKAN BERKUALITI BERTARAF ANTARABANGSA

Kementerian akan memastikan setiap kanak-kanak mempunyai peluang yang sama untuk mendapatkan pendidikan tanpa mengira latar belakang, etnik, status sosioekonomi atau lokasi mereka. Pada gelombang 1 iaitu peluasan segera prasekolah dan meningkatkan enrolmen pada semua peringkat pendidikan kementerian akan mengurangkan halangan kepada akses bagi menggalakkan enrolmen dan kehadiran pada peringkat prasekolah. Selain itu, kemasukan ke prasekolah pada umur enam tahun juga akan diteruskan bagi memberikan kanak-kanak masa yang cukup untuk mengembangkan potensi jasmani, emosi, rohani dan intelek mereka sebelum melangkah ke sekolah rendah. Di samping itu, kementerian juga akan mewajibkan pendidikan menengah rendah dan atas menjelang tahun 2015. Langkah ini akan menjadikan sistem pendidikan Malaysia setara dengan piawai tempoh pendidikan wajib antarabangsa.

Pada gelombang 2 iaitu pengukuhan kejayaan, kementerian fokus kepada peningkatan kejayaan yang telah dicapai pada gelombang 1. Kementerian akan mencari inisiatif untuk meningkatkan lagi kejayaan yang telah dicapai sebelum ini. Jadi, untuk mencapai kejayaan yang seterusnya maka kementerian akan mengkaji bentuk bantuan yang lain bagi menyediakan tahap bantuan yang sesuai. Manakala pada gelombang 3 pula iaitu pemastian akses sejagat, kementerian akan melaksanakan beberapa program rintis untuk murid berpencapaian tinggi dan pintar cerdas. Pada masa yang sama, kementerian akan memperhalusi program rintis tersebut dan melaksanakannya sebagai program pendidikan nasional melibatkan semua sekolah di seluruh negara.

 

ANJAKAN 5 : MEMASTIKAN KEPIMPINAN BEPRESTASI TINGGI DITEMPATKAN DI SETIAP SEKOLAH

Kementerian akan memastikan setiap sekolah mempunyai pengetua yang berkualiti tinggi tanpa mengira lokasi dan tahap prestasi sekolah tersebut. Pada masa yang sama, pengetua akan dibantu oleh pasukan kepimpinan pertengahan yang terdiri daripada guru-guru dan kakitangan sekolah. Di dalam gelombang 1, pihak kementerian akan meningkatkan standard pemilihan dan sistem sokongan dengan menyeragamkan standard dan menambah baik proses pemilihan dan penyediaan pengetua baharu dengan mengambil kira 40% daripada pengetua sedia ada yang akan bersara dalam tempoh lima tahun. Dalam hal ini, kementerian akan melabur dalam pembangunan keupayaan pengetua sedia ada melalui Program Continuous Professional Development (CPD) yang lebih baik dan memperkukuhkan hubung kait antara prestasi dengan kompetensi.

Pada gelombang 2 profesion keguruan akan dimartabatkan dan menganjak kearah kepimpinan distributif, di mana kementerian akan melaksanakan laluan pantas dan pilihan peralihan kepada pengetua, meluaskan sokongan bagi membina keupayaan guru penolong kanan dan ketua bidang serta meningkatkan autonomi untuk membuat keputusan bagi pengetua berdasarkan prestasi. Selain itu, pakej kerjaya pengetua baharu juga akan menyediakan satu skim untuk pengetua dalam menambah baik pemilihan dan mengukuhkan proses lantikan mereka.

Pada gelombang 3 iaitu mewujudkan budaya kecemerlangan profesionalisme berasaskan rakan setugas, kementerian memberi tumpuan memastikan semua pemimpin sekolah memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan kepada mereka dalam kedua-dua gelombang sebelum ini. Hal ini termasuklah perkara-perkara yang berkaitan dengan kepimpinan instruksional seperti merancang peningkatan sekolah, merancang aktiviti kurikulum dan kokurikulum serta komponen pentadbiran yang lain seperti merancang agihan pembiayaan aktiviti sekolah. Kementerian ingin mewujudkan budaya kecemerlangan profesionalisme teladan rakan setugas iaitu pemimpin sekolah menjadi mentor dan saling membimbing serta memastikan rakan setugas mereka mempunyai akauntabiliti untuk mencapai standard professional.

ANJAKAN 6 : MENGUPAYA JPN, PPD DAN SEKOLAH UNTUK MENYEDIAKAN PENYELESAIAN KHUSUS BERASASKAN KEPERLUAN.

Pihak kementerian memerlukan transformasi di dalam organisasi kementerian bagi membangunkan JPN dan PPD yang lebih sesuai dalam memenuhi keperluan khusus pihak sekolah. Pihak kementerian akan menjajar semula peranan dan tanggungjawab setiap peringkat Kementerian bagi membolehkan pengkhususan organisasi dibuat. Selain itu, JPN dan PPd akan diberi lebih kuasa dan kebertanggungjawaban dalam menjalankan peranan yang telah ditetapkan dan seterusnya mengukuhkan fungsi teras di peringkat kementerian. Melalui anjakan ini, pihak kementerian akan menambah luas akses, meningkatkan pencapaian pelajar, dan menambah baik ekuiti hasil pencapaian. Hal ini kerana, perancangan yang dibuat sebelum ini kurang berkesan dalam menentukan tindakan yang perlu di ambil dan pihak yang sepatutnya bertanggungjawab bagi tindakan tersebut.
            Gelombang 1 akan menetapkan semula peranan dan mengukuhkan JPN dan PPD. Melalui gelombang ini, peranan dan tanggungjawab di setiap peringkat pusat, negeri san daerah akan diperhalusi lagi. Pihak kementerian akan tetap merangka perancangan makro dan penggubalan dasar seperti sebelumnya. Pihak JPN bertanggungjawab dalam penyelarasan dan penyampaian segala perancangan serta menjadi penghubung penting di antara penggubal dasar dan pelaksana di peringkat bawahan. JPN juga bertanggungjawab dalam memantau kemajuan PPD di setiap daerah. PPD pula berperanan sebagai rakan pembantu dan pemantau sekolah selari dengan Program Transformasi Daerah. PPD juga bertanggungjawab dalam menganalisis data sekolah, mengesan punca masalah dan merea bentuk pelbagai bantuan serta sokongan kepada sekolah.
            Melalui Gelombang 1 juga, kepimpinan JPN dan PPD akan diperkukuh di mana pemimpin JPN dan PPD akan dinilai berdasarkan kompetensi kepimpinan bagi memastikan penilaian secara objektif dibuat. Pihak kementerian juga akan memberikan penerangan yang jelas mengenai perubahan aktiviti aktiviti harian pejabat dan aktiviti pegawai. Pihak PPD juga akan diberi bimbingan untuk beralih kepada tugas memberi sokongan dan berkongsi amalan terbaik dengan pihak sekolah. Pihak kementerian juga akan menyatukan sistem pengumpulan data dan pengurusan data untuk membina platform bagi pembuatan keputusan. Suatu dashboard bersepadu akan diwujudkan bagi membolehkan pihak kementerian mendapat maklumat yang relevan dan tepat pada masanya untuk menganalisis prestasi dengan pantas hinggalah ke setiap sekolah.
            Gelombang 2 pula akan dilaksanakan penstrukturan semula Kementerian secara meluas. Pihak kementerian akan menetapkan fungsi utama dan memperkemaskan peranan di peringkat persekutuan. Kementerian akan memperkukuhkan lima fungsi utama iaitu perancangan (BPPDP), pembangunan kurikulum (BPK), latihan perguruan (BPG), dan proes jaminan kualiti (LP dan JNJK) dan berkuasa dalam membuat keputusan serta dinaik taraf sebagai badan bebas atau pusat kecemerlangan. Organisasi JPN dan PPD juga akan distruktur semula mengikut kluster tertentu. Kluster tersebut adalah kluster kurikulum dan kluster pengurusan sekolah yang akan memberikan pengkhususan lebih serta mandat yang jelas kepada pegawai. Glombang 3 pula adalah untuk memperkukuh kekuatan organisasi bagi memenuhi kehendak dan jangkaan rakyat. Kementerian juga akan meyediakan segala sistem dan proses bagi menokong pencapaian sistem ini. Kementerian juga akan mengiktiraf sekolah yang dapat meningkatkan prestasinya dengan baik dengan memberi lebih peluang untuk melaksanakan pengurusan berasaskan sekolah.   

                                                                                                                                           
ANJAKAN 7 : MEMANFAATKAN ICT BAGI MENINGKATKAN KUALITI PEMBELAJARAN DI MALAYSIA

Anjakan 7 ini diwujudkan bagi memastikan para pelajar tidak hanya belajar dengan menggunakan ICT tetapi dapat memanfaatkannya dengan berkesan di dalam proses pembelajaran dan pengajaran mereka. Antara langkah yang akan dilaksanakan ialah menyediakan murid dengan kemahiran dan pengetahuan tentang ICT untuk belajar dengan lebih berkesan di dalam dunia global dan digital. Selain itu, pihak kementerian juga akan  melengkapkan 10, 000 buah sekolah dengan capaian internet 4G, memberi latihan kepada semua guru untuk menerapkan ICT di dalam pengajaran, meningkatkan nisbah peralatan ICT berbanding murid kepada 10:1 dan merintis cara penyampaian pembelajaran dengan menggunakan inovasi ICT.
            Gelombang 1 adalah untuk mempertingkatkan lagi asas ICT di Malaysia. Pihak kementerian akan membekalkan lebih banyak peralatan ICT selain komputer seperti tablet atau telefon pintar kerana peranti digital semakin lama semakin bersepadu. Pihak kementerian juga akan mengkaji sistem perolehan sedia ada bagi menangani masalah  berhubung penyelenggaraan dan kos kitar hayat peralatan ICT di sekolah. Seterusnya, semua guru dan pegawai kementerian haruslah celik IT di mana semua guru dikehendaki lulus di dalam ujian diagnostik atas talian menjelang 2014 dan perlu melengkapkan modul latihan atas talian dan menduduki semula ujian diagnostik sekiranya gagal dalam ujian tersebut.
            Gelombang 2 pula adalah untuk memperkenalkan inovaasi di dalam ICT dengan meningkatkan amalan terbaik dalam bidang kecemerlangan dan inovasi melalui Gelombang 1. Pihak kementerian juga akan meneroka penyelesaian ICT untuk kumpulan bekeperluan khusus iaitu sekolah kurang murid, sekolah luar bandar serta murid-murid pintar cerdas dengan menyediakan program terjurus (niche programmes). Program ini tertumpu kepada proses P&P secara maya dan alat pembelajaran adaptif atas talian sebagai aktiviti tambahan kepada pembelajaran bilik darjah. Gelombang 3 pula adalah untuk mengekalkan penggunaan meluas sistem ICT yang inovatif. Melalui gelombang ini, ICT akan diterapkan sepenuhnya di dalam proses P&P di sekolah. Di samping itu, pihak kementerian juga akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan penggunaan ICT dalam kalangan pelajar dan seterusnya menggiatkan penggunaan ICT dalam kalangan guru dan pelajar.

ANJAKAN 9 : BEKERJASAMA DENGAN IBU BAPA, KOMUNITI DAN SEKTOR SWASTA SECARA MELUAS

Pihak Kementerian Pelajaran berhasrat untuk menjadikan ibu bapa, masyarakat dan sektor swasta sebagai rakan dalam pendidikan di Malaysia. Walaupun guru dan sekolah banyak mempengaruhi perkembangan para pelajar, namun penglibatan ibu bapa dan komuniti juga dapat menghasilkan keberhasilan pembelajaran yang lebih memberangsangkan. Kajian yang dijalankan oleh Pejabat Menteri Pendidikan pada Disember 2011 menunjukkan 60% ibu bapa yang memperuntukkan sejumlah waktu setiap hari untuk membantu anak-anak mereka membuat kerja rumah dan 50% daripada mereka bercakap dengan anak mereka mengenai sekolah. Di samping itu, penglibatan masyarakat iaitu perniagaan yang berasaskan keuntungan boleh memberikan sumber dalam bentuk pembiayaan dan akses kepada kebolehan. Kerjasama di antara pihak awam-swasta boleh memperceptkan perkhidmatan penyampaian dan membawa kepada pertambahan kewangan pendidikan di Malaysia seterusnya memperluaskan akses yang sama dan keberhasilan pembelajaran.
Antara langkah yang akan di ambil oleh pihak kementerian pula ialah meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat tentang peranan mereka dalam pendidikan, menyediakan bimbingan kepada sekolah untuk melaksanakan proses penglibatan ibu bapa dan masyarakat. Selain itu, meningkatkan bantuan kewangan untuk murid miskin, mengupayakan PIBG untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam menyokong penglibatan ibu bapa dan masyarakat  seterusnya meningkatkan jumlah sekolah Amanah  dan bidang lan untuk penglibatan sektor swasta.
Gelombang 1 adalah untuk menyokong penglibatan ibu bapa dan inisiatif sektor swasta yang mana di dalam gelombang ini pihak kementerian akan membantu meingkatkan pencapaian dan menjalinkan kerjasama yang erat dengan ibu bapa dan komuniti melalui kempen pelancaran pendidikan kebangsaan. Kempen ini dijalankan bertujuan untuk menarik lebih banyak penglibatan ibu bapa serta rasa tanggungjawab dalam komuniti terhadap perkembangan para pelajar. Bantuan kewangan juga akan diberikan kepada para pelajar yang kurang berkemampuan iaitu KWAMP yang akan digunakan sebagai alat untuk merangsang keluarga berpendapatan rendah melibatkan anak-anak mereka dalam pendidikan. Namun, pemberian KWAMP ini akan diberi kepada para pelajar yang menepati sasaran yang telah ditetapkan. Di samping itu, pengambilan sekolah anak angkat juga akan ditingkatkan. Pelaksanaan ini adalah berdasarkan program PINTAR (Promoting Intelligence, Nurturing Talent and Advocating Responsibility) sejak tahun 2006 bagi menggalakkan syarikat swasta untuk bekerjasama dengan sekolah yang kurang mendapat kemudahan. Pihak kementerian akan menarik lebih banyak rakan korporat yang berdaftar untuk menyertai program ini dan menaja sekolah-sekolah yang memerlukan.
Gelombang 2 pula adalah untuk memantapkan penglibatan ibu bapa, komuniti dan syarikat swasta dengan memperluaskan lagi peranan PIBG. Antaranya ialah dengan menyediakan satu jaringan sokongan iaitu Kumpulan Sokongan Ibu Bapa atau Parents Support Group (PSG). Kumpulan ini diwujudkan bagi memudahkan ibu bapa untuk berkongsi amalan yang dilakukan dalam membantu anak-anak berkaitan proses pembelajaran dan pembesaran. Penglibatan komuniti yang lebih besar akan dilakukan dengan melakukan beberapa aktiviti. Contohnya, prgram mentor, lawatan murid dan latihan sandaran industri. Seterusnya, penelitian akan dilakukan terhadap Sekolah Amanah di mana menjelang tahun 2020 di mana 90 buah Sekolah Amanah dijangka akan beroperasi di seluruh negara. Gelombang 3 akan lebih menggalakkan lebih banyak inovasi daripada sektor swasta dengan menjadikan Sekolah Amanah sebagai sekolah rintis di Malaysia. Dijangkakan lebih 500 buah Sekolah Amanah akan mula beroperasi menjelang tahun 2025 dengan sistem yang akan dipertingkatkan. Di samping itu, pihak kementerian juga akan memberi sokongan kepada sektor swasta yang memulakan program khas untuk pendidikan dengan mengkaji pembangunan kaedah alternatif untuk mendapatkan khidmat pakar dalam pendidikan.


No comments:

Post a Comment