Tuesday, December 15, 2015

Jurang pencapaian matematik mengikut jantina




       Isu-isu Jurang Pencapaian Matematik dalam Kalangan Pelajar Sekolah Menengah Mengikut Jantina

Jurang pendidikan merupakan satu isu yang telah tercatat dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) dari tahun 2006 hingga 2010. Berdasarkan PIPP tersebut, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menetapkan matlamat untuk merapatkan jurang pendidikan antara lokasi, tahap, sosioekonomi dan tahap keupayaan pelajar. Selain aspek-aspek yang telah dinyatakan, jurang pendidikan juga wujud antara kaum, jenis sekolah dan jantina pelajar. Seperti yang telah direkodkan dalam Sistem Maklumat Pengurusan Pendidikan (SMPP), terdapat seramai 2285446 orang pelajar di 2355 buah sekolah di Malaysia (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013). Statistik menunjukkan bilangan pelajar lelaki lebih ramai iaitu seramai 1162665 orang berbanding pelajar perempuan yang telah direkodkan seramai 1122781 orang sahaja. Berkaitan dengan perbezaan bilangan jantina pelajar, isu yang telah difokuskan adalah jurang pencapaian Matematik dalam kalangan pelajar sekolah menengah mengikut jantina.
Merujuk kepada kajian yang telah dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (2000), pelajar perempuan menunjukkan prestasi keputusan yang lebih baik berbanding pelajar lelaki dalam peperiksaan awam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari tahun 1996 hingga 1999. Tambahan pula tinjauan yang telah dijalankan oleh Sutherland dalam Tinklin, Croxford, Frame dan Ducklin (2000) juga telah menyatakan bahawa pencapaian pelajar perempuan lebih baik berbanding pelajar lelaki adalah satu fenomena yang berlaku di seluruh dunia. Oleh yang demikian, terdapat beberapa perkara yang telah diketengahkan dalam isu jurang pencapaian Matematik dalam kalangan pelajar sekolah menengah mengikut jantina.

2.1 Gaya Pembelajaran dalam Kalangan Pelajar
Setiap individu mempunyai gaya belajar yang berbeza dan kadar yang berlainan dengan yang lain, walaupun dalam lingkungan umur yang sama. Perbezaan individu dapat diertikan sebagai ketidaksamaan dalam aspek perkembangan secara fizikal, mental, emosi dan sosial di kalangan individu. Santhi Suppiah (2000), perbezaan individu dihuraikan sebagai variasi atau ketidaksamaan individu daripada norma kumpulan, sama ada sifat-sifat kognitif, emosi, fizikal, moral, tingkah laku, sosial, bakat dan lain-lain aspek yang mungkin terdapat dalam kalangan individu dalam sesuatu kumpulan.
Gaya pembelajaran adalah merangkumi pemikiran luaran dan dalaman serta tingkah laku yang membolehkan pembelajaran yang berkesan (Dick Wirz, 2004). Gaya pembelajaran banyak membantu kepada mempertingkatkan daya konsenterasi pelajar terhadap pelajaran (Ismail, 2003). Gaya belajar juga dianggap sebagai strategi pengajaran kerana pemahaman mengenai gaya pembelajaran seseorang pelajar memberikan maklumat tentang konteks dan kandungan pembelajaran (Abdul Razak Ahmad,1999). Dunn (1986), menyarankan bahawa pelajar perlu diajar dengan menggunakan pendekatan dan bahan yang bersesuaian dengan gaya pembelajaran mereka kerana strategi belajar tersebut dapat meningkatkan pencapaian akademik pelajar. Salah satu strategi mengajar yang boleh disesuaikan dengan pelbagai gaya pembelajaran ialah menggunakan teori Howard Gardner’s Multiple Intelligences seperti cadangan Nolen (2003) iaitu melalui permainan bahasa (linguistik), soal jawab (logikal), gambar dan grafik (visual), penggunaan muzik (muzikal), pergerakan motor (kinestetik), bersosialisasi secara berkumpulan (inter personal) dan belajar secara bersendirian (intrapersonal). Guru berperanan untuk mengenal pasti gaya belajar pelajar supaya ianya dapat dipadankan dengan kaedah pengajaran guru (Omardin, 1999). Sebagai guru, adalah perlu untuk memahami gaya belajar para pelajar sebagai salah satu inisiatif dalam mempertingkatkan kaedah pengajaran mereka (Nelson, 1996). Antara faktor utama yang membawa kepada pencapaian akademik pelajar adalah didorong oleh gaya belajar pelajar itu sendiri. Setiap saat yang diperuntukkan untuk setiap pelajar itu hanya akan bermakna sekiranya pelajar itu dapat memahami dan menghayati sepenuhnya apa yang telah diajarkan. Adalah menjadi kerugian kepada pelajar tersebut sekiranya tidak memahami apa yang telah dipelajarinya. Oleh itu setiap individu seharusnya mengetahui gaya belajar yang paling sesuai untuknya (Pusat Perkembangan Kurikulum, 2001). Selain itu, Loewen (2002) menyatakan bahawa proses pengajaran dan pembelajaran harian melibatkan tiga gaya belajar utama iaitu Visual, Auditori dan Kinestetik. 
Bagi pelajar yang mempunyai gaya pembelajaran berbentuk visual, anggota yang memainkan peranan penting adalah mata iaitu penglihatan (visual). Ada pelajar lebih suka belajar dengan melihat atau memandang sesuatu objek yang maujud dan tidak dinafikan ada pelajar yang suka belajar dengan melakukan sentuhan dan pergerakan motor fizikalnya (Ornstein 1977). Dalam hal ini kaedah pengajaran yang digunakan guru sebaiknya lebih banyak seperti bahan media di mana guru haruslah  menunjukkan bahan tersebut secara langsung pada pelajar atau menggambarkannya di papan tulis. Pelajar yang mempunyai gaya pembelajaran visual harus melihat bahasa tubuh dan riak muka gurunya untuk memahami setiap yang dipelajari. Mereka ini lebih cenderung untuk duduk di barisan hadapan agar dapat melihat dengan jelas. Mereka berfikir menggunakan gambar-gambar di otak mereka dan belajar lebih cepat dengan menggunakan gambaran-gambaran visual, seperti carta, buku pelajaran, gambar rajah, dan video.
Seterusnya ialah pelajar yang mempunyai gaya pembelajaran auditori di mana mereka menggunakan anggota telinga sebagai alat pendengarannya ketika belajar. Justeru itu, pelajar yang mempunyai gaya pembelajaran auditori boleh belajar lebih cepat dengan menggunakan perbincangan lisan dan mendengar apa yang guru katakana ketika proses pengajaran dan pembelajaran. Collinson (2000), mendapati pelajar lebih berjaya serta memberi tindak balas yang berkesan ketika melakukan tugasan belajar atau aktiviti yang melibatkan sensori auditori seperti perbincangan, berdebat dan membaca. Pelajar auditori dapat memproses makna yang disampaikan melalui nada suara, pitch (tinggi rendahnya), kelajuan bercakap dan hal-hal auditori lain. Kebiasaannya pelajar seperti ini biasanya dapat menghafal lebih cepat dengan membaca teks di atas  keras dan mendengar kaset atau audio.
Gaya pembelajaran yang ketiga adalah gaya pembelajaran kinestetik di mana pelajar belajar dengan cara bergerak, bekerja, melakukan dan menyentuh. Manakala pelajar yang belajar menggunakan sensori taktil dan kinestetik dapat menunjukkan perkembangan pencapaian melalui aktiviti seperti sentuhan bagi mengenal pasti tekstur sesuatu objek serta menggerakkan objek bagi meningkatkan kemahiran motor mereka. Kajian kepustakaan telah mendapati bahawa wujudnya hubungan yang kuat antara gaya pembelajaran seseorang dengan pencapaian akademik (Collinson 2000; Gadt-Johnson & Price 2000; Reid 1987). Didapati pelajar ini sukar untuk duduk diam berjam-jam kerana keinginan mereka untuk mengetahui dan penerokaan yang sangatlah kuat. Pelajar yang mempunyai gaya pembelajaran ini belajar melalui gerakan dan sentuhan. 
Guru sebagai pendidik kini mempunyai tugas yang mencabar untuk mempertingkatkan kemahiran mereka dalam segenap ilmu sebagai usaha mencapai kualiti guru yang diinginkan oleh negara ini. Salah satu kemahiran yang amat penting perlu dikuasai oleh guru ialah kemahiran dalam proses pengajaran. Salah satu kemahiran dalam proses pengajaran ialah mengenal pasti gaya pembelajaran pelajar. Para pendidik perlu melengkapkan diri dengan berbagai-bagai teknik pengajaran.  Ini adalah kerana, bagi pelajar yang tidak mempunyai kecacatan anggota badan, mereka akan menggunakan satu, dua atau kesemua gaya belajar ini.

2.2 Afektif Pelajar Terhadap Matematik
Satu kajian pencapaian dan penguasaan konsep dalam Matematik peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah dijalankan berorientasikan faktor jantina, aliran dan jenis sekolah dah hasilnya menunjukkan bahawa pelajar lelaki lebih berminat kepada soalan kemahiran seperti unjuran ortogon pada garis satah dan sudut antara dua satah, gabungan penjelmaan, mencari luas, pelan dan dongakan, latitude, longitude dan jarak (Bhasah Abu Bakar, 2009). Namun begitu, pelajar lelaki mencatatkan penurunan markah dan gred setiap tahun dari tahun 1996 hingga tahun 2000 seperti yang telah dibincangkan dalam Jamil et. al (2001). Rajah 2.2.1 dan 2.2.2 menunjukkan peratusan kelulusan Matematik mengikut jantina (1996-2000) bagi PMR dan SPM.





Rajah 2.2.1: Peratusan Kelulusan Matematik PMR Mengikut Jantina (1996-2000)





Rajah 2.2.2: Peratusan Kelulusan Matematik SPM Mengikut Jantina (1996-2000)

Berdasarkan peratusan yang telah direkodkan, jelas menunjukkan terdapat jurang pencapaian Matematik dalam kalangan pelajar lelaki dan pelajar perempuan. Oleh yang demikian, faktor afektif merupakan salah satu perkara yang menyebabkan terjadinya jurang pencapaian dalam kalangan pelajar lelaki dan pelajar perempuan dalam mata pelajaran Matematik.
Afektif merupakan satu elemen penting selain kognitif dan psikomotor dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik. Menurut Arsaythamby (2006), afektif ditakrifkan sebagai sikap, kebimbangan dan tabiat yang berfungsi dalam pembelajaran Matematik. Secara ringkasnya, afektif dapat dikaitkan dengan minat, emosi dan nilai kehidupan seseorang. Oleh itu, elemen ini perlu diberi perhatian dalam kalangan pelajar supaya mereka dapat memberi tumpuan dan perhatian sepenuhnya semasa pengajaran dan pembelajaran Matematik berlangsung di dalam bilik darjah. Malahan pula afektif bagi setiap individu pelajar adalah berbeza dari segi jantina kerana secara hakikinya setiap manusia mewarisi perwatakan dan tingkah laku yang berbeza daripada ibu bapa masing-masing. Sehubungan dengan itu, wujudnya satu jurang pencapaian khususnya dalam Matematik dalam kalangan pelajar mengikut jantina. Antara perkara yang dibangkitkan dalam isu afektif adalah perbandingan sikap, kebimbangan dan tabiat antara pelajar lelaki dan pelajar perempuan.
Dari aspek sikap, Mat Hasrizam Said (2004) telah mengklasifikasikan sikap sebagai minat, keyakinann kegelisahan, persepsi terhadap kepentingan Matematik dan persepsi terhadap guru. Ringkasnya, sikap pelajar merangkumi kebolehan afektif pelajar terhadap mata pelajaran Matematik. Hasil kajian beliau juga telah mendapati pelajar perempuan mempunyai sikap yang positif dalam pembelajaran berbanding pelajar lelaki. Oleh sebab itu, pelajar perempuan telah mendominasi sistem pendidikan di Malaysia sehingga ke hari ini. Sehubungan dengan itu, terdapat hubungan positif antara sikap dengan prestasi Matematik dalam kalangan pelajar (Scheiber, 2002). Justeru itu, sikap merupakan salah satu aspek yang mempengaruhi afektif pelajar terhadap Matematik kerana kemampuan pelajar bergantung kepada sikap pelajar itu sendiri (Samsudin, 2000).
Selain itu, kebimbangan terhadap Matematik juga merupakan salah satu aspek dalam afektif pelajar yang menyumbang kepada jurang pencapaian Matematik antara pelajar lelaki dan pelajar perempuan. Kebimbangan Matematik dapat didefinisikan sebagai penyataan bimbang terhadap situasi yang melibatkan Matematik dan mennganggap Matematik sebagai satu ancaman kepada keyakinan diri (Cemen & Byrd, 1987). Sepanjang pengalaman menjalani latihan praktikum di sekolah, permasalahan ini melibatkan sebahagian pelajar di dalam bilik darjah terutamanya pelajar lelaki. Mereka tidak menunjukkan minat dan respon yang positif semasa pengajaran dan pembelajaran Matematik berlangsung. Apabila berlakunya situasi ini, pelajar yang tidak mempunyai kebimbangan terhadap Matematik akan memiliki motivasi belajar yang tinggi berbanding pelajar yang mempunyai kebimbangan yang tinggi terhadap Matematik (Tapia, 2004). Dengan ini, mereka akan dapat menumpukan perhatian dan tumpuan sepenuhnya serta lebih bersemangat terhadap pengajaran guru di dalam kelas. Seterusnya, dapat meningkatkan pencapaian mereka dalam mata pelajaran Matematik.
Aspek seterusnya adalah tabiat dalam mempengaruhi afektif pelajar terhadap Matematik. Menurut Arsaythamby (2006), beliau menyatakan bahawa tabiat mempelajari Matematik mempunyai hubungan signifikan yang positif terhadap pencapaian Matematik. Hal ini disebabkan oleh tabiat dalam kalangan pelajar yang melibatkan kemahiran dan kesediaan mereka untuk mempelajari Matematik. Seperti sedia maklum, fenomena yang sering berlaku di dalam kelas adalah pelajar lelaki majoritinya yang tidak menyiapkan tugasan yang diberikan dan kurang membuat latih tubi yang diberikan oleh guru berbanding pelajar perempuan. Ini membuktikan pelajar perempuan mempunyai tahap kesediaan dan kemahiran yang tinggi dalam mempelajari Matematik dan mempengaruhi tahap pencapaian mereka dalam Matematik.
Konklusinya, ketiga-tiga aspek yang telah dinyatakan merupakan perkara yang menyumbang kepada kebolehan afektif pelajar dalam mempelajari Matematik. Lantaran afektif yang berbeza dalam kalangan pelajar lelaki dan pelajar perempuan, terdapat jurang dalam pencapaian Matematik dalam sisitem pendidikan negara kini. Oleh itu, bagi menangani permasalah tersebut, sikap yang positif dalam kalangan pelajar dapat mengatasi kebimbangan mereka terhadap Matematik seterusnya meningkatkan kemahiran dan kesediaan mereka untuk mempelajari Matematik dan mengurangkan jurang yang kian menular pada hari ini.

2.3 Pengaruh Rakan Sebaya
Rakan sebaya memainkan peranan penting dalam kehidupan pelajar. Kanak-kanak lazimnya menggunakan rakan sebaya sebagai panduan apabila menilai dirinya sendiri dari segi tingkah laku, personaliti, kemahiran serta kebolehan (Nursuhaili, 2010). Peranan rakan sebaya adalah lanjutan kepada proses sosialisasi dalam keluarga. Kumpulan rakan sebaya dapat berfungsi sebagai penggantian jika perhubungan dengan ibu bapa tidak baik atau tegang. Pada kebiasaannya, pada zaman kanak-kanak dan remaja, rakan sebaya mempunyai pengaruh yang besar terhadap pelajar. Segala gerak-geri dan tingkah laku akan ditiru atau diikuti oleh rakan sebayanya. Menurut Quek Miow Leng (2006), rakan sebaya turut berperanan dalam mempengaruhi pencapaian akademik pelajar.
Kajian tentang kumpulan sebaya banyak membawa kesan terhadap pencapaian dan aspirasi pelajar jika dibandingkan dengan latar belakang atau komposisi sekolah (Quek Miow Leng, 2006). Nursuhaili (2010), menyatakan bahawa rakan sebaya memainkan peranan yang sangat penting dalam mengembangkan kebolehan sosial serta kognisi sosial. Menurut Nursuhaili, (2010), selain daripada mengembangkan kebolehan dan kognisi sosial, rakan sebaya juga turut mempengaruhi sikap dan tingkah laku seseorang individu. Tingkah laku yang biasanya dipengaruhi oleh rakan sebaya adalah merangkumi cara bercakap, cara berpakaian, dan juga cara belajar. Rohani Abdullah (2001), menekankan kepentingan peranan rakan sebaya adalah sangat positif dalam mempengaruhi perkembangan sosial, bahasa dan pendidikan seseorang individu.
Pada kebiasaannya sikap rakan sebaya terhadap pelajar pintar cerdas dan berbakat di peringkat sekolah rendah adalah positif. Dalam kajian yang dijalankan oleh Kennedy (1995), pengalaman belajar bersama-sama pelajar pintar cerdas akan menjadikan seseorang itu lebih menerima kehadiran pelajar ini. Walau bagaimanapun responden kajian beliau yang terdiri daripada mereka yang berumur 10 hingga 29 tahun telah menunjukkan sikap simpati yang agak kurang jika dibandingkan dengan responden yang lebih berumur iaitu mereka yang berumur 30 hingga 39 tahun.
Selain itu, pelajar pintar cerdas juga biasanya mengalami masalah dalam hubungan dengan rakan sebaya. Ini adalah kerana sikap pelajar pintar cerdas itu sendiri yang kadang kala sukar difahami oleh rakan seusia mereka. Sikap pelajar pintar cerdas sukar difahami oleh rakan seusia mereka kerana pengaruh umur mental mereka yang agak tinggi berbanding dengan umur kronologi mereka. Oleh kerana sikap sebegini, pelajar pintar cerdas akan dianggap sebagai pelik dan sukar didekati oleh rakan seusia mereka. Ini seterusnya akan menjadikan pelajar pintar cerdas sukar untuk mencari kawan untuk meluahkan perasaan dan dijadikan teman untuk berbual. Sikap pelajar pintar cerdas yang lebih terkehadapan dari segi pemikiran berbanding dengan rakan seusia mereka juga akan menjadikan rakan seusia mereka menjauhkan diri daripada mereka (Goleman & Daniel, 1997).
Walau bagaimanapun Colangelo & Davis (1991) dan pengkaji yang lain seperti Hollingworth (1991), tidak mempunyai pendapat yang sama seperti pengkaji-pengkaji di atas. Colangelo (1991) dan Hollingworth (1991) dalam kajian mereka telah menyatakan bahawa pelajar-pelajar pintar cerdas adalah merupakan pelajar yang tidak mempunyai masalah dari segi psikologi dan sosial. Mereka juga menyatakan bahawa pelajar pintar cerdas pandai menyesuaikan diri dengan rakan sebaya dan mudah bersosial. Rizza (1997), pula telah mendapati bahawa sikap rakan sebaya terhadap pelajar pintar cerdas akademik (PCA) adalah penting bagi meningkatkan perkembangan pelajar pintar cerdas. Rizza (1997), telah melaporkan bahawa sikap rakan sebaya yang sentiasa memberi dorongan dan sokongan kepada pelajar pintar cerdas akademik (PCA) akan meningkatkan lagi kecemerlangan pelajar itu.
Pelajar dikatakan mudah terpengaruh dengan rakan sebaya. Remaja biasanya akan memilih rakan sebaya yang mempunyai persamaan tingkah laku, sikap dan identiti dengan mereka (Akers, Jones & Coyle, 1998; Hogue & Steinberg, 1995). Selain dipengaruhi mereka juga didominasi oleh rakan sebaya (Brown, 1990) dalam Norawati binti Hashim(2004).
Pelajar perempuan biasanya akan berkawan dengan rakan-rakan yang berada di sekeliling mereka seperti rakan sekelas. Sikap pelajar perempuan yang mementingkan pelajaran, akan mempengaruhi rakan-rakan mereka yang lain untuk sama-sama mementingkan pelajaran. Menurut Zalizan bin Mohd Jelas (2001), pelajar perempuan akan belajar bersama dan berkongsi pendapat sekiranya terdapat sebarang keraguan. Dengan aktiviti seperti ini, pelajar perempuan lebih menguasai pelajaran yang dipelajari dan mendapat pencapaian yang lebih baik.
Berbanding pelajar lelaki, mereka lebih gemar berkawan dengan rakan yang lebih tua. Pergaulan sosial yang melampau seperti melepak, berlumba haram, dan macam-macam lagi mudah diikut kerana bagi mereka perkara itu sesuatu yang bebas untuk dilakukan berbanding mengulangi pelajaran. Menurut Syarifah Alwiah Alsagoff (1988), segala gerak-geri dan tingkah laku akan ditiru atau diikuti oleh rakan sebaya. Disebabkan pergaulan dengan rakan-rakan yang tidak minat untuk menimba ilmu, pelajar lelaki tidak menguasai pelajaran yang dipelajari kerana tidak membuat latihan yang diberi dan hilang fokus dalam kelas. Maka, pencapaian mereka adalah lebih rendah berbanding pelajar perempuan.

2.4Persepsi Guru Terhadap Pelajar
Di samping itu, persepsi guru matematik terhadap pelajar lelaki dan perempuan juga mempengaruhi perbezaan pencapaian matematik kedua-dua jantina ini. Persepsi guru terhadap pelajar lelaki dan perempuan dilihat dari aspek motivasi, minat, kepatuhan kepada arahan, ketepatan masa, kesediaan untuk belajar, tanggungjawab, kebolehterimaan pelajaran, kekemasan kerja, kesungguhan, inisiatif, kreativiti dan inovatif. Dr. Zalizan bin Mohd Jelas (2001) dalam kajiannya, mengkaji perbandingan persepsi guru lelaki dan guru perempuan terhadap pelajar lelaki dan pelajar perempuan yang mempengaruhi pencapaian kedua-dua jantina pelajar.
            Hasil kajian menunjukkan bahawa guru lelaki secara keseluruhannya mempunyai persepsi positif terhadap pelajar lelaki dan juga pelajar perempuan berbanding guru perempuan. Dengan lain perkataan, guru lelaki tidak mempunyai persepsi yang berbeza terhadap pelajar lelaki dan  perempuan. Mereka tidak bias dalam melabelkan kebolehan pelajar, baik pelajar lelaki mahupun pelajar perempuan, berbanding guru perempuan. Keadaan ini turut dikukuhkan lagi dalam kajian Brophy dan Evertson (1981) dan Bank (1987).
            Guru perempuan pula mempunyai pandangan yang kurang positif terhadap pelajar lelaki. Keadaan ini boleh mempengaruhi tingkah laku dan sikap guru terhadap pelajar. Menurut Dr. Zalizan lagi, guru perempuan kurang memberi perhatian kepada pelajar lelaki yang dianggap bermasalah di dalam kelas. Guru lebih memberi perhatian kepada pelajar perempuan yang sering mengikut arahan guru dan mudah untuk dikawal.
            Pelajar lelaki sering kali dikatakan hilang fokus di dalam kelas, mengganggu rakan lain serta tidak membuat kerja rumah. Guru perempuan akan mengambil tindakan untuk mengabaikannya sekiranya segala amaran dan peringatan yang diberikan tidak dihiraukan. Dengan mengabaikan pelajar lelaki di dalam kelas, sudah semestinya akan mengganggu pencapaian mereka dalam Matematik kerana mereka tidak dapat menguasai pelajaran yang diajar. Maka wujudlah perbezaan pencapaian Matematik di antara pelajar lelaki dan pelajar perempuan.
            Berdasarkan apa yang dinyatakan, maka sudah tentulah amat penting sekali bagi guru-guru Matematik untuk mewujudkan persekitaran bilik darjah yang kreatif serta sesi pengajaran yang menarik. Di samping itu, guru tidak harus bersikap bias terhadap pelajar lelaki dan pelajar perempuan .

No comments:

Post a Comment