Tuesday, December 15, 2015

Innovative Thinking



Pengenalan Program i – THINK
Program i-Think merupakan satu program yang bertujuan mempertingkatkan dan membudayakan kemahiran berfikir dalam kalangan murid ke arah menghasilkan murid berinovatif. Dalam program ini, guru dan murid akan menggunakan alat berfikir dalam pengajaran dan pembelajaran disamping melaksanakan aktiviti kemahiran berfikir aras tinggi. Abjad ‘i’ bermaksud inovasi dan ‘THINK’ pula bermaksud pemikiran iaitu pemikiran secara inovatif yang perlu ada pada semua murid. Program ini telah dilaksanakan secara rintis di 10 buah sekolah (6 sekolah rendah, 4 sekolah menengah). Pelaksanaan program i-THINK di sekolah rintis telah dilaksanakan selama 6 bulan iaitu pada bulan Januari hingga bulan Jun 2012. Kajian rintis telah dilaksanakan pada bulan Julai hingga September 2012 oleh pihak Universiti Putra Malaysia selain daripada pemantauan yang telah dilaksanakan oleh Jawatankuasa Program i-THINK KPM bersama Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).


2.0 Membudayakan kemahiran berfikir
Kemahiran berfikir merupakan penggunaan minda bagi melahirkan idea yang bernas, membuat keputusan, dan menyelesaikan masalah. Kemahiran ini dapat dikategorikan kepada Kemahiran Kritis dan Kemahiran Kreatif. Kemahiran Kritis adalah merangkumi kemahiran mencirikan, membandingkan dan membezakan, mengumpul dan mengelaskan, membuat urutan, menyusun mengikut keutamaan, menganalisis, mengesan kecondongan, menili, dan membuat kesimpulan. Manakala Kemahiran Kreatif mempunyai ciri-ciri menjanakan idea, menghubungkaitkan, membuat inferens, meramalkan, membuat hipotesis, mensintesiskan, membuat gambaran mental, menganalogikan serta mereka cipta.
Bagi membudayakan kemahiran berfikir dalam kalangan murid, terdapat tiga langkah yang telah boleh dilaksanakan iaitu memberi kesedaran kepada semua pihak, perubahan set minda, dan amalan. Memberi kesedaran adalah kaedah di mana semua pihak termasuk pegawai di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu diberi pendedahan mengenai program i-THINK. Kesedaran dalam mengajar dan belajar berfikir ini dapat disampaikan melalui taklimat atau kursus. Dengan itu, semua pihak mempunyai bahasa pemikiran dan alat berfikir yang sama. Program i-THINK diperkenalkan menggunakan pendekatan seluruh sekolah (whole school approach), di mana latihan diberikan kepada pentadbir, guru dan murid dalam pengajaran dan pembelajaran. Disebabkan itu, guru dan murid mempunyai bahasa pemikiran dan alat berfikir yang sama.
Jurulatih Kebangsaan (JUK) Program i-THINK di Bahagian KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Institut Pendidikan Guru Kampus (IPGK) dan sekolah telah dilatih oleh pihak Kestrel Education, United Kingdom. Jurulatih kebangsaan sekolah melatih pasukan pemandu (guru sekolah) setiap sekolah. Latihan ini dilaksanakan secara berperingkat dimulai dengan kursus Pasukan Pemandu Sekolah i-THINK yang dilatih oleh JUK. Kemudian, kursus dalaman kepada guru-guru sekolah iaitu kursus i-THINK kepada guru baru atau guru ganti atau guru pelatih serta kursus pengukuhan program i-THINK dijalankan. Selepas itu, pelaksanaan program i-THINK di sekolah diteruskan dengan memperkenalkan Peta Pemikiran kepada murid. Setelah pelaksanaan dijalankan, pemantauan berkala Program i-THINK dijalankan oleh KPM, JPN, PPD, dan Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) Pentadbir Sekolah. Mereka akan membuat laporan dan penilaian Program i-THINK ini dan pelaksanaan Program i-THINK akan berterusan.
Langkah kedua, perubahan set minda. Bagi langkah ini, pihak pentadbir, guru, dan murid perlu bersedia untuk membuat perubahan dalam pengajaran dan pembelajaran. Ini disebabkan oleh, setiap perubahan memerlukan kerjasama daripada semua pihak. Perubahan set minda mengenai program i-THINK dilaksanakan melalui kempen, latihan, taklimat dan mesyuarat. Dalammasa yang sama, sekolah juga boleh mempamerkan banner serta carta dan hasil tugasan pengajaran dan pembelajaran i-THINK di sekeliling sekolah. Ibu bapa juga terlibat secara langsung dalam melaksanakan program i-THINK melalui PIBG.
Langkah terakhir adalah amalan. Amalan bermaksud perbuatan yang biasa dilakukan atau dikerjakan. Pelbagai alat berfikir seperti Peta Pemikiran, peta minda dan 6 Thinking Hats digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran bagi membantu murid untuk berfikir dan membuat penaakulan. Secara tidak langsung, kemahiran berfikir akan menjadi amalan apabila guru dan murid menggunakannya dalam bilik darjah melalui aktiviti yang memerlukan penyoalan aras tinggi, inkuiri serta berpusatkan murid dengan menggunakan alat berfikir. Tambahan lagi, guru memainkan peranan sebagai fasilitator dapat menggalakkan murid menyoal semasa aktiviti dalam bilik darjah.
Bagi program i-THINK, Peta Pemikiran telah diperkenalkan. Peta Pemikiran merupakan alat berfikir yang membolehkan guru menyampaikan kurikulum yang sedia ada dalam bentuk yang lebih bermakna kerana Peta Pemikiran telah menggabungkan proses pembelajaran secara kognitif dan persembahan maklumat secara visual dalm bentuk grafik. Terdapat lapan bentuk Peta Pemikiran secara visual yang mudah difahami dan digunakan dalam pembelajaran. Peta Pemikiran pertama ialah Peta Bulatan atau Circle Map. Peta Bulatan adalah proses pemikiran untuk mendefinisikan sesuatu mengikut konteks.

Rajah 1: Peta Bulatan
Peta Pemikiran yang kedua ialah Peta Buih atau Bubble Map. Peta buih menerangkan atau memerihalkan sesuatu menggunakan adjektif. Peta ini biasanya digunakan untuk mengenalpasti atau menunjukkan kualiti dalam bentuk perkataan deskriptif atau huraian.

Rajah 2: Peta Buih

Peta Pemikiran yang ketiga ialah Peta Buih Berganda atau Double Bubble Map. Peta ini dapat digunakan bagi memproses pemikiran untuk membandingkan beza sesuatu. Sebagai contoh seperti rajah di bawah:

Rajah 3 : Peta Buih Berganda
Seterusnya adalah Peta Pokok atau Tree Map. Peta Pokok merupakan proses pemikiran bagi membuat pengelasan iaitu mengklasifikasikan bahan atau idea. Rajah 4 dibwah adalah contoh Peta Pokok.

Rajah 4: Peta Pokok
Peta yang kelima adalah Peta Dakap atau Brace Map. Peta Dakap merupakan proses pemikiran yang menerangkan hubungan bahagian hingga menyeluruh dalam bentuk penganalisisan objek fizikal.

Rajah 5 : Peta Dakap

Peta Pemikiran yang keenam adalah Peta Alir atau Flow Map. Peta Alir merupakan proses pemikiran yang berkaitan urutan sesuatu. Rajah dibawah menunjukkan contoh Peta Alir yang dibuat.

Rajah 6 : Peta Alir

Seterusnya adalah Peta Pelbagai Alir atau Multi-Flow Map. Peta Pelbagai Alir adalah proses pemikiran yang menunjukkan serta menganalisis sebab dan akibat sesuatu hubungan.

Rajah 7 : Peta Pelbagai Alir

Peta Pemikiran yang terakhir adalah Peta Titian atau Bridge Map. Peta Titian dapat mengaplikasikan proses analogi, hubungan yang sama, dan mencari faktor perhubungan.

Rajah 8 : Peta Titian


3.0  PEMBUDAYAAN PROGRAM i-THINK DALAM KALANGAN PENTADBIR,
GURU DAN MURID DI SEKOLAH

3.1 Peranan Pentadbir
Bagi menjayakan program i – THINK di sekolah, banyak pihak yang perlu melibatkan diri. Antaranya ialah pihak pentadbir, guru dan murid. Sebelum diteruskan kepada guru dan murid, pihak pentadbir adalah antara pihak yang penting dalam membudayakan program ini di sekolah. Hal ini kerana, pihak pentadbir merupakan pihak yang akan menguruskan program ini di sekolah untuk guru dan murid.
            Dalam membudayakan program i – THINK di sekolah, pihak pentadbir harus mengambil kira perkara berikut iaitu pengurusan pentadbiran sekolah, perancangan dan pelaksanaan program, kursus berterusan, kolaborasi dan rangkaian jaringan, pemantauan dan penilaian berterusan, hasil yang diharapkan dan promosi.

3.1.1        Pengurusan Pentadbiran Sekolah
            Peranan pentadbir adalah sangat signifikan dalam menyokong sepenuhnya program i – THINK di sekolah. Oleh itu, pentadbir perlu memahami konsep program i – THINK. Antara konsep program i – THINK adalah mentransformasikan pendidikan, membentuk kepakaran, menggunakan alat berfikir, memperkasakan organisasi pembelajaran, menjana pemikiran dan pembangunan kolaboratif.
            Sebagai langkah awal, pentadbir sekolah perlu menubuhkan pasukan pemandu i – THINK di sekolah masing – masing. Berikut merupakan cadangan jawatankuasa i – THINK sekolah :
Pihak sekolah juga boleh membuat penambahan jumlah AJK Pemandu di sekolah seperti berikut :

Peranan pasukan pemandu sekolah adalah sangat penting dalam pelaksanaan program i – THINK. Antara peranan yang dicadangkan adalah seperti berikut :
1.      Mengendalikan dan memberi latihan kepada guru – guru dalam kursus dalaman.
2.      Menyelaraskan program pengenalan kepada semua murid dan ibu bapa.
3.      Menjadi mentor kepada rakan guru.
4.      Merancang program pembudayaan i-THINK.
5.      Membantu pentadbir memantau program i-THINK.
6.      Merancang dan menghasilkan bahan edaran untuk promosi program i-THINK.


3.2      Kursus Berterusan
Peranan pihak pentadbir yang kedua ialah kursus berterusan. Bagi membudayakan kemahiran berfikir melalui program i – THINK, pasukan pemandu perlu mengadakan latihan kepada semua guru di sekolah. Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan program i – THINK, latihan secara berterusan perlu diadakan. Latihan ini meliputi kursus dalaman, induksi berstruktur dan bimbingan coaching dan mentoring. Pasukan pemandu sekolah yang telah menghadiri kursus perlu mengadakan kursus dalaman kepada guru lain di sekolah masing – masing. Pendedahan program ini perlu diberikan kepada guru baharu / guru novice, guru ganti dan guru pelatih secara berperingkat melalui modul, interaksi secara bersemuka dan pendekatan peer coaching mengikut keperluan. Pasukan pemandu sekolah perlu sentiasa memberi bimbingan coaching dan mentoring kepada guru – guru yang kurang memahami atau memerlukan bimbingan tentang penggunaan Peta Pemikiran.

3.3      Perancangan dan Pelaksanaan Program      
Cadangan perancangan dan pelaksanaan program i – THINK di sekolah adalah seperti di bawah. Walau bagaimanapun, pihak pentadbir boleh membuat penyesuaian mengikut keadaan sekolah.


Contoh pengisian kursus dalaman :



Cadangan Cara Pengenalan Penggunaan Peta Pemikiran Di Sekolah
Cadangan 1
Cadangan 2
Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, pentadbir perlu memastikan guru menerapkan proses kemahiran berfikir kepada murid melalui Peta Pemikiran. Guru juga perlu memeriksa dan menilai setiap hasil kerja murid. Selain itu, hasil kerja murid perlu dipamerkan di sudut i – THINK dalam kelas dan di sekeliling kawasan sekolah. Pentadbir juga perlu memastikan murid menggunakan Peta Pemikiran dalam pembelajaran mereka. Rakan pembimbing haruslah dibentuk dalam kalangan murid dan guru menggunakan Peta Pemikiran atau alat berfikir yang sesuai semasa pengajaran dan pembelajaran.

3.4      Pemantauan dan Penilaian Berterusan


            Dalam pelaksanaan penilaian berterusan di sekolah, pentadbir juga perlu membuat pemerhatian dan pemantauan terhadap penggunaan Peta Pemikiran dalam pengajaran dan pembelajaran guru berpandukan Instrumen SKPM 2010. Di samping itu, pentadbir harus menggalakkan guru dan murid mengamalkan penilaian terarah kendiri melalui instrumen maklum balas. Pentadbir juga perlu memastikan guru memastikan dan memberi komen terhadap hasil kerja murid serta menyimpan hasil kerja mereka secara sistematik mengikut mata pelajaran untuk rujukan. Pertemuan guru dengan pasukan pemandu sekolah harus diadakan oleh pihak pentadbir untuk membincangkan kelancaran program i – THINK di sekolah serta memberi sokongan moral, kewangan dan galakkan kepada guru.

3.5      Hasil Yang Diharapkan
Adalah diharapkan pihak sekolah dapat mengenal pasti berlakunya perubahan sikap murid. Perubahan yang diharapkan pada murid adalah :
Ø  Meningkatkan daya imaginasi (berfikir di luar kotak)
Ø  Meningkatkan kemahiran berfikir
Ø  Meningkatkan keyakinan
Ø  Bermotivasi
Ø  Menunjukkan minat terhadap pelajaran
Ø  Suka bertanya
Ø  Meningkatkan kerjasama berpasukan
Ø  Meningkatkan kefahaman murid
Ø  Seronok dan tidak merasa tertekan
Ø  Meningkatkan interaksi antara guru dengan murid dan murid dengan murid 


3.6      Promosi, Kolaborasi, Rangkaian Jaringan dan Jalinan
Untuk melestarikan program i – THINK di sekolah, pentadbir perlu mewujudkan kerjasama dengan pelbagai pihak (dalam dan luar sekolah) di samping mempromosikan program ini.
Pihak pentadbir perlu berkongsi idea dengan sekolah yang melaksanakan i – THINK, sekolah yang memerlukan bantuan dan khidmat nasihat serta mengadakan kunjung bantu. Perbincangan berkala juga perlu diadakan bersama ibu bapa tentang pelaksanaan program i – THINK. Selain itu, hubungan dengan agensi luar haruslah dijalinkan bagi memperoleh sumbangan dana dan idea. Pihak pentadbir juga harus berkolaborasi dengan rakan Thinking Schools di luar negara. Promosi juga mesti diadakan melalui mewujudkan blog sekolah, meletakkan banting, kain rentang dan brosur di premis sekolah, Hari Terbuka i – THINK, juga membentangkan perkembangan dan pencapaian program ini dalam konvensyen dan seminar pendidikan.

3.7      Peranan Guru
Penglibatan guru dalam program i – THINK adalah melalui kursus, seminar, bengkel, mesyuarat, folio dan usaha kolaboratif. Melalui kursus, seminar dan bengkel, guru perlu untuk menghadiri pelbagai kursus dan seminar program i – THINK bagi membangunkan profesionalisme diri dalam bidang tersebut. Melalui bengkel – bengkel program i – THINK, guru dapat belajar membuat lapan Peta Pemikiran secara hands – on dan cara menggunakan peta – peta tersebut dengan baik supaya boleh mengajar dengan jelas kepada murid kemudian. Daripada bengkel ini juga, guru akan dapat menghasilkan Peta Pemikiran dan soalan aras tinggi mengikut panitia masing – masing sebagai panduan pengajaran dan pembelajaran.
            Mesyuarat dapat dibahagikan kepada dua iaitu mesyuarat guru dan mesyuarat panitia. Mesyuarat guru perlu kerap diadakan untuk membuat perbincangan mengenai progres penerapan kemahiran Peta Pemikiran, penguasaan dan penjiwaan murid terhadap konsep i – THINK dalam pengajaran dan pembelajaran, aktiviti dan lain – lain. Melalui mesyuarat panitia, guru perlu mendengar dan berbincang mengenai perkembangan aktiviti penggunaan alat pemikiran dalam pengajaran dan pembelajaran sesuatu mata pelajaran.
            Di samping itu, guru haruslah membina folio untuk menyimpan contoh – contoh kerja persediaan pengajaran sendiri dan bahan bantu mengajar dan sentiasa membuat penambahbaikan kualiti folio tersebut. Guru juga perlu mengumpul dan menyusun kerja murid secara sistematik untuk memantau perkembangan mereka dan keberkesanan alat pemikiran kepada anak murid yang di bawah mereka. Sistem Buddy perlu diwujudkan bagi menggalakkan bimbingan rakan sebaya untuk saling belajar di antara guru.

Peranan guru yang terakhir ialah usaha kolaboratif. Guru bolehlah melayari www.thinkingschool.com, www.thinkingschoolinternational.com, dan www.thingkingschoolethiopa.com, www.ithink.com.my untuk mendapatkan maklumat terkini. Guru juga perlu untuk menghubungi pakar seperti jurulatih utama kebangsaan dan pegawai meja melalui emel untuk mendapat penjelasan sekiranya ada kekeliruan. Kerjasama antara rakan guru, ibu bapa dan pihak pentadbir perlu diwujudkan bagi membincangkan persoalan yang mungkin timbul.

4.0  Penglibatan guru dan pelajar dalam i-Think

4.1 Pengajaran dan pembelajaran
Semasa proses PdP, guru akan menggunakan isyarat badan dan tangan bagi menunjukkan peta minda yang bakal digunakan. Ini adalah bertujuan untuk merangsang minat pelajar untuk merangsang murid-murid menyoal soalan kea rah pemikiran aras tinggi.
Isyarat tangan :

Isyarat Badan :
Isyarat badan digunakan semasa selepas proses Pdp. Isyarat ini bertujuan untuk mengukuhkan ingatan pelajar tentang peta minda yang digunakan. Isyarat ini juga digunakan bertujuan untuk mempelbagaikan aktiviti Pdp.

4.2 Merancang aktiviti bulan i-Think.
Aktiviti bulan i-Think merupakan bulan yang dilaksanakan mengikut subjek. Sebagai contoh, bulan Januari merupakan bulan Sejarah. Oleh itu, semua aktiviti dalam bulan Januari dilaksanakan adalah tentang subjek Sejarah. Bulan seterusnya bertukar kepada subjek lain selain sejarah. Persatuan-persatuan terlibat boleh merancang aktiviti yang dirasakan menarik dan sesuai
4.3 Memberi tugasan pengukuhan.
Guru memberikan tugasan pengukuhan kepada pelajar supaya pelajar dapat mempelajari dan memanafaatkan peta minda yang telah diajar.
4.4 Mengadakan projek pameran.
Projek pameran ini merupakan satu projek yang boleh dilaksanakan semasa bulan i-Think atau bila-bila yang dirasakan sesuai dan bertepatan. Pihak sekolah memaiankan peranan untuk menganjurkannya di mana bukan saja sesame kelas. Tetapi boleh juga dilaksanakan untuk sesame sekolah dan negeri.

4.5 Kemahiran Berfikir Aras Tinggi.
Jika dicerita tentang Kemahiran Berfikir Aras Tinggi, sudah pasti dikaitkan dengan Teori Taksonomi Bloom. Para pendidikn juga disarankan menggunkan teori ini bagi mengembangkan pemikiran para pelajar. Teori Bloom terbahagi kepada 2 bahagian iaitu aras rendah dan aras tinggi. Teori Bloom ini telah ditambahbaikan oleh Anderson dengan meletakkan kata kerja. Teori Bloom dan Anderson adalah seperti Carta 5.0 berikut :
Carta 4.5 : Teori Bloom dan Anderson

Awan yang berwarna biru adalah aras rendah. Jadual 5.0 berikut merupakan aplikasi teori Bloom dan Anderson.
Jadual 4.5 : Matriks yang menunjukkan pengembangan dua aras pemikiran
(soalan kompleks dan soalan mudah)
Sebagai seorang guru, kita harus mengetahui cara untuk menggalakkan kemahiran berfikir aras tinggi para pelajar. Terdapat beberapa garis panduan telah dijelaskan dalam Panduan i-Think. Caranya ialah :
1.      Banyakkan soalan yang memerlukan pemikiran aras tinggi seperti soalan Mengapa, Bagaimana, Terangkan, Memberi pandangan.
2.      Galakkan murid untuk menyoal.
3.      Rujuk Taksonomi Bloom dalam teknik penyoalan.
4.      Banyakkan aktiviti inkuiri.
Namun begitu, guru kena bijak dalam menyoal. Guru mesti menyoal berpandukan bebarapa panduan. Penyoalan yang berkesan adalah :
1.      Ringkas dan tidak berulang
2.      Menggalakkan murid berfikir
3.      Dinyatakan dengan jelas tanpa murid perlu bertanya maksud soalan tersebut
4.      Boleh digunakan untuk mengetahui sesuatu dengan lebih terperinci
5.      Mempunyai skop tertentu
6.      Sesuai dengan kebolehan murid
7.      Dirancang dan disoal dengan nada perbualan
8.      Logic dan mengikut urutan
9.      Diajukan kepada seluruh kelas/kumpulan tertentu
10.  Berikan masa secukupnya untuk murid berfikir
Guru juga harus memasukkan beberapa elemen dalam penyoalan supaya apa yang disoal akan menggalakkan murid berfikir aras tinggi dan membuat penaakulan. Bentuk soalan yang boleh menggalakkan murid berfikir aras tinggi dan membuat penaakulan adalah:
1.      Mengemukakan soalan terbuka. Soalan tertutup adalah soalan yang hanya boleh dijawab dengan ya atau tidak. Soalan terbuka adalah berbentuk penerangan.
2.      Pergi jauh daripada jangkaan
3.      Melihat sesuatu daripada pelbagai sudut.
4.      Guru mesti merasa selesa untuk lebih banyak mendengar daripada memberi penerangan.
5.      Bantu murid meneroka pandangan mereka sendiri.
6.      Boleh membezakan antara fakta dan spekulasi.
4.6 Kajian Susulan
Oleh sebab keputusan PISA yang dijalankan tidak mendapat keputusan seperti yang diharapkan dan sangat mengecewakan, beberapa kajian susulann telah dilaksanakan. Kementerian Pendidikan Malaysia sedang menjalankan kajian kes di sekolah cemerlang PISA 2009 untuk mengenalpasti amalan terbaik yang boleh dikongsi dengan sekolah lain. Kerjasama turut dijalin dengan IPT tempatan untuk menjalankan kajian susulan terhadap sekolah yang mengambil bahagian dalam PISA 2009.

No comments:

Post a Comment