Pengenalan
PPSMI
Pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam
Bahasa Inggeris (PPSMI) diwujudkan pada
sesi persekolahan 2003 di bawah pentadbiran Perdana Menteri ketika itu iaitu
Tun Dr Mahathir bin Mohamad. Perintis kepada dasar PPSMI ialah murid Tahun Satu
di sekolah rendah serta murid Tingkatan Satu dan Tingkatan Enam Rendah di Sekolah
Menengah. Pelaksanaan penuh bermula pada tahun 2008 bagi sekolah rendah dan
2007 bagi sekolah menengah. Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengambil
langkah untuk melaksanakan PPSMI dengan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah
(UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil
Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dalam dwibahasa bermula daripada tahun 2003
hingga 2007.
Apabila
keputusan dasar kerajaan ini diumumkan, terdapat pelbagai reaksi termasuk daripada
pemimpin masyarakat, guru dan ibu bapa. Terdapat golongan yang menyokong dan
ada juga yang tidak menyokong akan dasar ini. Salah faham timbul tentang apakah
matlamat dasar ini dibuat serta rasional kerajaan memilih mata pelajaran Sains
dan Matematik yang lebih mudah difahami jika diajar dalam bahasa ibunda. PPSMI
seterusnya dimansuhkan mulai tahun 2012 di sekolah rendah dan sekolah menengah.
Walau bagaimanapun, bahasa Inggeris tetap menjadi bahasa pengantar di peringkat
universiti, matrikulasi dan tingkatan enam. Pemansuhan itu diumumkan oleh
Menteri Pelajaran Malaysia pada 8 Julai 2009.
Pelaksanaan PPSMI
Terdapat beberapa objektif pelaksanaan dasar PPSMI.
Antaranya ialah memudahkan murid untuk memahami bahan rujukan dan maklumat
mengenai perkembangan sains dan matematik yang rata-ratanya banyak terdapat
dalam Bahasa Inggeris. Apabila mereka mempelajari Sains dan Matematik dalam
Bahasa Inggeris, ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka mengakses sumber
pembelajaran dalam Bahasa Inggeris dengan baik. Jika kita lihat, buku-buku
rujukan, jurnal dan artikel-artikel berkaitan subjek Sains dan Matematik lebih
mudah didapati dalam Bahasa Inggeris. Sumber yang datang daripada Bahasa Melayu
adalah terhad. Pelbagai inovasi dan penemuan baru berlaku dengan pantas dan kebanyakan
sumbernya adalah dalam Bahasa Inggeris. Apabila mereka dapat mengakses segala
maklumat tanpa sebarang masalah, ilmu pengetahuan yang mereka perolehi adalah
meluas.
Objektif
yang kedua ialah memudahkan perolehan ilmu dalam Sains dan Matematik. Peluang
pendidikan Sains dan Matematik amat meluas di peringkat global. Sekiranya murid
mempunyai asas Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris maka mereka tidak
mengalami masalah yang besar sekiranya ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat
yang lebih di universiti-universiti dalam mahupun luar negara. Mereka telah
menyesuaikan diri dengan Bahasa Inggeris sebagai medium mencari ilmu Sains dan Matematik
sejak dari bangku sekolah rendah lagi. Ini tidak memberikan satu kejutan yang
besar sekiranya mereka belajar di peringkat yang lebih tinggi kelak. Dengan
terlaksananya dasar ini akan menyebabkan mereka lebih bersedia dari segi ilmu
pengetahuan Sains dan Matematik untuk bersaing dengan pelajar-pelajar luar.
Jika kita lihat dengan lebih mendalam, kebanyakan bidang pengajian seperti
perubatan, pergigian, kejuruteraan dan lain-lain memerlukan mereka untuk fasih
dan memahami Bahasa Inggeris dengan baik. Rata-rata negara menggunakan Bahasa Inggeris
sebagai medium penyampaian ilmu.
Untuk
negara mencapai taraf negara maju selaras dengan Wawasan 2020 juga memerlukan
warganegara yang celik dan fasih berbahasa Inggeris. Ini bukan bermaksud negara
mengabaikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda dan bahasa rasmi negara. Kita
harus melihat konteks mendalami atau menekankan Bahasa Inggeris ini dalam
konteks yang positif. Kerajaan mengambil langkah atau inisiatif ini adalah
untuk kesan jangka panjang. Dengan penggunaan Bahasa Inggeris dalam Pendidikan
Sains dan Matematik, akan menyediakan pelajar yang mampu bersaing di peringkat
global standing dengan pelajar-pelajar hebat dari negara luar. Kita sendiri
sedia maklum bahawa Bahasa Inggeris merupakan bahasa pengantar antarabangsa.
Untuk meneroka dunia luar memerlukan kita faham dan boleh menggunakan Bahasa Inggeris
dengan baik. Pemilihan pengambilan pekerja juga lebih menekankan mereka yang
mahir berbahasa Inggeris. Ketika mencadangkan dasar ini, Tun Dr Mahathir bin
Mohamad berpendapat bahawa Malaysia adalah makin ketinggalan dalam arus
globalisasi, dan mengharapkan dasar ini lebih membawa kebaikan kepada negara
dengan mencontohi Singapura dan India yang semakin kehadapan kerana kebiasaan
dengan Bahasa Inggeris.
Implikasi PPSMI
Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan
Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2003 mendapat banyak jenis
reaksi dari pelbagai pihak sama ada dari segi penerimaan mahupun penentangan
kepada dasar tersebut sehinggalah ianya dimansuhkan pada Julai 2009. Sepanjang
tempoh pelaksanaan dasar PPSMI tersebut pelbagai pihak terutamanya pihak
pendidik dapat melihat keburukan atau kelemahan-kelemahan yang telah membawa kepada
pemansuhan PPSMI. Walau bagaimanapun terdapat juga kesan positif yang dapat
dilihat melalui penerapan atau pelaksanaan PPSMI ini di seluruh sekolah di
Malaysia.
Antara
implikasi positif bagi pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa
Inggeris adalah ianya boleh memudahkan perolehan ilmu oleh pelajar terutamanya
dari segi istilah-istilah yang terdapat dalam mata pelajaran Sains dan
Matematik. Hal ini kerana terdapat banyak istilah Bahasa Inggeris yang telah
diterjemahkan kepada Bahasa Melayu dan kadangkala menyebabkan murid salah faham
atau kurang faham dengan istilah tersebut. Tambahan pula kebanyakkan bahan
rujukan bagi Sains dan Matematik adalah dalam Bahasa Inggeris dan dengan
melaksanakan PPSMI murid akan dapat memahami bahan rujukan tersebut dengan
mudah.
Selain
itu melalui PPSMI ini juga negara telah dapat membangunkan generasi pelajar
yang mampu menguasai bidang Sains dan Matematik di tahap yang tinggi. Ini
kerana melalui pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa
Inggeris, negara Malaysia dapat melahirkan pelajar yang mahir dan cerdik pandai
bagi ketiga-tiga mata pelajaran iaitu sains, matematik dan juga Bahasa
Inggeris. Perkara ini juga membolehkan murid menjana ilmu dan teknologi baru
dalam bidang-bidang tersebut pada masa akan datang sebagai satu sumbangan
kepada masyarakat dan negara. Selain dapat menyumbang kepada masyarakat,
pendedahan kepada sains dan matematik dalam PPSMI juga dapat membantu murid
mengakses dan menerokai maklumat dengan mudah. Perkara ini sekaligus memberi
kesedaran kepada semua rakyat Malaysia tentang pentingnya menguasai Bahasa
Inggeris agar negara kita mampu bersaing dengan negara maju yang lain .
Selain
memberi manfaat kepada murid dalam mengakses maklumat, PPSMI juga mampu melahirkan
pekerja yang berwibawa dan berkualiti standing dengan kualiti pekerja yang
dimiliki oleh negara maju yang lain yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai
bahasa perantaraan. Ini kerana para pekerja yang berpengalaman melalui dasar
PPSMI sewaktu di zaman persekolahan berpeluang meningkatkan penguasaan Bahasa
Inggeris terutamanya dalam sains dan matematik dan menyebabkan mereka lebih
berkeyakinan dalam menggunakan dan bertutur dalam Bahasa Inggeris dalam bidang
pekerjaan yang mereka ceburi.
Walaupun
dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris ini
mempunyai kebaikan yang tersendiri namun wujud juga kritikan negatif yang
mengatakan dasar ini tidak wajar diteruskan dan akhirnya membawa kepada
pemansuhan dasar ini pada tahun 2009. Antara keburukan atau kesan negatif bagi
PPSMI yang dapat dilihat sepanjang ianya dilaksanakan selama lebih kurang 7
tahun ini adalah pertama dari segi kesan negatif terhadap nasionalisme.
Nasionalisme adalah satu semangat yang merujuk kepada perasaan cinta akan
negara. Terdapat pihak yang menganggap bahawa pelaksanaan PPSMI ini boleh
menyebabkan bahasa ibunda iaitu Bahasa Melayu akan ketinggalan dan dilupakan.
Mereka juga beranggapan bahawa PPSMI ini boleh menyebabkan masyarakat
terutamanya murid yang menjalani dasar ini kurang mempunyai semangat
nasionalisme untuk memartabatkan bahasa ibunda negara agar standing dengan
negara lain.
Bagi
pihak yang mungkin lebih fasih bertutur dalam bahasa Inggeris mereka mungkin
beranggapan bahawa PPSMI ini banyak memberi manfaat dan wajar diteruskan namun
terdapat pihak lain yang berpendapat pengajaran dan pembelajaran sains dan
matematik dalam bahasa Melayu adalah lebih mudah difahami kerana ianya
merupakan bahasa yang digunakan dalam kehidupan seharian. Terdapat juga
pandangan yang menyatakan bahawa pelaksanaan PPSMI tidak akan menyelesaikan
masalah penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid kerana masalah tersebut
berpunca pada mata pelajaran bahasa Inggeris itu sendiri dan bukannya dengan
menukar pengajaran sains dan matematik kepada bahasa Inggeris. Masalah
penguasaan murid dalam bahasa Inggeris tersebut berpunca daripada kaedah
pengajaran dalam mata pelajaran itu sendiri dan dapat diselesaikan dalam
pengajaran mata pelajaran itu sendiri tanpa melibatkan mata pelajaran lain
seperti sains dan matematik.
Selain
itu perbezaan ketara dapat dilihat melalui pencapaian murid di sekolah bandar
dan luar Bandar dalam sains dan matematik apabila dasar ini dilaksanakan.
Perkara ini dapat disimpulkan bahawa dasar ini jelas kelihatan lebih memihak
kepada murid di sekolah Bandar yang mempunyai lebih banyak kemudahan untuk
belajar. Hal ini juga kemungkinan disebabkan oleh perbezaan pendedahan kepada
murid di sekolah Bandar dan luar Bandar. Kebanyakkan murid yang berada di sekolah
Bandar lebih terdedah kepada kemudahan teknologi daripada murid sekolah luar
Bandar yang kekurangan kemudahan teknologi. Kebanyakan ibubapa bagi murid
sekolah Bandar juga mempunyai pekerjaan dan tahap pendidikan yang lebih baik
daripada ibubapa bagi murid yang berada di sekolah luar Bandar.
PPSMI
ini juga mewujudkan perbezaan prestasi antara murid yang mempunyai ibu bapa
berpendapatan rendah sama ada di luar Bandar dan di Bandar. Perkara ini kerana
ibu bapa yang berpendapatan rendah kurang mampu untuk menghantar anak mereka ke
kelas tambahan untuk membantu anak mereka mendapat pengetahuan tambahan selain
daripada pengetahuan yang diperolehi daripada kelas biasa di sekolah. Ini
menyebabkan murid tersebut tidak mempunyai peluang yang sama dengan murid yang
mempunyai ibu bapa berpendapatan lebih tinggi atau sosioekonomi yang lebih
baik. Walaupun terdapat pihak yang berpendapat bahawa taraf hidup tidak
mempengaruhi pencapaian murid dan hanya usaha yang membezakan pencapaian
tersebut namun tidak dapat dinafikan
bahawa perbezaan peluang tersebut dapat dilihat dengan jelas dalam kalangan
murid.
Keburukan
atau kesan negatif yang terakhir yang akan dibincangkan adalah mengenai risiko
pelaksanaan dasar PPSMI itu sendiri. Keputusan kerajaan untuk melaksanakan dasar
itu sendiri pada tahun 2003 merupakan satu risiko yang sangat besar. Risiko
tersebut wujud dari segi kemampuan guru itu sendiri dalam melaksanakan dasar
tersebut atau melaksanakan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa
Inggeris. Ini kerana guru sains dan maatematik tidak semestinya guru yang fasih
dan mahir berbahasa Inggeris. Perkara ini dikhuatiri akan menjadi halangan yang
paling besar dalam menyampaikan isi pengajaran dalam sains dan matematik serta
mempengaruhi objektif pembelajaran yang ditetapkan bagi sesuatu pengajaran
tersebut. Dalam perkara ini, risiko terbesar yang perlu ditanggung oleh
pelbagai pihak adalah wujud kemungkinan tiada peningkatan penguasaan bahasa
Inggeris dalam kalangan murid dan pada masa yang sama penguasaan ilmu sains dan
matematik terjejas disebabkan masalah bahasa.
Konflik dalam PPSMI
Terdapat beberapa konflik yang timbul semasa pelaksanaan
Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Antara
konflik tersebut adalah reaksi dari pelbagai pihak yang menyatakan bahawa PPSMI
mewujudkan jurang perbezaan dua kumpulan. Kewujudan PPSMI juga telah mewujudkan
Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) serta konflik mengenai guru tidak terlatih mengajar
dalam Bahasa Inggeris serta perbezaan pencapaian antara murid di sekolah Bandar
dan luar Bandar. Empat konflik yang dinyatakan ini merupakan yang utama
walaupun masih terdapat konflik lain yang timbul dan mungkin diperkatakan
ketika PPSMI ini dilaksanakan.
Konflik
pertama yang akan dihuraikan adalah berkaitan dengan wujudnya jurang perbezaan
antara dua kumpulan. Dua kumpulan tersebut adalah golongan murid mahupun guru
yang mampu belajar dan mengajar dalam bahasa Inggeris dan juga golongan murid
atau guru yang kurang mahir dalam bahasa Inggeris. Murid yang mahir dan boleh
menerima bahan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris akan
mempunyai anggapan positif terhadap dasar PPSMI malah dapat memanfaatkan
peluang tersebut untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka. Mereka
juga dapat memikirkan rasional pelaksanaan dasar PPSMI ini dan mengangggap diri
mereka bertuah kerana berpeluang memahirkan diri secara tidak langsung dalam
menggunakan bahasa pengantara kebangsaan iaitu bahasa Inggeris. Walau
bagaimanapun bagi murid yang kurang mahir dan tidak dapat menerima bahan
pengajaran dalam bahasa Inggeris akan cenderung hilang minat terhadap mata
pelajaran tersebut disebabkan tidak faham akan isi pengajaran yang disampaikan.
Hal yang
sama juga terjadi kepada para guru yang kurang mahir dalam menggunakan bahasa
Inggeris dalam pengajaran mereka. Jurang ini dapat dilihat melalui pencapaian
murid yang diajar bagi mata pelajaran Sains dan Matematik. Guru yang mahir dan
berkebolehan mengajar dalam bahasa Inggeris dapat menyampaikan isi pengajaran
dengan berkesan dan sekaligus dapat meningkatkan pencapaian murid manakala guru
yang kurang mahir mengajar dalam bahasa Inggeris berkemungkinan akan terus
mengajar dalam bahasa Melayu dan menyebabkan murid tidak dapat menjawab soalan
peperiksaan yang diberikan kerana ianya dalam bahasa Inggeris.
Konflik
seterusnya adalah mengenai kewujudan Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP). Gerakan ini
telah diwujudkan dengan tujuan untuk membantah pelaksanaan PPSMI dan
mencadangkan pemansuhan PPSMI atas sebab-sebab tertentu. Antara sebab GMP
membantah PPSMI adalah kerana ianya dinyatakan tidak sah di sisi undang-undang
serta bertentangan dengan beberapa Akta Pendidikan seperti Seksyen 2 yang
mentafsirkan bahawa Sekolah Kebangsaan mahupun Sekolah Menengah sebagai sekolah
kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan yang menggunakan bahasa kebangsaan
sebagai bahasa pengantar utama. Seksyen 17(1) Akta Pendidikan pula
memperuntukkan bahawa Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama
di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali
sekolah-sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah Seksyen 28 atau
mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan daripada sub seksyen ini.
Antara
lain objektif GMP adalah kerana PPSMI ini dianggap membunuh Bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu dalam jangka masa yang panjang.
Selain itu, dasar ini juga dinyatakan telah menggelapkan masa depan pelajar
sekolah luar Bandar dalam bidang Sains dan Matematik. Ahli Gerakan Mansuhkan
PPSMI (GMP) juga menyatakan bahawa mereka menyokong sekuatnya pengajaran bahasa
Inggeris sebagai suatu bahasa tetapi tidak melalui mata pelajaran Sains dan
Matematik. Secara ringkasnya, motif bagi penubuhan GMP ini adalah berhubung
kait dengan nasionalisme, identiti bangsa serta semangat patriotisme.
Selain
konflik penubuhan GMP, konflik lain yang wujud disebabkan PPSMI ini adalah dari
segi pencapaian murid terutamanya murid di sekolah luar Bandar yang kurang
terdedah kepada penggunaan teknologi dan kemudahan dalam pembelajaran. Jurang
pencapaian ini mungkin tidak begitu jelas dan ketara di kawasan Bandar kerana
murid yang berada di Bandar lebih terdedah kepada kemudahan teknologi dan
kurang mengalami kejutan budaya pelaksanaan dasar PPSMI tersebut. Walau
bagaimanapun bagi murid yang berada di sekolah luar Bandar yang mempunyai
pencapaian sederhana dalam Sains dan Matematik walaupun diajar dalam bahasa
kebangsaan apatah lagi apabila ianya diajar dalam Bahasa Inggeris menghadapi masalah
dalam memahami bahan pengajaran bagi mata pelajaran tersebut. Oleh yang
demikian perkara ini dapat disimpulkan bahawa walaupun terdapat kebaikan yang
boleh dilihat dan dirasai dalam pelaksanaan dasar PPSMI namun ianya akhirnya
tidak menampakkan dan memberikan hasil yang membolehkannya dikekalkan dalam
sistem pendidikan negara.
Pengenalan MBMMBI
MBMBMBI ialah singkatan bagi Memartabatkan Bahasa Melayu
dan Memperkukuh Bahasa Inggeris. Ia sebenarnya mula diperkenalkan setelah
terdapat pelabagai polemik dan ketegangan dalam masyarakat sejak PPSMI yang
mula dilaksanakan pada tahun 2003. Pada 8 Julai 2009, Kabinet memutuskan untuk
melaksanakan MBMMBI ini setelah terdapat kajian dan pemantauan Pelaksanaan
PPSMI serta Meja Bulat PPSMI.
Definisi Memartabatkan Bahasa Malaysia
dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI)
Memartabatkan Bahasa Melayu bermaksud meletakkn Bahasa
Melayu pada tempat yang sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa
kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia.
Bahasa Melayu juga merupakan bahasa pengantar utama pendidikan berdasarkan Akta
Pendidikan 1996. Memperkukuh Bahasa Inggeris pula membawa maksud memantapkan
penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa yang wajib dipelajari, bahasa komunikasi
dan bahasa ilmu di peringkat nasional dan antarabangsa.
Tujuan MBMMBI
Tujuan utama untuk
memartabatkan Bahasa Melayu adalah kerana Bahasa Melayu merupakan bahasa
kebangsaan yang menjadi alat perpaduan, bahasa perhubungan utama dan bahasa
ilmu kea rah membina Negara bangsa untuk mencapai hasrat 1 Malaysia. Tujuan
utama memperkukuh Bahaa Inggeris pula adalah kerana Bahasa Inggeris merupakan
bahasa komunikasi antarabangsa yang perlu dikuasai dengan baik dan berkesan
bagi membolehkan penerokaan pelbagai ilmu untuk bersaing di peringkat nasional
dan global.
Rasional MBMMBI
Rasionalnya pelaksanaan MBMMBI menggantikan Pengajaran
dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeri (PPSMI) adalah
rentetan daripada status pelaksanaan PPSMI itu sendiri. Didapati bahawa
keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah
(PMR) dan Sijil Pelajaran MAlaysiai (SPM) memperlihatkan pencapaia murid dalam
Bahasa Melayu adalah jauh lebih tinggi daripada Bahasa Inggeris sama ada bagi
murid-murid di kawasan Bandar dan luar Bandar. Keputusan menunjukkan murid akan
lebih mudah mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Melayu
berbanding Bahasa Inggeris.
Selain itu, keputusan peperikaan Sains dan Matematik UPSR
di Sekolah Kebangsaan (SK) menunjukkan penurunan pencapaian gred ABC bagi
kohort pertama yang melalui PPSMI sepenuhnya di sekolah rendah. Jurang
pencapaian antara sekolah Bandar dan luar Bandar dalam mata pelajaran Sains dan
Matematik juga semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan. Dapatan United Nations
Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) menunjukkan pelajar lebih mudah mempelajari
pelajaran dalam bahasa ibunda pada peingkat awal persekolahan. Profisiensi
Bahasa Inggeris guru pada tahap cemerlang dan baik adalah sekitar 25%. Hanya
sebahagian kecil guru menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran
dan pembelajaran Sains dan Matematik. Ini menyukarkan proes pengajaran dan
pembelajaran yang berkesan.
Secara purata peratusan penggunaan Bahasa Inggerisa
adalah antara 53-58 peratus daripada keseluruhan masa yang digunakan bagi
matapelajaran Sains dan Matematik. Penggunaan Bahasa Inggeris oleh guru dalam
bilik darjah adalah sekitar 55%. Laporan Trends in Mathematics Science Study
(TIMSS) 2007 menunjukkan pencapaian murid Malysia merosot dari tempat ke 10
pada tahun 2003 ke 20 bagi Matematik dan bagi mata pelajaran Sains dari tempat
ke 20 pada 2003 ke 21 pada tahun 2007.
Kajian pelbagai pihak menunjukkan kebanyakan murid
khususnya daripada luar bandar sukar memahami pengajaran dan pembelajaran Sains
dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Kajian universiti-universiti tempatan pula
mendapai tahap peningkatan penguasaan Bahasa Inggeri murid adalah normal, iaitu
tidak lebih 3 peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI. Tahap penguasaan Bahasa
Inggeris dalam kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah
menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam
Bahasa Inggeris. Selain itu, penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar
telah mantap bagi semua mata pelajaran yang dimulakan sejak tahun 1970an dan
kebanyakan negara di dunia berusaha keras untuk memartabatkan bahasa kebangsaan
mereka masing-masing sebagai bahasa ilmu.
Pelaksanaan MBMMBI
Antara strategi pelaksanaan MBMMBI dalam memartabatkan
Bahasa Melayu ialah pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam
Bahasa Malaysia di Tingkatan Satu hingga Lima di Sekolah Menengah Kebangsaan
(SMK) dan Sekolah Kebangsaan (SK) manakala Bahasa Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan
Cina (SJKC) dan Bahasa Tamil di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), menambah
waktu pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia di SJKC dan SJKT, menggunakan
ICT dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia, menyediakan bahan bacaan
Bahasa Malaysia dan memperkenalkan seni bahasa dalam pengajaran dan
pembelajaran Bahasa Inggeris.
Manakala
strategi bagi memperkukuh penguasaan Bahasa Inggeris pula ialah melalui
penyediaan guru Bahasa Inggeris yang mencukupi menerusi pengambilan guru
bersara, guru dari luar negara dan IPTS selain pengambilan melalui Institut
Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA),
menyediakan guru Bahasa Inggeris di luar norma iaitu dua orang guru bagi setiap
kelas berenrolmen tinggi contoh : melebihi 35 orang pelajar), menyediakan bahan
bacaan Bahasa Inggeris dan memperkenalkan seni bahasa dalam pengajaran dan
pembelajaran Bahasa Inggeris.
Kementerian
Pendidikan Malaysia telah mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bil.
12/2011 Pelaksanaan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa
Inggeris (MBMMBI) bertarikh 4 November 2011 yang menjelaskan pelaksanaan dasar
MBMMBI. Di bawah dasar MBMMBI, pengajaran Sains dan Matematik dilaksanakan
dalam Bahasa Malaysia di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah
Kebangsaan (SMK), Bahasa Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan
bahasa Tamil di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). Bagi melicinkan
pelaksanaan dasar tersebut dala tempoh peralihan ini, garis panduan berikut
disediakan bagi membantu pihak sekolah untuk membuat keputusan tentang
pemilihan bahasa dalam melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran Sains dan
Matematik.
Garis
panduan ini hendaklah dibaca bersama-sama dengan SPI Bil. 12/2011. Pihak
sekolah boleh meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran bagi Sains dan
Matematik berdasarkan situasi semasa yang sedang dijalankan di peringkat
sekolah masing-masing iaitu :
a) Kelas yang menggunakan bahasa Malaysia dalam pengajaran
dan pembelajaran Sains dan Matematik hendaklah terus menggunakan bahasa
tersebut atau
b) Kelas yang menggunakan Bahasa Inggeris dalam pengajaran
dan pembelajaran Sains dan Matematik juga boleh terus menggunakan bahasa
tersebut atau
c) Bagi kelas yang menggunakan dwibahasa, penggunaan
bahasa Malaysia amat digalakkan. Walaubagaimanapun, penggunaan Bahasa Inggeris
dibenarkan bagi menerangkan istilah dan konsep.
d) Murid dibenar untuk meneruskan pengajaran dan
pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa yang diikuti sebelum ini.
Pemilihan
penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan
Matematik tertakluk kepada kesediaan guru dan murid di peringkat sekolah.
Kesediaan guru ini bermaksud kompetensi guru yang sediaada di sekolah untuk
mengajar dalam bahasa Inggeris dan Jawatankuasa Kurikulum Sekolah
mempertimbangkan kesediaan murid untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran
dalam Bahasa Inggeris.
Selain
itu, pihak sekolah dibenar untuk menentukan bilangan kelas yang akan
melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa
Inggeris atau bahasa Malaysia berdasarkan keputusan Jawatankuasa Kurikulum
Sekolah. Sekolah pula diminta menggunakan glosari yang dibekalkan oleh
Kementerian Pendidikan dalam usaha untuk menerangkan istilah dan konsep Sains
dan Matematik dalam pengajaran iaitu :
a) Sekolah akan dibekalkan dengan buku glosari bagi
membantu PdP Sains dan Matematik.
b) Sekolah juga boleh memuat turun glosari daripada laman
web Kementerian Pendidikan.
Tambahan
pula, pengetua sekolah yang menerima murid Tingkatan 1 hendaklah mengealpasti
bahasa yang digunakan dalam pembelajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik
semasa murid tersebut berada di Tahun 6. Bagi tujuan pendaftaran atau
penempatan murid ke Tingkatan 1, dasar dan prosedur penempatan yang sedia ada
dikekalkan. Urusan pendaftaran murid Tingkatan 1 perlu dilaksanakan pada awal
bulan Disember.
Tujuan
utama memartabatkan Bahasa Malaysia sangat jelas kerana ia merupakan bahasa
kebangsaan yang menjadi alat perpaduan, bahasaperhubungan utama dan bahasa ilmu
ke arah membina negara dan bangsa untuk menacapai hasrat 1Malaysia. Begitu pula
dengan memperkukuh Bahasa Inggeris kerana ia merupakan bahasa komunikasi
antarabangsa yang perlu dikuasai bagi membolehkan penerokaan pelbagai ilmu
untuk bersaing di peringkat nasional dan global.
Dalam melaksanakan dasar
MBMMBI, PdP Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris diperlukan menerusi pendekatan
yang lebih berkesan. Dengan pemansuhan menerusi PPSMI, mulai tahun 2011, murid
tahun satu Sekolah Kebangsaan akan menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa
pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.
Dalam usaha menjayakan dasar ini, Kementerian Pendidikan
Malaysia mengangkat kembali mata pelajaran Bahasa Melayu sebagai mata pelajaran
utama dan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama negara, semua rakyat negara
malaysia khususnya guru mestilah menjaga dan memelihara Bahasa Malaysia kerana
hilang bahasa lenyaplah bangsa. Oleh
demikian peruntukan masa untuk pengajaran Bahasa Melayu akan ditambah mulai
tahun 2011, apabila dasar MBMMBI dilaksanakan sepenuhnya. Pertambahan masa
BahasaMelayu daripada 270 minit kepada 330 minit di Sekolah Jenis Kebangsaan
Cina atau Tamil, manakala untuk Sekolah Kebangsaan dikekalkan kepada 270 minit,
menunjukkan komitmen KPM dalam usaha memartabatkan kembali BahasaMelayu di
sekolah.
Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin,
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, inisiatif berkenaan
diambil sebagai usaha melaksanakan MBMMBI yang menggantikan PPSMI mulai 2011.
Namun begitu, denganpertambahan masa tersebut tidak akan memanjangkan waktu
persekolahan semasa kerana ia hanya melibatkan pengubahsuaian peringkat dalaman
sahaja.Menurut pelbagai sumber media dasar yang diperkenalkan amat ditunggu-tunggu
oleh sebahagian besar rakyat Malaysia yang sebenarnya lebihs elesa menggunakan
bahasa melayu sebagai bahasa pengantar. Langkah menambahkan masa pembelajaran
dalam Bahasa Inggeris adalah amat wajar bagi memperkukuhkan penguasaan para
pelajar. Kita perlu faham, Bahasa Inggeris bukan untuk Sains dan Matematik
sahaja, tetapi untuk semua mata pelajaran.
lonkij
ReplyDelete