Pengenalan
Pada
era globalisasi kini, kepelbagaian penggunaan teknologi telah diperkenalkan di
seluruh pelosok dunia dalam pelbagai bidang. Seiring dengan itu, pendidikan
juga tidak ketinggalan dengan kemajuan teknologi yang semakin membangun pesat
dari hari ke hari. Peredaran masa yang berlaku sehingga ke hari ini telah
menyebabkan bidang pendidikan ini perlu untuk melalui satu transformasi ke arah
penambahbaikan supaya dapat melahirkan generasi yang dapat berdiri sama tinggi
dan duduk sama rendah seiring dengan negara-negara maju yang lain. Seperti
sedia maklum, pendidikan merupakan suatu perkara utama kerana kekuatan sesebuah
negara itu diukur dengan tingginya tahap pendidikan, pengetahuan serta
kematangan masyarakat negara tersebut. Oleh itu, dalam uasaha menjayakan sistem
pendidikan negara, guru perlu membuat satu anjakan paradigma dengan beralih
dari satu takuk yang lama kepada satu pembaharuan yang dapat meningkatkan dan
melahirkan generasi yang mempunyai intelek dan budaya sesebuah negara maju.
Sehubungan
dengan itu, pelbagai inisiatif dan penambahbaikan telah dilaksanakan dalam
sistem pendidikan negara seperti pengaplikasian teknologi dalam pengajaran dan
pembelajaran demi memastikan anak-anak bangsa mendapat tahap pendidikan yang
berkualiti. Hal ini demikian kerana, globalisasi meluaskan konsep dunia tanpa
sempadan memberikan cabaran terhadap guru tentang bagaimana perancangan
pengajaran dan pembelajaran serta dunia boleh dimajukan dari perspektif global
yang melibatkan penyelesaian kurikulum, penjadualan belajar, penerokaan
maklumat melalui teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pengawalan dan penyeliaan
serta peranan efektif guru dalam meningkatkan martabat dunia pendidikan (Abd
Rahim, 2005). Jelaslah, bahawa penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran
memberi impak yang besar dalam sistem pendidikan negara.
Namun begitu, keberkesanan pengaplikasian
teknologi ini bergantung kepada bagaimana seseorang guru menggunakan ICT
tersebut supaya murid dapat meningkatkan pemahaman mereka terhadap sesuatu
konsep dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Hal ini
demikian kerana menurut Irfan Naufal dan Nurullizam (2011), ICT meliputi semua
teknologi yang membentu penyampaian sesuatu maklumat seperti radio, televisyen,
internet, komputer dan sebagainya. Penyataan tersebut jelas menerangkan bahawa
teknologi hanya berperanan sebagai satu alat yang memudahkan proses penyampaian
maklumat. Oleh itu, dengan menggunakan teknologi sesi pengajaran dan
pembelajaran akan menjadi lebih menarik dan efektif.
1.0
Dasar
Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam Pengajaran dan
Pembelajaran
Bagi
merealisasikan penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran, Tan Sri
Muhyiddin Yasin telah melancarkan satu dasar iaitu Dasar ICT dalam Pendidikan
Malaysia pada 12 Oktober 2010 yang lalu. Dasar ini memberi fokus kepada tiga
objektif utama iaitu:
1) Pembangunan
modal insan secara berterusan.
2) Penggunaan
ICT yang bersesuaian dalam pendidikan.
3) Transformasi
proses pendidikan melalui teknologi.
Ketiga-tiga
objektif tersebut menjurus kepada penerapan atau pengintegrasaian teknologi
dalam sistem pendidikan di Malaysia. Berdasarkan dasar tersebut, guru-guru
disarankan untuk membuat satu perubahan terhadap sistem pendidikan dengan
mengubah kaedah pengajaran secara tradisional kepada pengaplikasian teknologi.
Dengan ini, guru bukan sahaja dapat menarik minat murid, malah guru juga dapat mempertingkatkan
kemahiran mereka dalam penggunaan teknologi.
Selain
itu, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) (2013-2025) juga telah menggariskan
penggunaan teknologi untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.
Dasar ini tersenarai dalam 11 anjakan yang telah dikemukakan supaya dapat
meningkatkan sistem pendidikan negara. Dalam anjakan ke-7, beberapa matlamat
telah disenaraikan iaitu:
1) Menyediakan
akses internet dan persekitaran pembelajaran maya melalui 1 Bestari Net bagi
kesemua 10, 000 buah sekolah.
2) Menambahkan kandungan dalam talian untuk
perkongsian amalan terbaik bermula dengan video guru terbaik menyampaikan
pengajaran Sains, Matematik, Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.
3) Memaksimumkan
penggunaan ICT bagi pembelajaran jarak jauh dan pembelajaran kadar kendiri
untuk memperluas akses kepada pengajaran berkualiti tinggi tanpa mengira lokasi
atau tahap kemahiran murid.
Perkara
ini secara tidak langsung jelas menunjukkan bahawa pihak kementerian telah
memberikan komitmen yang tinggi dalam menjayakan hasrat negara untuk menerapkan
penggunaa teknologi dalam pendidikan.
2.0
Isu-isu
Penggunaan Teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran Matematik
Setelah
menetapkan dasar penggunaan teknologi dalam pendidikan, pelbagai alat teknologi
telah ditempatkan di sekolah-sekolah seperti komputer, LCD projector dan
sebagainya. Namun begitu, menurut berita-berita di akhbar-akhbar tempatan telah
melaporkan bahawa alatan ICT ini tidak digunakan secara kerap semasa proses
pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Rajah 3.1 menunjukkan peralatan ICT
yang terbiar di sebuah sekolah:
Rajah 3.1:
Alatan ICT yang terbiar dan disalahgunakan
Menurut
satu laporan yang menyatakan bahawa banyak pealatan teknologi maklumat dan
komunikasi (ICT) yang dibekalkan di sekolah tidak dapat dimanfaatkan oleh guru
dan murid. Akibatnya, lebih kurang 25% hingga 50% daripada peralatan yang
bernilai lebih RM 500 juta untuk projek Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan
Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di anatara tahun 2003 hingga 2008
(Berita Harian, 2012). Terdapat pelbagai isu yang telah dikenal pasti seperti
berikut:
1) Guru : Kurang pengetahuan dan kemahiran dalam
penggunaan ICT.
2) Sekolah:
Kurang prasarana dan bahan sokongan dalam pengajaran dan pembelajaran.
3) Murid : Sikap terhadap penggunaan ICT
Isu-isu
tersebut merupakan antara isu-isu yang berlaku dalam pelaksanaan teknologi
dalam pengajaran dan pembelajaran.
Guru
Kurang Pengetahuan dan Kemahiran dalam Penggunaan ICT
Penggunaan ICT dalam kalangan guru
merupakan satu fasa yang baharu dalam sistem pendidikan Malaysia. Oleh itu,
bagi memastikan guru dapat mengaplikasikan ICT dalam pengajaran dan
pembelajaran, guru telah didedahkan tentang pengetahuan dan kemahiran untuk
menggunakan ICT di dalam bilik darjah. Namun begitu, kajian yang telah
dijalankan oleh Imran Ismet (2000) mendapati bahawa 81% guru membuat pengakuan bahawa mereka tidak memanfaatkan
kelebihan ICT dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, begitu juga dengan
guru-guru yang telah mendapat kursus Sekolah Bestari yang telah mencatatkan
kurang 50% guru yang menggunakan pengajaran dan pembelajaran berbantukan
komputer. Perkara ini menunjukkan bahawa guru tidak bersungguh-sungguh semasa
menjalani kursus tersebut seterusnya menyebabkan mereka tidak tahu bagaimana
untuk mengendalikan ICT di dalam bik darjah. Abd. Rahman (2000) juga menyatakan
bahawa guru kurang menggunakan teknologi di dalam bilik darjah disebabkan
kurang pengetahuan dan kemahiran menggunakan ICT.
Terdapat beberapa kesan yang berlaku
hasil daripada isu guru kurang pengetahuan dan kemahiran menggunakan ICT ini.
Antaranya adalah, apabila seseorang guru tidak mahir dalam penggunaan
teknologi, guru tersebut akan lebih cenderung untuk menyampaikan pengajaran
secara tradisional atau lebih dikenali dengan kaedah chalk and talk. Kaedah ini merupakan kaedah biasa yang kurang
menarik minat murid untuk belajar tentang sesuatu konsep. Walaubagaimanapun,
guru lebih gemar menngunakan kaedah ini kerana mereka berpendapat bahawa
penggunaan ICT memperuntukkan masa yang panjang untuk menyediakan alatan ICT dan
sebagainya. Tambahan pula, penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran
juga merupakan satu proses yang lama yang akan mengakibatkan guru gagal
menlengkapkan silibus yang telah ditetapkan. Hal ini demikian kerana penggunaan
ICT ini memerlukan pengawalan kelas yang baik supaya setiap murid dapat
mengaplikasikan ICT dalam pembelajaran tanpa merosakkan atau menyalahgunakan
alatan ICT yang telah dibekalkan kepada sekolah untuk perkara-perkara selain pembelajaran.
Selain itu, juga guru yang kurang
pengetahuan dan kemahiran dalam penggunaan ICT juga tidak dapat menilai
perisian yang sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran bagi sesuatu konsep. Hal
ini telah menyebabkan mereka kurang yakin untuk menggunakan ICT dalam
pengajaran. Apabila perkara ini berlaku, guru mengambil keputusan untuk tidak
menggunakan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran sebagai satu langkah mudah. Sebaliknya,
guru perlu menggunakan alatan ICT secara kerap untuk meningkatkan pengetahuan
serta kemahiran mengendalikan ICT dalam pengajaran. Perkara ini selari dengan
penyataan yang telah dinyatakan oleh Gan (2000), kekurangan latihan merupakan
satu faktor penghalang penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran. Oleh yang
demikian, isu kurang pengetahuan dan kemahiran dalam kalangan guru menyebabkan
guru kurang menggunakan ICT dalam pengajaran kerana terdapat perkaitan antara
kemahiran ICT guru dengan sikap menggunakan kemudahan tersebut dalam pengajaran
(Ahmad, 2008).
Kekurangan
Prasarana dan Bahan Sokongan
Bagi memanfaatkan teknologi dalam
pendidikan di Malaysia, RM 6 billion telah diperuntukkan untuk teknologi
maklumat dan komunikasi (ICT). Sehubungan dengan itu, sekolah telah dibekalkan
dengan pelbagai alatan ICT seperti komputer, LCD projektor dan sebagainya yang
boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran. Dengan berbekalkan alatan
ICT yang telah disediakan di sekolah, guru-guru dapat menggunakan alatan
tersebut untuk membantu meningkatkan tahap kefahaman konsep murid terhadap
sesuatu konsep di damping dapat menarik minat murid dalam mata pelajaran
Matematik. Namun begitu, kajian yang telah dijalankan oleh Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun 2010 yang lepas mencatatkan lebih kurang
80% guru menggunakan ICT kurang dari 1 jam seminggu. Perkara ini menunjukkan
bilangan guru menggunakan teknologi adalah tinggi tetapi dari sudut kekerapan
penggunaan teknologi tersebut adalah kurang memberangsangkan. Hal ini disebabkan
oleh faktor kekurangan prasarana dan bahan sokongan yang dibekalkan di sekolah.
Kebanyakan
sekolah mengalami masalah bilangan komputer yang tidak mencukupi. Bilangan
murid dan bilangan komputer yang dibekalkan kepada sekolah adalah tidak selari.
Terdapat sekolah yang menempatkan 1000 orang murid, namun bilangan komputer
yang terdapat di dalam makmal komputer adalah kurang daripada 100 unit. Perkara
ini secara tidak langsung akan mengganggu perjalanan proses pengajaran dan
pembelajaran yang berkesan. Oleh yang demikian, murid terpaksa berkongsi
komputer seramai 3 atau 4 orang satu komputer. Akibatnya, murid tidak dapat mengeksplor
maklumat secara individu dan mereka tidak dapat mempelajari kemahiran
menggunakan teknologi tersebut dengan tepat dan betul. Tambahan pula, guru juga
terpaksa menempah makmal komputer dan menunggi giliran untuk menggunakan makmal
komputer dan juga peralatan ICT yang lain. Perkara ini juga mengakibatkan teknologi
kurang diaplikasikan dalam pengajaran.
Selain
itu, pihak sekolah juga tidak menempatkan seseorang yang mahir dalam
penyelenggaraan alatan ICT di sekolah. Hal ini juga boleh menyebabkan guru
kurang mengaplikasikan ICT semasa mengajar kerana apabila berlakunya masalah
teknikal, guru perlu menyelesaikan masalah tersebut sendiri. Akhirnya, banyak
masa terbuang dengan menyelenggara alat ICT yang ingin digunakan. Selain
masalah tersebut, perisian yang disediakan oleh kementerian juga adalah terhad.
Guru-guru terpaksa mencari sendiri perisisan yang ingin digunakan untuk
mengajar seperti Geometer’s Sktchpad
(GSP), Mathematica dan
sebagainya. Perisian-perisian yang boleh digunakan dalam pengajaran dan
pembelajaran matematik memerlukan kos yang tinggi. Oleh itu, guru lebih memilih
untuk tidak menggunakan teknologi dalam pengajaran untuk mengelakkan
masalah-maslah seperti yang telah dinyatakan. Seterusnya, guru menggunakan
kaedah chalk and talk yang dinggap
berkesan kerana kandungan perisian yang dibekalkan oleh KPM adalah terhad
(Harison Bakar, 2008). Jelaslah bahawa kekurangan prasarana dan bahan sokongan
di sekolah juga merupakan satu isu yang menyebabkan penggunaan teknologi adalah
kurang dalam kalangan guru.
Sikap
Murid Terhadap Penggunaan ICT
Sikap
merupakan faktor penting yang dapat mempengaruhi individu dalam membuat
keputusan. Menurut Liaw et al. (2007), sikap seseorang juga memainkan peranan
dalam penggunaan ICT. Seperti sedia maklum, sikap dapat dibahagikan kepada dua
kategori iaitu sikap positif dan sikap negatif. Kedua-dua sikap ini akan
mempengaruhi proses pembelajaran seseorang individu (Ajzen & Fishben,
2005). Oleh itu, sikap murid terhadap penggunaan ICT juga merupakan satu faktor
yang menghalang penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam
bilik darjah. Hal ini demikian kerana murid yang yang bersikap positif akan
menggunakan ICT sebagai satu alat yang dapat membantu mereka dalam memahami
sesuatu konsep. Menurut Alessi dan
Trollip (2001), pembelajaran menerusi ICT mempunyai banyak kelebihan. Antaranya
adalah:
1) Murid dapat mencapai bahan pembelajaran pada
bila-bila masa dan di mana jua mereka berada.
2) Bahan pembelajaran boleh dirangkaikan daripada
sumber tambahan yang terdapat di seluruh dunia.
3) Pengurusan dan mengemaskini bahan menjadi semakin mudah dan pantas.
4) Pelbagai bentuk saluran komunikasi boleh digunakan
bagi kegunaan guru dan murid.
Dengan
ini, murid akan bermotivasi tinggi untuk mempelajari matematik. Guru juga akan
lebih cenderung mengaplikasikan ICT dalam pengajaran supaya dapat meningkatkan minat
murid terhadap mata pelajaran ini.
Namun demikian, sekiranya murid
menunjukkan sikap yang megatif terhadap penggunaan teknologi dalam
pembelajaran, mereka akan mengambil kesempatan yang diberikan untuk melayari facebook, youtube dan sebagainya. Perkara ini sering berlaku apabila pengajaran
dan pembelajaran berbantukan komputer dan internet. Murid sekolah kini lebih berminat menggunakan ICT, melayari internet
untuk mengakses maklumat serta mempunyai laman web mereka sendiri dengan
mendaftar dalam myspace, friendster, blogspot, facebook
dan sebagainya. Perkara ini merupakan fenomena yang sudah menjadi trend dalam kalangan murid (Liaw Huang
& Chen, 2007). Perkara ini sangat membimbangkan guru kerana dengan internet
murid dapat mencari pelbagai sumber percuma yang bermanfaat dan tidak
bermanfaat. Dengan capaian yang pantas, guru tidak dapat mengawal keseluruhan murid
semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Seterusnya, guru memilih
untuk tidak menggunakan teknologi dalam pengajaran. Walaupun begitu, menurut Lankshear
& Knobel (2003) dan Marsh (2004), komputer dan kemudahan ICT dapat memberi
impak yang baik atau sebaliknya bergantung kepada kemahiran dan kecekapan
bagaimana teknologi tersebut digunakan.
Kesimpulan
Pengaplikasian
atau pengintegrasian ICT dalam pengajaran dan pembelajaran merupakan salahsatu
inisiatif yang terbaik dalam memperkenalkan pembelajaran secara kontekstual
kepada murid-murid (Rosenberg, 2001). Selain itu, ICT juga membantu murid
menyelesaikan masalah yang sukar dan dapat meningkatkan tahap kefahaman murid
terhadap sesuatu konsep. Oleh itu, pelbagai transformasi telah dikemukakan
untuk merealisasikan hasrat untuk memanfaatkan ICT dalam pendidikan Malaysia.
Pelbagai pihak termasuk kementerian, sekolah, guru serta murid telah telah
bertungkus lumus dalam menjayakan hasrat ini. Namun demikian, pelbagai isu
telah dikenal pasti sepanjang proses menjayakan penggunaan teknologi dalam
pengajaran dan pembelajaran matematik.
Isu-isu
yang telah berlaku merupakan cabaran yang baharu dalam dunia pendidikan era
teknologi maklumat kini kerana memerlukan penglibatan guru dan aktiviti-aktiviti
pembelajarn sepenuhnya yang menjurus ke arah pengajaran dan pembelajaran
berterusan (Ambigapathy & Shanti, 2004). Hal ini adalah kerana bagi
memastikan matlamat ini tercapai sepenuhnya, pelbagai penambahbaikan perlu
dijalankan terhadap sekolah, guru dan murid. Sebagai contoh, kementerian perlu
menganjurkan kursus yang lengkap kepada guru-guru tentang penggunaan teknologi
dalam pengajaran dan pembelajaran. Pihak sekolah juga perlu menyediakan
prasarana dan bahan sokongan yang lengkap untuk menggalakkan penggunaan
teknologi dalam kalangan guru. Namun begitu, teknologi tidak boleh menggantikan
tugas hakiki guru untuk menyampaikan ilmu pengetahuan. Penggunaan ICT hanyalah
merupakan satu alat yang boleh membantu guru memudahkan proses pengajaran dan
pembelajaran (Burnett, 2010).
Salam..saya nak minta izin untuk jadikan rujukan untuk tugasan
ReplyDelete