Pengenalan
Personaliti seorang guru itu dapat digambarkan
melalui penampilan sikap sama ada sikap yang negatif atau positif. Guru perlu
menampilkan sikap yang positif kerana mereka memberi cerminan kepada identiti
sesebuah sekolah. Malah, guru juga menjadi role model kepada pelajar. Segala
sikap atau tingkah laku guru banyak mempengaruhi pelajar. Guru berperanan
sebagai pemimpin di sekolah bagi membentuk generasi pelajar yang berpengetahuan
serta mampu memberi manfaat kepada masyarakat pada masa akan datang. Pelbagai faktor
mampu mempengaruhi sikap seseorang guru antaranya bebanan tugas, masalah
disiplin pelajar, masalah dengan pihak pentadbiran dan sebagainya. Oleh itu,
guru perlu bijak mengurus sikap agar mampu menampilkan sikap yang baik dan
memaparkan personaliti sebagai seorang guru yang berwibawa.
Guru juga perlu menampilkan watak terpuji, berperibadi mulia,
berwawasan sebagai seorang pendidik unggul dan melengkapkan diri dengan
kemahiran yang sejajar dengan tuntutan semasa. Seorang pendidik yang baik dapat
memberikan kesan kepada pelajarnya dari segi personaliti dan seterusnya mampu
membawa perubahan tingkah laku kepada pelajarnya. Sebagai pendidik yang
profesional, guru perlu mempamerkan ciri-ciri kekuatan teori, kaya ilmu,
bertindak atas landasan etika dan tatasusila kerja, bermoral teguh, sentiasa
berusaha meningkatkan kualiti hasil pengajaran dan prihatin dengan kehendak
pelajar dan ibu bapa (Abdull Shukor, 2008).
Menurut
Rahman dan Anuar (2012), guru mestilah
mempunyai sifat taat dan setia terhadap perkhidmatannya, mempertahankan
martabat profesionalnya, bebas pendirian dan menumpukan perhatian sepenuhnya
terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Hal ini kerana guru perlu
mempunyai prestasi yang cemerlang dalam segala hal dan layak menjadi idola
kepada setiap pelajar serta dalam kalangan masyarakat. Sebagai pendidik, guru
perlu menampilkan keperibadian yang baik bagi menghasilkan pelajar yang
cemerlang secara holistik. Seorang guru perlu menampilkan personaliti yang
terpuji pada setiap masa kerana hanya contoh-contoh sikap dan nilai positif
sahaja yang perlu dipengaruhi oleh
pelajar (Fenstermacher & Richardson, 2005). Sebagai contoh, apabila pelajar
bertanya soalan, guru hendaklah memberi reaksi kepada pertanyaan tersebut.
Definisi Sikap
Menurut Ajzen dan Fishben (1970), sikap merupakan
suatu kecenderungan secara konsisten memberikan tanggapan yang menyenangkan
atau tidak menyenangkan terhadap suatu objek. Kecenderungan ini merupakan hasil
belajar bukan pembawaan atau keturunan. Manakala, menurut Ravi (1998), sikap
merujuk kepada kepercayaan atau perasaan kita terhadap seseorang individu,
sesuatu objek, idea atau peristiwa. Sikap seseorang individu merupakan suatu
faktor yang penting dalam mempengaruhi tingkah laku. Hal ini dapat ditunjukkan
melalui tingkah laku yang dipamerkan oleh seseorang individu.
Terdapat
tiga komponen yang terkandung dalam definisi sikap iaitu komponen kognitif,
afektif, dan tingkah laku (Kreitner & Kinicki, 2007). Komponen afektif
merupakan satu perasaan atau emosi yang dimiliki seseorang individu terhadap
objek atau situasi. Komponen kognitif pula merupakan kepercayaan atau idea yang
dimiliki oleh setiap individu manakala, komponen tingkah laku akan mempamerkan
sikap seseorang untuk bertindak atau kelakuan terhadap individu lain.
Selain itu, menurut Morris dan Maisto (2005),
melalui aspek psikologi sosial sikap ditakrifkan sebagai penyediaan subjektif
atau pemikiran sebagai persediaan untuk menghasilkan sesuatu tindakan. Sikap
dapat ditentukan melalui apa yang individu akan lihat, mendengar, berfikir dan
lakukan. Sikap juga dipengaruhi oleh pengalaman dan tidak terbit secara
automatik atau sebagai kelakuan rutin. Tambahan lagi, sikap akan menunjukkan
kecenderungan seseorang individu sama ada untuk bertindak balas menyokong atau
membangkang sesuatu keputusan atau cadangan yang dikemukakan oleh sebuah
kumpulan, institusi serta peristiwa yang berlaku.
Oleh itu, sikap guru dapat difahami sebagai
kecenderungan guru untuk mempamerkan tingkah laku yang positif berdasarkan
kepada pemikiran, sebelum melakukan sesuatu tindakan. Sikap seorang guru perlu
menggambarkan ciri-ciri profesionalisme sebagai seorang guru kerana mereka
sering menjadi perhatian dalam masyarakat terutamanya pelajar dan ibu bapa.
Malah, sikap guru turut mempengaruhi sikap pelajar sama ada secara langsung
atau tidak langsung.
Sikap Guru Pilih Kasih
Di
dalam dunia pendidikan, isu sikap guru pilih kasih bukanlah satu isu yang
baharu namun masih berlaku dan terjadi di sekolah. Manusia ini dilahirkan
dengan perasaan pilih kasih di mana tidak dapat dielakkan apatah lagi
melibatkan emosi. Pilih kasih berlaku apabila seseorang bersikap tidak adil
atau memihak kepada seseorang yang lain. Pilih kasih boleh juga berlaku apabila
berat sebelah iaitu melebihkan kepada seseorang yang dikasihi.
Faktor Sikap Guru Pilih Kasih
Sikap
pilih kasih guru terhadap pelajar boleh dilihat dari empat aspek namun hanya
dua yang ditekankan iaitu layanan guru dan aspirasi guru terhadap prestasi
murid. Salah satu faktor yang menyebabkan sikap pilih kasih guru ialah faktor
kedudukan sosial ekonomi pelajar. Sikap pilih kasih guru melalui kajian yang
dijalankan oleh Prof Dr Hardil’s iaitu Diskriminasi Terhadap Kanak-kanak yang
Kurang Berpelajaran dari Keluarga Berpendapatan Rendah yang mendapati
kanak-kanak dari kelas sosial bawah mempunyai peluang untuk memasuki sekolah
kurang berbanding dengan kanak-kanak dari kelas atasan walaupun mempunyai gred
yang sama.
Sikap pilih kasih guru terhadap
pelajar dari aspek layanan guru jelas menunjukkan guru akan bersikap double
standard terhadap pelajarnya. Menurut kamus Merriam-Webster, double
standard ialah keadaan di mana dua orang, kumpulan, dan lain-lain, dilayan
sangat berbeza antara satu sama lain dengan cara yang tidak adil kepada salah
seorang daripada mereka.
Antara sikap dan layanan guru yang
berbeza terhadap pelajar dari kelas yang berbeza dapat dikelaskan seperti
berikut:
PELAJAR KELAS ATASAN
|
PELAJAR KELAS BAWAHAN
|
Diberi
jawatan seperti ketua kelas, pengawas dan sebagainya
|
Hanya
menjadi murid biasa sahaja
|
Sering
dipilih menjadi wakil sekolah
|
Jarang
dipilih menjadi wakil sekolah
|
Dimasukkan
ke dalam kelas yang terbaik
|
Dimasukkan
ke dalam kelas yang kurang cemerlang
|
Jarang
dikenakan tindakan disiplin walaupun melakukan kesalahan
|
Tindakan
disiplin yang tegas dikenakan jika melakukan kesalahan
|
Sering
dijadikan sebagai contoh
|
Sering
dijadikan contoh negatif
|
Seterusnya faktor kedua ialah sikap
pilih kasih guru boleh dilihat melalui aspirasi guru terhadap pelajarnya. Guru
memberi ekspetasi yang berbeza kepada pelajarnya di dalam kelas. Ekspetasi guru
berbeza mengikut kelas sosial ekonomi pelajar. Pelajar kelas atasan akan
disanjung tinggi berbanding pelajar kelas bawahan di mana mendapat ekspetasi
guru yang lebih rendah. Berikut merupakan jadual ekspetasi guru mengikut kelas
atasan dan bawahan:
PELAJAR KELAS ATASAN
|
PELAJAR KELAS BAWAHAN
|
Mempunyai
potensi untuk berjaya dan cemerlang
|
Tidak
mempunyai potensi untuk berjaya dan lemah dalam pelajaran
|
Memiliki
kriteria untuk mempunyai pekerjaan yang bagus
|
Tidak
akan mendapat pekerjaan yang bagus
|
Merupakan
aset sekolah
|
Menjejaskan
nama dan peratusan cemerlang sekolah
|
Sikap Guru terhadap Cara Pengajaran
Guru
merupakan pemangkin wadah perjuangan untuk pelajar membina daya pemikiran yang
analitik, kritis dan kreatif bagi membentuk individu-individu yang boleh
menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan yang berlaku di sekeliling mereka.
Oleh itu, guru itu sendiri harus menguasai kemahiran dan pengetahuan yang
terkini untuk menjalankan pembelajaran mereka. Justeru itu, guru harus
meningkatkan profesionalisme diri mereka sendiri. Profesionalisme diri
merupakan hasil daripada suatu proses pemikiran profesional dan tindakan dalam
pembelajaran sepanjang hayat. Guru adalah penggerak dalam sistem pendidikan di
negara kita. Tanpa bantuan guru segala perancangan pendidikan yang disediakan
oleh Kementerian Pelajaran Malaysia akan terbengkalai begitu sahaja.
Sebagaimana yang dinyatakan oleh Sufean Hussin (2005) guru merupakan pelaksana
kurikulum dan menjadi teras dalam menentukan standard, mutu dan keberkesanan
sistem pendidikan. Dengan kata lain, guru memainkan peranan utama untuk
menyalurkan ilmu dan kemahiran mereka dalam pendidikan formal yang mana guru
bertanggungjawab dalam mendidik dan memimpin masyarakat.
Kaedah pengajaran bermaksud
tindakan-tindakan yang dilakukan oleh guru dalam mengendalikan proses
pengajaran dan pembelajaran. Kaedah ini melibatkan tindak balas antara guru dan
pelajar (Rahil Mahyyudin et al. 1997). Kaedah mengikut Kamus Dewan bermaksud
cara atau aturan (membuat sesuatu), hukum atau prinsip. Justeru itu, sesuatu
kaedah terdiri daripada sesuatu siri tindakan yang sistematik dan tersusun
untuk mencapai sesuatu matlamat. Manakala menurut Gage dan Berline (1991),
pembelajaran sebagai proses yang membawa kepada perubahan tingkah laku hasil
daripada pengalaman. Bagi Hamachek (1995), pembelajaran pula adalah proses yang
melibatkan perubahan tingkah laku melalui pengalaman dan latihan.
Empat
aspek yang akan dibincangkan dalam cara pengajaran guru iaitu dari aspek sifat
guru yang autokrasi, pengajaran yang tidak berkesan, penggunaan bahan bantu
mengajar dan cara penyampaian guru sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran.
Sifat guru yang autokrasi sesama
sesi pengajaran memberi kesan kepada tingkah laku pelajar. Pengajaran secara
autokrasi bermaksud pengajaran di mana guru tidak memberikan peluang kepada
pelajar untuk bertanya dan memberikan pendapat mereka. Hal ini akan menyebabkan
pelajar tidak dapat memperluaskan kemahiran mereka. Pelajar hanya mendengar
pengajaran guru secara keseluruhan. Hasil daripada pengajaran autokrasi ini
komunikasi dua hala antara pelajar dengan guru dan pelajar dengan pelajar tidak
berlaku. Pengajaran ini juga banyak berpusat kepada guru. Pengajaran autokrasi
ini tidak boleh dijalankan kerana ianya akan memberi kesan kepada tingkah laku
pelajar, di mana pelajar tidak dapat memperkembangkan kemahiran mereka. Pelajar
juga akan menjadi pasif di dalam kelas.
Selain itu juga, guru tidak
menjalankan pengajaran yang berkesan. Maksud pembelajaran yang tidak berkesan
adalah guru tidak mewujudkan suasana pembelajaran yang dapat memberi manfaat
kepada pelajar. Guru perlu mewujudkan suasana pembelajaran yang berkesan untuk
merangsang minat pelajar, membina potensi insan dalam diri pelajar dari semua
aspek iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelektual dalam bentuk menyeluruh dan
bersepadu. Selain itu juga, guru tidak mempunyai strategi pengajaran dan
pembelajaran yang pelbagai. Guru perlulah mempunyai pelbagai strategi
pengajaran kerana ianya berfungsi sebagai satu panduan pengajaran ke arah
keberkesanan pengajaran dan pembelajaran guru di dalam kelas. Malahan, guru
harus mempelbagaikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran untuk menarik minat
pelajar supaya dapat mengikut pengajaran dan pembelajaran sehingga tamat.
Tambahan, setiap guru perlu menggunakan peneguhan positif setiap kali sesi
pengajaran dan pembelajaran berjalan kerana ini akan membantu tingkah laku
pelajar untuk lebih fokus di dalam kelas.
Seterusnya adalah isu bahan bantu
mengajar yang digunakan oleh guru tidak pelbagai. Guru sering menggunakan
kaedah pengajaran yang lama iaitu “chalk
and talk”. Kaedah ini telah menyebabkan pelajar mudah bosan kerana tiada
kepelbagaian bahan yang menarik. Dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, guru
perlu menggunakan pelbagai bahan untuk merangsang minda pelajar, kerana mereka
akan lebih menarik yang belajar. Guru boleh menggunakan kaedah penyampaian
maklumat, pencarian internet dan lain-lain lain. Pembelajaran seperti ini dapat
merangsang minat murid kerana mengandungi elemen-elemen visual. Semua pelajar
tidak kira aras keupayaan mereka akan dapat merangsang idea dan kemahiran
mereka.
Faktor terakhir adalah gaya
penyampaian guru dalam proses pengajaran. Menurut Mel Silberman (2004),
kecenderungan seseorang pelajar lupa tentang apa yang didengarinya adalah
berkaitan dengan kelajuan seseorang guru. Hal ini menunjukkan pelajar hanya
berupaya mendengar antara 50 hingga 100 patah perkataan sahaja dalam masa 1
minit ataupun separuh daripada apa yang disampaikan oleh guru. Ini menunjukkan
tahap pemahaman pelajarr banyak bergantung kepada kelajuan percakapan guru
ketika mengajar. Isu yang sering berlaku di sekolah adalah, penyampaian yang
digunakan oleh guru hanya mendatar. Sebagai seorang guru mereka perlu
menggunakan pelbagai teknik seperti membentuk ekspresi wajah, kedudukan dan
pergerakan badan yang sesuai ketika proses pengajaran. Guru yang baik juga
perlu mengetahui aspek-aspek komunikasi dan tingkah laku tanpa lisan kerana
mesej-mesej yang lahir daripadanya boleh memberi makna-makna tertentu kepada
guru dan pelajar. Selain itu juga, guru perlu mempunyai kemahiran mendengar
yang baik bagi membantu mentafsir dan membuat penilaian yang pada maklumat yang
disampaikan oleh pelajar. Ianya dapat membantu guru memberi maklum balas yang
tepat kepada pelajar berkaitan maklumat yang diterimanya.
Oleh itu, sebagai seorang guru perlu
mempunyai kemahiran dalam mempelbagaikan kaedah dan teknik semasa sesi
pengajaran dan pembelajaran. Hal ini dapat membantu membentuk tingkah laku
pelajar ke arah yang lebih positif. Secara keseluruhannya para guru memainkan
peranan penting dalam menghadapi masalah dalam kelas. Guru yang berpotensi akan
membentuk suatu usaha yang teratur, mempunyai sistem, tertib serta optimum bagi
menyatupadukan semua komponen pembelajaran.
Sikap Guru Ponteng
Baru-baru
ini, sering kali profesion guru mendapat liputan yang meluas baik dari paparan
media massa mahupun media elektronik yang kian meluas secara global di seluruh
antero dunia. Salah satu contoh isu yang serius melanda profesion ini ialah isu
guru ponteng tugas. Laporan daripada akhbar The Borneo Post melaporkan bahawa
hasil pemantauan dan pemeriksaan pihak Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK)
pada 22 Februari 2010, mendapati seramai 117 guru dari 11 sekolah tidak hadir
bertugas, manakala pada 25 Mei 2010 pula seramai 157 guru dari 14 sekolah juga
tidak hadir bertugas.
Ramai menganggap isu guru ponteng ini suatu perkara yang terpencil.
Kebanyakan kes ini berlaku di kawasan luar bandar dan pedalaman sehingga
menyebabkan Jabatan Pelajaran Negeri sukar untuk mengambil tindakan.
Bagaimanapun, perkara ini jika berlarutan boleh memberi kesan yang tidak baik
kepada kualiti pembelajaran di sekolah. Yang menjadi mangsa pastinya anak-anak
murid yang mengharapkan pendidikan yang sempurna daripada guru sesuai dengan
gaji mereka perolehi saban tahun. Perlakuan guru yang ponteng sekolah tersebut
bukan sahaja memburukkan profesion ini di kaca mata pandangan masyarakat malah
ianya juga turut mencerminkan bahawa segala etika dan asas profesionalisme yang
telah diberikan sebagai garis panduan dalam menjalankan tugas tidak berjaya
dipatuhi oleh mereka. Ini akan menjatuhkan maruah profesion perguruan itu
sendiri. Impaknya, masyarakat setempat akan mula memandang serong terhadap
profesion ini.
Faktor Sikap Guru Ponteng
Terdapat
beberapa faktor yang menjadi penyumbang kepada isu guru ponteng ini.
Salah satunya adalah bebanan kerja guru yang semakin meningkat. Guru juga
terpaksa berhadapan dengan perubahan demi perubahan dalam bidang pendidikan
sehingga wujudnya beban yang keterlaluan. Sebagai contoh, apabila ada pegawai
baru di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Jabatan Pelajaran Negeri atau di
peringkat kementerian, banyaklah idea dan tugasan baru yang harus dipikul oleh
guru. Bebanan ini bertambah dalam keadaan jumlah guru yang tidak seimbang dengan
peningkatan jumlah murid.
Justeru, guru pada masa kini harus sentiasa mempunyai
tahap kesediaan yang tinggi sebelum melakukan apa-apa jua tugas yang melibatkan
bidangnya. Dari aspek pengurusan pengajaran dan pembelajaran, boleh dikatakan penyediaan
bahan-bahan untuk mengajar dan tugas mengajar pelajar sekolah boleh menyebabkan
guru mula merasakan tekanan kerana tugas tersebut perlu dilakukan setiap hari
(lima hari seminggu). Tambahan pula, guru perlu memastikan kualiti bahan-bahan
pengajaran sentiasa tinggi dan selalu dikemaskinikan bagi membantu mempermudah
pemahaman pelajar dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.
Selain itu, guru juga tidak terlepas daripada berhadapan
dengan masalah-masalah disiplin pelajar yang menyebabkan tekanan emosi terhadap
guru yang seterusnya menyebabkan guru mula meninggalkan amanah yang dipikul
mereka atau dengan istilah yang lebih tepat, ponteng. Ponteng kerja semestinya
menjadi jalan paling mudah untuk guru melepaskan rasa tekanan mereka biarpun
perkara ini bukanlah sesuatu yang baik untuk dilakukan. Tekanan yang berpunca
daripada disiplin pelajar dan beban kerja menjadi antara sebab utama memaksa
guru “melarikan diri” daripada tugas buat sementara waktu untuk menenangkan
minda mereka. Tekanan akibat perlakuan pelajar yang di luar kawalan guru dan
tindakan dari sesetengah mereka yang sanggup melawan arahan yang diberikan guru
menambahkan lagi tekanan yang seterusnya menyebabkan guru mula meninggalkan
tanggungjawab mereka atau diistilahkan sebagai ponteng. Namun dari satu aspek,
kita boleh menganggap guru terpaksa berbuat begitu kerana tidak mahu terlepas
cakap atau bertindak di luar dugaan terhadap pelajar-pelajar yang akhirnya akan
membawa keadaan ini menjadi semakin teruk sebagaimana kes guru mendera murid atau
seumpamanya.
Faktor lain yang menjadi salah punca guru ponteng ialah
ketidakserasian hubungan antara guru dengan pihak pentadbiran sekolah. Masalah
ini merupakan masalah yang melibatkan organisasi yang menguruskan sekolah di
mana seseorang guru itu bertugas. Masalah ini biasanya wujud apabila pihak
pentadbiran mengamalkan gaya pentadbiran yang bersifat autokratik. Hal ini
bermaksud sebarang keputusan yang ditetapkan untuk aktiviti dan pengurusan
sekolah hanya dibuat oleh pihak pentadbir sahaja tanpa mengira pendapat
guru-guru yang sebenarnya menjadi sebahagian organisasi dalam sesebuah
sekolah.
Kesan gaya kepimpinan pihak pentadbir sebegini sebenarnya
akan memburukkan hubungan sosial antara guru dan pihak pentadbir. Sebagai
contoh, tekanan pihak pentadbir yang sentiasa mahukan setiap guru menerima
jawatan-jawatan (yang tidak berkaitan dengan kepakaran sebagai seorang guru)
yang diberikan kepada mereka merupakan suatu lagi bentuk paksaan yang terpaksa
dihadapi oleh para guru. Situasi ini boleh menimbulkan perasaan tidak puas hati
dan memberontak dalam kalangan guru disebabkan pandangan dan luahan hati mereka
tidak didengar oleh pihak pentadbir. Justeru, pernyataan ini boleh dibuktikan
di mana ada guru yang ponteng ketika mesyuarat dan sesi perbincangan bersama
pentadbir sekolah kerana mereka beranggapan pandangan dan pendapat mereka tidak
akan diambil peduli oleh pihak pentadbiran sekolah.
Masalah ketidakhadiran guru sekolah atau isu guru ponteng
juga boleh dikaitkan persekitaran kerja seorang guru itu sendiri. Ketiadaan
suasana yang kondusif yang mampu menjana prestasi dalam kerjaya seorang guru
juga merupakan antara faktor yang menyebabkan isu ponteng dalam kalangan guru
ini berlaku. Suasana kondusif di sini merujuk kepada persekitaran fizikal yang
meliputi infrastruktur dan kemudahan asas, kecekapan pengurusan organisasi
(pentadbiran sekolah) dan perhubungan dengan rakan sekerja.
Persekitaran fizikal merupakan salah satu aspek yang
boleh meransang potensi guru dalam melaksanakan tanggungjawabnya di sekolah.
Penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas seperti elektrik, air dan jaringan
talian komunikasi yang baik akan memudahkan seseorang guru dalam melaksanakan
tugasannya. Namun begitu, hal ini amat lain khususnya apabila seseorang guru
itu (terutamanya guru-baru) apabila ditempatkan di kawasan luar bandar dan
pedalaman. Kemudahan-kemudahan ini agak sukar diperolehi dan perkara ini boleh
menyebabkan banyak kerja guru tertangguh. Situasi ini seterusnya boleh
menyebabkan guru hilang semangat dalam melaksanakan tanggungjawabnya yang
seterusnya akan menyumbangkan berlakunya kes ponteng dalam kalangan guru. Oleh
sebab itu, tidak hairanlah jika terdapat laporan di dada-dada akhbar yang
mengatakan kebanyakkan isu guru ponteng berlaku di kawasan-kawasan pedalaman sebagaimana
laporan akhbar The Borneo Post yang telah nyatakan pada awal tadi.
Konklusinya,
kerjaya sebagai seorang guru adalah satu kerjaya yang
cukup mencabar. Banyak pengorbanan yang perlu dilakukan oleh seorang guru untuk
memberi yang terbaik kepada para pelajar. Profesion guru atau pendidik pada era
globalisasi ini menuntut individu yang ingin menceburi bidang ini mempunyai
tahap kesediaan yang tinggi agar individu tersebut dapat melaksanakan amanah
yang dipertanggungjawabkan kepadanya nanti dapat dilaksanakannya dengan penuh
dedikasi dan komitmen.Suatu penilaian dan justifikasi yang adil sewajarnya
perlu dilakukan oleh pelbagai pihak khususnya Kementerian Pelajaran dalam
membendung isu ini.
No comments:
Post a Comment