Wednesday, December 16, 2015

Sikap Guru part 3






Pengenalan
Personaliti seorang guru itu dapat digambarkan melalui penampilan sikap sama ada sikap yang negatif atau positif. Guru perlu menampilkan sikap yang positif kerana mereka memberi cerminan kepada identiti sesebuah sekolah. Malah, guru juga menjadi role model kepada pelajar. Segala sikap atau tingkah laku guru banyak mempengaruhi pelajar. Guru berperanan sebagai pemimpin di sekolah bagi membentuk generasi pelajar yang berpengetahuan serta mampu memberi manfaat kepada masyarakat pada masa akan datang. Pelbagai faktor mampu mempengaruhi sikap seseorang guru antaranya bebanan tugas, masalah disiplin pelajar, masalah dengan pihak pentadbiran dan sebagainya. Oleh itu, guru perlu bijak mengurus sikap agar mampu menampilkan sikap yang baik dan memaparkan personaliti sebagai seorang guru yang berwibawa.
Guru juga perlu  menampilkan watak terpuji, berperibadi mulia, berwawasan sebagai seorang pendidik unggul dan melengkapkan diri dengan kemahiran yang sejajar dengan tuntutan semasa. Seorang pendidik yang baik dapat memberikan kesan kepada pelajarnya dari segi personaliti dan seterusnya mampu membawa perubahan tingkah laku kepada pelajarnya. Sebagai pendidik yang profesional, guru perlu mempamerkan ciri-ciri kekuatan teori, kaya ilmu, bertindak atas landasan etika dan tatasusila kerja, bermoral teguh, sentiasa berusaha meningkatkan kualiti hasil pengajaran dan prihatin dengan kehendak pelajar dan ibu bapa (Abdull Shukor, 2008).
            Menurut Rahman dan Anuar (2012),  guru mestilah mempunyai sifat taat dan setia terhadap perkhidmatannya, mempertahankan martabat profesionalnya, bebas pendirian dan menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Hal ini kerana guru perlu mempunyai prestasi yang cemerlang dalam segala hal dan layak menjadi idola kepada setiap pelajar serta dalam kalangan masyarakat. Sebagai pendidik, guru perlu menampilkan keperibadian yang baik bagi menghasilkan pelajar yang cemerlang secara holistik. Seorang guru perlu menampilkan personaliti yang terpuji pada setiap masa kerana hanya contoh-contoh sikap dan nilai positif sahaja yang perlu dipengaruhi  oleh pelajar (Fenstermacher & Richardson, 2005). Sebagai contoh, apabila pelajar bertanya soalan, guru hendaklah memberi reaksi kepada pertanyaan tersebut.


Definisi Sikap
Menurut Ajzen dan Fishben (1970), sikap merupakan suatu kecenderungan secara konsisten memberikan tanggapan yang menyenangkan atau tidak menyenangkan terhadap suatu objek. Kecenderungan ini merupakan hasil belajar bukan pembawaan atau keturunan. Manakala, menurut Ravi (1998), sikap merujuk kepada kepercayaan atau perasaan kita terhadap seseorang individu, sesuatu objek, idea atau peristiwa. Sikap seseorang individu merupakan suatu faktor yang penting dalam mempengaruhi tingkah laku. Hal ini dapat ditunjukkan melalui tingkah laku yang dipamerkan oleh seseorang individu.
            Terdapat tiga komponen yang terkandung dalam definisi sikap iaitu komponen kognitif, afektif, dan tingkah laku (Kreitner & Kinicki, 2007). Komponen afektif merupakan satu perasaan atau emosi yang dimiliki seseorang individu terhadap objek atau situasi. Komponen kognitif pula merupakan kepercayaan atau idea yang dimiliki oleh setiap individu manakala, komponen tingkah laku akan mempamerkan sikap seseorang untuk bertindak atau kelakuan terhadap individu lain.
Selain itu, menurut Morris dan Maisto (2005), melalui aspek psikologi sosial sikap ditakrifkan sebagai penyediaan subjektif atau pemikiran sebagai persediaan untuk menghasilkan sesuatu tindakan. Sikap dapat ditentukan melalui apa yang individu akan lihat, mendengar, berfikir dan lakukan. Sikap juga dipengaruhi oleh pengalaman dan tidak terbit secara automatik atau sebagai kelakuan rutin. Tambahan lagi, sikap akan menunjukkan kecenderungan seseorang individu sama ada untuk bertindak balas menyokong atau membangkang sesuatu keputusan atau cadangan yang dikemukakan oleh sebuah kumpulan, institusi serta peristiwa yang berlaku.
Oleh itu, sikap guru dapat difahami sebagai kecenderungan guru untuk mempamerkan tingkah laku yang positif berdasarkan kepada pemikiran, sebelum melakukan sesuatu tindakan. Sikap seorang guru perlu menggambarkan ciri-ciri profesionalisme sebagai seorang guru kerana mereka sering menjadi perhatian dalam masyarakat terutamanya pelajar dan ibu bapa. Malah, sikap guru turut mempengaruhi sikap pelajar sama ada secara langsung atau tidak langsung. 


Sikap Guru Pilih Kasih
Di dalam dunia pendidikan, isu sikap guru pilih kasih bukanlah satu isu yang baharu namun masih berlaku dan terjadi di sekolah. Manusia ini dilahirkan dengan perasaan pilih kasih di mana tidak dapat dielakkan apatah lagi melibatkan emosi. Pilih kasih berlaku apabila seseorang bersikap tidak adil atau memihak kepada seseorang yang lain. Pilih kasih boleh juga berlaku apabila berat sebelah iaitu melebihkan kepada seseorang yang dikasihi.

Faktor Sikap Guru Pilih Kasih
Sikap pilih kasih guru terhadap pelajar boleh dilihat dari empat aspek namun hanya dua yang ditekankan iaitu layanan guru dan aspirasi guru terhadap prestasi murid. Salah satu faktor yang menyebabkan sikap pilih kasih guru ialah faktor kedudukan sosial ekonomi pelajar. Sikap pilih kasih guru melalui kajian yang dijalankan oleh Prof Dr Hardil’s iaitu Diskriminasi Terhadap Kanak-kanak yang Kurang Berpelajaran dari Keluarga Berpendapatan Rendah yang mendapati kanak-kanak dari kelas sosial bawah mempunyai peluang untuk memasuki sekolah kurang berbanding dengan kanak-kanak dari kelas atasan walaupun mempunyai gred yang sama.
            Sikap pilih kasih guru terhadap pelajar dari aspek layanan guru jelas menunjukkan guru akan bersikap double standard terhadap pelajarnya. Menurut kamus Merriam-Webster, double standard ialah keadaan di mana dua orang, kumpulan, dan lain-lain, dilayan sangat berbeza antara satu sama lain dengan cara yang tidak adil kepada salah seorang daripada mereka.
            Antara sikap dan layanan guru yang berbeza terhadap pelajar dari kelas yang berbeza dapat dikelaskan seperti berikut:

PELAJAR KELAS ATASAN

PELAJAR KELAS BAWAHAN

Diberi jawatan seperti ketua kelas, pengawas dan sebagainya

Hanya menjadi murid biasa sahaja

Sering dipilih menjadi wakil sekolah

Jarang dipilih menjadi wakil sekolah
Dimasukkan ke dalam kelas yang terbaik
Dimasukkan ke dalam kelas yang kurang cemerlang

Jarang dikenakan tindakan disiplin walaupun melakukan kesalahan

Tindakan disiplin yang tegas dikenakan jika melakukan kesalahan

Sering dijadikan sebagai contoh

Sering dijadikan contoh negatif

            Seterusnya faktor kedua ialah sikap pilih kasih guru boleh dilihat melalui aspirasi guru terhadap pelajarnya. Guru memberi ekspetasi yang berbeza kepada pelajarnya di dalam kelas. Ekspetasi guru berbeza mengikut kelas sosial ekonomi pelajar. Pelajar kelas atasan akan disanjung tinggi berbanding pelajar kelas bawahan di mana mendapat ekspetasi guru yang lebih rendah. Berikut merupakan jadual ekspetasi guru mengikut kelas atasan dan bawahan:

PELAJAR KELAS ATASAN

PELAJAR KELAS BAWAHAN

Mempunyai potensi untuk berjaya dan cemerlang

Tidak mempunyai potensi untuk berjaya dan lemah dalam pelajaran

Memiliki kriteria untuk mempunyai pekerjaan yang bagus

Tidak akan mendapat pekerjaan yang bagus

Merupakan aset sekolah

Menjejaskan nama dan peratusan cemerlang sekolah



Sikap Guru terhadap Cara Pengajaran
Guru merupakan pemangkin wadah perjuangan untuk pelajar membina daya pemikiran yang analitik, kritis dan kreatif bagi membentuk individu-individu yang boleh menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan yang berlaku di sekeliling mereka. Oleh itu, guru itu sendiri harus menguasai kemahiran dan pengetahuan yang terkini untuk menjalankan pembelajaran mereka. Justeru itu, guru harus meningkatkan profesionalisme diri mereka sendiri. Profesionalisme diri merupakan hasil daripada suatu proses pemikiran profesional dan tindakan dalam pembelajaran sepanjang hayat. Guru adalah penggerak dalam sistem pendidikan di negara kita. Tanpa bantuan guru segala perancangan pendidikan yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia akan terbengkalai begitu sahaja. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Sufean Hussin (2005) guru merupakan pelaksana kurikulum dan menjadi teras dalam menentukan standard, mutu dan keberkesanan sistem pendidikan. Dengan kata lain, guru memainkan peranan utama untuk menyalurkan ilmu dan kemahiran mereka dalam pendidikan formal yang mana guru bertanggungjawab dalam mendidik dan memimpin masyarakat.
            Kaedah pengajaran bermaksud tindakan-tindakan yang dilakukan oleh guru dalam mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran. Kaedah ini melibatkan tindak balas antara guru dan pelajar (Rahil Mahyyudin et al. 1997). Kaedah mengikut Kamus Dewan bermaksud cara atau aturan (membuat sesuatu), hukum atau prinsip. Justeru itu, sesuatu kaedah terdiri daripada sesuatu siri tindakan yang sistematik dan tersusun untuk mencapai sesuatu matlamat. Manakala menurut Gage dan Berline (1991), pembelajaran sebagai proses yang membawa kepada perubahan tingkah laku hasil daripada pengalaman. Bagi Hamachek (1995), pembelajaran pula adalah proses yang melibatkan perubahan tingkah laku melalui pengalaman dan latihan.

Aspek Utama dalam Pengajaran Guru
Empat aspek yang akan dibincangkan dalam cara pengajaran guru iaitu dari aspek sifat guru yang autokrasi, pengajaran yang tidak berkesan, penggunaan bahan bantu mengajar dan cara penyampaian guru sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran.
            Sifat guru yang autokrasi sesama sesi pengajaran memberi kesan kepada tingkah laku pelajar. Pengajaran secara autokrasi bermaksud pengajaran di mana guru tidak memberikan peluang kepada pelajar untuk bertanya dan memberikan pendapat mereka. Hal ini akan menyebabkan pelajar tidak dapat memperluaskan kemahiran mereka. Pelajar hanya mendengar pengajaran guru secara keseluruhan. Hasil daripada pengajaran autokrasi ini komunikasi dua hala antara pelajar dengan guru dan pelajar dengan pelajar tidak berlaku. Pengajaran ini juga banyak berpusat kepada guru. Pengajaran autokrasi ini tidak boleh dijalankan kerana ianya akan memberi kesan kepada tingkah laku pelajar, di mana pelajar tidak dapat memperkembangkan kemahiran mereka. Pelajar juga akan menjadi pasif di dalam kelas.
            Selain itu juga, guru tidak menjalankan pengajaran yang berkesan. Maksud pembelajaran yang tidak berkesan adalah guru tidak mewujudkan suasana pembelajaran yang dapat memberi manfaat kepada pelajar. Guru perlu mewujudkan suasana pembelajaran yang berkesan untuk merangsang minat pelajar, membina potensi insan dalam diri pelajar dari semua aspek iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelektual dalam bentuk menyeluruh dan bersepadu. Selain itu juga, guru tidak mempunyai strategi pengajaran dan pembelajaran yang pelbagai. Guru perlulah mempunyai pelbagai strategi pengajaran kerana ianya berfungsi sebagai satu panduan pengajaran ke arah keberkesanan pengajaran dan pembelajaran guru di dalam kelas. Malahan, guru harus mempelbagaikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran untuk menarik minat pelajar supaya dapat mengikut pengajaran dan pembelajaran sehingga tamat. Tambahan, setiap guru perlu menggunakan peneguhan positif setiap kali sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan kerana ini akan membantu tingkah laku pelajar untuk lebih fokus di dalam kelas.
            Seterusnya adalah isu bahan bantu mengajar yang digunakan oleh guru tidak pelbagai. Guru sering menggunakan kaedah pengajaran yang lama iaitu “chalk and talk”. Kaedah ini telah menyebabkan pelajar mudah bosan kerana tiada kepelbagaian bahan yang menarik. Dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, guru perlu menggunakan pelbagai bahan untuk merangsang minda pelajar, kerana mereka akan lebih menarik yang belajar. Guru boleh menggunakan kaedah penyampaian maklumat, pencarian internet dan lain-lain lain. Pembelajaran seperti ini dapat merangsang minat murid kerana mengandungi elemen-elemen visual. Semua pelajar tidak kira aras keupayaan mereka akan dapat merangsang idea dan kemahiran mereka.

            Faktor terakhir adalah gaya penyampaian guru dalam proses pengajaran. Menurut Mel Silberman (2004), kecenderungan seseorang pelajar lupa tentang apa yang didengarinya adalah berkaitan dengan kelajuan seseorang guru. Hal ini menunjukkan pelajar hanya berupaya mendengar antara 50 hingga 100 patah perkataan sahaja dalam masa 1 minit ataupun separuh daripada apa yang disampaikan oleh guru. Ini menunjukkan tahap pemahaman pelajarr banyak bergantung kepada kelajuan percakapan guru ketika mengajar. Isu yang sering berlaku di sekolah adalah, penyampaian yang digunakan oleh guru hanya mendatar. Sebagai seorang guru mereka perlu menggunakan pelbagai teknik seperti membentuk ekspresi wajah, kedudukan dan pergerakan badan yang sesuai ketika proses pengajaran. Guru yang baik juga perlu mengetahui aspek-aspek komunikasi dan tingkah laku tanpa lisan kerana mesej-mesej yang lahir daripadanya boleh memberi makna-makna tertentu kepada guru dan pelajar. Selain itu juga, guru perlu mempunyai kemahiran mendengar yang baik bagi membantu mentafsir dan membuat penilaian yang pada maklumat yang disampaikan oleh pelajar. Ianya dapat membantu guru memberi maklum balas yang tepat kepada pelajar berkaitan maklumat yang diterimanya.
            Oleh itu, sebagai seorang guru perlu mempunyai kemahiran dalam mempelbagaikan kaedah dan teknik semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Hal ini dapat membantu membentuk tingkah laku pelajar ke arah yang lebih positif. Secara keseluruhannya para guru memainkan peranan penting dalam menghadapi masalah dalam kelas. Guru yang berpotensi akan membentuk suatu usaha yang teratur, mempunyai sistem, tertib serta optimum bagi menyatupadukan semua komponen pembelajaran.

 
Sikap Guru Ponteng
Baru-baru ini, sering kali profesion guru mendapat liputan yang meluas baik dari paparan media massa mahupun media elektronik yang kian meluas secara global di seluruh antero dunia. Salah satu contoh isu yang serius melanda profesion ini ialah isu guru ponteng tugas. Laporan daripada akhbar The Borneo Post melaporkan bahawa hasil pemantauan dan pemeriksaan pihak Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) pada 22 Februari 2010, mendapati seramai 117 guru dari 11 sekolah tidak hadir bertugas, manakala pada 25 Mei 2010 pula seramai 157 guru dari 14 sekolah juga tidak hadir bertugas.
Ramai menganggap isu guru ponteng ini suatu perkara yang terpencil. Kebanyakan kes ini berlaku di kawasan luar bandar dan pedalaman sehingga menyebabkan Jabatan Pelajaran Negeri sukar untuk mengambil tindakan. Bagaimanapun, perkara ini jika berlarutan boleh memberi kesan yang tidak baik kepada kualiti pembelajaran di sekolah. Yang menjadi mangsa pastinya anak-anak murid yang mengharapkan pendidikan yang sempurna daripada guru sesuai dengan gaji mereka perolehi saban tahun. Perlakuan guru yang ponteng sekolah tersebut bukan sahaja memburukkan profesion ini di kaca mata pandangan masyarakat malah ianya juga turut mencerminkan bahawa segala etika dan asas profesionalisme yang telah diberikan sebagai garis panduan dalam menjalankan tugas tidak berjaya dipatuhi oleh mereka. Ini akan menjatuhkan maruah profesion perguruan itu sendiri. Impaknya, masyarakat setempat akan mula memandang serong terhadap profesion ini.

Faktor Sikap Guru Ponteng
Terdapat beberapa faktor yang menjadi penyumbang kepada isu guru ponteng ini. Salah satunya adalah bebanan kerja guru yang semakin meningkat. Guru juga terpaksa berhadapan dengan perubahan demi perubahan dalam bidang pendidikan sehingga wujudnya beban yang keterlaluan. Sebagai contoh, apabila ada pegawai baru di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Jabatan Pelajaran Negeri atau di peringkat kementerian, banyaklah idea dan tugasan baru yang harus dipikul oleh guru. Bebanan ini bertambah dalam keadaan jumlah guru yang tidak seimbang dengan peningkatan jumlah murid.
Justeru, guru pada masa kini harus sentiasa mempunyai tahap kesediaan yang tinggi sebelum melakukan apa-apa jua tugas yang melibatkan bidangnya. Dari aspek pengurusan pengajaran dan pembelajaran, boleh dikatakan penyediaan bahan-bahan untuk mengajar dan tugas mengajar pelajar sekolah boleh menyebabkan guru mula merasakan tekanan kerana tugas tersebut perlu dilakukan setiap hari (lima hari seminggu). Tambahan pula, guru perlu memastikan kualiti bahan-bahan pengajaran sentiasa tinggi dan selalu dikemaskinikan bagi membantu mempermudah pemahaman pelajar dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.
Selain itu, guru juga tidak terlepas daripada berhadapan dengan masalah-masalah disiplin pelajar yang menyebabkan tekanan emosi terhadap guru yang seterusnya menyebabkan guru mula meninggalkan amanah yang dipikul mereka atau dengan istilah yang lebih tepat, ponteng. Ponteng kerja semestinya menjadi jalan paling mudah untuk guru melepaskan rasa tekanan mereka biarpun perkara ini bukanlah sesuatu yang baik untuk dilakukan. Tekanan yang berpunca daripada disiplin pelajar dan beban kerja menjadi antara sebab utama memaksa guru “melarikan diri” daripada tugas buat sementara waktu untuk menenangkan minda mereka. Tekanan akibat perlakuan pelajar yang di luar kawalan guru dan tindakan dari sesetengah mereka yang sanggup melawan arahan yang diberikan guru menambahkan lagi tekanan yang seterusnya menyebabkan guru mula meninggalkan tanggungjawab mereka atau diistilahkan sebagai ponteng. Namun dari satu aspek, kita boleh menganggap guru terpaksa berbuat begitu kerana tidak mahu terlepas cakap atau bertindak di luar dugaan terhadap pelajar-pelajar yang akhirnya akan membawa keadaan ini menjadi semakin teruk sebagaimana kes guru mendera murid atau seumpamanya.
Faktor lain yang menjadi salah punca guru ponteng ialah ketidakserasian hubungan antara guru dengan pihak pentadbiran sekolah. Masalah ini merupakan masalah yang melibatkan organisasi yang menguruskan sekolah di mana seseorang guru itu bertugas. Masalah ini biasanya wujud apabila pihak pentadbiran mengamalkan gaya pentadbiran yang bersifat autokratik. Hal ini bermaksud sebarang keputusan yang ditetapkan untuk aktiviti dan pengurusan sekolah hanya dibuat oleh pihak pentadbir sahaja tanpa mengira pendapat guru-guru yang sebenarnya menjadi sebahagian organisasi dalam  sesebuah sekolah.
Kesan gaya kepimpinan pihak pentadbir sebegini sebenarnya akan memburukkan hubungan sosial antara guru dan pihak pentadbir. Sebagai contoh, tekanan pihak pentadbir yang sentiasa mahukan setiap guru menerima jawatan-jawatan (yang tidak berkaitan dengan kepakaran sebagai seorang guru) yang diberikan kepada mereka merupakan suatu lagi bentuk paksaan yang terpaksa dihadapi oleh para guru. Situasi ini boleh menimbulkan perasaan tidak puas hati dan memberontak dalam kalangan guru disebabkan pandangan dan luahan hati mereka tidak didengar oleh pihak pentadbir. Justeru, pernyataan ini boleh dibuktikan di mana ada guru yang ponteng ketika mesyuarat  dan sesi perbincangan bersama pentadbir sekolah kerana mereka beranggapan pandangan dan pendapat mereka tidak akan diambil peduli oleh pihak pentadbiran sekolah.
Masalah ketidakhadiran guru sekolah atau isu guru ponteng juga boleh dikaitkan persekitaran kerja seorang guru itu sendiri. Ketiadaan suasana yang kondusif yang mampu menjana prestasi dalam kerjaya seorang guru juga merupakan antara faktor yang menyebabkan isu ponteng dalam kalangan guru ini berlaku. Suasana kondusif di sini merujuk kepada persekitaran fizikal yang meliputi infrastruktur dan kemudahan asas, kecekapan pengurusan organisasi (pentadbiran sekolah) dan perhubungan dengan rakan sekerja.
Persekitaran fizikal merupakan salah satu aspek yang boleh meransang potensi guru dalam melaksanakan tanggungjawabnya di sekolah. Penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas seperti elektrik, air dan jaringan talian komunikasi yang baik akan memudahkan seseorang guru dalam melaksanakan tugasannya. Namun begitu, hal ini amat lain khususnya apabila seseorang guru itu (terutamanya guru-baru) apabila ditempatkan di kawasan luar bandar dan pedalaman. Kemudahan-kemudahan ini agak sukar diperolehi dan perkara ini boleh menyebabkan banyak kerja guru tertangguh. Situasi ini seterusnya boleh menyebabkan guru hilang semangat dalam melaksanakan tanggungjawabnya yang seterusnya akan menyumbangkan berlakunya kes ponteng dalam kalangan guru. Oleh sebab itu, tidak hairanlah jika terdapat laporan di dada-dada akhbar yang mengatakan kebanyakkan isu guru ponteng berlaku di kawasan-kawasan pedalaman sebagaimana laporan akhbar The Borneo Post yang telah nyatakan pada awal tadi.

Kesimpulan
Konklusinya, kerjaya sebagai seorang guru adalah satu kerjaya yang cukup mencabar. Banyak pengorbanan yang perlu dilakukan oleh seorang guru untuk memberi yang terbaik kepada para pelajar. Profesion guru atau pendidik pada era globalisasi ini menuntut individu yang ingin menceburi bidang ini mempunyai tahap kesediaan yang tinggi agar individu tersebut dapat melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya nanti dapat dilaksanakannya dengan penuh dedikasi dan komitmen.Suatu penilaian dan justifikasi yang adil sewajarnya perlu dilakukan oleh  pelbagai pihak khususnya Kementerian Pelajaran dalam membendung isu ini.




No comments:

Post a Comment