Wednesday, December 16, 2015

PENGETAHUAN PEDAGOGI KANDUNGAN DALAM KALANGAN GURU







PENGENALAN
Usaha Malaysia ke arah meningkatkan sistem pendidikan ke tahap kecemerlangan global yang setanding dengan negara maju dan diiktiraf di mata dunia merupakan satu misi yang memerlukan kepakaran dan kemahiran yang sangat tinggi. Kepakaran dan kemahiran yang dipertingkatkan dari semasa ke semasa ini pula adalah sejajar dengan perkembangan pesat dalam bidang yang menyaksikan pelbagai senario baru seperti perubahan dalam strategi pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan di dalam kelas. Aliran yang berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) ini direka bentuk semula secara menyeluruh dari segi amalan pembelajaran dan pengurusan sekolah ke arah menyediakan pelajar-pelajar bagi menghadapi zaman ledakan ilmu yang tanpa sempadan sekali gus ke arah mencapai wawasan 2020.
            Kepelbagaian dan kreativiti seseorang pendidik atau tenaga pengajar dalam pemilihan kaedah pengajaran amat penting kerana ia mempengaruhi keberkesanan sesuatu P&P. Guru-guru adalah agen yang terpenting dalam merealisasikan reformasi pendidikan negara untuk melihat negara Malaysia mampu bersaing dalam era globalisasi ini. Maka, guru-guru mesti memainkan peranan yang aktif dalam proses P&P sehingga berlakunya perubahan tingkah laku pelajar yang diingini seterusnya menjadi aset modal insan yang penting kepada negara. Oleh itu, seseorang guru perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran, dan sikap-sikap yang positif sesuai dengan matlamat Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM).
            Shulman (1987) telah melakukan kajian berkenaan dengan pengetahuan yang unik dalam profesion perguruan. Pengetahuan ini yang membezakan antara seorang guru dengan seorang guru pakar dalam subjek-subjek yang tertentu. Kajian yang dilakukan mendapati bahawa kebolehan guru menyampaikan pengetahuan kepada pelbagai kebolehan pelajar memerlukan transformasi pengetahuan yang dimiliki oleh guru ke dalam bentuk yang mudah difahami oleh pelajar.
            Menurut Shulman, L.S. (1986), guru yang profesional mestilah mempunyai tujuh jenis pengetahuan iaitu dari segi pedagogi, kandungan mata pelajaran, konten-pedagogi, pelajar, konteks pendidikan di Malaysia, tujuan dan falsafah pendidikan di Malaysia, serta kurikulum. Shulman merupakan orang yang bertanggungjawab dalam penyebaran fahaman PCK dalam kalangan penyelidik yang cuba mencari jawapan tentang pengetahuan kandungan pedagogi dan pengetahuan kandungan. Beliau telah mereka bentuk satu teori kerangka dalam membuktikan kajian beliau tentang korelasi di antara pengetahuan kandungan dan pengetahuan pedagogi. Pembentukan PCK ini adalah rentetan daripada kajian yang dibuat oleh beliau tentang tahap pengetahuan guru. Hasil kajian beliau mendapati 90%-95% menunjukkan guru-guru perlu menguasai sama ada pengetahuan mata pelajaran atau aras pengetahuan am.
            Beliau telah melihat unsur pengetahuan kandungan pelajaran, PCK dan pengetahuan kurikulum untuk menilai persediaan guru baru dan mempertimbangkan kajian dalam memberi fokus kepada pengetahuan tentang permasalahan, pengetahuan kes, dan pengetahuan strategik. Permasalahan tentang pengetahuan berkaitan dengan isi kandungan atau pedagogi. Sementara itu, pengetahuan kes merujuk kepada bagaimana guru-guru ini mempunyai pelbagai ragam dan emosi dalam bilik darjah. Manakala, pengetahuan strategik bermaksud kebolehan untuk menyelesaikan konflik dengan mengetahui fakta dan kes.
           

DEFINISI PENGETAHUAN PEDAGOGI ISI KANDUNGAN (PCK)
Pedagogical Content Knowledge (PCK) atau pengetahuan pedagogi kandungan mula dicadangkan oleh Shulman(1986) dan telah dikembangkan bersama rakan-rakannya yang lain sebagai satu model perspektif yang lebih luas untuk memahami proses pengajaran dan pembelajaran. Menurut Shulman (1987), PCK ialah gabungan antara pengetahuan isi kandungan dan pengetahuan pedagogi.  Pengetahuan isi kandungan ialah pengetahuan mendalam tentang isi kandungan yang diajar. Sebagai contoh, seorang guru matematik tingkatan 1 perlu memahami dan menguasai sepenuhnya tajuk-tajuk matematik tingkatan 1 seperti pecahan, perpuluhan, garis dan sudut, ukuran asas, geometri dan sebagainya.  Pengetahuan isi kandungan harus diselaraskan dengan spesifikasi kurikulum dan juga sukatan pelajaran. Pengetahuan pedagogi pula adalah merujuk kepada pengetahuan tentang prinsip-prinsip dan kaedah mengajar, merangkumi  pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah seperti pendekatan, kaedah atau teknik, strategi, kurikulum dan sukatan pelajaran, pengujian dan penilaian, serta pemulihan dan pengayaan. Setiap insan yang bergelar guru haruslah mempunyai pengetahuan ini kerana ia sangat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
            Selain daripada pengetahuan isi kandungan dan pengetahuan pedagogi, terdapat satu lagi pengetahuan profesional yang mesti ada dalam diri setiap pendidik iaitu pengetahuan psikologi (Wiseman, et. al. 1999). Pengetahuan psikologi merujuk kepada pengetahuan tentang pelajar. Ia berkaitan cara pelajar belajar iaitu gaya pembelajaran mereka, minat dan kebolehan, sikap dan kepercayaan serta masalah pembelajaran yang dihadapi. Menurut pendapat dan dapatan kajian daripada beberapa tokoh penyelidik dalam bidang pendidikan (contohnya; Wiseman, et. al. 1999, Cochran 1997, Borko, H. & Putnam, R.T. 1990, Calderhead, J. 1990, Shulman 1987, Frank, R.J. 2000 ), integrasi ketiga-tiga pengetahuan tersebutlah yang menghasilkan apa yang dipanggil sebagai pengetahuan pedagogi kandungan.  Manakala menurut Grossman (1990), PCK mengandungi; (1) pengetahuan tentang strategi dan penyampaian untuk pengajaran topik-topik tertentu; (2) pengetahuan tentang kefahaman pelajar terhadap sesuatu konsep dan kesilapan konsep yang dialami oleh pelajar berkenaan; (3) pengetahuan dan kepercayaan tentang tujuan (objektif) pengajaran sesuatu topik; dan (4) pengetahuan tentang kurikulum dan bahan. Menurut Grossman lagi, terdapat empat sumber untuk memperoleh dan mengembangkan PCK iaitu pemerhatian dalam kelas, pendidikan formal, kursus dalaman dan pengalaman mengajar.
            Untuk menjadi seorang guru yang berkualiti seharusnya semua guru harus memiliki pengetahuan-pengetahuan ini. Ini kerana PCK dilihat sangat penting bagi profesion keguruan. Antara kepentingannya ialah:
1.      PCK dapat membantu guru untuk memahami prinsip-prinsip pengajaran dan pembelajaran dengan jelas.
2.      PCK dapat membantu guru dalam memilih kaedah pengajaran yang bersesuaian dengan tahap penerimaan para pelajar
3.      PCK membantu guru untuk melakukan penyediaan terutama dari segi menyediakan bahan-bahan bantuan mengajar yang lebih menarik dan bermakna.
4.      Guru akan sentiasa melibatkan pelajarnya secara lebih aktif dalam pelajaran.
5.      Guru akan berupaya untuk menggunakan set induksi yang menarik supaya dapat memulakan pelajaran yang berjaya menarik minat para pelajarnya
6.      Guru akan dapat memperkembangkan lagi potensi yang ada pada pelajarnya


 ISU PENGETAHUAN PEDAGOGI ISI KANDUNGAN (PCK) DALAM      KALANGAN GURU

 Pengetahuan terhadap Pelajar dan Pembelajaran
Pengetahuan pedagogi isi kandungan boleh dibahagikan kepada skop yang lebih kecil iaitu pengetahuan guru terhadap pelajar dan pembelajaran. Hal yang menjadi isu ialah, guru-guru muda masih kurang pendedahan dan pengetahuan tentang pelajar dan juga gaya pembelajaran pelajar mereka. Seorang guru yang baik perlulah mengenali pelajar mereka terlebih dahulu agar mereka dapat memberikan perhatian yang khusus dan pendekatan mereka dalam mendidik pelajar juga lebih mantap. Setiap guru baru kebiasaannya mempunyai masalah dalam mengenali pelajar mereka. Hal ini kerana mereka masih kekurangan pengalaman berbanding guru lama. Namun, bagi guru lama pula mereka terlebih yakin bahawa mereka lebih berpengalaman dan mengenali pelajar. Guru lama lebih mudah membuat rumusan tentang pelajar mereka berdasarkan pengalaman sebelum ini dengan pelajar terdahulu. Sedangkan setiap pelajar mempunyai latar belakang, sikap dan kebolehan yang berbeza. Bagi guru baru pula, mereka cepat membuat kesimpulan melalui pemerhatian.
            Pengetahuan guru terhadap pelajar amat penting kerana, setiap pelajar adalah berbeza walaupun mereka berada di dalam kelompok yang sama. Setiap pelajar mempunyai sikap dan minat yang berbeza. Sebagai seorang guru Matematik, guru tersebut perlulah memerhatikan sikap dan minat pelajar mereka terhadap sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP). Daripada sikap pelajar, guru boleh menilai kebolehan pelajar. Setiap pelajar mempunyai potensi dalam pembelajaran matematik dimana ada potensi pelajar yang telah digilap dan masih juga ada pelajar yang belum digilap potensinya. Pengetahuan guru terhadap pelajar itu sendiri adalah penting untuk menilai sejauh mana minat dan kebolehan setiap pelajarnya. Dengan mengetahui tahap minat pelajarnya, guru boleh melakukan aktiviti yang lebih mencabar dan menyeronokkan untuk meningkatkan motivasi pelajar mereka. Sebaliknya hari ini, guru lebih banyak menekankan tentang isi kandungan berbanding pelajar mereka sendiri. Mereka lebih suka menggunakan kaedah tradisional (chalk and talk) supaya sesi PdP dapat dijalankan dengan cepat untuk menghabiskan silibus. Hal ini akan membantutkan kebolehan pelajar terutamanya dalam matapelajaran Matematik.
            Selaras dengan pengetahuan guru dalam pembelajaran yang amat berkait rapat dengan gaya pembelajaran pelajar, seorang guru perlu mengetahui kaedah-kaedah pembelajaran dan menghubungkaitkan dengan setiap pelajarnya. Setiap pelajar mempunyai kaedah pembelajaran yang berbeza. Guru yang kurang pengetahuan dalam gaya-gaya pembelajaran akan melakukan kesilapan dimana guru tidak akan menggunakan kaedah pengajaran yang holistik dalam pengajaran beliau. Sedangkan tugas seorang guru ialah untuk memudahkan pembelajaran pelajar dengan menyediakan suasana pembelajaran yang harmonis dan menarik. Dalam sesi pembelajaran, guru sering berhadapan dengan pelajarnya yang berbeza dari segi kebolehan mereka. Hal ini memerlukan pengetahuan dan kepakaran guru dalam menentukan strategi pengajaran dan pembelajaran. Ini bermakna, guru perlu menentukan pendekatan, memilih kaedah dan menetapkan teknik-teknik tertentu yang sesuai dengan perkembangan dan kebolehan pelajar. Strategi yang dipilih itu, selain berpotensi merangsang pelajar belajar secara aktif, ia juga harus mampu membantu menganalisis konsep atau idea dan berupaya menarik hati pelajar serta dapat menghasilkan pembelajaran yang bermakna. Setiap pelajar mempunyai gaya pembelajaran yang berbeza iaitu visual, auditori dan kinestatik. Oleh itu, pemilihan kaedah pembelajaran perlulah sesuai dengan gaya pembelajaran setiap pelajar di dalam sesebuah kelas Matematik.
            Keperluan seorang guru adalah untuk menarik perhatian pelajar dalam sesuatu pengajaran, aktiviti-aktiviti yang dipilih hendaklah yang menarik dan mempunyai potensi yang tinggi untuk membolehkan isi pelajaran dan konsep-konsep yang diterjemahkan secara jelas. Aktiviti harus boleh mempengaruhi intelek, emosi dan minat pelajar secara berkesan. Dan yang paling utama, aktiviti-aktiviti yang diselitkan perlu sesuai dengan semua gaya pembelajaran pelajarnya. Dengan ini, tiada kelompok pelajar dengan gaya pembelajaran tertentu dipinggirkan. Oleh itu, pengetahuan seorang guru dalam gaya pembelajaran pelajar amat penting dalam menentukan kaedah, teknik dan strategi yang paling sesuai dengan sesebuah kelas Matematik tersebut. Isu ini sememangnya sering timbul apabila guru-guru merungut pelajar mereka mudah merasa bosan dan tidak berminat dengan pembelajaran Matematik. Malah ada pelajar-pelajar yang ponteng sekolah kerana mereka langsung tidak berminat dengan pembelajaran. Sedangkan guru yang tidak menyediakan suasana pembelajaran yang harmoni dan menarik. Apabila PdP yang dilaksanakan melibatkan pelajar dengan aktif dan mereka seronok, pembelajaran sudah pasti akan lebih menarik dan mereka juga lebih mudah memahami konsep dan jalan kerja dalam permasalahan Matematik. Sehubungan dengan itu, pengetahuan pelajar dan pembelajaran amat penting dalam setiap diri seorang guru kerana ia menentukan hala tuju sesebuah pembelajaran tersebut. Guru perlu mempertingkatkan pengetahuan mereka dari sudut ini dan tidak hanya menekankan pengetahuan dalam isi kandungan sahaja.



Pengetahuan Kurikulum (Content)
Isu yang berkaitan pengetahuan pedagogi kandungan (PCK ) yang sering timbul adalah pemilikan pengetahuan-pengetahuan ini dalam kalangan guru di Malaysia.  Beberapa kajian telah dijalankan bagi mengetahui status ini di negara kita.  Kajian yang pertama yang dilakukan oleh Tengku Zawawi Tengku Zainal, Ramlee Mustapha & Abdul Razak Habib yang bertajuk Pengetahuan Pedagogi Isi Kandungan Guru Matematik Bagi Tajuk Pecahan : Kajian Kes Di Sekolah Rendah. Dapatan kajian in menunjukkan PCK di kalangan guru baru dan guru berpengalaman berada pada tahap yang rendah. Perkembangan pengalaman guru tidak selari dengan perkembangan PCK. 
            Selain itu, kajian yang dijalankan oleh Norasliza Hassan & Zaleha Ismail (2008) yang bertajuk Pengetahuan Pedagogi Kandungan Guru Pelatih Matematik Sekolah Menengah mendapati tahap penguasaan PCK guru pelatih matematik masih pada tahap sederhana.  Mereka ini gagal memahami punca berlakunya miskonsepsi pelajar dan kurang kemahiran dalam mengemukakan soalan yang sesuai untuk mendedahkan miskonsepsi dalam kalangan pelajar.  Guru pelatih ini menggunakan kaedah ‘student-centered’ dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.  Dapatan juga menunjukkan pengetahuan konsep masih rendah dalam kalangan guru pelatih Matematik kerana pengetahuan kandungan (CK) yang rendah.  Oleh itu, bagi mengatasi masalah ini setiap guru pelatih mestilah melengkapkan diri mereka dengan kemahiran mengemukakan soalan kerana kemahiran ini sangat penting bagi mengesan tahap pengetahuan berbahasa pelajar, selain dapat menggalakkan pelajar itu sendiri berfikir secara kreatif, kritis, logical dan inovatif.  
            Kajian yang ketiga adalah dijalankan oleh Shaharom Noordin & Faridah Sapiee (2010), yang bertajuk Tahap Pencapaian Pengetahuan Pedagogi Dan Kandungan Dalam Kalangan Bakal Guru Fizik.  Kajian ini menunjukkan terdapat perkaitan yang positif sederhana yang signifikan antara tahap pencapaian pengetahuan pedagogi dengan tahap pencapaian pengetahuan Fizik.  Kajian yang terakhir adalah yang dijalankan oleh Nor Aishah Buang dan Yap Poh Moi (2002) yang mengkaji berkaitan kesediaan guru-guru perdagangan dari segi aspek pengetahuan kaedah pengajaran dan sikap terhadap pengajaran subjek pengajian keusahawanan.  Dapatan kajian mendapati bahawa tiada kesediaan yang mencukupi terhadap pengajaran subjek Pengajian Keusahawanan dari aspek penguasaan pedagogi kandungan dan sikap terhadap subjek tersebut.  Dapatan kajian juga menunjukkan pengetahuan pedagogi dan pengetahuan kandungan masih tahap yang rendah. 
            Kesimpulannya, melalui contoh-contoh kajian yang telah dijalankan dalam negara menunjukkan tahap pengetahuan pedagogi kandungan (PCK) masih pada tahap yang rendah.  Guru-guru di Malaysia sememangnya telah memiliki pengetahuan ini namun tahap pengetahuan berada pada kedudukan sederhana rendah.  Proses pengembangan PCK ini seharusnya bermula di peringkat awal program latihan perguruan.  Selain itu, kekurangan dan kelemahan dalam sistem pendidikan guru akan menyebabkan guru-guru yang baru tidak mempunyai persediaan yang sewajarnya untuk memulakan tugas sebagai seorang pendidik masa akan datang. Menurut Zawawi et.al (2009), perlunya satu program sokongan dan pemantauan berterusan diberikan kepada guru-guru baru lepasan pusat-pusat latihan perguruan sama ada dari university ataupun maktab-maktab perguruan.  Menurut Nor Aisyah (2002), Kementerian Pendidikan Malaysia bertindak sebagai satu pasukan yang sentiasa menilai dan mengikuti perkembangan pelaksanaan subjek ini serta sentiasa memberi panduan yang secukupnya kepada guru-guru.  


Pengetahuan Strategi Pengajaran
Menurut Kamarudin Husin dan Siti Hajar Abdul Aziz (2004), strategi merupakan perancangan atau satu operasi.  Strategi merupakan kaedah yang digunakan oleh guru di dalam kelas untuk mencapai sesuatu matlamat pembelajaran. Proses pengajaran dan penyampaian melibatkan tiga bentuk strategi iaitu pendekatan, kaedah dan teknik.
Pengetahuan strategi pengajaran merupakan isu dan komponen penting yang perlu dititikberatkan. Menurut Shulman (1986), bagi sesuatu topik, PCK melibatkan analogi,contoh,penerangan dan demonstrasi yang efektif, kefahaman tentang aspek-aspek yang membuatkan sesuatu topik itu senang atau susah, miskonsepsi pelajar tentang topik dan pengetahuan strategi pengajaran yang efektif. Pengetahuan strategi pengajaran mengikut PCK adalah penting untuk meningkatkan dan memastikan keberkesanan pengajaran Matematik.
Menurut Tengku Zawawi (1998), strategi pengajaran Matematik  yang berkesan adalah melibatkan kemahiran menyediakan latihan yang berterusan dan pelbagai, menjalankan aktiviti pengayaan dan pemulihan, pengurusan bilik darjah serta menilai bahan dan kurikulum Matematik. Pengetahuan tentang strategi pengajaran terdiri daripada dua komponen iaitu pengetahuan strategi pengajaran sesuatu subjek dan pengetahuan tentang strategi pengajaran bagi sesuatu topik.
Dalam kata lain, pengetahuan strategi pengajaran sesuatu subjek sebenarnya merupakan pendekatan secara umum sebagai contohnya pembelajaran koperatif dan kolaboratif, penyelesaian masalah dan lain-lain lagi. Manakala berbeza pula dengan strategi pengajaran bagi sesuatu topik lebih spesifik kerana merujuk kepada kaedah yang lebih spesifik dan berfokus. Menurut perincian Tengku Zawawi (1998), antara strategi yang spesifik ini termasuklah induktif, deduktif, analogi, simulasi, dan kerja praktik yang efektif.

KESIMPULAN
PCK digunakan untuk menjelaskan bidang pengetahuan guru mengenai isi kandungan dan pedagogi. PCK merupakan entiti yang berinteraksi di antara pedagogi dan pengetahuan kandungan. Contohnya, guru yang mengajar subjek Matematik kepada murid. Dalam pengajaran subjek ini, guru telah menggunakan tatacara pedagogi yang tertentu seperti kaedah kolaboratif yang melibatkan hubungan sesama murid. Murid akan menjawab persoalan yang dikemukakan dengan membuat perbincangan sesama murid tentang topik yang diajar. Daripada contoh ini, didapati bahawa guru berusaha membahagikan kandungan material dengan pendekatan pedagogi yang sesuai. Justeru itu, PCK sangat berhubung kait dengan pengajaran dan pembelajaran kurikulum dan pedagogi yang digunakan oleh para guru.
            Bagi membantu pelajar untuk belajar, guru perlu tahu beberapa jenis pengetahuan tentang pembelajaran. Guru perlu fikir apa yang dimaksudkan dengan belajar pelbagai jenis material bagi tujuan-tujuan yang berbeza dan bagaimana untuk memilih jenis pengajaran yang diperlukan dalam konteks-konteks yang berbeza. Guru perlu boleh mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pelajar-pelajar yang berbeza dan perlu mempunyai pengetahuan untuk bekerja dengan pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran yang spesifik atau keperluan. Guru juga perlu tahu mengenai sumber kurikulum dan teknologi yang menghubungkan pelajar dengan sumber informasi dan pengetahuan yang membolehkan mereka untuk menjelajahi idea, mendapatkan dan mensintesis informasi, dan merangka serta menyelesaikan permasalahan. Selain itu, seseorang guru perlu tahu tentang kolaborasi, bagaimana untuk menstruktur interaksi antara pelajar supaya pembelajaran yang lebih berkesan berlangsung, bagaimana untuk berkolaborasi dengan guru lain, dan bagaimana untuk bekerja dengan ibu bapa untuk mendapatkan maklumat yang lebih tentang anak mereka dan bagi membentuk pengalaman yang menyokong di sekolah dan di rumah.
 


No comments:

Post a Comment