Pengenalan
Guru merupakan antara pihak yang sangat memberi pengaruh
kepada keberkesanan sistem pendidikan di sekolah. Sikap guru dalam pendidikan
terutamanya dalam menjalankan sebarang tugas sebagai pendidik haruslah sentiasa
mengacu kepada tujuan pendidikan secara utuh. Ini kerana sebarang keputusan dan
tindakan guru akan memberi kesan atau impak yang besar terhadap pencapaian
tujuan pendidikan sama ada secara negatif atau positif. Tugas guru tidak
tertumpu kepada pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah sahaja malah
banyak lagi aspek lain seperti ibu bapa, murid, rakan sejawat, masyarakat dan
juga negara. Sikap yang perlu ada pada seorang guru berkait rapat dengan aspek
yang terdapat dalam kod etika profesion perguruan. Kod etika tersebut
sepatutnya dijadikan rujukan dan panduan oleh semua golongan pendidik dalam
menjalankan tugas dengan penuh dedikasi.
Etika
yang dinyatakan ini adalah merujuk kepada beberapa pengertian daripada
pihak-pihak tertentu seperti Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (1995) yang
menyatakan bahawa etika merupakan nilai-nilai yang menjadi pegangan seseorang
atau sesuatu kumpulan. Menurut Institut Integriti Malaysia (2007) pula, etika
boleh diertikan sebagai himpunan nilai dan moral yang menjadi piawaian bagi
tingkah laku individu, organisasi dan profesion. Selain itu, istilah etika juga
didefinisikan sebagai prinsip moral (Kamus Oxford, 1994) atau disiplin yang
dapat menerangkan nilai baik dan buruk sesuatu tindakan seperti yang dinyatakan
oleh Mackie (1977). Manakala dalam fahaman Islam pula, etika dinyatakan sebagai
tingkah laku baik yang dituntut al-Quran dan Hadith.
Menurut
beberapa pendapat yang dikemukakan oleh ahli-ahli perniagaan berdasarkan soalan
yang telah diberikan oleh Raymond Baumhart (1968) iaitu mengenai makna etika,
mereka menyatakan bahawa etika merupakan prinsip yang ditentukan oleh tradisi. Selain
itu etika juga boleh ditentukan oleh undang-undang dan agama serta haruslah
sesuatu yang tidak bertentangan dengan masyarakat atau dalam erti kata lain
diterima masyarakat. Mereka juga berpendapat bahawa etika boleh diperolehi
hasil daripada penerapan nilai yang diajarkan oleh pelbagai pihak seperti ibu
bapa sejak dari kecil serta didikan guru semasa berasa di sekolah.
Fungsi dan Kepentingan Kod Etika Profesional
Kod etika dibuat dan diwujudkan sebagai garis panduan
bagi semua ahli sesuatu profesion atau organisasi untuk meningkatkan kualiti
dan produktiviti perkhidmatan. Ianya juga dibuat bagi memastikan disiplin
sewaktu bekerja sentiasa dipatuhi dan mengelakkan berlakunya perilaku yang
tidak beretika seperti rasuah, pecah amanah, mementingkan diri sendiri dan
sebagainya. Ini kerana sikap amanah, jujur dan dedikasi adalah sangat penting
dalam apa sahaja jenis profesion bagi menjamin nama baik dan imej profesion
tersebut. Terdapat empat fungsi utama kod etika profesion yang memberi
penekanan terutamanya dari apsek peraturan, peranan nilai dan tingkahlaku
profesion.
Fungsi
yang pertama adalah sebagai pedoman atau panduan. Seperti semua pihak sedia
maklum, kod etika menggariskan standard tingkahlaku yang harus dipatuhi dan
diamalkan oleh semua ahli profesion. Selain itu pelbagai perkara juga turut
dikelaskan mengikut perbuatan diperbolehkan dan dilarang untuk dilakukan.
Kandungan yang terdapat dalam kod etika professional ini secara tidak langsung
menjaga kepentingan semua pihak serta membolehkan kerja-kerja dijalankan dengan
lebih baik dan teratur. Selain itu kod etika juga digunakan oleh pelbagai pihak
sebagai asa untuk menyiasat sebarang penyelewengan ahli-ahli profesion
tersebut. Perkara ini secara tidak langsung akan menerapkan disiplin dalam
kalangan ahli-ahli profesion serta menjadi peringatan agar sentiasa berpegang
kepada prinsip yang telah dipersetujui bersama.
Selain
menjadi panduan serta mendisiplinkan ahli profesion, kod etika ini juga dibuat
bagi memastikan maruah dan imej profesion tersebut sentiasa dipelihara dan
sentiasa berada pada satu standard etika yang tinggi. Hal ini seterusnya akan
membolehkan masyarakat sekeliling lebih yakin terhadap profesion berkenaan.
Tanggapan masyarakat sekeliling terhadap profesion tersebut seterusnya akan
menjadi faktor kepada ahli profesion untuk menjadikan kod etika tersebut untuk
mempertahankan integriti profesion masing-masing. Secara ringkasnya, kod etika
berfungsi sebagai panduan, galakan, sokongan serta bagi mengelakkan berlakunya
sebarang konflik dan rasa tidak puas hati pihak-pihak tertentu terhadap
profesion tersebut.
Tatasusila Kod Etika Profesion Guru Malaysia
Guru yang
dimaksudkan dalam konteks tatasusila ini ialah orang yang menyebarkan ilmu
pengetahuan di sesebuah institusi peringkat rendah, menengah dan tinggi,
termasuk guru terlatih yang bertugas dalam pentadbiran, organisasi dan
penyeliaan pendidikan. Terdapat empat tatasusila yang perlu dipatuhi dan
dijadikan panduan oleh semua golongan pendidik atau para guru iaitu
tanggungjawab terhadap pelajar, tanggungjawab terhadap ibu bapa, tanggungjawab
terhadap masyarakat dan negara serta tanggungjawab terhadap rakan sejawat dan
profesion. Empat tanggungjawab ini merupakan panduan umum mengenai tatasusila
kod etika profesion guru di Malaysia.
Tatasusila yang pertama adalah
mengenai tanggungjawab guru terhadap murid. Sebagai pihak yang paling dekat
kepada murid selain ibu bapa murid tersebut, guru harus lebih mengutamakan
kebajikan dan keselamatan murid daripada hal-hal lain. Hal ini diikuti dengan
sikap adil terhadap semua murid tanpa mengira faktor-faktor lain seperti
jasmani, mental, emosi, politik, ekonomi, sosial, keturunan dan agama murid
tersebut. Tanggungjawab lain guru terhadap murid adalah amanah iaitu dengan
merahsiakan maklumat ikhtisas atau sulit mengenai murid kecuali kepada mereka
yang berhak tahu maklumat tersebut. Sebagai seorang pendidik juga, guru
perlulah sentiasa membimbing atau mengajar murid tanpa sebarang bayaran atau
menuntut sebarang bentuk pemberian daripada murid. Di samping itu seorang guru
juga wajar memberikan contoh yang baik kepada murid baik dari segi cara
berpakaian, pertuturan mahupun tingkahlaku agar murid mempunyai motivasi untuk
menjadi lebih berdisiplin.
Selain tanggungjawab terhadap
pelajar atau murid, guru juga perlu menunaikan tanggungjawab terhadap ibu bapa
murid tersebut. Guru perlu menghormati tanggungjawab utama ibu bapa terhadap
anak-anak mereka dan perlu mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang erat di
antara institusi pendidikan dengan rumahtangga. Seorang guru juga harus amanah
dalam menyimpan semua maklumat berkaitan yang diberikan oleh ibu bapa mengenai
anak-anak mereka serta menggunakan maklumat
yang diberikan tersebut dengan teliti dan bijaksana. Perkara lain yang
juga perlu diberi perhatian oleh guru adalah mengelakkan diri daripada bersikap
tidak adil dan dipengaruhi oleh faktor sosioekonomi ibu bapa murid tersebut
serta mengelakkan diri daripada mengeluarkan kata-kata yang tidak wajar dikatakan.
Tatasusila lain yang menjadi panduan
guru adalah dari segi tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara. Berdasarkan
tanggungjawab ini, kita boleh lihat bahawa tanggungjawab guru semakin besar dan
tidak hanya ditunaikan kepada muridnya sahaja malah kepada masyarakat dan
negara. Seorang guru perlu mengelakkan diri daripada menyebarkan sesuatu ajaran
yang boleh merosakkan kepentingan murid, masyarakat, negara atau pun
bertentangan dengan Rukun Negara. Mereka juga harus berkebolehan dalam
membimbing dan menerapkan sikap serta nilai dalam diri setiap murid bagi
membentu murid menjadi warganegara yang taat setia, bertanggungjawab dan
berguna di masa akan datang. Sebagai profesion yang dianggap mulia oleh
masyarakat juga, guru perlulah menunjukkan rasa hormat terhadap masyarakat di
sekelilingnya dengan mengambil bahagian dalam sebarang kegiatan mereka. Sokongan
lain juga perlulah diberikan kepada masyarakat seperti menggalakkan kerjasama
dan persefahaman di antara guru dengan ibu bapa dan sebagainya. Selain itu,
seorang guru juga harus sentiasa berpegang kepada tingkahlaku yang sopan yang
diterima baik oleh masyarakat.
Dari segi tanggungjawab terhadap
rakan sejawat dan profesion pula, guru secara keseluruhannya perlu membawa
kesejahteraan di antara rakan sejawat serta menjaga maruah dan imej profesion
perguruan itu sendiri. Setiap guru perlulah masing-masing mengelakkan diri
daripada menjadi batu api yang boleh mencemarkan nama baik guru lain di hadapan
murid. Guru juga perlulah ikhlas dalam menunaikan tugas dan tanggungjawab
sebagai pendidik dengan menunjukkan kesungguhan dalam menjalankan tugas selaras
dengan kemajuan ikhtisas dan sosial. Selain itu, seorang guru juga perlu
sentiasa bersedia membantu rakan sejawat apabila mereka perlukan bantuan.
Perkara lain yang paling penting untuk dijadikan peringatan kepada semua guru
adalah menjaga maruah dan nama baik profesion keguruan serta memberikan
sokongan dengan menjadi ahli sesebuah pertubuhan guru di sekolah.
Isu Terhadap Sikap Guru
Seringkali kita mendengar dan membaca dan mendengar di
media cetak dan elektronik berkenaan salah laku guru. Sebagai contoh, guru
bergaduh dengan murid, guru tidak menggunakan masa dengan betul, guru memukul
pelajar hingga mati, guru berniaga di sekolah, guru tidak masuk ke kelas,
penyalahgunaan dadah dalam kalangan guru, kesantunan dari segi komunikasi,
pakaian dan tingkah laku, kepedulian guru terhadap kepelagaian murid, kebajikan
dan pendidikan, penampilan guru, kerjaya sambilan sebagai memenuhi tuntutan
hidup dan sebagainya. Masyarakat kini sudah peka dan mula memandang serius
tentang tingkah laku guru kerana sedikit sebanyak menjejaskan profesion
perguruan. Perlu diingtkan bahawa peristiwa-peristiwa sedemikian hanya
melibatkan segelintir daripada 450,000 guru di Malaysia.
Saya akan menekankan tentang empat isu sahaja iaitu
berniaga di sekolah, kerja sambilan, gangguan sekual dan rogol serta
diskriminasi dan layanan yang tidak adil oleh guru. Pertama sekali, marilah
kita lihat tentang isu guru berniaga di sekolah. Perniagaan bermaksud perihal
urusan jual beli yang melibatkan barangan dan bertujuan untuk mencari keuntungan.
Ia melibatkan produk ataupun perkhidmatan kepada pelanggan. Ramai guru terlibat
dalam perniagaa di sekolah samaada secara terus ataupun sistem MLM (Multilevel
Marketing). Terdapat kes-kes di mana bilik guru menjadi kawasan perniagaan. Ada
antara guru yang ghairah berniaga sampai lupa dan mengabaikan tanggungjawab
mereka. Ada pula guru yang menjalankan perniagaan dari boot kereta! Tindakan
guru sedemikian menjejaskan imej profesion perguruan yang beitu mulia. Guru
sepatutnya melaksanakan tanggungjawab sebagai pendidik di dalam bilik darjah
dan bukan menjalankan perniagaan di sekolah. Amalan ini melanggar kod etika
perguruan dan Perintah Am.
Seterusnya adalah isu kerja sambilan dalam kalangan guru.
Sebahagian besar guru di Malasysia adalah tergolong sebagai penjawat awam dan
tertakluk kepada peraturan Perintah Am Kerajaan dan tatalaku. Oleh itu,
penjawat awam perlu memohon kebenaran untuk melakukan kerja sambilan bagi
menambah pendapatan. Kelulusan hanya diberikan jika kerja sambilan itu tidak
bercanggah dengan peraturan yang ditetapkan seperti tidak dilakukan dalam waktu
bekerja serta tidak menjejaskan tugas. Keja sambilan yang kerap dilakukan oleh
guru adalah mengadakan kelas tuisyen. Guru mengadakan kelas tambahan untuk
menambahkan pendapatan mengikut pekeliling Kementerian Pelajaran Malaysia
(Surat Pekeliling Perkhidmatan Kementerian Pelajaran Malaysia, 2006). Berikut
ialah garis panduan serta syarat meluluskan pekerjaan luar sebagai guru tuisyen
atau tenaga pengajar sambilan:-
1) Pemohon hendaklah terdiri daripada Pegawai
Perkhidmatan Pendidikan yang telah disahkan dalam jawatan;
2) Permohonan hendaklah sampai kepada pihak
berkuasa di mana terdapat kelulusan sekurang-kurangnya 2 bulan sebelum khidmat
tuisyen atau mengajar secara sambilan bermula;
3) Pekerjaan luar sebagai guru tuisyen atau
tenaga pengajar sambilan hendaklah tidak melebihi 4 jam seminggu;
4) Pemohon hendaklah memeperoleh markah
prestai tahunan yang tinggi iaitu bersamaan atau melebihi 80% bagi tahun yang
sebelumnya;
5) Pemohon adalah dilarang sama sekali
melakukan khidmat tuisyen di dalam syarikat atau pusat tuiyen yang dimiliki
oleh mana-mana ahli keluarga termasuk yang mana dikhuatiri mempunyai
kepentingan peribadi;
6) Pemohon dilarang sama sekali mengedar atau
mempromosi pusat tuisyen atau seumpama dengannya, dengan sebarang bentuk cara
termasuklah melalui risalah atau secara lisan kepada pelajar;
7) Pemohon yang diluluskan dengan kebenaran hendaklah
member khidmat tuisyen di pusat-pusat tuisyen yang berdaftar dengan Jabatan
Pelajaran Negeri masing-masing;
8) Khidmat mengajar yang diberikan tidak
mengganggu tugas rasmi pegawai sebagai guru dan dijalankan di luar waktu
pejabat;
9) Pemohon tidak dibenar menggunkan kemudahan
peralatan pejabat untuk tujuan menjalankan aktiviti mengajar secara sambilan.
Menurut Noriati A. Rashid, Boon Pong
Ying & Wong Kiet Wah (2010, h:43). Ada kalangan guru yang menganggap
kerjaya mereka sebagai sambilan dan mereka mengutamakan kegiatan mencari
pendapatan tambahan dengan mengadakan kelas tuisyen di rumah mereka. Mereka
menitikberatkan kelas tuisyen berbanding dengan tanggungjawab mereka di sekolah.
Jadi sebenarnya guru-guru perlulah mengetahui apa skop kerjaya mereka dan
menghargai kerjaya yang mereka perolehi sekarang.
Isu seterusnya adalah isu gangguan seksual dan rogol.
Gangguan seksual ialah apa jua kelakuan berunsur seksual yang tidak ingini oleh
mangsa dan boleh dianggap sebagai satu pencabulan maruah atau penghinaan atau
ancaman terhadap dirinya (Kod Amalan Pencegahan dan Peinbasinian Gangguan
Seksual Di Tempat Kerja 1999). Gangguan seksual boleh diklasifikasikan kepada
beberapa pecahan iaitu gangguan secara lisan seperti usikan atau gurauan
berunsur seks, gangguan secara bukan lisan
seperti isyarat tangan ang membayangkan perlakuan seks, gangguan visual
seperti menunjukkan bahan lucah, gangguan psikologi seperti mengulangi jemputan
yang tidak dilayani dan akhir sekali ialah gangguan fizikal seperti sentuhan
yang tidak diingini. Hubungan guru dan pelajar adalah suci dan guru bereperanan
sebagai “Pengganti Ibu Bapa’. Malangnya, segelintir guru telah mengambil
kesempatan dan melakukan jenayah yang sungguh kejam, iaitu merogol pelajar,
termasuk murid sekolah rendah. Bayangakan masa depan mangsa yang dirogol.
Kemungkinan trauma yang dialami akan kekal sepanjang hayat hingga dewasa. Kanun
keseksaan Malaysia menjadikan sebarang hubungan seksual dengan individu di
bawah umur 16 tahun sebagai rogol, sama ada dilakukan dengan kerelaan mangsa
ataupun tidak. Ini juga disebut sebagai rogol statuary (statuary rape). Ini
bermakna tidak kira apa juga alaan yang diberikan, jika didapati mangsa it di
bawah umur 16 tahun ketika hubungan seks itu dilakukan, maka ia adalah jenayah
rogol. Sementara itu, hukuman yang boelh dikenakan ke atas orang disabitkan
keslaahan dengan jenayah rogol terdapat dalam Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu
:
“Barangsiapa
melakukan rogol hendaklah dihukum penjara tidak kurang daripada lima tahun dan
tidak lebih daripada 20 tahun dan hendaklah dikenakan hukuman sebat.”
Isu terakhir sekali yang dibincangkan adalah berkaitan
dengan diskriminasi dan layanan yang tidak adil dalam kalangan guru.
Diskriminasi secara ringkasnya adalah apabila pelajar itu dilayan dengan cara
yang kurang menyenangkan oleh guru atau pihak pentadbiran sekolah. Kod etika
perguruan menekankan bahawa :
“ guru haruslah mendidik dan mengambil tindakan secara
adil terhadap semua murid tidak kira bangsa, warna kulit, jantina, bahasa,
agama, kepercayaan politik, tempat aala, asa-usul keluarga, intelek, akademik
dan status-status lain.”
Guru
yang beretika akan mengamalkan keadilan dan mewujudkan peluang-peluang
pengajaran dan pembelajaran sama kepada semua pelajar yang amat penting dalam
perkembanagn dan kemjuan pendidikan selaras denagan Falsafah Pendidikan Negara
(Foo Say Fooi; Noriati A. Rashid, Lee Keok Cheon, Zulkufli & Zakiah
Noordin, 2012)
Nilai-Nilai Etika Kerja
Sebagai seorang pendidik, guru haruslah mengamalkan
nilai-nilai etika kerja. Ini kerana guru merupakan seorang pendidik yang
sentiasa menjadi contoh atau idola kepada murid-murid. Sekiranya guru tidak
mengamalkan nilai etika dengan betul, maka murid mahupun masyarakat di luar
sana sudah pasti akan mempertikaikan nilai kerja guru. Kementerian Pelajaran
Malaysia telah mengenal pasti tujuh nilai utama yang menjadi teras fokus Etika
Kerja.
Nilai
yang pertama ialah amanah (trust).
Seorang pendidik haruslah mempunyai sifat bertanggungjawab dalam melaksanakan
tugas tanpa menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya sebagai seorang guru. Guru
perlulah menjalankan tugas yang telah diamanahkan dengan penuh tanggungjawab
tanpa sebarang penyelewangan sama ada dalam bentuk masa, wang atau sebagainya.
Guru juga hendaklah bersikap jujur dan setia pada organisasi tanpa
menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya. Guru perlulah amanah dengan penggunaan
masa iaitu dengan menyiapkan tugas dalam tempoh yang telah ditetapkan serta
tidak menggunakan masa kerja untuk kegunaan peribadi. Seorang guru juga
hendaklah berdisiplin serta mengawal diri dan tidak melakukan sesuatu kerja
yang membolehkan ia hilang kepercayaan orang lain terhadap dirinya. Guru juga
bertanggungjawab untuk melaporkan sebarang penyelewangan dan penyalahgunaan
kuasa yang berlaku di tempat kerja.
Di
samping itu, nilai etika yang kedua ialah benar (truth). Seseorang guru mestilah mempunyai niat dan perbuatan yang
benar. Guru mestilah mempunyai niat yang baik dan jujur dalam melakukan sesuatu
pekerjaan. Dalam percakapan, perbuatan atau tingkah laku seseorang guru, sikap
seperti sentiasa bercakap benar dan menepati janji menjadi suatu tuntutan yang
besar. Guru haruslah bercakap benar tidak kira dalam apa jua situasi. Guru
perlu bersedia untuk mempelajari atau menerima nasihat daripada orang lain
dengan tidak bersikap sombong atau angkuh. Seorang guru mesti memberi dan
menerima arahan yang jelas dan tepat serta tidak mengelirukan. Guru boleh berkongsi pengalaman, ilmu dan
kepakaran untuk kejayaan bersama.
Selain
itu, nilai etika yang ketiga yang telah dikenal pasti oleh Kementerian
Pelajaran Malaysia ialah nilai bijaksana (thoughtful).
Guru hendaklah menggunakan pemikiran dengan bijaksana dalam membuat keputusan
dan tindakan sesuai dengan masa serta keadaan. Ia haruslah menggunakan seluruh
potensi, keupayaan dan kepakaran untuk menjayakan sesuatu tugas dengan
cemerlang dan tidak mengambil jalan mudah. Seorang guru yang bijaksana mestilah
berusaha menghasilkan kerja yang bermutu tinggi dan berkualiti serta sentiasa
mempertingkatkan ilmu di dada, kepakaran dan profesionalismenya. Guru hendaklah
mempunyai pemikiran yang rasional serta pertimbangan yang saksama dalam
menyelesaikan sesuatu masalah tanpa mengikut perasaan dan emosi.
Nilai
yang keempat ialah bersyukur (thankful).
Guru hendaklah mempunyai perasaan dan perlakuan yang menghargai nikmat dan
pemberian yang diterimanya tanpa mengganggap kejayaan sebagai hak dirinya. Guru
haruslah memiliki sifat yang tenang dalam menghadapi sebarang masalah serta
rela menerima kegagalan dan tidak mudah berputus asa. Nilai seterusnya pula
ialah dedikasi (dedication). Seorang
guru hendaklah berminat dan rela mengorbankan masa dan tenaga mereka secara
berterusan dalam menghasilkan kerja yang berkualiti dan bermutu. Seorang
pendidik perlu bekerja tanpa jemu dan bosan serta bersedia menerima tugas
dengan tidak mencari helah. Seorang guru perlu sanggup untuk berkorban demi
kepentingan perkhidmatan. Guru harus tekun, rajin dan bersikap positif dalam
melaksanakan supaya hasil yang berkulaiti diperolehi.
Nilai yang
keenam ialah ikhlas (sincere). Ikhlas
di sini membawa maksud seorang pendidik perlu menunaikan tanggungjawab untuk
menghasilkan kerja yang terbaik tanpa mengharapkan ganjaran. Seorang guru yang
ikhlas akan menjalankan tugas semata-mata untuk mencapai matlamat sekolah,
bukan kerana pangkat, kedudukan atau untuk mendapat perhatian. Guru yang ikhlas
akan cuba memberikan layanan yang baik dan sama rata kepada orang-orang di
sekelilingnya seperti rakan-rakan guru dan anak murid. Guru perlu bersedia dan
menerima dengan terbuka sekiranya ditegur dan dikritik hasil kerjanya.
Nilai
yang terakhir ialah penyayang (caring).
Seorang guru mestilah mengambil berat dan menghargai pelanggan. Seorang
pendidik yang penyayang mempunyai sifat pemaaf, tidak sombong dan tidak suka
meninggi diri. Guru harus menganggap setiap orang mempunyai harga diri yang
perlu dihormati tanpa sebarang prasangka buruk. Ia bersifat timbang rasa dan
suka mengambil berat dalam melaksanakan tugas. Menjadikan sekolah sebagai
sebuah keluarga besar yang penuh kemesraan serta bersifat simpati dan empati
dalam menjalankan tugas seharian.
Perbezaan Guru Lelaki Dan Guru Wanita
Berdasarkan statistik terkini Kementerian Pendidikan
Malaysia, jumlah bilangan guru antara guru lelaki dan guru wanita adalah sangat
ketara. Pada peringkat sekolah rendah, guru lelaki ialah 73, 166 orang manakala
guru wanita pula ialah 167, 902 orang. Perbezaan antara guru lelaki dan guru
wanita di sekolah rendah ialah 94, 736 orang. Pada peringkat sekolah menengah
pula, jumlah guru lelaki ialah 55, 456 orang, manakala guru wanita ialah 123,
416. Ini menunjukkan perbezaan jumlah guru ialah 67, 960 orang. Kita perlu
menerima hakikat bahawa jumlah guru wanita lebih ramai berbanding guru lelaki.
Namun, jika dilihat daripada Jabatan Statistik Negara, jumlah lelaki mencecah
14.56 juta orang, iaitu lebih tinggi berbanding 13.77 juta wanita. Dimanakah
perginya jumlah lelaki yang ramai ini? Berkemungkinan individu lelaki ini
menceburi bidang lain seperti kejuruteraan, kedoktoran dan sebagainya.
Zakaria
bin Kasa dan Abdul Rahman bin Md Aroff (1995) telah manjalankan kajian dengan
tajuknya Sikap dan Masalah Guru Pelatih dalam Menjalani Latihan Mengajar.
Kajian ini bertujuan mengenalpasti sikap pelajar terhadap latihan mengajar dan
masalah yang dihadapi semasa menjalani latihan tersebut. Dapatan kajian
mendapati lebih 50% guru pelatih perempuan menyatakan mereka menghadapi
kesukaran dalam semua aktiviti iaitu mengajar dalam tempoh yang membolehkan
murid memberi tumpuan sepenuhnya, memilih alat bantu mengajar yang sesuai,
memilih kaedah mengajar yang sesuai, mengetahui latar belakang setiap murid
yang diajar, mengingati semua nama murid yang diajar, mengatasi masalah
kewangan, mengatasi masalah kerisauan dan menyediakan berbagai-bagai jenis
soalan. Berbeza pula dengan guru lelaki, lebih 50% daripada mereka menyatakan
sukar menyediakan berbagai-bagai jenis soalan, mengingati semua nama murid yang
diajar dan mengatasi masalah kewangan. Lantaran itu, jelaslah di sini, terdapat
perbezaan antara guru lelaki dan guru wanita dari segi sikap dan masalah dalam
menjalani latihan mengajar. Untuk mengelak daripada menghadapi banyak masalah
semasa menjalani latihan mengajar, guru pelatih perlu mengenalpasti masalah
yang mungkin dihadapi sebelum menjalani latihan mengajar dan kemudian membuat
satu rancangan yang logikal untuk mengatasinya.
Azizi
bin Yahya dan Nik Diana Hartika binti Nik Husain (2002) ada menjalankan kajian
berkaitan Tahap Stres dan Faktor-Faktor yang Mempengaruhinya di Kalangan
Guru-Guru Sekolah Menengah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor.
Kajian ini bertujuan mengenalpasti tahap stres serta faktor-faktor yang
mempengaruhinya di kalangan guru sekolah menengah. Dapatan kajian mendapati
tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara faktor stres dengan jantina
guru. Bagi aspek bebanan kerja, hubungan interpersonal dan masalah peraturan
sekolah tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara guru lelaki dan guru
wanita. Ini menunjukkan guru-guru di sekolah menengah mengahadapi stres bebanan
kerja yang sama antara lelaki dan perempuan. Tiada perbezaan stres yang dapat
dilihat dari ketiga-tiga aspek ini. Walaubagaimanapun, dari aspek masalah
displin pelajar, terdapat perbezaan yang signifikan antara guru lelaki dan guru
wanita. Ini menunjukkan terdapat perbezaan antara guru lelaki dan guru wanita
dalam menghadapi stres berkaitan masalah displin pelajar. Sehubungan itu,
penyelidik berpendapat langkah berjaga-jaga haruslah diambil bagi mengelakkan
stres ini mereka dan berada pada tahap yang tinggi.
Selain
itu, kajian yang dilakukan oleh Sukiman bin Saad, Noor Shah bin Saad dan Mohd
Uzi bin Dollah (2003) yang bertajuk Pengajaran Kemahiran Berfikir : Persepsi
dan Amalan Guru Matematik semasa Pengajaran dan Pembelajaran di Bilik Darjah
bertujuan untuk melihat sama ada terdapat perbezaan pengajaran amalan
pengajaran kemahiran berfikir antara jantina dan pengalaman mengajar. Fokus
utama diberikan kepada persepsi guru terhadap pengajaran kemahiran berfikir
yang merangkumi aspek pendekatan pengajaran, bilai dan kepentingan pengajaran
kemahiran berfikir efikasi guru, dan juga sokongan kurikulum dan sekolah.
Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa tidak terdapat perbezaan persepsi dan
amalan guru Matematik semasa pengajaran dan pembelajaran antara guru lelaki dan
guru wanita.
Kesimpulan
Sebagai
kesimpulannya, setiap guru itu berbeza dari segi sikap dan tingkah lakunya.
Terdapat sikap yang positif atau negatif. Justeru kita sebagai bakal guru
berada pada tahap yang atas atau bawah. Namun demikian, kita seharusnya
sentiasa membimbing diri kita ke arah yang lebih baik pada masa akan datang.
Langkah kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan
menyeimbangkan pengambilan guru pada tahun akan datang pada kadar sama, iait 50
peratus untuk guru lelaki dan guru wanita, patut disambung secara positif dan
merupakan langkah baik serta memandang ke hadapan. Langkah dan usaha positif
ini sebenarnya sudah lama ditunggu-tunggu oleh guru-guru dan ia patut disokong
oleh ibu bapa serta masyarakat bagi mengatasi beberapa masalah displin di sekolah.
Pada masa ini, nisbah guru lelaki dan guru wanita di sekolah tidak seimbang.
Majoriti guru wanita melebihi guru lelaki dan jurangnya amat ketara, terutama
di bandar-bandar iaitu 70 wanita berbanding 10 lelaki.
No comments:
Post a Comment