Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Jurang Perbezaan
Pencapaian Pelajar dalam Aspek Sosial.
Sosial
bermaksud
Menurut
Dr. Affizal Ahmad dalam kajiannya mengenai kepentingan pendidikan dalam
pembentukan kualiti hidup sejahtera menyatakan pendidikan boleh menjelaskan
keupayaan individu dalam mengurus hidup berkualiti kerana faktor ekonomi dan
sosial bergantung kepada pendidikan yang diterima. Pendidikan sangat efektif
bagi menentang kemiskinan, membina demokrasi dan membentuk masyarakat yang
sejahtera. Pendidikan juga bertindak sebagai pemangkin kesejahteraan hidup ke
arah sumber ekonomi yang mantap, keupayaan kawalan diri dan kestabilan hubungan
sosial. Pendidikan berkualiti merupakan suatu konsep yang dinamik, berubah dan
berkembang mengikut masa dan berubah dalam konteks sosial, ekonomi dan
persekitaran setempat.
2.1 Sosioekonomi
Berdasarkan
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), jurang sosioekonomi dilihat
daripada tiga aspek utama iaitu pendidikan tertinggi ibu bapa, purata pendapatan
isi rumah serta purata murid menerima bantuan asas kewangan bawah kumpulan Wang
Amanah pelajar Miskin (KWAMP). Sosioekonomi yang rendah mempengaruhi pencapaian
akademik pelajar. Hal ini sejajar dengan kajian yang dilakukan oleh Abdul Razaq
Ahmad dan Zalizan Mohd Jelas (2009) dalam kajian kesedaran pendidikan dalam
kalangan masyarakat orang asli, dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap
sosioekonomi yang rendah mempengaruhi pencapaian akademik anak-anak orang asli.
Faktor pertama ialah tahap pendidikan ibu bapa yang sangat memainkan peranan
penting dalam pencapaian akademik anak-anak mereka sebagai contoh pemikiran ibu
bapa yang mempunyai tahap pendidikan yang tinggi mampu membantu anak-anak
mereka dalam membuat sesuatu keputusan dan mereka sedar akan kepentingan
pendidikan itu sendiri. Perkara ini berbeza apabila ibu bapa tidak mempunyai
tahap pendidikan yang tinggi. Mereka tidak dapat membantu anak mereka dalam
pelajaran, tidak mampu membuat keputusan dalam memilih kerjaya anak mereka dan
lebih menyedihkan lagi mereka lebih menumpukan kepada pekerjaan untuk menampung
keperluan hidup sehingga mengabaikan pendidikan anak-anak mereka. Tahap
pendidikan ibu bapa juga membataskan komunikasi antara anak-anak dengan ibu
bapa. Jika anak-anak menghadapi sebarang masalah dalam akademik, ibu bapa yang
mempunyai tahap pendidikan yang tinggi akan membantu dalam akademik dan disini
akan mewujudkan komunikasi antara ibu bapa dan anak-anak berbeza dengan ibu
bapa yang mempunyai tahap pendidikan yang rendah. Hubungan di antara anak-anak
dan ibu bapa akan menjadi lebih rapat. Kebanyakan ibu bapa di luar bandar akan
menyerahkan segala urusan pendidikan kepada pengurusan pihak sekolah sedangakan
ibu bapa yang mempunyai tahap pendidikan yang tinggi akan membantu anak-anak
mereka dalam membuat keputusan mengikut bidang yang anak-anak mereka minati.
Selain itu, faktor kedua ialah
purata pendapatan isi rumah. Menurut Khoo Wei Sheng et al. (2011) dalam
kajiannya faktor sosioekonomi mempengaruhi minat membaca dalam kalangan pelajar
Tingkatan 6 Atas mendapati status sosioekonomi keluarga menentukan pembentukan
minat membaca anak-anak. Pelajar-pelajar yang berasal daripada keluarga yang
berstatus ekonomi tinggi akan dapat kemudahan pembacaan serta bahan-bahan
bacaan yang merangsang minat membaca anak-anak. Berdasarkan kajian itu juga,
kita dapat membuat rumusan apabila sesebuah keluarga mempunyai pendapatan yang
tinggi maka kemudahan pembelajaran anak-anak akan disediakan dengan lengkap dan
baik. Bagi golongan yang berpendapatan rendah pula tidak mampu menyediakan
kemudahan pendidikan dari segi peralatan, buku latihan dan sebagainya.
Kajian yang dilaksanakan oleh
Mohamad Johdi Salleh et. al (2009) menunjukkan bahawa pendapatan ibu bapa yang
rendah tidak mampu menyediakan ruang belajar untuk anak-anak. Berdasarkan
pemerhatian pengkaji di perkampungan orang asli
Batu 12 dan Ulu Chemperoh, kebanyakan rumah hanya mempunyai satu bilik
dan ada sesetengahnya yang langsung tidak mempunyai bilik dimana disitu tempat
mereka tidur, disitu tempat mereka makan dan disitu jugalah tempat mereka
belajar. Keadaan yang tidak kondusif ini menyukarkan anak-anak orang asli untuk
belajar. Ibu bapa juga perlu menyara keluarga kerana kebanyakan mereka yang
berpendapatan rendah mempunyai anak yang ramai. Bagi masyarakat orang asli,
anak-anak merupakan sumber tenaga kerja untuk membantu keluarga dalam mencari
rezeki dan mereka tidak menerima pandangan bahawa pendidikan boleh membantu
masyarakat orang asli memperbaiki kehidupan mereka. Walaupun terdapat segelintir anak-anak orang
asli telah berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi tetapi
mereka tidak mahu membantu dalam memajukan serta menyedarkan masyarakat orang
asli akan kepentingan pendidikan itu sendiri.
Namun begitu, pelbagai usaha telah
dilakukan oleh kerajaan untuk membantu penduduk luar bandar khususnya
masyarakat orang asli bagi merapatkan jurang pendidikan sekolah luar bandar dan
bandar. Antara usaha yang dilakukan oleh kerajaan ialah memberi peruntukan yang
besar dalam bajet 2014 dengan memberi penekanan kepada usaha memperkasakan
pendidikan luar bandar serta pelaksanaan sistem pembelajaran menerusi
1bestarinet. Bagi penduduk orang asli pula, kerajaan telah mewujudkan sebuah
jabatan iaitu Jabtaan Hal Ehwal Orang Asli (JHEAO) yang bertujuan untuk menjaga
kebajikan masyarakat orang asli. Antara usaha yang telah dilaksanakan oleh
JHEAO dari segi pendidikan ialah menyediakn segala kemudahan tempat tinggal di
asrama dan keperluan persekolahan secara percuma tetapi jurang pendidikan di
sekolah luar bandar dan bandar masih berada di tahap yang membimbangkan pihak
kerajaan.
2.2 Peranan Guru
Selain daripada sosioekonomi,
kualiti guru juga dapat menyumbang kepada jurang pencapaian matematik. Seperti
yang kita maklum, guru merupakan pemacu yang sangat penting bagi pencapaian
pelajar. Guru bukan sahaja bertindak sebagai pengajar namun sebagai pendidik
yang mendidik pelajar menjadi individu yang berguna. Begitulah besar tugas dan
pengorbanan seorang guru. Menurut Baber dan Mourshed (2007), kualiti sesuatu
sistem sekolah tidak boleh melebihi kualiti guru. Ini menunjukkan bahawa jika
kita ingin membentuk kejayaan sesebuah sekolah, kita perlu meningkatkan kualiti
gurunya terlebih dahulu.
Terdapat pelbagai isu yang menyebabkan kualiti seseorang
guru diragui. Namun, isu yang ingin dibincangkan di sini adalah apabila
wujudnya guru yang mengajar bukan opsyen di sekolah. Seperti sedia maklum,
kebanyakan graduan-graduan Ijazah sarjana Muda (ISMP) sekarang tidak mendapat
opsyen masing-masing. Sedangkan, opsyen tersebut telah ditentukan
semasa tempoh praperkhidmatan. Perkara ini selaras dengan matlamat kementerian
untuk memastikan bakal guru mempunyai pengetahuan kandungan dan kefahaman yang mencukupi untuk
mengajar mata pelajaran tersebut dengan berkesan. Namun, matlamat kementerian
untuk menempatkan guru mengikut opsyen setelah mereka tamat menjalani latihan
tidak dapat dicapai sepenuhnya. Keadaan ini berlaku akibat daripada
ketidaksepadanan dalam pengagihan guru mengikut opsyen.
Situasi ini dapat dilihat berdasarkan Laporan Awal Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), di mana ia menyatakan bahawa wujudnya
sebilangan guru yang terpaksa mengajar mata pelajaran bukan opsyen dan mengajar
mata pelajaran yang mereka kurang mahir. Sebagai contoh, pada tahun 2011,
hampir 6,000 guru mata pelajaran Bahasa Malaysia bagi sekolah rendah telah
ditempatkan untuk mengajar mata pelajaran lain disebabkan terdapat lebihan guru
berbanding dengan kekosongan jawatan bagi mata pelajaran tersebut. Isu tersebut
semakin parah apabila terdapat guru bukan opsyen terpaksa mengajar mata pelajaran kritikal
seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris bagi memenuhi keperluan pelajar.
Isu ini telah memberi impak yang besar kepada
para pelajar mahupun guru. Antara impak yang diperolehi guru adalah mereka
kurang bersedia untuk mengajar akibat daripada tahap penguasaan pengetahuan
pedagogi isi kandungan (PPIK) yang lemah.
Guru yang merasa diri mereka dipaksa pula akan bersikap sambil lewa dan
kurang persediaan untuk mengajar. Menurut Maisarah Ismail (2013), guru diminta
mengajar mata pelajaran bukan kepakarannya dan perkara ini hanya memberi kesan
negatif kepada pembelajaran murid dan membawa kepada hasil yang kurang berkesan
dalam bidang pendidikan mahupun pengetahuan murid. Selain itu, murid juga akan
merasa kurang yakin dengan ilmu yang ada pada guru bukan opsyen.
Tambahan lagi, guru mengajar bukan opsyen akan mengalami
masalah dalam menguasai sesuatu konsep matematik. Konsep guru yang tidak jelas
dan kukuh akan menyebabkan mereka mengalami masalah dalam proses memberi
penjelasan kepada pelajar. Sedangkan, kefahaman konsep di dalam matematik adalah
amat penting dalam proses pembelajaran. Pendapat ini turut disokong oleh Yazid
(2008), yang menyatakan bahawa guru yang lemah konsep Sains dan Matematik dan
strategi pengajaran telah menyebabkan pelajar mengalami masalah pembelajaran
dalam Sains dan Matematik. Selain itu, menurut Norasliza Hassan (2008),
kefahaman konsep yang tidak mencukupi tidak mampu untuk mewujudkan suasana
pembelajaran yang bermakna dan mencabar. Ini bertepatan dengan konsep guru yang
rendah dan menyebabkan mereka sukar untuk melaksanakan pembelajaran yang
berkualiti.
Berbalik kepada jurang matematik, tidak semua guru bukan
opsyen ditempatkan di luar bandar mahupun bandar. Namun, isu tersebut jelas
dapat menimbulkan jurang dalam pencapaian matematik.
2.3 Mentaliti Masyarakat
Masyarakat
terdiri daripada beberapa lapisan ahli atau kelas yang mempunyai orientasi yang
berbeza dan salah satu sumber ke arah kecemerlangan bidang pendidikan. Mengikut
Kamus Dewan (1998) dalam buku Pendidikan Di Malaysia (Mok Soon Sang, 2003),
masyarakat terdiri daripada sekumpulan manusia yang hidup bersama dalam sesuatu
tempat mengikut peraturan dan cara tertentu. Perubahan yang berlaku dalam
masyarakat turut mempengaruhi sistem pendidikan di sekolah. Menurut Durkheim
(1956), dipetik daripada buku Sekolah Dan Masyarakat menyatakan perkembangan
pendidikan adalah berkait secara langsung dengan perubahan-perubahan idea dan
keperluan dalam masyarakat.
Menurut kajian yang dibuat Steve
Nettleton (2007) menyatakan kedudukan geografi masyarakat orang asli yang
terletak jauh di pedalaman telah mengukuhkan pemikiran kebanyakan orang asli
bahawa tiada faedah untuk anak-anak mereka ke sekolah. Mentaliti
masyarakat orang asli yang menerima apa sahaja tanpa ada usaha untuk memajukan
diri dan meningkatkan taraf hidup turut mempengaruhi pencapaian akademik orang
asli. Contohnya, segelintir masyarakatnya yang berjaya melanjutkan pelajaran ke
peringkat tinggi tidak mahu pulang berbakti memajukan dan menyedarkan
masyarakat sendiri.
Selain itu, peranan PIBG juga
memainkan peranan penting dalam pencapaian akademik pelajar di mana membantu
sekolah dalam pelbagai aktiviti demi kebaikan anak-anak yang belajar di sekolah
tersebut. Contoh yang boleh dilihat ialah PIBG boleh membantu menambah sumber
kewangan dan meningkatkan kemudahan dengan menubuhkan tabung pendidikan yang
bertujuan untuk kebajikan dan manfaat kepada sekolah dan para pelajar. Peranan
PIBG tidak boleh dipandang remeh oleh masyarakat kerana dapat bergabung dengan
para guru membentuk satu komuniti yang dapat meningkatkan pencapaian pelajar
seperti mengadakan seminar, motivasi dan bengkel selain dapat dapat menangani
pelajar bermasalah dengan mengadakan program pemulihan akhlak, kem bina
semangat dan sesi kaunseling. Hal ini bukan sahaja dapat mengurangkan masalah
disiplin malah dapat meningkatkan prestasi akademik para pelajar.
Di samping itu, terdapat dua teori
yang boleh dikaitkan dengan pendidikan dan masyarakat di mana dua teori
tersebut ialah Teori Fungsionalisme oleh Comte, Spencer dan Durkheim mengkaji
fungsi perlakuan sosial atau institusi menyumbang kepada penerusan masyarakat.
Mereka turut menyatakan masyarakat dilahirkan dengan kebolehan dan bakat yang
berbeza antara satu sama lain. Manakala, teori konflik oleh Marx pula
melibatkan masyarakat yang sentiasa berubah-ubah, berkonflik dan sentiasa ingin
memperjuangkan kepentingan masing-masing.
No comments:
Post a Comment