Tuesday, December 15, 2015

Guru kurang realistik




 TANGGUNGJAWAB GURU 
Guru adalah individu yang dilatih untuk menyampaikan ilmu kepada individu yang dipanggil pelajar. Guru memegang watak penting dalam pengajaran untuk memberikan maklumat yang bernas untuk diaplikasikan oleh pelajarnya. Guru merupakan satu diantara pembentuk-pembentuk utama calon masyarakat (Akhyak,2005). Oleh itu, guru sebenarnya memegang tanggungjawab untuk sentiasa mencari ilmu dan mengamalkannya bagi memenuhi keperluan pendidikan dan masa depan generasi muda negara. 

  • Mengajar atau mendidik
Guru bukan sahaja mengajar seharusnya juga mendidik para pelajar. Mereka yang berniat untuk mendidik akan sentiasa menganggap kerjaya guru ini adalah satu amanah yang perlu dilaksanakan untuk membangunkan bangsa dan negara. Sesungguhnya pendidikan merupakan medium yang boleh mempengaruhi keberhasilan sesebuah negara. Perkataan mengajar dan mendidik merupakan dua perkataan yang berada dalam ruang lingkup yang sama namun dalam konteks makna masing-masing berbeza. Dengan hanya mengajar sahaja belum tentu seorang guru mampu mengubah ‘orang’ kepada ‘manusia’. Pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan belum tentu cemerlang dalam kehidupannya. Hal ini kerana mengajar adalah menyampai ilmu berdasarkan apa yang akan ditanya dalam peperiksaan dan bukannya menerapkan simulasi permasalahan harian yang menjurus kepada amalan dunia akhirat. Maka tidak hairanla ramai pelajar yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia tetapi tidak mampu beradaptasi dengan dunia universiti.
Dalam konteks mendidik, guru menyiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran agar dapat menyediakan pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada pelajar yang akan digunakan untuk menegakkan keadilan dan kebenaran serta digunapakai untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara. Pendidik bertanggungjawab memberi pertolongan kepada anak didik dalam perkembangan jasmani dan rohaninya agar mencapai peringkat kedewasaan, mampu berdikari dan memenuhi tuntutan kehidupan dan sosialnya. Pelajar yang terdidik fizikal, emosi, jasmani dan rohani mampu bertahan dalam apa jua keadaan serta boleh beradaptasi dengan pelbagai situasi kehidupan. Selaras dengan matlamat pendidikan negara iaitu untuk melahirkan individu yang  mampu berfikir di luar konteks kehidupannya.

  • Guru Kurang Realistik
“Realistik” didefinisikan secara umum dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (2012) sebagai perihal yang bersifat atau menunjukkan kenyataan yang sebenarnya. Dalam konteks Pengajaran dan Pembelajaran, realistik merujuk kepada kaitan isi pengajaran dengan dunia nyata atau realiti iaitu pengajaran yang menampilkan contoh sebenar yang wujud di sekeliling kehidupan pelajar.
Freudenthal (1971) ada menyatakan “matematik mesti dikaitkan dengan realiti dan perlu melihat matematik sebagai aktiviti kemanusiaan”. Beliau yang merupakan pelopor kepada model pembelajaran realistik di Netherlands telah membuktikan bahawa pembelajaran secara realistik dapat meningkatkan tahap pencapaian pelajar. Pembelajaran realistik ini bukan hanya menerapkan kaitan masalah matematik dengan dunia sebenar tetapi turut menggalakkan  pelajar berimaginasi terhadap sesuatu masalah matematik. Guru berperanan untuk memilih apa sahaja pendekatan dalam pengajaran untuk membolehkan pelajar berimaginasi terhadap permasalahan matematik yang diutarakan. Maka dengan itu, realistik dalam pengajaran dan pembelajaran adalah bagaimana seorang guru mampu mengaitkan isi pembelajaran dalam lingkup kehidupan pelajar.
Guru kurang realistik adalah individu yang kurang menerapkan konsep matematik dengan permasalahan harian pelajar. Mereka ini hanya menyampai ilmu berdasarkan susunan tajuk-tajuk matematik dalam buku teks sahaja dan menyasarkan pelajar dapat menguasai kesemua konsep tersebut hanya secara teoritikal. Pada mereka pencapaian pelajar dalam peperiksaan merupakan tanda ukur utama kepada kejayaan pengajarannya. Amalan sebegini membina jurang pengalaman pembelajaran bermakna bagi pelajar. Mereka hanya dapat menyelesaikan masalah matematik di atas kertas sahaja tanpa mampu menyelesaikan masalah yang sama dalam konteks kehidupan sebenar. Hal ini juga menyumbang kepada kemahiran berfikir aras rendah pelajar sedangkan kerajaan menyasarkan pelajar perlu dilatih untuk berfikir pada aras tinggi supaya mampu bersaing dengan masyarakat global.


FAKTOR GURU KURANG REALISTIK
a)   Kurang Berpengetahuan
Guru kurang berpengetahuan merupakan salah satu daripada faktor utama guru kurang realistik. Menurut Kamus Dewan, pengetahuan yang diterbitkan dari kata kerja tahu disinonimkan dengan  ilmu, kepandaian, kebijakan, kebijaksanaan, kepakaran, kemahiran, kepintaran, keahlian, pelajaran dan pendidikan. Guru kurang pengetahuan boleh didefinisikan sebagai guru yang kurang ilmu, kepandaian, kepakaran, dan kemahiran dalam sesuatu bidang terutamanya dalam bidang pendidikan yang diceburi mereka. Menurut Aziz Omar, Sabri Ahmad & Tengku Azwawi (2006), adakalanya guru yang mengajar matematik merupakan mereka yang kurang berkelayakan dan tidak berpengalaman dalam bidang matematik.
Guru kurang pengetahuan pula berpunca dari pelbagai aspek. Salah satu daripadanya adalah guru bukan opsyen. Dewasa ini, terdapat lambakan siswazah yang masih lagi menganggur. Apabila tidak mendapat kerja yang berkaitan dengan opsyen yang dipilih, mereka mengambil keputusan untuk mengambil Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) dengan harapan mereka akan dapat menjadi guru dengan hanya setahun pengajian. Di sini timbul isu guru kurang berpengetahuan dari segi pedagogi walaupun mereka mahir dari segi kandungan subjek tersebut. Pengetahuan pedagogi dapat membantu guru mengajar dengan berkesan. Pengajaran dapat berjalan dengan baik dan pelajar pula mendapat manfaat daripada pengajaran itu (Esah Sulaiman, 2004). Asas pedagogi yang kurang boleh menyebabkan pelajar tidak tertarik dan faham dengan pengajaran yang dilakukan guru.
Di sekolah, guru-guru baru diberikan tanggungjawab untuk mengajar subjek yang bukan opsyen asalnya. Suka atau tidak, guru terpaksa memikul tanggungjawab yang diberikan kerana ia telah ditetapkan kepadanya. Masrizal (2003) dalam kajiannya menunjukkan bahawa akan timbul
masalah kepada guru-guru yang mengajar mata pelajaran yang bukan pengkhususannya. Kesannya guru tidak dapat menjelaskan konsep dengan baik dan sempurna serta tidak dapat membuatkan pelajar mengaitkan apa yang mereka pelajari dengan kehidupan seharian. Guru bukan opsyen juga akan mengajar dengan sambil lewa memandangkan subjek yang diajar bukan bidang yang digemarinya. Mereka juga kurang bersedia memandangkan mereka kurang pengetahuan tentang konsep dan pedagogi.
Guru kurang menganalisis kandungan setiap topik juga menjadi punca guru kurang pengetahuan. Bagi guru-guru baru, mereka mengambil masa yang agak lama untuk memantapkan diri mereka dengan kandungan bagi setiap topik yang diajar. Apabila di dalam bilik darjah, terdapat beberapa soalan berkaitan tidak dapat dijawab terus oleh guru malah guru mengambil masa sehingga P&P yang seterusnya untuk menjawab soalan tersebut kerana perlu membuat rujukan terlebih dahulu. Bagi guru-guru yang telah lama berkhidmat dalam bidang pendidikan, mereka mungkin tidak mempunyai masalah dalam menguasai setiap topik yang diajar. Menurut Tengku Zawawi, Ramlee & Abdul Razak (2009), guru berpengalaman dan mempunyai pengetahuan matematik yang tinggi, memiliki pengetahuan pedagogi isi kandungan yang baik.
Selain itu, guru lemah konsep matematik juga menjadi punca kepada jurang pencapaian pelajar dalam matematik. Dalam mencapai matlamat kurikulum dan objektif yang telah ditetapkan, guru memainkan peranan yang amat penting dalam menyampaikan isi kandungan yang telah dinyatakan dalam standard kurikulum (Aini Hayati et.al, 2013). Dalam hal ini, guru bukan opsyen matematik dikaitkan. Mereka menghadapi masalah dalam menguasai konsep matematik kerana mereka bukanlah mempelajari kursus matematik semasa pengajian ijazah mereka.
b)   Jangkaan Guru
Faktor kedua yang mempengaruhi jurang pencapaian matematik pelajar sekolah rendah atau sekolah menengah adalah jangkaan guru. Menurut Kamus Dewan, jangkaan ditakrifkan sebagai apa-apa yg dijangka, dugaan dan sang­kaan. Jangkaan guru boleh ditakrifkan sebagai tanggapan guru terhadap para pelajarnya. Menurut Sharifah Alawiyah (1987), terdapat beberapa jenis atau bentuk pengaliran dan pembezaan yang biasa dilaksanakan di sekolah atau bilik darjah dalam sistem pendidikan sesebuah negara, iaitu pengaliran, bukan pengaliran, pengaliran berband (banding) dan pengaliran tersembunyi, pengaliran berset (setting) dan pengaliran bergred (grading).
1.      Pengaliran Tersembunyi
Pengaliran jenis ini ialah tidak berdasarkan penilaian kebolehan, tingkah laku dan latar belakang keluarga sebaliknya ia berdasarkan kriteria atau pandangan guru yang tersendiri. Biasanya pada peringkat murid-murid yang baru masuk ke sekolah rendah atau Darjah Satu, guru telah membuat pemilihan berdasarkan tingkah laku atau pandangan serta kepercayaan guru sendiri. Kumpulan tersebut biasanya dikekalkan untuk beberapa tahun.
2.      Pengaliran Berset (Setting)
Mengumpulkan murid berdasarkan kebolehan mata pelajaran tertentu. Misalnya murid yang mendapat pencapaian yang baik dalam mata pelajaran Matematik dan Sains dalam PMR bolehlah diletakkan ke kelas aliran sains. Di Malaysia pengaliran banyak bermula pada Tingkatan Empat.
3.      Pengaliran Bergred (Grading)
Pengumpulan jenis ini ialah berdasarkan kemajuan dan pencapaian pelajar dan bukan berdasarkan ukuran kebolehan atau umur. Ia banyak dilaksanakan di Amerika dan Rusia.
            Jangkaan guru yang tinggi dan positif akan membantu pelajar menghadapi persekolahan mereka dengan penuh minat dan bersemangat untuk berjaya. Keinginan dan motivasi yang tinggi lahir daripada sikap yang positif (Sufean, 1996). Apabila seseorang pelajar mendapat jangkaan yang tinggi dan positif dari seorang guru, mereka beranggapan bahawa guru menaruh harapan yang tinggi kepadanya dan sebagai seorang pelajar mereka tidak mahu menghampakan guru mereka. Menurut kajian yang dijalankan oleh (Wan Zah et.al, 2009), persepsi pelajar kelas lemah adalah agak negatif jika dibandingkan dengan pelajar kelas pandai terhadap jangkaan guru terhadap mereka. Bagi pelajar, jika guru sudah beranggapan rendah terhadap kemampuan mereka, secara automatiknya tahap motivasi mereka menurun dan membuatkan mereka tidak mempunyai semangat untuk berjaya. Mereka beranggapan tidak ada gunanya mereka berjaya sedangkan guru awal-awal lagi memandang rendah akan kebolehan mereka.
c)      Kurang Berpengetahuan
Faktor ketiga yang membawa kepada guru kurang realistik adalah disebabkan oleh kurang pergetahuan dari guru tersebut. Pengetahuan yang rapi sebelum memulakan sesuatu kerja amat dititikberatkan untuk memastikan hasil yang berkualiti dan mencapai objektif serta sasaran yang ditetapkan. Begitu juga dengan tanggungjawab sebagai seorang guru. Sebelum memulakan pengajaran, seorang guru perlu menyediakan Rancangan Pengajaran Harian (RPH). Di dalam RPH ini seorang guru akan merancang kaedah, strategi dan teknik yang akan digunakan untuk mencapai hasil pembelajaran tajuk berikut. Pelbagai kemungkinan boleh terjadi sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran sama ada di dalam bilik darjah ataupun makmal.
            Segala masalah yang bakal timbul sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran ini akan mengganggu kelancaran pengajaran guru. Sebagai langkah pencegahan, guru tersebut perlu mempersiapkan diri sebelum memulakan tugas mengajar. Menurut (Mok, S.S. 2002), persediaan mengajar mempunyai tiga komponen penting iaitu komponen persediaan, penyampaian dan penutup. Oleh itu, guru itu sendiri perlu mempersiapkan diri dengan teknik bagaimana yang mereka perlu guna untuk menarik minat murid meneruskan pembelajaran, cara penyampaian yang digunakan perlulah bersesuaian dengan tahap kebolehan dan pengetahuan sedia ada mereka serta kaedah penutup sesi pembelajaran yang bagaimana ingin digunakan oleh guru.
            Seterusnya, kita kupas isu yang berkaitan dengan persediaan isi kandungan dan bahan pengajaran. Menurut Laporan Penilaian Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) yang dilakukan oleh para pensyarah maktab-maktab perguruan di Malaysia mendapati sebilangan besar guru-guru tetap dan kekal mengamalkan gaya pengajaran sehala iaitu “chalk and talk”. Menurut Mohd Majib Konteng (1997), kenyataan ini disokong oleh Jemaah Nazir Sekolah pada tahun 1992 di mana mereka menjelaskan bahawa guru masih kekal dengan peranan lama mereka sebagai pengajar dan masih lagi membahaskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran ke arah peperiksaan semata-mata.  Hal ini berlaku disebabkan guru malas untuk membuat persediaan dan perancangan dalam pengajaran yang bakal berlangsung terutamanya guru perempuan yang sudah berkeluarga. Segelintir dari mereka sibuk dalam menguruskan rumah tangga sehingga tiada masa untuk memikirkan kaedah pengajaran.
            Selain itu, terdapat juga segelintir guru veteran yang tidak suka akan perubahan kerana bagi mereka kaedah menggunakan papan hitam ini merupakan kaedah yang terbaik. Sedangkan jika dilihat pada sikap dan penerimaan murid pada masa kini, mereka lebih gemarkan kaedah pembelajaran yang mencabar dan menarik. Tidak menjadi satu kesalahan jika guru ingin menggunakan kaedah “talk and chalk” tetapi bagaimana teknik penyampaian mereka adakah bersesuaian dengan peringkat umur murid? Adakah bersesuaian dengan masa? Dan yang paling penting adakah murid dapat menerima ilmu yang kita sampaikan?. Bagi golongan guru yang sudah berpengalaman mungkin mereka sudah arif tentang perkaitan antara tajuk yang diajar dengan kehidupan seharian tetapi adakah pengetahuan mereka selaras dengan pembangunan negara?. Sebagai contoh, jika seorang murid bertanya apakah kepentingan untuk mereka belajar tajuk pembezaan dan pengamiran dalam hidup mereka? Jika seorang guru yang kurang pengetahuan mungkin akan memberi alasan yang tidak dapat membuktikan kepentingan pembelajaran tajuk pembezaan dan pengamiran dalam kehidupan mereka. Oleh itu, murid hanya akan belajar untuk lulus peperiksaan bukan untuk diaplikasikan dan akan melupakan tajuk berikut setelah tamat peperiksaan. Oleh itu, kurang persediaan dari segi isi kandungan dan bahan pengajaran ini akan menyebabkan guru-guru tersebut tidak dapat membawa murid berfikir di luar kotak serta tidak dapat mengaitkan pembelajaran mereka dengan kehidupan seharian.
            Jika difikirkan kembali, apakah yang dilakukan oleh guru sehingga tiada masa memikirkan persediaan mengajar sebelum mengajar? Ibu bapa mungkin mengatakan guru makan gaji buta tetapi sedarkah ibu bapa bahawa tugas seorang guru bukan sekadar menyampaikan ilmu di kelas?. Pada hakikatnya, guru juga memikul tugas bukan akademik seperti tugas-tugas pengkeranian, tugas-tugas khas dan tugas kokurikulum. Merujuk kepada akhbar bertarikh 1 April 2010 keratan yang bertajuk ‘Seksa Jadi Guru’. Berdasarkan artikel ini, dikatakan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) telah membuat aduan mengenai beban tugas guru kepada Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 20 Mac 2010.
            Berdasarkan keratan akhbar tersebut, Jemali Paiman selaku Pengerusi Majlis Permuafakatan Kesatuan Guru Malaysia menyatakan tugas guru kelas adalah yang paling teruk contohnya guru perlu menyediakan maklumat peribadi murid, mengutip yuran, sediakan buku kedatangan murid, dapatkan maklumat murid dan keluarga serta menjadi pegawai kesihatan untuk merekodkan maklumat kesihatan. Berdasarkan artikel ini juga dapat dirumuskan bahawa isu beban tugas guru perlu dipandang serius bukan sahaja oleh pihak kerajaan, malahan semua pihak termasuk masyarakat. Ini kerana, beban tugas yang semakin bertambah dan kian mencabar telah menyebabkan prestasi seorang guru terjejas dan ini secara tidak langsung menjejaskan prestasi murid-murid di sekolah.

d)           Pendekatan yang tidak sesuai
            Faktor seterusnya yang boleh membawa kepada guru kurang realistik adalah dari segi pendekatan yang digunakan. Menurut Kamus Dewan (1998), pendekatan merupakan cara atau langkah-langkah yang diambil bagi memulakan dan melaksanakan sesuatu tugas. Apabila melihat kepada konsep pendekatan iaitu cara mendekati sesuatu, ia merujuk kepada cara bagaimana sesuatu mata pelajaran itu diajarkan untuk mencapai objektifnya. Guru yang mengajar mestilah terlebih dahulu mengenal pasti latar belakang murid. Ia akan membantu guru untuk memilih dan merancang pengajaran dengan menggunakan pendekatan yang sesuai.
            Selain itu, kaedah pengajaran adalah merupakan satu proses guru mengajar di mana ia merangkumi cara dan strategi yang digunakan untuk mengajar. Guru akan menggunakan sama ada pendekatan penyampaian maklumat iaitu berpusat guru atau pendekatan perubahan konsep iaitu berpusatkan pelajar. Kaedah pembelajaran yang dipilih juga akan mempengaruhi strategi yang akan digunakan oleh guru atau murid bagi memperoleh maklumat yang berlainan dan menyesuaikan diri dalam situasi pembelajaran yang berlainan.
            Pendekatan penyampaian maklumat tidak menggalakkan murid memberi pendapat mereka sendiri walaupun berkemungkinan besar mempunyai lebih pengetahuan sedia ada dalam diri mereka melalui pemerhatian atau pengalaman sendiri. Maklumat yang disampaikan pula bergantung sepenuhnya pada guru. Jika luas pengetahuan guru mengenai tajuk tersebut maka luas dan panjang lah penerangan guru. Pendekatan berpusatkan guru boleh di ibarat guru memberi syarahan dan murid mendengarnya di meja masing-masing. Situasi sebegini akan menimbulkan kebosanan dan hilang tumpuan murid di dalam kelas.
            Walaupun sudah sedia maklum dengan kelebihan dan kekuatan pengajaran dan pembelajaran berpusatkan murid, guru pada masa kini masih menggunakan kaedah pembelajaran berpusatkan guru sedangkan pendekatan yang disarankan adalah pendekatan berpusatkan murid sejajar dengan National Council for Teaching of Mathematics (NCTM, 2000) yang menyatakan pengajaran yang berkesan memerlukan persekitaran yang kondusif, menggalakkan murid berfikir, menyoal dan menyelesaikan masalah. Jika tidak menggunakan pendekatan berpusatkan pelajar, apakah kepentingan disediakan makmal Matematik di sekolah? Apakah kegunaan makmal komputer di sekolah?
            Seperti mana yang dapat saya perhatikan semasa menjalani praktikal, kebanyakan guru Matematik tidak memberi peluang kepada murid untuk berfikir di luar kotak. Pembelajaran yang dijalankan hanya merujuk dan berpandukan buku teks dan buku latihan. Ia disebabkan oleh sebilangan mereka berpendapat bahawa murid akan menjalani ujian PBS dan jika tidak mencapai band, murid dibolehkan untuk mengulangi ujian tersebut sehingga murid tersebut mencapai band yang disasarkan.
            Pendekatan berpusatkan pelajar bukan sahaja tertumpu pada penggunaan teknologi tetapi boleh juga diwujudkan dengan penggunaan objek maujud. Kita ambil contoh pada tajuk pepejal geometri, guru boleh meminta pelajar duduk di dalam kumpulan kecil dan melakukan aktiviti seperti melukis bentangan bagi kubus dan kuboid. Seterusnya meminta mereka untuk membentuk kubus dan kuboid serta mengenal pasti jumlah bucu, sisi dan garisan simetri. Pendekatan berpusatkan pelajar ini sememangnya memudahkan murid untuk memahami tetapi memerlukan tahap kerajinan yang tinggi di kalangan guru.
            Kesimpulannya, faktor-faktor seperti kurang persediaan guru untuk mengajar akan menyebabkan guru tidak menggunakan pendekatan yang sesuai sewaktu sesi Pengajaran dan Pembelajaran dilaksanakan. Ia juga berkait rapat dengan tugas-tugas sampingan sebagai guru. Guru yang di tugaskan untuk mengajar mata pelajaran bukan dari bidang mereka akan menimbulkan masalah kepada mereka dan murid. Selain itu, guru perlu sentiasa mengikuti perkembangan teknologi supaya dapat menarik minat dan kecenderungan murid untuk mempelajari mata pelajaran khususnya mata pelajaran Matematik yang memerlukan penguasaan konsep yang betul dan tepat. 
  
4.0       KESAN GURU KURANG REALISTIK
a) Pelajar tidak mampu berfikir pada aras yang lebih tinggi
Kesan guru kurang realistik menyebabkan jurang pencapaian pelajar sekolah rendah dan juga sekolah menengah. Gaya pengajaran guru terhadap pelajar yang boleh di anggap lapuk dan lama menyebabkan pelajar tidak dapat menghasilkan pemikiran yang kreatif dan inovatif. Kajian menunjukkan ‘fobia’ matematik terutamanya dalam kalangan pelajar yang lemah adalah konsep matematik yang kurang diberikan penekanan oleh guru yang dianggap terlalu abstrak untuk difahami (Kilpatrik et al, 2001; Romberg et al, 2005). Ini akan menyebabkan pelajar bersikap negatif terhadap matematik dengan mengganggap ianya satu mata pelajaran yang sukar dan menjemukan kerana tidak dikaitkan dengan kehidupan seharian (Ronis, 2008).
Idea yang diberikan oleh pelajar semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung sangat penting.  Idea adalah buah fikiran kreatif dan inovasi yang sangat penting kerana dengan ada idea yang diberikan oleh pelajar dapat membuat keputusan, menyelesaikan masalah dan menjana idea produk konkrit dan abstrak. Jika guru hanya mengajar berpandukan buku teks, memberikan soalan pada aras rendah dan tidak mencabar pemikiran pelajar dengan memberikan soalan pada aras tinggi, menggunakan cara pengajaran yang lama, tidak menggunakan alatan teknologi akan menyebabkan setiap tahun jurang pencapaian matematik bagi sekolah rendah dan menengah akan meningkat.
Sedangkan pada tahun 2013, Kementerian Pendidikan Malaysia telah memperkenalkan Program Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) di mana dengan melaksanakan KBAT dalam subjek matematik dapat menghasilkan pelajar yang cerdas, kreatif dan inovatif bagi memenuhi cabaran abad ke -21 agar negara mampu bersaing dipersada dunia. Jika pelajar tidak mampu berfikir pada aras tinggi, pembelajaran berdasarkan pembelajaran kognitif tidak dapat dipenuhi. Antara hasil pembelajaran kognitif yang digunakan dalam KBAT ialah
a)      Mengetahui / Mengingati
b)      Memahami
c)      Menggunakan
d)     Menganalisis
e)      Mensinstesis
f)       Menilai
Menurut ahli-ahli psikologi kognitif seperti Kohler, Bruner, Gagne dan Ausubel, berpendapat bahawa pembelajaran merupakan suatu proses dalaman yang berlaku dalam akal fikiran dan tidak dapat diperhatikan secara langsung daripada tingkah laku manusia. Teori-toeri pembelajaran di bawah mazhab kognitif ini juga dikenali sebagai teori Gestalt adalah ditumpukan kepada cara pembelajaran seperti pemikiran celik akal, kaedah penyelesaian masalah, penemuan, kategori pembelajaran dan resepsi. Mengikut kajian tokoh-tokoh mazhab kognitif, pembelajaran hanya boleh berlaku berdasarkan murid yang mempunyai cukup pengalaman yang berkaitan untk mempelajari pengalaman baru, disamping mempunyai motif serta rela mengambil inisiatif diri sendiri untuk menjalankan aktiviti pembelajaran. Apabila guru kurang realistik semasa mengajar, maka guru tidak mampu merangsang minat pelajar untuk meminati subjek matamatik.
Persoalan yang boleh ditimbulkan mengapa jurang pencapaian dalam subjek matematik timbul dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah adalah kesan daripada cara pelajar berfikir yang diterapkan oleh guru yang kurang realistik. Mengapa kebanyakkan pelajar kurang kreatif dan inovatif serta tidak dapat berfikir pada aras tinggi boleh diperhatian dari beberapa aspek. Antaranya ialah :
a)      Kurang rela memberi jawapan?
b)      Takut menjawab atau memberi pandangan?
c)      Pasif dan lebih cenderung kepada memberi jawapan berasaskan LOTS (lower order thinking skills)?
d)     Suka menjadi neutral atau tidak ingin melibatkan diri sama ada dalam menjawab atau perbincangan?
e)      Kurang mahir untuk memberi pandangan yang luar dari norma/biasa?
f)       Aktif menjawab semasa kecil tetapi semakin pasif apabila umur semakin meningkat?



b) Pelajar kurang aktif di dalam kelas
Fenomena pelajar kurang aktif dan pasif sering berlaku ditambah dengan masalah guru yang kurang realistik. Antara sebab yang sering dilihat mengapa pelajar pasif di dalam kelas ialah pelajar tidak mempunyai inisiatif dalam pembelajaran dan terlalu bergantung kepada motivasi dan pengajaran guru. Selain itu, soalan yang dikemukakan oleh guru kurang mencabar dan tidak melibatkan pelajar membuat aktiviti. Galakkan teknik penyoalan yang tidak merangsang minda pelajar menyebabkan pelajar menjadi bosan seterusnya melahirkan pelajar yang pasif di dalam kelas. Pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan setiap hari di dalam kelas juga memainkan peranan melahirkan pelajar yang pasif di mana pelajar hanya di dedahkan dengan pengajaran bersandarkan papan putih, buku teks, dan kertas soalan. Kurangnya teknik pengajaran yang guru persembahkan berasaskan bilik darjah berinformasi seperti menggunakan sistem teknologi seperti penggunaan video, slide dan lain-lain menyebabkan pemikiran pelajar menjadi pasif dan tidak cenderung untuk menjadi pelajar yang aktif di dalam kelas.
Seharusnya guru perlu kreatif dan inovatif dalam melaksanakan pdp dengan menggunakan model seperti penemuan, konstruktivisme dan pembelajaran berasaskan pelbagai projek. Seterusnya boleh mewujudkan kelas yang kondusif bagi menggalakan kemahiran berfikir pelajar dan melahirkan pelajar yang aktif di dalam kelas dengan memberikan pelbagai pendapat serta bersaing secara sihat. Guru yang berkaliber dan memahami situasi pelajar dapat mengetahui bagaimana gaya atau corak pelajar mereka di dalam kelas. Selalunya pelajar yang pasif di dalam kelas semasa guru sedang melakukan pdp adalah pelajar yang bukan aktivis, reflektif dan teoris.
a)      Aktivis
Cara belajar seseorang individu yang merupakan gaya pembelajaran yang aktivis adalah orang yang melibatkan diri secara aktif dan agresif dalam aktiviti pembelajaran. Golongan murid yang mengamalkan gaya pembelajaran aktivis ini biasanya mempunyai ciri-ciri seperti berikut:
·         Mempunyai sikap tidak sabar dan tindakan tergesa-gesa
·         Mempunyai naluri ingin tahu yang tinggi terhadap perkara-perkara baru
·         Bergerak pantas dan cepat membalas
·         Gemar mencari pengalaman baru dengan cuba jaya diri sendiri
·         Penuh bersemangat, fleksibel dan berfikiran terbuka
·         Mempunyai motivasi intrinsic yang kuat dan sentiasa mengambil inisiatif untuk menyelesaikan masalah
·         Mempunyai kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif
                 Murid yang tergolong dalam kumpulan ini biasanya suka melibatkan diri dalam latihan amali dan aktiviti kokurikulum. Oleh itu, seseorang guru itu perlu tahu teknik dan kaedah mengajat yang sesuai untuk kumpulan pelajar sebegini adalah kaedah inkuiri-penemuan, perbincangan dan juga kerja praktik.
b)      Reflektif
Cara belajar seseorang yang mengamalkan gaya pembelajaran reflektif adalah orang yang suka memerhati, memikir dan membuat refleksi kendiri terhadap apa yang dipersepsikab dalam alam belajar. Antara ciri-ciri gaya pembelajaran reflektif ialah :
·         Mempunyai kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif
·         Suka mentafsir dan menilai sesuatu perkara, prinsip, keputusan atau projek serta membuat refleksi kendiri
·         Belajar dan membuat kerja secara sistematik
c)      Teoris
Golongan pelajar yang mempunyai gaya pembelajaran bersifat teoris ialah gemar menggunakan prinsip dan teori untuk membuat kesimpulan berdasarkan analisis fakta-fakta sesuatu perkara. Antara ciri-ciri golongan pelajar ini ialah :
·         Memiliki fikiran rasional dan logical
·         Mempunyai sikap berdisiplin serta mempunyai visi
·         Suka membentuk hipotesis dan membuat kesimpulan berdasarkan bukti.
                    Kaedah dan teknik mengajar yang guru perlu tahu ialah kaedah induksi dan deduksi, bertukar pendapat melalui perbincangan, dan mengumpul data untuk membuat analisis, tafsiran dan membuat rumusan.

     Bukan itu sahaja, pelajar yang kurang aktif di dalam kelas tidak boleh menentukan objektif pembelajaran sendiri. Hal ini kerana pelajar sudah terbiasa menerima dan terus menerima daripada guru tanpa perlu berfikir dan menguji diri. Gaya dan teknik pengajaran guru yang sukar difahami juga penyumbang kepada pelajar menjadi pasif di dalam kelas.

c)      Pelajar akan gagal dalam peperiksaan
Menurut petikan surat akhbar keluaran UTUSAN bertarikh 14 Februari 2010, pendedahan 60 peratus pelajar tahap satu di sekolah seluruh negara masih belum dapat menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengejutkan rakyat negara ini. Ahli- ahli akademik menyatakan mereka sangat terkejut dengan pendedahan tersebut dan berharap satu tindakan yang serius dan komprehensif perlu diambil oleh kerajaan bagi mengatasi masalah ini. Tokoh pendidikan, Profesor Tan Sri Dr, Khoo Kay Kim berkata, keadaan ini berlaku mungkin berpunca kerana guru zaman sekarang hanya menyasarkan pelajar tersebut lulu peperiksaan semata-mata.
Kelemahan sistem pembelajaran sekarang juga menyebabkan guru-guru tidak dilatih dengan sempurna untuk benar-benar menjadi seorang pendidik. Selain itu, apabila guru yang tidak pakar mengajar dalam subjek matematik, kesanya jurang pencapaian matematik murid sekolah rendah dan sekolah menengah bertambah lebih-lebih lagi ramai yang gagal dalam memperolehi keputusan peperiksaan. Apabila guru tidak masuk kelas sebab bercuti atau berkursus, kemungkinan pelajar akan tertekan dengan cara pengajaran guru kerana ketinggalan silibus yang banyak menyebabkan guru mengajar sambil lewa kerana ingin menghabiskan tajuk-tajuk yang ditinggalkan sehingga pelajar tidak dapat mengikuti apa yang di ajar oleh guru. Seterusnya tahap pencapaian pelajar akan merundum.
d)     Pembelajaran  bermakna
Kesan daripada guru yang tidak realistik ini akan memberi kesan kepada pelajar dan juga guru. Hal ini akan menimbulkan pelbagai masalah semasa guru menjalankan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Tambahan pula, guru tersebut haruslah memainkan peranan ketika di dalam kelas sama ada dari segi persediaan dan juga teknik atau pendekatan yang digunakan dalam bagi menarik perhatian pelajar dalam memupuk minat mereka belajar di dalam kelas. Pembelajaran adalah suatu proses yang berlaku dalam akal fikiran ataupun kognitif dan kesan daripada proses ini akan dapat dilihat melalui perubahan dalam tingkah laku dan percakapan. Pemahaman pelajar terhadap masalah yang dikemukakan  merupakan aktiviti kognitif di mana pelajar perlu bersikap aktif untuk berfikir dan memberikan hasil iaitu daripada pengalaman ataupun pengetahuan sedia ada.
Antara kesan dari guru yang tidak realistik ini adalah akan menyebabkan pembelajaran itu menjadi tidak bermakna. Teori pembelajaran bermakna itu adalah satu idea pembelajaran bermakna yang dibina daripada teori yang diasaskan oleh Ausubel (1963). Apabila bercakap mengenai teori pembelajaran bermakna kita akan mengaitkan dengan seorang tokoh psikologi pendidikan iaitu David P Ausubel. Menurut beliau pembelajaran bermakna ini adalah satu proses pembelajaran yang mana informasi baru dihubungkan dengan struktur pengertian yang sudah dimiliki seseorang yang sedang melalui proses pembelajaran. Hal ini bermakna, apabila seseorang itu mendapat informasi atau pengetahuan baru akan dihubungkaitkan dengan pengetahuan sedia ada melalui proses pembelajaran yang sedang dilaluinya. Tambahan lagi, bahan tersebut hendaklah sesuai dan releven dengan struktur kognitif yang dimiliki. Kini, kita boleh lihat kebanyakkan guru mengajar dengan menggunakan teknik menghafal (rote learning) dimana tidak dianggap sebagai pembelajaran bermakna. Sebagai contohnya, rumus Phitagoras iaitu c² = a² + b² , rumus luas sfera iaitu 4πr² dan lain-lain. Dimana guru memperkenalkan pelbagai rumus kepada pelajar dan meminta pelajar untuk hafal. Sepatutnya guru hendaklah menerangkan sedikit asal-usul rumus-rumus itu terbentuk. Hal ini tidak menggalakan percambahan pemikiran pelajar dalam subjek tersebut dan guru juga boleh memberitahu apa kegunaan rumus-rumus itu kepada pelajar untuk mengaitkan dengan persekitaran supaya pembelajaran menjadi lebih bermakna.
Menurut Ausubel (1968) pembelajaran bermakna mempunyai tiga komponen utama iaitu pengetahuan sedia ada pelajar, penggunaan bahan atau strategi pembelajaran yang betul dan kesanggupan pelajar untuk melibatkan diri secara aktif dalam pembelajaran bermakna. Guru hendaklah mengenalpasti pengetahuan sedia ada para pelajar sebelum memulakan pengajaran dan merupakan tugas yang penting bagi seorang guru. Guru tersebut boleh menguji tahap pengetahuan pelajar tersebut dengan beberapa soalan berdasarkan pengalaman dan pengetahuan sedia ada. Ausubel menyatakan bahwa kebanyak orang belajar dimulai dengan Belajar menerima (reception learning), dan bukannya penemuan. Sebagai contohnya, guru meminta pelajar memberi ukuran barang yang berhampiran dengan mereka kemudian kaitkan dengan konsep sentimeter, meter dan lain-lain. Seterusnya, barulah guru mengaitkan dengan luas dan isipadu sesuatu bahan dan kaitkan dengan benda-benda yang berda disekeliling mereka. Hal ini akan menjadikan pembelajaran itu bermakna kerana guru tersebut menanam kefahaman dan penemuan pelajar dalam sesuatu perkara.
Seterusnya adalah penggunaan bahan atau strategi pembelajaran yang betul. Teori Ausubel ada menekan dua perkara dalam pembelajaran bermakna iaitu model pembelajaran ekspositori dan penyusunan awal. Ausubel menyatakan bahawa manusia ini memperolehi ilmu pengetahuan dalam bentuk resepsi dan bukan penemuan. Oleh itu, model pembelajaran ekspositori diperkenalkan oleh Ausubel iaitu dengan menekankan penerangan bahan pembelajaran oleh guru dalam bentuk fakta yang tersusun dan dijelaskan mengikut urutan serta fakta yang lengkap. Oleh itu, pembelajaran ini haruslah berkembang daripada bentuk yang umum (deduktif) kepada spesifik. Sebagai contohnya, guru hendaklah terlebih dahulu menjelaskan mengenai definisi, prinsip dan konsep kemudian diikuti dengan latihan dan aplikasi kepada konsep yang telah dipelajari. Tambahan lagi, guru hendaklah menyatakan kepada pelajar mengenai objektif yang harus dicapai sebelum menjalankan pembelajaran dan pengajaran supaya pelajar jelas dan mendapat sedikit gambaran mengenai topik yang akan dipelajari serta menggunakan teknik dan pendekatan yang sesuai dengan topik tersebut. Penyusunan awal berfdungsi sebagai untuk menjelaskan kepada guru dan pelajar mengenai perkara-perkara yang perlu difahami bagi sesuatu pelajaran. Penyusunan awal juga menghubungkan konsep baru dengan konsep yang telah dipelajari. Oleh itu, tujuan penggunaan penyusunan awal adalah untuk memberi gambaran tentang apa yang penting dalam PdP, menjelaskan hubungan antara konsep yang akan dihuraikan dan menggerakkan minda pelajar untuk meningat semula konsep yang berkaitan yang telah dipelajari.
Faktor seterusnya adalah kesanggupan pelajar untuk melibatkan diri secara aktif dalam pembelajaran bermakna. Hal ini sangat penting, jika pelajar tidak mahu terlibat dengan pengajaran dan pembelajaran dalam kelas maka pembelajaran tersebut akan menjadi tidak bermakna. Pelajar haruslah memainkan peranan yang penting dan terlibat secara langsung dalam melaksanakan pembelajaran bermakna supaya dapat mencapai objektif yang telah ditetapkan oleh guru.
Terdapat banyak kelebihan yang diperolehi daripada pembelajaran bermakna iaitu ilmu yang dipelajari secara bermakna lebih lama diingati. Hal ini kerana dalam teori Ausubel ini lebih menekankan pembelajaran dari penemuan daripada pembelajaran hafalan (rote learning). Oleh itu, pembelajaran dari penemuan lebih berkesan kerana pelajar belajar melalui penemuan dan pengalaman sendiri. Kemudian, informasi baru yang telah dikaitkan dengan konsep-konsep relevan sebelumnya dapat meningkatkan konsep yang telah dikuasai sebelumnya sehingga memudahkan proses belajar mengajar berikutnya untuk memberi pelajaran yang hampir sama.
Hal ini bermakna konsep yang baru dikaitkan dengan konsep lama dan sekaligus dapat meningkatkan tahap penguasaan konsep yang sebelum dan semasa dan memudahkan pembelajaran. Seterusnya adalah informasi yang pernah dilupakan setelah pernah dikuasai sebelumnya masih diingati sehingga memudahkan proses belajar untuk tajuk pelajaran yang hampir sama walaupun sudah dilupai. Ini bermakna tajuk yang menggunakan konsep yang hampir sama mampu mengingatkan seseorang itu mengenai konsep yang telah dipelajari walupun sudah dilupai. Oleh itu, pembelajaran bermakna ini amat penting bagi guru dalam melaksankan pembelajaran dan pengajaran dalam kelas.

d)     Pelajar menjadi bosan dalam pembelajaran dan pengajaran.
Pelajar menjadi bosan merupakan salah satu kesan yang boleh kita lihat ketika dalam PdP. Hal ini kerana pelajar telah hilang minat dengan beberapa sebab seperti kaedah pengajaran, pendekatan guru serta sikap guru dan pelajar itu sendiri. Proses pengajaran dan pembelajaran merupakan elemen penting dalam memastikan para pelajar dapat mengikuti isi kadungan dalam subjek yang dipelajari. Hal ini kerana di dalam proses PdP itu mempunyai pelbagai elemen yang penting seperti rancangan pengajaran harian, pendekatan guru, teknik pengajaran dan lain-lain untuk mencapai objektif yang hendak dicapai. Bukan itu sahaja malah kaedah juga memainkan peranan yang penting dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran. Kaedah pengajaran yang baik ialah yang mempunyai langkah-langkah dan strategi yang tersusun serta objektif yang tepat dan boleh dicapai. Di samping itu, matlamat yang hendak dituju juga mestilah terang dan jelas.
Hal ini kerana kebanyakkan guru kini menggunakan teknik pengajaran yang lama iaitu pembelajaran tradisional. Sepatutnya seorang guru tersebut hendaklah menggunakan kaedah pengajaran mengikut perkembangan semasa pendidikan dan teknologi kini. Hal ini kerana suasana dan perkembangan pelajar dahulu dan sekarang sangat berbeza dan seorang guru itu juga hendaklah sentiasa cakna dengan perkembangan semasa mengenai kaedah pengajaran supaya tiada lagi isu yang timbulnya mengenai pelajar bosan ketika dalam pengajaran dan pembelajaran. An-Nashmy (1980) mencadangkan supaya guru memilih kaedah yang boleh memberi kesan yang mendalam bukan sahaja kepada kefahaman pelajar malah yang memeberi kepada jiwa dan menyentuh perasaan pelajar. dengan cara ini, pelajar akan memberi tumpuan yang padu dan dapat meningati pelajaran dengan lebih cepat dan lama. Pembelajaran konvensional ataupun pembelajaran tradisional ini sudah tidak layak lagi digunakan sepenuhnya dalam suatu proses pengajaran.
Menurut Roestiyah N.K (1998) pembelajaran tradisional ini telah lama dijalankan sehingga kini dengan cara mengajar dengan ceramah atau lisan. Dimana guru menyalurkan pengetahuannya pada pelajar secara lisan. Bagi seorang guru untuk mengubah model pembelajaran itu sangat susah kerana mereka harus memiliki kemampuan dan ketrampilan menggunakan kaedah lain sama ada teknologi dan lain-lain. Kaedah konvensional ini atau dikenali sebagai konsep ceramah yang diiringi dengan penjelasan serta pembahagian tugas dan latihan. Jadi, kegiatan guru yang utama adalah menerangkan kepada pelajar dan mereka mendengar atau mencatat apa yang disampaikan oleh guru. Pembelajaran seperti ini merupakan pembelajaran klasik dan pelajarnya tidak mengetahui apa tujuan mereka belajar dan hanya menerima isi kandungan pengajaran yang disampaikan oleh guru tanpa banyak menyoal. Perkara ini akan menimbulkan rasa bosan dalam diri pelajar.
Pembelajaran tradisional ini lebih berpusat kepada guru dimana guru memberi penerangan di hadapan, pelajar di belakang mungkin melakukan perkara lain dan menyebabkan mereka tidak menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran. Kebanyakkan pelajar masih menganggap mereka boleh mengatasinya dengan cara membaca semula nota yang diberikan oleh guru di luar waktu kelas. Ia boleh dilakukan bagi sesetengah subjek tetapi bukan subjek grafik di mana pelajar perlu menumpukan perhatian sepenuhnya bagi mengetahui langkah-langkah yang diajar. Walaubagaimanapun cara belajar dengan menghafal tidak berkesan sama sekali bagi pengajaran pada zaman kini.
Kaedah tradisional ini lebih kepada cara pengajaran yang memusatkan guru. Sebagai contohnya, nota-nota diberikan kepada pelajar sama ada di papan hitam ataupun lembaran kertas dan pelajar hanya menerima apa yang diajar. Masalah ini dikenali sebagai ‘spoon feeding’ dimana pelajar ‘disuap’ oleh guru dengan pelbagai latihan, ilmu dan sebagainya sehingga tiada langsung konsep yang memerlukan percambahan minda pelajar. Hal ini akan membantutkan perkembangan minda mereka jika kaedah tradisional in masih digunakan oleh seorang guru tersebut. Oleh itu, guru berperanan dalam menentukan pendekatan dan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran yang mampu mewujudkan rangsangan dan kemudian bertindak memperkembangkan kecerdasan dan pengalaman pelajar (Kamaruddin,1990). Kaedah ‘chalk and talk’ juga merupakan cara pengajaran utama yang digunakan oleh para guru kerana kaedah ini dapat mengatasi masalah bilangan pelajar yang ramai dalam satu kelas dan masalah menghabiskan sukatan pelajaran (Becker & Watts, 2001). Hal ini kerana ia akan memudahkan guru dalam mengawal pelajar dalam kelas serta menghabiskan sukatan pelajaran. Kaedah ini merupakan pengajaran sehala manakala penglibatan pelajar semasa pembelajaran pula sangat terbatas dan pasif.
Hal ini akan menghasilkan pelajar yang tidak faham dan minat dengan apa yang diajar oleh guru tersebut. Tambahan lagi, interaksi dan pergerakan dalam kelas akan terbatas semasa proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan oleh guru. Oleh itu, banyak kesan yang kita perolehi jika seorang guru itu tidak realistik dalam menjalankan tugasannya sebagai guru atau pendidik dalam masayrakat itu. Hal ini kerana pelajar atau remaja itu merupakan aset negara yang mana akan memimpin negara dan dunia pada masa hadapan.

1 comment: