Tuesday, December 15, 2015

Pentaksiran Matematik






1.0              Pengenalan
Pentaksiran merupakan salah satu konsep yang penting dalam dunia pendidikan selain daripada penilaian dan pengujian. Pentaksiran berasal daripada perkataan Greek ‘Assidere’ yang bermaksud ‘duduk bersama’ dengan pelajar dan mengesahkan respon dengan apa yang dimaksudkan. Pentaksiran ialah satu proses mendapatkan maklumat dan seterusnya membuat penghakiman tentang produk sesuatu proses pendidikan.
Mengikut pakar dan penulis buku yang terkenal dalam bukunya Applied Educational Assesment Edisi kedua tahun 2003, pentaksiran ialah integrasi proses mengumpul maklumat, menginterpretasi maklumat atau memberi nilai kepada maklumat itu dan membuat keputusan berdasarkan interpretasi yang dibuat ke atas maklumat.
Menurut Lembaga Peperiksaan Malaysia (2000), pentaksiran dalam bidang pendidikan dianggap sebagai suatu proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti mengumpul,merekod, memberi skor, dan menterjemahkan maklumat tentang pembelajaran seseorang murid bagi sesuatu tujuan tertentu.
 Hasil pentaksiran dinyatakan dalam bentuk skor. Skor mestilah sah dan boleh dipercayai untuk memastikan keadilan kepada murid serta mengekalkan kewibawaan institusi pentaksiran.
Pentaksiran terbahagi kepada dua iaitu Pentaksiran Sekolah (PS) dan pentaksiran Pusat (PP). Pentaksiran sekolah merupakan pentaksiran yang dirancang, dibina, ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor oleh guru di sekolah yang melibatkan murid, ibu bapa dan organisasi luar. Pentaksiran Sekolah (PS) dilaksanakan dalam bentuk pentaksiran formatif yang dijalankan seiring dengan proses pengajaran dan pembelajaran dan pentaksiran sumatif di akhir unit pembelajaran, semester atau tahun.
Pentaksiran Pusat (PS) ialah pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah dengan peraturan pentaksiran, instrumen pentaksiran, tugas, garis panduan, peraturan penskoran, penggredan dan pelaporan dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan. Pengumpulan data dan maklumat adalah bertujuan untuk mengetahui apa yang murid tahu, boleh buat dan boleh amalkan.
Dalam pentaksiran terdapat beberapa yang perlu dipatuhi iaitu kumpulan yang ditaksir(pelajar), kumpulan yang menaksir (para pentadbir termasuk guru-guru), instrumen seperti ujian, skor dan respons. Sebagai pendidik kita perlu tahu kegunaan dan tujuan pentaksiran. Pentaksiran bertujuan untuk meningkatkan pencapaian, memperbaiki kelemahan atau masalah murid dalam pembelajaran, meningkatkan keyakinan kepada murid untuk belajar dan guru pula dapat mengubahsuai strategi pengajaran.



PERANAN GURU DALAM PENTAKSIRAN
Peranan guru sangat besar dalam pelaksanaan Pentaksiran ini. Hal ini kerana guru sebagai pelaksana kepada hasrat yang dirancang oleh kementerian ini. Oleh itu, untuk menjayakan pentaksiran ini, pertama, guru haruslah memiliki dan menguasai dengan baik dan mendalam tentang ilmu mata pelajaran yang diajar. Hal ini amat penting kerana tanpa penguasaan yang baik dalam mata pelajaran, guru tidak dapat menyampaikan ilmu mata pelajaran tersebut dengan berkesan. Setiap mata pelajaran mempunyai lenggok pengetahuannya yang khusus yang tidak mungkin dapat disampaikan oleh orang yang bukan dalam bidangnya. Realiti yang wujud kita, ada segelintir sekolah di Malaysia yang masih mengalami masalah mata pelajaran diajar oleh guru bukan opsyen.
Hal sedemikian seharusnya diambil tindakan tegas oleh pihak kementerian agar masa depan murid tidak terkorban. Hal ini kerana, setiap mata pelajaran mesti diajar oleh guru opsyen mata pelajaran tersebut agar hasil pembelajaran yang diterima murid lebih optimum. Selain itu, guru tersebut haruslah tahu tentang kurikulum, matlamat dan objektif kurikulum. Kurikulum menghuraikan tentang ruang lingkup bidang ilmu yang harus dipelajari oleh seseorang murid dalam sistem pendidikan formal, pembentukan dalam diri murid yang meliputi ilmu dan kemahiran yang terkandung dalam mata pelajaran tersebut serta nilai-nilai murni yang ingin diterapkan. Hal ini kerana setiap kurikulum mempunyai matlamat dan objektifnya dan guru harus memahami setiap yang disenaraikan tersebut. Guru yang tidak pernah membaca dan memahami matlamat dan objektif mata pelajaran ini akan tersasar dalam pengajarannya dan sekali gus menjadikan murid sebagai mangsa.
            Sementelahan, guru haruslah memiliki ilmu dan kemahiran mengenai pentaksiran pendidikan ini bermula dari pengertian pentaksiran, pelaksana pentaksiran, bahan yang perlu direkodkan, cara merekodkan dan cara rekod disimpan. Guru juga perlulah memahami dan dapat mengenal pasti item yang terbaik, instrumen yang baik, kesahan dan kebolehpercayaan, cara pemarkahan dan pengendalian pentaksiran. Dalam masa yang sama, guru juga haruslah mengelakkan diri daripada bersikap tidak adil dan bias terhadap seseorang murid tersebut. Tambahan lagi, guru haruslah tahu dan faham tentang jenis-jenis ujian. Pemahaman tentang jenis-jenis ujian ini amat penting kerana ia merupakan ujian yang akan digunakan sepanjang pembelajaran murid. Setiap instrumen yang dibina juga mempunyai tujuan yang berbeza dan kesilapan dalam mentadbir instrumen akan menghasilkan maklumat yang tidak sah dan tidak boleh dipercayai.
Selain itu, guru haruslah berfikiran lebih kreatif. Kreatif dengan cara mempelbagaikan pendekatan pengajaran agar lebih menarik dan berkesan dan guru juga perlulah kreatif dalam pelaksanaan pentaksiran ini. Hal ini kerana kreativiti amat berkait rapat dengan penguasaan ilmu yang baik dalam sesuatu mata pelajaran. Kreativiti juga berkait rapat dengan penggunaan alat bantu mengajar, penggunaan teknologi masa kini, pendekatan pengajaran yang tidak berpusatkan guru serta komunikasi sehala dan juga penggunaan ruang yang lebih fleksibel bukan hanya di dalam kelas sahaja. Tambahan lagi, guru mestilah mengenali setiap murid di bawah tanggungjawabnya dengan baik. Hal ini bagi memastikan pentaksiran yang berkesan dapat dijalankan. Guru juga bukan hanya perlu tahu berkaitan keupayaan akademik murid tetapi meliputi kesemua pembentukan yang ingin dibangunkan dalam diri murid tersebut. Dalam masa yang sama, guru perlulah mengenal pasti kecenderungan, minat dan bakat murid tersebut. Hal ini penting agar dapat melahirkan murid yang berjaya dalam bidang yang diminatinya.
Memandangkan pentaksiran ini memerlukan maklumat yang menyeluruh daripada pelbagai sumber yang boleh dipercayai, guru perlulah berupaya menjalankan kerja secara berkumpulan. Hal ini bagi membolehkan pelaporan yang dibuat adalah tepat.  Guru juga mestilah mengikuti perkembangan ilmu mutakhir terutamanya bagi mata pelajaran yang diajar dan juga ilmu pentaksiran. Pendedahan kepada perkembangan mutakhir ini akan menjadikan guru sentiasa berada pada kedudukan yang selesa apabila berhadapan dengan murid dan juga pihak lain yang berkepentingan. Selain itu, guru haruslah mampu berkomunikasi dan bekerjasama dengan guru sekolah lain bagi menjamin pentaksiran yang adil dan setara dapat diwujudkan. Melalui cara ini, guru dapat berkongsi ilmu dan kemahiran bagi membolehkan pentaksiran dijalankan secara berkesan. Kesimpulannya, guru adalah satu profesion yang mulia. Guru perlulah memiliki etika yang terbaik untuk menjadi contoh kepada murid. Hal ini kerana hanya guru sendiri sahaja yang mampu memberikan imej baik kepada profesion ini dan sekali gus dapat meningkatkan profesion kepada tahap yang tertinggi dan dihormati. 

3.0              PENSKORAN PENTAKSIRAN SEKOLAH
Skor yang diberi berdasarkan evidens calon menunjukkan calon telah ditaksir mengikut ketetapan dalam dokumen pentaksiran PBS. Skor dan evidens perlu diuruskan mengikut prosedur keselamatan yang telah ditetapkan. Proses pengurusan skor adalah melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), jabatan ini akan menerima aplikasi kemasukan skor PBS daripada Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan kemudiannya akan diedarkan ke sekolah melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). Pengetua merupakan insan yang bertanggungjawab untuk memastikan skor dihantar ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). Selain itu, pengetua juga perlu akur dengan prosedur penghantaran yang ditetapkan.
Skor ini meliputi mata pelajaran tertentu sahaja. Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) juga perlu memastikan skor diterima daripada sekolah dan dihantar ke Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan pihak sekolah perlu akur dengan prosedur penskoran dan jadual penghantaran yang ditetapkan. Pihak sekolah juga perlu bertanggungjawab memastikan skor calon disimpan di tempat yang selamat dan mematuhi prosedur keselamatan.
Manakala, bagi pengurusan evidens pula, pengetua bertanggungjawab memastikan evidens calon disimpan seperti ketetapan yang terdapat dalam dokumen pentaksiran bagi setiap mata pelajaran yang berkaitan. Evidens produk calon yang berpindah hendaklah disimpan di sekolah asal jika telah selesai sepenuhnya. Jika evidens produk belum disiapkan sepenuhnya, evidens produk hendaklah dibawa ke sekolah baru. Tempoh penyimpanan evidens produk ialah enam bulan selepas keputusan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) diumumkan. Manakala bagi tempoh penyerahan evidens produk kepada calon pula evidens tersebut perlu dipulangkan dalam masa 30 hari selepas tempoh penyimpanan tamat. Pengetua berhak melupuskan evidens yang tidak dituntut oleh calon selepas tamat tempoh penyerahan.



2.0              Isu-Isu Pentaksiran


Pentaksiran Berasaskan Peperiksaan
Dari zaman selepas kemerdekaan lagi, sistem peperiksaan Malaysia sering berubah-ubah. Ini sejajar dengan perubahan zaman dalam membentuk modal insan yang bertaraf dunia. Walau bagaimanapun, proses pengajaran dan pembelajaran masih lagi berasaskan peperiksaan. Ini secara tidak langsung memberi kesan kepada sistem pendidikan negara kita.
            Antara ciri-ciri sistem peperiksaan sedia ada ialah terlalu berfokuskan kuantiti dan berorientasikan mata pelajaran. Terdapat terlalu banyak kekurangan dalam sistem yang sedia ada. Pertama sekali, soalan berbentuk peperiksaan dilatih sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran. Proses pengajaran dan pembelajaran yang memberi tumpuan kepada peperiksaan ini bermaksud, murid-murid meletakkan tujuan belajar untuk lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan, manakala guru pula menjalankan rutin mengajar dengan memberi fokus kepada soalan peperiksaan.
            Mata pelajaran Matematik khususnya, murid-murid di sekolah telah terbiasa dengan kaedah pembelajaran secara latih tubi untuk cemerlang dalam peperiksaan . Ini kerana, mereka telah sedia maklum bahawa mata pelajaran ini sangat penting untuk dikuasai terutamanya untuk yang bercita-cita untuk menyambungkan pelajaran dalam bidang Sains dan Teknologi. Pendapat ini disokong oleh Nadzri Mohamed, Jamri Awang Besar, dan Norhasliza Ahmad (2006) dan mereka menyatakan dalam kajian mereka mengenai pendapat umum dalam pendidikan Matematik iaitu “Lulus dengan cemerlang dalam Matematik menjadi syarat bagi pelajar untuk ke tingkatan empat di sekolah berasrama penuh. Selepas menduduki SPM, kelulusan dalam Matematik sekali lagi menjadi jaminan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti dan pusat pengajian tinggi dalam kebanyakan bidang pengajian”. Maka, tidak hairanlah pada hari ini kebanyakan guru mengambil langkah untuk menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran berdasarkan peperiksaan kerana ia juga menjadi kehendak murid-murid dan ibu bapa.
            Isu pengajaran dan pembelajaran berdasarkan peperiksaan boleh dibincangkan melalui dua kaedah iaitu, pertama, bentuk soalan peperiksaan kebiasaannya dilatih dalam bilik darjah, dan yang kedua, kebanyakan guru hanya menumpu kepada kandungan mata pelajaran Matematik dalam sukatan pelajaran yang disediakan. Bagi guru-guru, mata pelajaran Matematik diajar seperti ia adalah hanya ilmu kira-kira, kebolehan menggunakan rumus-rumus penghafalan, dan latih tubi untuk cemerlang dalam peperiksaan. Kenyataan ini urut disokong oleh Zaleha Ismail dan Arinah Zaidan (2010) dan di dalam laporan kajian yang sama mereka memetik kata-kata Peter Grootenboer (2004), “Kaedah ini (pengajaran dan pembelajaran berdasarkan peperiksaan) dikatakan lebih senang dan tidak perlu menyediakan bahan bantu mengajar. Namun, pengajaran seperti ini tidak dapat menggalakkan pelajar untuk mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat”. Ini bermakna, kaedah ini mudah untuk dipraktikkan tetapi akan merugikan murid-murid kerana terdapat beberapa kelemahan.
            Walau bagaimanapun, menurut kajian yang dilakukan oleh Johari Hassan dan Yeong Wai Chung (2010) yang bertajuk “Keupayaan dan Kelemahan Menyelesaikan Masalah Matematik dalam Kalangan Pelajar Tingkatan Lima” memberi kesimpulannya yang tersendiri. Kesimpulannya ialah, kegagalan untuk menyelesaikan masalah dengan berkesan bukan  disebabkan kekurangan dalam penguasaan isi kandungan Matematik. Keterampilan isi kandungan adalah perlu tetapi bukan wajib untuk penyelesaian masalah, sebaliknya pengalaman dan pendedahan kepada kemahiran dan strategi penyelesaian masalah mungkin adalah faktor yang lebih penting.
Seterusnya isu yang kedua dalam pentaksiran berasaskan peperiksaan ialah guru hanya tertumpu pada kandungan mata pelajaran matematik dalam sukatan pelajaran. Oleh sebab pentaksiran menggunakan ujian formatif seperti ujian dan peperiksaan untuk menentukan markah dan gred, para guru lebih banyak memberi penekanan kepada keputusan peperiksaan sehingga mengabaikan proses pembelajaran pelajar. Hasilnya, asas pembelajaran seperti  konsep matematik tidak dapat dicapai sepenuhnya sekali gus menghilangkan keseronokan ketika belajar matematik. Akibat daripada itu juga menyebabkan pelajar yang tidak mendapat markah tinggi dalam peperiksaan terabai. Situasi ini dilihat berbeza di China.  Kajian telah dilakukan oleh Lim Chap Sam (Malaysia) dan Zhao Xiao Ping (Shanghai)(2005) bertajuk Assessment and Examination System : A comparative Study between Malaysia and Shanghai (China) yang mengkaji faktor-faktor yang menyebabkan prestasi pelajar dalam mata pelajaran matematik di China lebih baik daripada di Malaysia. Dalam kajian menunjukkan ketinggian tahap kandungan pengajaran di China adalah disebabkan guru matematik cenderung untuk mengajar lebih daripada apa kandungan kurikulum yang diperlukan. Selain itu, guru juga digalakkan untuk memupuk keupayaan pelajar dalam inovasi dan penerokaan dalam pendidikan matematik. Kandungan pelajaran yang diajar oleh guru di China juga lebih sukar berbanding buku teks sekolah dan kurikulum yang ditetapkan. Berbeza dengan di negara kita iaitu Malaysia di mana guru di Malaysia tidak mengajar di luar sukatan yang ditetapkan walaupun sukatan yang dinyatakan bertujuan untuk mencapai kecekapan minimum. Malah sesetengah guru mungkin memilih untuk mengorbankan beberapa kandungan sukatan matematik atau topik-topik di mana mereka merasakan ia terlalu sukar untuk difahami oleh para pelajar. Keadaan ini menyebabkan pelajar hanya belajar untuk peperiksaan semata-mata dan bukan untuk memperoleh ilmu. Selain itu, antara punca kelemahan pembelajaran berorientasikan peperiksaan ialah pelajar seolah-olah dibentuk melalui mesin. Pelajar ialah produk yang terhasil daripada mesin iaitu pembelajaran yang mengandungi bahan-bahan yang ditetapkan seperti kurikulum pendidikan kita. Penekanan pembelajaran juga lebih tertumpu pada buku sebagai bahan rujukan kedua selepas guru. Penguasaan konsep yang pelajar peroleh daripada latih tubi di buku hanya tertumpu pada konsep yang sedia ada sahaja. Konsep yang ada terhad untuk mengatasi masalah tertentu sahaja dan tidak dapat disepadukan dengan dunia luar. Pelajar dilihat kurang mengaplikasikan pembelajaran dengan dunia luar. Pembelajaran seperti ini menjarakkan lagi dunia pendidikan dengan dunia realiti.
 

KEPENTINGAN PENTAKSIRAN
Pentaksiran merupakan bahagian yang penting dalam sistem pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Hal ini kerana dengan pentaksiran guru dapat menilai murid dengan lebih terperinci lagi. Namun hanya segelintir sahaja yang sedar akan kepentingan pentaksiran. Antara kepentingan pentaksiran adalah membolehkan guru dan murid menetapkan standard kerja mereka dan memikirkan cara mereka dapat memperbaiki mutu pencapaian mereka. Salah satu cara untuk guru menilai pengajaran dan pembelajaran guru tersebut dapat mencapai objektif yang telah ditetapkan dalam sukatan pembelajaran dan memantau ke atas kualiti pelajaran yang disampaikan kepada murid-murid dan dapat memastikan murid dapat mencapai skor pentaksiran yang baik dan cemerlang.
Pentaksiran juga membantu guru merancang pengajaran yang berkesan yang memenuhi keperluan individu setiap pelajar.  Melalui pentaksiran guru sebenarnya akan lebih mengenali murid dengan lebih dekat kerana guru perlu membuat penilaian dan pentaksiran dari segi sahsiah dan pencapaian murid. Apabila guru dekat dan mengenali murid-murid mereka guru dapat memotivasikan murid. Malahan, pentaksiran juga sebenarnya memberi peluang guru membantu murid mendapatkan maklumat yang lengkap tentang pilihan pendidikan dan kerjaya masing-masing.  

 KESAN PENTAKSIRAN
Terdapat pelbagai kesan yang positif terhadap murid-murid bagi pelaksanaan pentaksiran di sekolah. Hal ini kerana melalui pentaksiran murid dapat membantu diri mereka menjadi pemantau yang lebih baik dalam pembelajaran mereka sendiri. Mereka akan dapat melihat apabila mereka tidak dapat menguasai sesuatu topik dan tidak dapat band yang baik jadi  mereka akan sedar bahawa mereka mempunyai masalah dalam menguasai topik tersebut. Kesan lain kepada murid adalah membantu menunjukkan sebarang aspek yang perlu diberi perhatian dan mencadangkan perubahan positif bagi meningkatkan pencapaian mereka. Malahan, apabila pentaksiran dijalankan secara tidak langsung guru menunjukkan keprihatinan terhadap murid bagi setiap pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan pentaksiran berjalan dengan lancer. Malahan, pentaksiran memberi kesan kepada murid dengan membantu meningkatkan harga diri dan keyakinan diri. Hal ini kerana apabila menjalankan  pentaksiran melalui kerja projek atau pembentangan, murid akan mengetahui apa yang mampu mereka capai dan boleh berbangga dengan keupayaan diri mereka daripada hasil pentaksiran.
Manakala dari segi kesan pentaksiran kepada guru adalah guru dapat memastikan rancangan pengajaran mereka sama ada berkesan dan bersesuaian bagi jangka panjang atau jangka pendek. Jika terdapat permasalahan ketidakfahaman dan objektif tidak dicapai, guru akan memperbaiki kaedah pengajaran dengan pendekatan yang berbeza supaya objektif dapat dicapai dan pembelajaran yang dijalankan dengan berkesan. Hal ini secara tidak langsung guru akan bertindak memastikan segala strategi pengajaran dan pembelajaran terbukti berkesan bagi setiap pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan.
Selain itu, guru dapat meningkatkan kesedaran guru atau murid dan memperkukuh hubungan positif melalui proses pembelajaran. Guru akan memberi penerangan kepada ibu bapa mengenai pencapaian pentaksiran murid-murid. Dalam pentaksiran, tahap pencapaian murid adalah bergantung kepada penilaian guru dari segi pencapaian menggunakan bahan pentaksiran dan pentaksiran dari segi nilai insaniah murid-murid. Oleh itu, guru perlu mengetahui secara keseluruhan sikap dan pencapaian murid supaya guru dapat memberi makluman kepada ibubapa murid. Secara tidak langsung, guru dapat mengeratkan hubungan antara ibubapa murid dan murid-murid. 

            Kesan lain bagi pelaksanaan pentaksiran adalah meningkatkan hubungan antara guru dan murid. Hal ini kerana guru akan menilai bukan sahaja dari segi pencapaian akademik tetapi dari segi sikap murid semasa di sekolah. Guru dapat meningkatkan kemahiran dalam psikologi terhadap murid-murid bagi mengenali personaliti dan sikap murid-murid. Hal ini juga menunjukkan bahawa guru berminat untuk mengetahui kemajuan dan pencapaian murid-muridnya dari semasa ke semasa. Hal ini dapat memberi peluang guru mengenalpasti murid yang bermasalah dalam akademik dan tingkah laku di sekolah. Secara tidak langsung guru akan bertanggungjawab mempertingkatkan dan memperbaiki dengan berusaha mencari penyelesaian bagi masalah yang terjadi. 
            Tambahan lagi, pentaksiran dapat memberi kesan kepada dalaman murid dan guru. Murid dan guru akan berasa yakin dan menghargai diri mereka. Antara kesan positif pentaksiran apabila individu bertambah yakin dan menghargai diri, secara automatik menggalakkan rasa pencapaian, memberi ganjaran atas segala matlamat dan pencapaian. Malahan, guru lebih memberi pdp yang baik dalam gambaran yang lebih luas supaya murid dapat melihat pencapaian keseluruhan mereka dan menambahbaikkan pencapaian bagi yang kurang mencapai sasaran. Malahan, pentaksiran ini adalah satu tindakan yang dapat mengalakkan rasa tanggungjawab murid kepada pencapaian dalam pembelajaran mereka. Oleh itu, terdapat banyak kesan yang positif dalam pelaksanaan pentaksiran dalam sistem pendidikan negara.



Bias Dalam Penilaian
Isu yang kedua yang ingin dibincangkan ialah wujudnya bias dalam penilaian.  Definisi bias dalam penilaian ini mempunyai pelbagai perspektif dan pandangan yang berbeza.  Bias ialah wujudnya kriteria – kriteria tertentu yang mana akan memberi kesan yang berbeza terhadap pencapaian individu dengan kebolehan yang sama namun berbeza dari segi kumpulan, etnik, jantina, budaya dan agama. (Hambleton, Ronald dan Janne, 1995). Menurut Dorans dan Holland (1993), bias ini berlaku jika sesuatu item itu berfungsi berbeza kepada sesuatu kumpulan yang lain.  Manakala dalam The American Heritage Dictionary, definisi bias boleh dikatakan sebagai kecenderungan atau kecondongan yang mana akan menghalang penilaian yang adil.  Daripada definisi-definisi tersebut, dapat disimpulkan bahawa bias dalam penilaian merupakan ketidakadilan yang wujud dalam sesuatu penilaian. 
Item soalan ujian, penilaian melalui pemerhatian, penilaian secara lisan dan penilaian melalui penulisan merupakan aspek-aspek yang tergolong dalam bias ini.  Aspek yang pertama ialah item soalan ujian.  Sesuatu item itu bias apabila seseorang individu yang sama tahap kebolehan, daripada kumpulan yang berbeza tidak mempunyai kebarangkalian yang sama untuk menjawab item tersebut dengan betul (Zaubedah, 2007).  Jantina dan lokasi sekolah merupakan dua sebab yang sering dikaitkan dengan wujudnya bias dalam penilaian. Jika dilihat faktor jantina, sesuatu item soalan akan menjadi bias apabila item soalan yang dibina akan cenderung kepada satu jantina sahaja.  Menurut Black (1998), pelajar perempuan secara umumnya tidak begitu berminat dalam soalan objektif berbanding soalan esei kerana mereka kurang pandai meneka (guessing) apabila tidak boleh menjawab dan ini berbeza dengan pelajar lelaki.  Manakala menurut kajian TIMSS (1998), item-item soalan matematik yang panjang dan memerlukan pelajar memahami maksud lebih memihak kepada pelajar perempuan manakala item-item yang memerlukan keupayaan ‘visualization’ lebih memihak kepada lelaki.  Oleh itu, guru haruslah bijak dalam membina item-item soalan yang ingin diberikan kepada pelajar untuk mengurangkan bias dalam penilaian berlaku. 
Aspek yang kedua pula ialah bias dalam penilaian melalui pemerhatian.  Penilaian ini merupakan proses untuk mengetahui apa yang pelajar tahu, dan bagaimana hendak melakukan tugasan dalam masa sebenar.  Biasanya, perkara yang dinilai melalui pemerhatian adalah hasil kerja, tingkah laku komunikasi dan juga interaksi antara pelajar.  Bias ini mungkin berlaku disebabkan oleh persepsi guru itu sendiri, mereka hanya menilai melalui mata kasar sahaja di mana pandangan luaran tidak dapat membuktikan keadaan yang sebenar.  Aspek yang seterusnya ialah, bias dalam penilaian secara lisan.  Penilaian ini berlaku semasa mengumpul maklumat melalui interaksi antara murid dengan guru, murid dengan murid atau murid dengan bahan.  Perkara yang dapat dinilai secara lisan ialah kefahaman sesuatu konsep, kecekapan mendengar, keyakinan, tahap pemikiran dan juga penggunaan bahasa yang tepat.  Kesukaran pelajar berbahasa akan menyebabkan guru memberi tanggapan bahawa pelajar itu tidak mencapai tahap pemahaman yang baik dalam sesuatu subjek.  Ini berlaku mungkin disebabkan kelemahan pelajar dalam berbahasa namun tidak semestinya mereka tidak memahami langsung apa yang diajar oleh guru.  Selain itu, faktor ketakutan pelajar juga akan menjadi salah satu penghalang kepada pelajar memberi pendapat ketika proses pengajaran dan pembelajaran (PDP). 
Aspek yang terakhir ialah bias melalui penulisan.  Penilaian ini berlaku ketika proses yang melibatkan aktiviti menyemak dan memeriksa tugasan dan kerja penulisan pelajar. Perkara yang dapat dinilai melalui penulisan bergantung kepada tugasan yang diberi seperti kreativiti penulisan, susunan ayat atau penggunaan bahasa, kaedah yang digunakan serta kekemasan penulisan.  Bias dalam penulisan ini juga melibatkan persepsi guru di mana guru akan memberi markah penulisan yang berbeza mengikut persepsi mereka.  Bias dalam penilaian ini akan menyumbang kepada faktor ketidakadilan dalam penilaian. 
            Bias dalam penaksiran memberikan beberapa keburukan yang boleh memberikan impak negatif kepada sistem pendidikan negara. Perkara sebegini merupakan sesuatu yang perlu dihindari. Jika bias tetap berlaku dalam sistem pendidikan, ia akan memberikan penaksiran yang kurang berkualiti. Hal ini kerana penaksiran setiap guru adalah berbeza. Lebih-lebih lagi jika dalam penaksiran dari segi pemerhatian yang melibatkan emosi. Hal ini akan seterusnya memberikan penaksiran yang pilih kasih antara pelajar. Guru-guru yang gemar membuat penaksiran berdasarkan pilih kasih akan memberikan kesan kepada emosi para pelajar. hal ini kerana, pelajar yang tersisih akan merasa rendah diri dan seterusnya mengurangkan motivasi intrinsik mereka. Jika perkara ini berterusan, ia mampu menimbulkan situasi tegang antara para pelajar.

            Oleh itu, para guru perlu bijak memilih item ujian yang sesuai dengan kesemua para pelajar mereka. Jangan terlalu menyebelahi sesuatu pihak sahaja. Biar ujian yang dilaksanakan mampu menilai setiap pelajar dengan adil. Seterusnya guru perlu menyediakan satu borang penaksiran yang standard untuk semua pelajar. Hal ini akan mengurangkan bias dalam penaksiran. Akhir sekali, guru perlu professional dalam menjalankan penaksiran. Emosi perlu dijaga sebaik mungkin. Guru perlu mengelakkan daripada pilih kasih dan memandang semua pelajar adalah sama. Mereka datang ke sekolah adalah untuk mencapai satu matlamat yang sama. Oleh itu, sebagai guru kita perlu membantu mereka untuk mencapai matlamat tersebut.







No comments:

Post a Comment