Tuesday, December 15, 2015

Adakah penguasaan 3M mempengaruhi pencapaian matematik??





Penguasaan Kemahiran 3M dalam Kalangan Pelajar
Melalui Transformasi Pendidikan, Program Literasi dan Numerasi (LINUS) telah diperkenalkan pada bulan Ogos 2009. Program LINUS merupakan sebahagian daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan dalam Program Transformasi Kerajaan yang merupakan kesinambungan daripada program yang sedia ada bagi mengatasi masalah penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira, 3M dengan lebih sistematik. Pelaksanaan program LINUS mensasarkan 100% murid tahun 3 menguasai kemahiran literasi dan numerasi sebelum ke tahun 4 mulai tahun 2013 kecuali murid berkeperluan khas dengan bantuan guru.

“Satu program pendidikan disediakan untuk murid yang mengalami masalah dalam penguasaan kemahiran asas 3M yang kompleks disebabkan oleh faktor persekitaran. Program ini dijalankan oleh guru yang khusus, di ruang yang khusus.”
                                                                                                                         ( KPM 2001).
            Bagi mengatasi masalah penguasaan 3M, hubungan sosial yang baik antara guru dan pelajar perlu diwujudkan agar mudah untuk mereka bekerjasama. Setelah mengikuti program ini, diharapkan pelajar dapat menguasai kemahiran asas 3M, meneruskan pembelajaran di kelas biasa dan membina keyakinan diri dan bersikap positif terhadap pembelajaran. Hal ini penting untuk memastikan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran matematik tidak ketinggalan. Kemahiran 3M yang meliputi aspek pengiraan adalah amat penting untuk memastikan kelangsungan dalam mata pelajaran Matematik. Pengiraan merupakan faktor utama dalam memastikan pelajar menguasai tajuk-tajuk penting dalam matapelajaran ini. Selain itu, pembacaan juga penting kerana ia melibatkan pemahaman konsep-konsep Matematik. Ini membuktikan, penguasaan 3M amat penting dalam menentukan penguasaan mata pelajaran Matematik.
            Pelajar tahap satu yang masih kurang menguasai kemahiran 3M lebih ketinggalan berbanding rakan sebaya yang telah menguasai kemahiran 3M. Hal ini seterusnya mewujudkan jurang sosial antara pelajar-pelajar tersebut. Ada beberapa faktor yang menyebabkan masalah ini berlaku antaranya, pelajar mempunyai masalah pembelajaran atau lebih dikenali sebagai ‘slow learner’. Hal ini menyebabkan pelajar yang bermasalah mengambil masa yang lebih lama dalam menguasai kemahiran 3M semasa di prasekolah berbanding rakan rakannya yang lain. Ini membuatkan mereka ketinggalan dalam pelajaran. Selain itu, masalah dari rumah turut mampu menyumbang kepada masalah penguasaan 3M. Hubungan baik pelajar dengan keluarga memainkan peranan penting dalam memastikan emosi mereka berada dalam keadaan yang baik. Kebanyakan pelajar yang mengalami masalah penguasaan 3M merupakan mereka yang kurang bercakap, mempunyai masalah kemurungan dan pemalu.
            Pada kebiasaannya, pelajar ataupun kanak-kanak dalam usia 4-8 tahun merupakan kanak-kanak yang aktif dan mudah untuk belajar. Hubungan baik antara pelajar dan guru juga memainkan peranan penting dalam sesi berkongsi ilmu. Pelajar yang mempunyai hubungan sosial yang baik dengan guru lebih mesra dan mudah menerima pelajaran. Mereka akan lebih cenderung bertanya dan memberikan pandangan dalam sesi pembelajaran walaupun kadangkala isu yang dipersoalkan nampak remeh dan melucukan tapi ia sebenarnya sedang membina keyakinan diri mereka dan juga kemahiran-kemahiran lain selain daripada kemahiran 3M. Namun, kebanyakan pelajar yang berada dalam kelompok ini lebih suka bersaing dengan rakan-rakan mereka sendiri untuk menjadi yang terbaik. Ini mewujudkan persaingan yang sihat. Masing-masing akan berlumba untuk menguasai kemahiran yang diajar. Namun, masih ada yang terlepas pandang. Ada juga pelajar-pelajar yang lambat menguasai kemahiran 3M akan merasa rendah diri dan seterusnya menjadikan masalah ini sebagai satu isu.
            Oleh itu, amat penting untuk mewujudkan satu hubungan sosial yang baik antara guru, ibu bapa dan pelajar itu sendiri dalam memastikan pelajar-pelajar tahap satu mampu menguasai kemahiran 3M. Hal ini kerana, kemahiran 3M merupakan suatu kemahiran asas dalam menguasai pelajaran-pelajaran lain. kelas pemulihan yang diadakan memerlukan sokongan daripada semua pihak. Guru membantu pelajar di sekolah malah ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dalam memastikan pelajar-pelajar tersebut menguasai kemahiran 3M ketika di rumah. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di rumah sebagai inisiatif kepada permasalahan ini. Pada zaman ini, kebanyakan ibu bapa merupakan golongan yang berpendidikan, maka penguasaan kemahiran 3M oleh anak-anak mereka telah berlaku dari peringkat awal. Hanya segelintir kawasan sahaja permasalahan ini berlaku.
            Jika penguasaan kemahiran 3M masih di tahap yang rendah, hal ini akan menyebabkan pelajar semakin ketinggalan dalam opelajaran Matematik khususnya kerana ia banyak melibatkan pengiraan. Menurut kajian daripada pensyarah Universiti Melaya (UM), ramai pelajar kita yang hanya mengusai pengiraan nombor bulat dan mempunyai permasalahan dengan pengiraan perpuluhan, pecahan dan peratus. Ini menunjukkan pelajar kita masih lemah dalam penguasaan 3M. Menurut pengalaman semasa menjadi guru praktikal di sebuah sekolah menengah di Shah Alam, masih ada pelajar yang berada di kelas akhir yang mempunyai masalah membaca dan mengira. Ini menyebabkan mereka sentiasa ketinggalan dalam pelajaran. Penguasaan kemahiran 3M yang rendah ini mewujudkan jurang sosial antara pelajar kelas hadapan dan kelas akhir. Penguasaan kemahiran 3M secara langsung menentukan pencapaian setiap pelajar dalam semua subjek terutama Matematik iaitu dari segi kemahiran mengira. Perbezaan pencapaian matematik yang berlaku di setiap sekolah boleh diatasi kerana saya dapat melihat usaha dan ketekunan pelajar kelas akhir dalam menguasai isi kandungan Matematik walaupun mereka agak lambat dalam kemahiran 3M. Oleh itu, guru perlu mengesan pelajar yang mempunyai masalah penguasaan kemahiran 3M dan seterusnya mengadakan kelas pemulihan untuk merapatkan jurang pencapaian Matematik di sekolah masing-masing.



2.2       Persepsi Masyarakat terhadap Subjek Matematik
Persepsi masyarakat yang berbeza terhadap pemilihan kerjaya yang berfokuskan subjek matematik adalah salah satu faktor terdapatnya jurang dalam pencapaian matematik dalam kalangan pelajar. Masyarakat menurut definisi kamus dewan (2005) ialah kumpulan manusia yang hidup bersama di sesuatu tempat dengan aturan dan cara tertentu. Dalam erti kata lain, masyarakat terdiri daripada orang yang berada di sekeliling seperti keluarga, jiran, guru-guru termasuklah individu pelajar itu sendiri. Oleh itu, masyarakat secara langsung dan tidak langsung boleh mempengaruhi dan memberi impak samada positif mahupun negatif terhadap tahap pencapaian para pelajar sekolah.
             Segelintir masyarakat kita berpendapat bahawa subjek matematik adalah kurang penting dan tidak mempunyai kaitan dengan pemilihan kerjaya para pelajar pada masa akan datang. Ramai yang keliru dan menganggap hanyalah sekadar angka dan formula. Mereka seolah-olah tidak tahu dan tidak nampak yang matematik mempunyai hubungkait yang paling rapat dengan kehidupan. Mereka menganggap peluang pekerjaan yang berfokuskan subjek matematik adalah tidak banyak, semakin terhad dan juga masih tiada pengenalan kerjaya baru. Hal ini mungkin kerana mereka kurang didedahkan dengan ilmu pengetahuan mengenai kerjaya. Apabila masyarakat memandang remeh terhadap subjek matematik, mereka akan mengabaikan subjek tersebut. Ibu bapa khususnya tidak lagi memantau perkembangan anak mereka dan tidak akan memberi penekanan  terhadap pencapaian anak-anak mereka dalam subjek tersebut.
            Maka anak-anak mereka juga berkemungkinan akan menunjukkan tiada minat kerana tidak mendapat galakkan dan dorongan daripada ibu bapa mereka. Mereka mungkin tidak memberi fokus semasa sesi pengajaran dan pembelajaran subjek tersebut. Selain itu, kebarangkalian mereka tidak menyiapkan kerja sekolah matematik adalah tinggi. Persepsi negatif seseorang pelajar itu sendiri juga sudah tentu memberi kesan yang lebih besar terhadap prestasi pelajarannya. Mereka merasakan bidang pekerjaan yang berfokuskan matematik  yang ditawarkan adalah tidak setimpal dengan kesusahan mereka alami semasa belajar subjek tersebut. Ini akan melunturkan semangat dan minat mereka terhadap subjek matematik. Mereka mahu timbal balas yang besar  yang setimpal dengan kesusahan mereka  semasa belajar memandangkan subjek matematik adalah satu subjek yang mencabar. Jadi, kita dapat lihat bahawa persepsi masyarakat sememangnya menjadi salah satu faktor terdapatnya jurang dalam pencapaian matematik pelajar.
            Oleh itu, sebagai langkah mengatasi jurang pencapaian matematik dalam kalangan pelajar adalah kita perlu mengubah persepsi negatif masyarakat yang menganggap subjek matematik tidak penting dan tiada peluang pekerjaan yang meluas. Dengan kata lain, di sini pentingnya media massa memainkan peranannya untuk mendedahkan masyarakat mengenai ilmu pengetahuan berkaitan kerjaya lebih-lebih lagi yang berfokuskan subjek matematik. Seterusnya, peranan guru sekolah khususnya kaunselor adalah penting untuk mengubah persepsi negatif pelajar ke arah yang lebih baik.
            Sebenarnya faktor minat terhadap sesuatu dapat menghasilkan sesuatu yang bermutu dan berkualiti. Maksudnya di sini jika pelajar mempunyai minat yang tinggi terhadap subjek matematik, kebarangkalian mereka akan mendapat keputusan yang cemerlang adalah tinggi. Para pelajar menjadi tidak minat disebabkan oleh banyak faktor seperti tiada ‘role-model’, adaptasi kerjaya yang rendah dan peluang pekerjaan yang terhad. Kekurangan bimbingan dan kerjaya daripada kaunselor turut juga menjadi punca pelajar lemah dalam subjek tersebut. Kaunselor sekolah memainkan peranan penting dalam memm  bantu mereka merancang kerjaya, perancangan akademik dan ‘self-efficacy pelajar’. Fortner (1970) berpendapat kaunselor boleh berperanan sebagai penggerak motivasi dan peningkatan potensi pelajar. Patterson dan Nisenholtz (1995) mendapati bahawa kekurangan bimbingan dan kerjaya dalam bidang Sains dan Matematik merupakan antara punca kelemahan pelajar dalam bidang ini.  Perkembangan kerjaya meliputi segala aspek peringkat perkembangan seseorang, bermula dari setiap yang dipelajari kepada perkembangan selanjutnya dalam kerjaya berkenaan.
            Kaunseling atau bimbingan kerjaya bermaksud sema aktiviti yang dijalankan oleh kaunselor pelbagai peringkat dengan tujuan menggerakkan perkembangan kerjaya, penyediaan diri, pengambilan keputusan dan penyesuaian diri. Kajian yang dilakukan oleh Prediger, Roth dan North (1973) mendapati bahawa 84 % daripada pelajar sekolah menengah di Amerika menemui kaunselor untuk mendapatkan maklumat mengenai perancangan kerjaya. Antara peranan yang boleh dilakukan oleh kaunselor adalah seperti membuat klasifikasi utama pekerjaan dalam bidang Sains dan Matematik. Selain itu, kaunselor juga boleh membentuk kumpulan penjelajahan kerjaya. Kaunselor juga perlu memberikan perkhidmatan kaunseling terhadap mereka yang menghadapi masalah pelajaran, kerjaya, emosi, peribadi dan sosial. Kaunselor juga perlu meningkatkan kefahaman ibu bapa mengenai perkembangan anak-anak mereka selepas SPM, SPMV, dan STPM khususnya mengenai kerjaya dalam bidang Sains dan Matematik. Peranan media MASSA dan kaunselor sekolah pasti dapat mengubah persepsi negatif masyarakat seterusnya dapat memperbaiki prestasi pencapaian matematik para pelajar.

No comments:

Post a Comment