PENGENALAN
Usaha
Malaysia ke arah meningkatkan sistem pendidikan ke tahap kecemerlangan global
yang setanding dengan negara maju dan diiktiraf di mata dunia merupakan satu
misi yang memerlukan kepakaran dan kemahiran yang sangat tinggi. Kepakaran dan
kemahiran yang dipertingkatkan dari semasa ke semasa ini pula adalah sejajar
dengan perkembangan pesat dalam bidang yang menyaksikan pelbagai senario baru
seperti perubahan dalam strategi pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan
di dalam kelas. Aliran yang berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)
ini direka bentuk semula secara menyeluruh dari segi amalan pembelajaran dan
pengurusan sekolah ke arah menyediakan pelajar-pelajar bagi menghadapi zaman
ledakan ilmu yang tanpa sempadan sekali gus ke arah mencapai wawasan 2020.
Kepelbagaian dan kreativiti
seseorang pendidik atau tenaga pengajar dalam pemilihan kaedah pengajaran amat
penting kerana ia mempengaruhi keberkesanan sesuatu P&P. Guru-guru adalah
agen yang terpenting dalam merealisasikan reformasi pendidikan negara untuk
melihat negara Malaysia mampu bersaing dalam era globalisasi ini. Maka,
guru-guru mesti memainkan peranan yang aktif dalam proses P&P sehingga
berlakunya perubahan tingkah laku pelajar yang diingini seterusnya menjadi aset
modal insan yang penting kepada negara. Oleh itu, seseorang guru perlu
melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran, dan sikap-sikap yang
positif sesuai dengan matlamat Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM).
Shulman (1987) telah melakukan
kajian berkenaan dengan pengetahuan yang unik dalam profesion perguruan.
Pengetahuan ini yang membezakan antara seorang guru dengan seorang guru pakar
dalam subjek-subjek yang tertentu. Kajian yang dilakukan mendapati bahawa
kebolehan guru menyampaikan pengetahuan kepada pelbagai kebolehan pelajar
memerlukan transformasi pengetahuan yang dimiliki oleh guru ke dalam bentuk
yang mudah difahami oleh pelajar.
Menurut Shulman, L.S. (1986), guru
yang profesional mestilah mempunyai tujuh jenis pengetahuan iaitu dari segi
pedagogi, kandungan mata pelajaran, konten-pedagogi, pelajar, konteks
pendidikan di Malaysia, tujuan dan falsafah pendidikan di Malaysia, serta
kurikulum. Shulman merupakan orang yang bertanggungjawab dalam penyebaran
fahaman PCK dalam kalangan penyelidik yang cuba mencari jawapan tentang
pengetahuan kandungan pedagogi dan pengetahuan kandungan. Beliau telah mereka
bentuk satu teori kerangka dalam membuktikan kajian beliau tentang korelasi di
antara pengetahuan kandungan dan pengetahuan pedagogi. Pembentukan PCK ini adalah
rentetan daripada kajian yang dibuat oleh beliau tentang tahap pengetahuan
guru. Hasil kajian beliau mendapati 90%-95% menunjukkan guru-guru perlu
menguasai sama ada pengetahuan mata pelajaran atau aras pengetahuan am.
Beliau telah melihat unsur pengetahuan
kandungan pelajaran, PCK dan pengetahuan kurikulum untuk menilai persediaan
guru baru dan mempertimbangkan kajian dalam memberi fokus kepada pengetahuan
tentang permasalahan, pengetahuan kes, dan pengetahuan strategik. Permasalahan
tentang pengetahuan berkaitan dengan isi kandungan atau pedagogi. Sementara
itu, pengetahuan kes merujuk kepada bagaimana guru-guru ini mempunyai pelbagai
ragam dan emosi dalam bilik darjah. Manakala, pengetahuan strategik bermaksud
kebolehan untuk menyelesaikan konflik dengan mengetahui fakta dan kes.
DEFINISI
PENGETAHUAN PEDAGOGI ISI KANDUNGAN (PCK)
Pedagogical Content Knowledge
(PCK) atau pengetahuan pedagogi kandungan mula dicadangkan oleh Shulman(1986)
dan telah dikembangkan bersama rakan-rakannya yang lain sebagai satu model
perspektif yang lebih luas untuk memahami proses pengajaran dan pembelajaran.
Menurut Shulman (1987), PCK ialah gabungan antara pengetahuan isi kandungan dan
pengetahuan pedagogi. Pengetahuan isi
kandungan ialah pengetahuan mendalam tentang isi kandungan yang diajar. Sebagai
contoh, seorang guru matematik tingkatan 1 perlu memahami dan menguasai
sepenuhnya tajuk-tajuk matematik tingkatan 1 seperti pecahan, perpuluhan, garis
dan sudut, ukuran asas, geometri dan sebagainya. Pengetahuan isi kandungan harus diselaraskan
dengan spesifikasi kurikulum dan juga sukatan pelajaran. Pengetahuan pedagogi pula
adalah merujuk kepada pengetahuan tentang prinsip-prinsip dan kaedah mengajar, merangkumi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik
darjah seperti pendekatan, kaedah atau teknik, strategi, kurikulum dan sukatan
pelajaran, pengujian dan penilaian, serta pemulihan dan pengayaan. Setiap insan
yang bergelar guru haruslah mempunyai pengetahuan ini kerana ia sangat penting
dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Selain daripada pengetahuan isi
kandungan dan pengetahuan pedagogi, terdapat satu lagi pengetahuan profesional
yang mesti ada dalam diri setiap pendidik iaitu pengetahuan psikologi (Wiseman,
et. al. 1999). Pengetahuan psikologi merujuk kepada pengetahuan tentang
pelajar. Ia berkaitan cara pelajar belajar iaitu gaya pembelajaran mereka,
minat dan kebolehan, sikap dan kepercayaan serta masalah pembelajaran yang
dihadapi. Menurut pendapat dan dapatan kajian daripada beberapa tokoh
penyelidik dalam bidang pendidikan (contohnya; Wiseman, et. al. 1999, Cochran
1997, Borko, H. & Putnam, R.T. 1990, Calderhead, J. 1990, Shulman 1987,
Frank, R.J. 2000 ), integrasi ketiga-tiga pengetahuan tersebutlah yang
menghasilkan apa yang dipanggil sebagai pengetahuan pedagogi kandungan. Manakala menurut Grossman (1990), PCK
mengandungi; (1) pengetahuan tentang strategi dan penyampaian untuk pengajaran
topik-topik tertentu; (2) pengetahuan tentang kefahaman pelajar terhadap
sesuatu konsep dan kesilapan konsep yang dialami oleh pelajar berkenaan; (3)
pengetahuan dan kepercayaan tentang tujuan (objektif) pengajaran sesuatu topik;
dan (4) pengetahuan tentang kurikulum dan bahan. Menurut Grossman lagi, terdapat
empat sumber untuk memperoleh dan mengembangkan PCK iaitu pemerhatian dalam
kelas, pendidikan formal, kursus dalaman dan pengalaman mengajar.
Untuk menjadi seorang guru yang
berkualiti seharusnya semua guru harus memiliki pengetahuan-pengetahuan ini.
Ini kerana PCK dilihat sangat penting bagi profesion keguruan. Antara
kepentingannya ialah:
1. PCK
dapat membantu guru untuk memahami prinsip-prinsip pengajaran dan pembelajaran
dengan jelas.
2. PCK
dapat membantu guru dalam memilih kaedah pengajaran yang bersesuaian dengan
tahap penerimaan para pelajar
3. PCK
membantu guru untuk melakukan penyediaan terutama dari segi menyediakan
bahan-bahan bantuan mengajar yang lebih menarik dan bermakna.
4. Guru
akan sentiasa melibatkan pelajarnya secara lebih aktif dalam pelajaran.
5. Guru
akan berupaya untuk menggunakan set induksi yang menarik supaya dapat memulakan
pelajaran yang berjaya menarik minat para pelajarnya
6. Guru
akan dapat memperkembangkan lagi potensi yang ada pada pelajarnya
ISU PENGETAHUAN
PEDAGOGI ISI KANDUNGAN (PCK) DALAM KALANGAN
GURU
Pengetahuan
terhadap Pelajar dan Pembelajaran
Pengetahuan
pedagogi isi kandungan boleh dibahagikan kepada skop yang lebih kecil iaitu
pengetahuan guru terhadap pelajar dan pembelajaran. Hal yang menjadi isu ialah,
guru-guru muda masih kurang pendedahan dan pengetahuan tentang pelajar dan juga
gaya pembelajaran pelajar mereka. Seorang guru yang baik perlulah mengenali
pelajar mereka terlebih dahulu agar mereka dapat memberikan perhatian yang
khusus dan pendekatan mereka dalam mendidik pelajar juga lebih mantap. Setiap
guru baru kebiasaannya mempunyai masalah dalam mengenali pelajar mereka. Hal
ini kerana mereka masih kekurangan pengalaman berbanding guru lama. Namun, bagi
guru lama pula mereka terlebih yakin bahawa mereka lebih berpengalaman dan
mengenali pelajar. Guru lama lebih mudah membuat rumusan tentang pelajar mereka
berdasarkan pengalaman sebelum ini dengan pelajar terdahulu. Sedangkan setiap
pelajar mempunyai latar belakang, sikap dan kebolehan yang berbeza. Bagi guru
baru pula, mereka cepat membuat kesimpulan melalui pemerhatian.
Pengetahuan guru terhadap pelajar
amat penting kerana, setiap pelajar adalah berbeza walaupun mereka berada di
dalam kelompok yang sama. Setiap pelajar mempunyai sikap dan minat yang
berbeza. Sebagai seorang guru Matematik, guru tersebut perlulah memerhatikan
sikap dan minat pelajar mereka terhadap sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).
Daripada sikap pelajar, guru boleh menilai kebolehan pelajar. Setiap pelajar
mempunyai potensi dalam pembelajaran matematik dimana ada potensi pelajar yang
telah digilap dan masih juga ada pelajar yang belum digilap potensinya. Pengetahuan
guru terhadap pelajar itu sendiri adalah penting untuk menilai sejauh mana
minat dan kebolehan setiap pelajarnya. Dengan mengetahui tahap minat
pelajarnya, guru boleh melakukan aktiviti yang lebih mencabar dan menyeronokkan
untuk meningkatkan motivasi pelajar mereka. Sebaliknya hari ini, guru lebih
banyak menekankan tentang isi kandungan berbanding pelajar mereka sendiri.
Mereka lebih suka menggunakan kaedah tradisional (chalk and talk) supaya sesi
PdP dapat dijalankan dengan cepat untuk menghabiskan silibus. Hal ini akan
membantutkan kebolehan pelajar terutamanya dalam matapelajaran Matematik.
Selaras dengan pengetahuan guru
dalam pembelajaran yang amat berkait rapat dengan gaya pembelajaran pelajar,
seorang guru perlu mengetahui kaedah-kaedah pembelajaran dan menghubungkaitkan
dengan setiap pelajarnya. Setiap pelajar mempunyai kaedah pembelajaran yang
berbeza. Guru yang kurang pengetahuan dalam gaya-gaya pembelajaran akan
melakukan kesilapan dimana guru tidak akan menggunakan kaedah pengajaran yang
holistik dalam pengajaran beliau. Sedangkan tugas seorang guru ialah untuk
memudahkan pembelajaran pelajar dengan menyediakan suasana pembelajaran yang
harmonis dan menarik. Dalam sesi pembelajaran, guru sering berhadapan dengan
pelajarnya yang berbeza dari segi kebolehan mereka. Hal ini memerlukan pengetahuan
dan kepakaran guru dalam menentukan strategi pengajaran dan pembelajaran. Ini
bermakna, guru perlu menentukan pendekatan, memilih kaedah dan menetapkan
teknik-teknik tertentu yang sesuai dengan perkembangan dan kebolehan pelajar.
Strategi yang dipilih itu, selain berpotensi merangsang pelajar belajar secara
aktif, ia juga harus mampu membantu menganalisis konsep atau idea dan berupaya
menarik hati pelajar serta dapat menghasilkan pembelajaran yang bermakna.
Setiap pelajar mempunyai gaya pembelajaran yang berbeza iaitu visual, auditori
dan kinestatik. Oleh itu, pemilihan kaedah pembelajaran perlulah sesuai dengan
gaya pembelajaran setiap pelajar di dalam sesebuah kelas Matematik.
Keperluan seorang guru adalah untuk menarik
perhatian pelajar dalam sesuatu pengajaran, aktiviti-aktiviti yang dipilih
hendaklah yang menarik dan mempunyai potensi yang tinggi untuk membolehkan isi
pelajaran dan konsep-konsep yang diterjemahkan secara jelas. Aktiviti harus boleh
mempengaruhi intelek, emosi dan minat pelajar secara berkesan. Dan yang paling
utama, aktiviti-aktiviti yang diselitkan perlu sesuai dengan semua gaya
pembelajaran pelajarnya. Dengan ini, tiada kelompok pelajar dengan gaya
pembelajaran tertentu dipinggirkan. Oleh itu, pengetahuan seorang guru dalam
gaya pembelajaran pelajar amat penting dalam menentukan kaedah, teknik dan
strategi yang paling sesuai dengan sesebuah kelas Matematik tersebut. Isu ini
sememangnya sering timbul apabila guru-guru merungut pelajar mereka mudah
merasa bosan dan tidak berminat dengan pembelajaran Matematik. Malah ada
pelajar-pelajar yang ponteng sekolah kerana mereka langsung tidak berminat
dengan pembelajaran. Sedangkan guru yang tidak menyediakan suasana pembelajaran
yang harmoni dan menarik. Apabila PdP yang dilaksanakan melibatkan pelajar
dengan aktif dan mereka seronok, pembelajaran sudah pasti akan lebih menarik
dan mereka juga lebih mudah memahami konsep dan jalan kerja dalam permasalahan
Matematik. Sehubungan dengan itu, pengetahuan pelajar dan pembelajaran amat
penting dalam setiap diri seorang guru kerana ia menentukan hala tuju sesebuah
pembelajaran tersebut. Guru perlu mempertingkatkan pengetahuan mereka dari
sudut ini dan tidak hanya menekankan pengetahuan dalam isi kandungan sahaja.
Pengetahuan
Kurikulum (Content)
Isu
yang berkaitan pengetahuan pedagogi kandungan (PCK ) yang sering timbul adalah
pemilikan pengetahuan-pengetahuan ini dalam kalangan guru di Malaysia. Beberapa kajian telah dijalankan bagi
mengetahui status ini di negara kita.
Kajian yang pertama yang dilakukan oleh Tengku Zawawi Tengku Zainal,
Ramlee Mustapha & Abdul Razak Habib yang bertajuk Pengetahuan Pedagogi Isi
Kandungan Guru Matematik Bagi Tajuk Pecahan : Kajian Kes Di Sekolah Rendah.
Dapatan kajian in menunjukkan PCK di kalangan guru baru dan guru berpengalaman
berada pada tahap yang rendah. Perkembangan pengalaman guru tidak selari dengan
perkembangan PCK.
Selain itu, kajian yang dijalankan
oleh Norasliza Hassan & Zaleha Ismail (2008) yang bertajuk Pengetahuan
Pedagogi Kandungan Guru Pelatih Matematik Sekolah Menengah mendapati tahap
penguasaan PCK guru pelatih matematik masih pada tahap sederhana. Mereka ini gagal memahami punca berlakunya
miskonsepsi pelajar dan kurang kemahiran dalam mengemukakan soalan yang sesuai
untuk mendedahkan miskonsepsi dalam kalangan pelajar. Guru pelatih ini menggunakan kaedah
‘student-centered’ dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Dapatan juga menunjukkan pengetahuan konsep
masih rendah dalam kalangan guru pelatih Matematik kerana pengetahuan kandungan
(CK) yang rendah. Oleh itu, bagi
mengatasi masalah ini setiap guru pelatih mestilah melengkapkan diri mereka
dengan kemahiran mengemukakan soalan kerana kemahiran ini sangat penting bagi
mengesan tahap pengetahuan berbahasa pelajar, selain dapat menggalakkan pelajar
itu sendiri berfikir secara kreatif, kritis, logical dan inovatif.
Kajian yang ketiga adalah dijalankan
oleh Shaharom Noordin & Faridah Sapiee (2010), yang bertajuk Tahap
Pencapaian Pengetahuan Pedagogi Dan Kandungan Dalam Kalangan Bakal Guru
Fizik. Kajian ini menunjukkan terdapat
perkaitan yang positif sederhana yang signifikan antara tahap pencapaian
pengetahuan pedagogi dengan tahap pencapaian pengetahuan Fizik. Kajian yang terakhir adalah yang dijalankan
oleh Nor Aishah Buang dan Yap Poh Moi (2002) yang mengkaji berkaitan kesediaan
guru-guru perdagangan dari segi aspek pengetahuan kaedah pengajaran dan sikap terhadap
pengajaran subjek pengajian keusahawanan.
Dapatan kajian mendapati bahawa tiada kesediaan yang mencukupi terhadap
pengajaran subjek Pengajian Keusahawanan dari aspek penguasaan pedagogi
kandungan dan sikap terhadap subjek tersebut.
Dapatan kajian juga menunjukkan pengetahuan pedagogi dan pengetahuan
kandungan masih tahap yang rendah.
Kesimpulannya, melalui contoh-contoh
kajian yang telah dijalankan dalam negara menunjukkan tahap pengetahuan
pedagogi kandungan (PCK) masih pada tahap yang rendah. Guru-guru di Malaysia sememangnya telah
memiliki pengetahuan ini namun tahap pengetahuan berada pada kedudukan
sederhana rendah. Proses pengembangan
PCK ini seharusnya bermula di peringkat awal program latihan perguruan. Selain itu, kekurangan dan kelemahan dalam
sistem pendidikan guru akan menyebabkan guru-guru yang baru tidak mempunyai
persediaan yang sewajarnya untuk memulakan tugas sebagai seorang pendidik masa
akan datang. Menurut Zawawi et.al (2009), perlunya satu program sokongan dan
pemantauan berterusan diberikan kepada guru-guru baru lepasan pusat-pusat
latihan perguruan sama ada dari university ataupun maktab-maktab
perguruan. Menurut Nor Aisyah (2002),
Kementerian Pendidikan Malaysia bertindak sebagai satu pasukan yang sentiasa
menilai dan mengikuti perkembangan pelaksanaan subjek ini serta sentiasa
memberi panduan yang secukupnya kepada guru-guru.
Pengetahuan
Strategi Pengajaran
Menurut Kamarudin Husin dan Siti Hajar Abdul Aziz (2004),
strategi merupakan perancangan atau satu operasi. Strategi merupakan kaedah yang digunakan oleh
guru di dalam kelas untuk mencapai sesuatu matlamat pembelajaran. Proses
pengajaran dan penyampaian melibatkan tiga bentuk strategi iaitu pendekatan,
kaedah dan teknik.
Pengetahuan strategi pengajaran merupakan isu dan
komponen penting yang perlu dititikberatkan. Menurut Shulman (1986), bagi
sesuatu topik, PCK melibatkan analogi,contoh,penerangan dan demonstrasi yang
efektif, kefahaman tentang aspek-aspek yang membuatkan sesuatu topik itu senang
atau susah, miskonsepsi pelajar tentang topik dan pengetahuan strategi
pengajaran yang efektif. Pengetahuan strategi pengajaran mengikut PCK adalah
penting untuk meningkatkan dan memastikan keberkesanan pengajaran Matematik.
Menurut Tengku Zawawi (1998), strategi pengajaran
Matematik yang berkesan adalah
melibatkan kemahiran menyediakan latihan yang berterusan dan pelbagai,
menjalankan aktiviti pengayaan dan pemulihan, pengurusan bilik darjah serta
menilai bahan dan kurikulum Matematik. Pengetahuan tentang strategi pengajaran
terdiri daripada dua komponen iaitu pengetahuan strategi pengajaran sesuatu
subjek dan pengetahuan tentang strategi pengajaran bagi sesuatu topik.
Dalam kata lain, pengetahuan strategi pengajaran sesuatu
subjek sebenarnya merupakan pendekatan secara umum sebagai contohnya pembelajaran
koperatif dan kolaboratif, penyelesaian masalah dan lain-lain lagi. Manakala
berbeza pula dengan strategi pengajaran bagi sesuatu topik lebih spesifik
kerana merujuk kepada kaedah yang lebih spesifik dan berfokus. Menurut
perincian Tengku Zawawi (1998), antara strategi yang spesifik ini termasuklah
induktif, deduktif, analogi, simulasi, dan kerja praktik yang efektif.
KESIMPULAN
PCK
digunakan untuk menjelaskan bidang pengetahuan guru mengenai isi kandungan dan
pedagogi. PCK merupakan entiti yang berinteraksi di antara pedagogi dan
pengetahuan kandungan. Contohnya, guru yang mengajar subjek Matematik kepada
murid. Dalam pengajaran subjek ini, guru telah menggunakan tatacara pedagogi
yang tertentu seperti kaedah kolaboratif yang melibatkan hubungan sesama murid.
Murid akan menjawab persoalan yang dikemukakan dengan membuat perbincangan
sesama murid tentang topik yang diajar. Daripada contoh ini, didapati bahawa
guru berusaha membahagikan kandungan material dengan pendekatan pedagogi yang
sesuai. Justeru itu, PCK sangat berhubung kait dengan pengajaran dan
pembelajaran kurikulum dan pedagogi yang digunakan oleh para guru.
Bagi membantu pelajar untuk belajar,
guru perlu tahu beberapa jenis pengetahuan tentang pembelajaran. Guru perlu
fikir apa yang dimaksudkan dengan belajar pelbagai jenis material bagi
tujuan-tujuan yang berbeza dan bagaimana untuk memilih jenis pengajaran yang
diperlukan dalam konteks-konteks yang berbeza. Guru perlu boleh mengenal pasti
kekuatan dan kelemahan pelajar-pelajar yang berbeza dan perlu mempunyai
pengetahuan untuk bekerja dengan pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran
yang spesifik atau keperluan. Guru juga perlu tahu mengenai sumber kurikulum
dan teknologi yang menghubungkan pelajar dengan sumber informasi dan pengetahuan
yang membolehkan mereka untuk menjelajahi idea, mendapatkan dan mensintesis
informasi, dan merangka serta menyelesaikan permasalahan. Selain itu, seseorang
guru perlu tahu tentang kolaborasi, bagaimana untuk menstruktur interaksi
antara pelajar supaya pembelajaran yang lebih berkesan berlangsung, bagaimana
untuk berkolaborasi dengan guru lain, dan bagaimana untuk bekerja dengan ibu
bapa untuk mendapatkan maklumat yang lebih tentang anak mereka dan bagi
membentuk pengalaman yang menyokong di sekolah dan di rumah.
No comments:
Post a Comment