1.0
Pengenalan
Pentaksiran merupakan salah satu konsep yang penting
dalam dunia pendidikan selain daripada penilaian dan pengujian. Pentaksiran
berasal daripada perkataan Greek ‘Assidere’ yang bermaksud ‘duduk bersama’
dengan pelajar dan mengesahkan respon dengan apa yang dimaksudkan. Pentaksiran
ialah satu proses mendapatkan maklumat dan seterusnya membuat penghakiman
tentang produk sesuatu proses pendidikan.
Mengikut pakar dan
penulis buku yang terkenal dalam bukunya Applied Educational Assesment Edisi
kedua tahun 2003, pentaksiran ialah integrasi proses mengumpul maklumat,
menginterpretasi maklumat atau memberi nilai kepada maklumat itu dan membuat
keputusan berdasarkan interpretasi yang dibuat ke atas maklumat.
Menurut Lembaga
Peperiksaan Malaysia (2000), pentaksiran dalam bidang pendidikan dianggap
sebagai suatu proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti mengumpul,merekod,
memberi skor, dan menterjemahkan maklumat tentang pembelajaran seseorang murid
bagi sesuatu tujuan tertentu.
Hasil pentaksiran
dinyatakan dalam bentuk skor. Skor mestilah sah dan boleh dipercayai untuk
memastikan keadilan kepada murid serta mengekalkan kewibawaan institusi
pentaksiran.
Pentaksiran
terbahagi kepada dua iaitu Pentaksiran Sekolah (PS) dan pentaksiran Pusat (PP).
Pentaksiran sekolah merupakan pentaksiran yang dirancang, dibina, ditadbir,
diperiksa, direkod dan dilapor oleh guru di sekolah yang melibatkan murid, ibu
bapa dan organisasi luar. Pentaksiran Sekolah (PS) dilaksanakan dalam bentuk
pentaksiran formatif yang dijalankan seiring dengan proses pengajaran dan
pembelajaran dan pentaksiran sumatif di akhir unit pembelajaran, semester atau
tahun.
Pentaksiran Pusat
(PS) ialah pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah dengan peraturan
pentaksiran, instrumen pentaksiran, tugas, garis panduan, peraturan penskoran,
penggredan dan pelaporan dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan. Pengumpulan data
dan maklumat adalah bertujuan untuk mengetahui apa yang murid tahu, boleh buat
dan boleh amalkan.
Dalam pentaksiran
terdapat beberapa yang perlu dipatuhi iaitu kumpulan yang ditaksir(pelajar),
kumpulan yang menaksir (para pentadbir termasuk guru-guru), instrumen seperti
ujian, skor dan respons. Sebagai pendidik kita perlu tahu kegunaan dan tujuan
pentaksiran. Pentaksiran bertujuan untuk meningkatkan pencapaian, memperbaiki
kelemahan atau masalah murid dalam pembelajaran, meningkatkan keyakinan kepada
murid untuk belajar dan guru pula dapat mengubahsuai strategi pengajaran.
PERANAN GURU DALAM PENTAKSIRAN
Peranan
guru sangat besar dalam pelaksanaan Pentaksiran ini. Hal ini kerana guru
sebagai pelaksana kepada hasrat yang dirancang oleh kementerian ini. Oleh itu,
untuk menjayakan pentaksiran ini, pertama, guru haruslah memiliki dan menguasai
dengan baik dan mendalam tentang ilmu mata pelajaran yang diajar. Hal ini amat
penting kerana tanpa penguasaan yang baik dalam mata pelajaran, guru tidak
dapat menyampaikan ilmu mata pelajaran tersebut dengan berkesan. Setiap mata
pelajaran mempunyai lenggok pengetahuannya yang khusus yang tidak mungkin dapat
disampaikan oleh orang yang bukan dalam bidangnya. Realiti yang wujud kita, ada
segelintir sekolah di Malaysia yang masih mengalami masalah mata pelajaran
diajar oleh guru bukan opsyen.
Hal
sedemikian seharusnya diambil tindakan tegas oleh pihak kementerian agar masa
depan murid tidak terkorban. Hal ini kerana, setiap mata pelajaran mesti diajar
oleh guru opsyen mata pelajaran tersebut agar hasil pembelajaran yang diterima
murid lebih optimum. Selain itu, guru tersebut haruslah tahu tentang kurikulum,
matlamat dan objektif kurikulum. Kurikulum menghuraikan tentang ruang lingkup
bidang ilmu yang harus dipelajari oleh seseorang murid dalam sistem pendidikan
formal, pembentukan dalam diri murid yang meliputi ilmu dan kemahiran yang
terkandung dalam mata pelajaran tersebut serta nilai-nilai murni yang ingin
diterapkan. Hal ini kerana setiap kurikulum mempunyai matlamat dan objektifnya
dan guru harus memahami setiap yang disenaraikan tersebut. Guru yang tidak pernah
membaca dan memahami matlamat dan objektif mata pelajaran ini akan tersasar
dalam pengajarannya dan sekali gus menjadikan murid sebagai mangsa.
Sementelahan, guru haruslah memiliki
ilmu dan kemahiran mengenai pentaksiran pendidikan ini bermula dari pengertian
pentaksiran, pelaksana pentaksiran, bahan yang perlu direkodkan, cara
merekodkan dan cara rekod disimpan. Guru juga perlulah memahami dan dapat
mengenal pasti item yang terbaik, instrumen yang baik, kesahan dan
kebolehpercayaan, cara pemarkahan dan pengendalian pentaksiran. Dalam masa yang
sama, guru juga haruslah mengelakkan diri daripada bersikap tidak adil dan bias
terhadap seseorang murid tersebut. Tambahan lagi, guru haruslah tahu dan faham
tentang jenis-jenis ujian. Pemahaman tentang jenis-jenis ujian ini amat penting
kerana ia merupakan ujian yang akan digunakan sepanjang pembelajaran murid.
Setiap instrumen yang dibina juga mempunyai tujuan yang berbeza dan kesilapan
dalam mentadbir instrumen akan menghasilkan maklumat yang tidak sah dan tidak
boleh dipercayai.
Selain
itu, guru haruslah berfikiran lebih kreatif. Kreatif dengan cara mempelbagaikan
pendekatan pengajaran agar lebih menarik dan berkesan dan guru juga perlulah
kreatif dalam pelaksanaan pentaksiran ini. Hal ini kerana kreativiti amat
berkait rapat dengan penguasaan ilmu yang baik dalam sesuatu mata pelajaran.
Kreativiti juga berkait rapat dengan penggunaan alat bantu mengajar, penggunaan
teknologi masa kini, pendekatan pengajaran yang tidak berpusatkan guru serta
komunikasi sehala dan juga penggunaan ruang yang lebih fleksibel bukan hanya di
dalam kelas sahaja. Tambahan lagi, guru mestilah mengenali setiap murid di
bawah tanggungjawabnya dengan baik. Hal ini bagi memastikan pentaksiran yang
berkesan dapat dijalankan. Guru juga bukan hanya perlu tahu berkaitan keupayaan
akademik murid tetapi meliputi kesemua pembentukan yang ingin dibangunkan dalam
diri murid tersebut. Dalam masa yang sama, guru perlulah mengenal pasti
kecenderungan, minat dan bakat murid tersebut. Hal ini penting agar dapat
melahirkan murid yang berjaya dalam bidang yang diminatinya.
Memandangkan
pentaksiran ini memerlukan maklumat yang menyeluruh daripada pelbagai sumber
yang boleh dipercayai, guru perlulah berupaya menjalankan kerja secara
berkumpulan. Hal ini bagi membolehkan pelaporan yang dibuat adalah tepat. Guru juga mestilah mengikuti perkembangan
ilmu mutakhir terutamanya bagi mata pelajaran yang diajar dan juga ilmu
pentaksiran. Pendedahan kepada perkembangan mutakhir ini akan menjadikan guru
sentiasa berada pada kedudukan yang selesa apabila berhadapan dengan murid dan
juga pihak lain yang berkepentingan. Selain itu, guru haruslah mampu
berkomunikasi dan bekerjasama dengan guru sekolah lain bagi menjamin
pentaksiran yang adil dan setara dapat diwujudkan. Melalui cara ini, guru dapat
berkongsi ilmu dan kemahiran bagi membolehkan pentaksiran dijalankan secara
berkesan. Kesimpulannya, guru adalah satu profesion yang mulia. Guru perlulah
memiliki etika yang terbaik untuk menjadi contoh kepada murid. Hal ini kerana
hanya guru sendiri sahaja yang mampu memberikan imej baik kepada profesion ini
dan sekali gus dapat meningkatkan profesion kepada tahap yang tertinggi dan
dihormati.
3.0
PENSKORAN PENTAKSIRAN SEKOLAH
Skor yang diberi berdasarkan evidens
calon menunjukkan calon telah ditaksir mengikut ketetapan dalam dokumen
pentaksiran PBS. Skor dan evidens perlu diuruskan mengikut prosedur keselamatan
yang telah ditetapkan. Proses pengurusan skor adalah melalui Jabatan Pendidikan
Negeri (JPN), jabatan ini akan menerima aplikasi kemasukan skor PBS daripada
Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan kemudiannya akan diedarkan ke sekolah
melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). Pengetua merupakan insan yang
bertanggungjawab untuk memastikan skor dihantar ke Pejabat Pendidikan Daerah
(PPD). Selain itu, pengetua juga perlu akur dengan prosedur penghantaran yang
ditetapkan.
Skor ini
meliputi mata pelajaran tertentu sahaja. Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) juga
perlu memastikan skor diterima daripada sekolah dan dihantar ke Jabatan
Pendidikan Negeri (JPN) dan pihak sekolah perlu akur dengan prosedur penskoran
dan jadual penghantaran yang ditetapkan. Pihak sekolah juga perlu
bertanggungjawab memastikan skor calon disimpan di tempat yang selamat dan
mematuhi prosedur keselamatan.
Manakala, bagi pengurusan evidens
pula, pengetua bertanggungjawab memastikan evidens calon disimpan seperti
ketetapan yang terdapat dalam dokumen pentaksiran bagi setiap mata pelajaran
yang berkaitan. Evidens produk calon yang berpindah hendaklah disimpan di sekolah
asal jika telah selesai sepenuhnya. Jika evidens produk belum disiapkan
sepenuhnya, evidens produk hendaklah dibawa ke sekolah baru. Tempoh penyimpanan
evidens produk ialah enam bulan selepas keputusan Peperiksaan Menengah Rendah
(PMR) diumumkan. Manakala bagi tempoh penyerahan evidens produk kepada calon
pula evidens tersebut perlu dipulangkan dalam masa 30 hari selepas tempoh
penyimpanan tamat. Pengetua berhak melupuskan evidens yang tidak dituntut oleh
calon selepas tamat tempoh penyerahan.
2.0
Isu-Isu
Pentaksiran
Pentaksiran Berasaskan Peperiksaan
Dari zaman selepas kemerdekaan lagi, sistem
peperiksaan Malaysia sering berubah-ubah. Ini sejajar dengan perubahan zaman
dalam membentuk modal insan yang bertaraf dunia. Walau bagaimanapun, proses
pengajaran dan pembelajaran masih lagi berasaskan peperiksaan. Ini secara tidak
langsung memberi kesan kepada sistem pendidikan negara kita.
Antara
ciri-ciri sistem peperiksaan sedia ada ialah terlalu berfokuskan kuantiti dan
berorientasikan mata pelajaran. Terdapat terlalu banyak kekurangan dalam sistem
yang sedia ada. Pertama sekali, soalan berbentuk peperiksaan dilatih sewaktu
proses pengajaran dan pembelajaran. Proses pengajaran dan pembelajaran yang
memberi tumpuan kepada peperiksaan ini bermaksud, murid-murid meletakkan tujuan
belajar untuk lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan, manakala guru pula
menjalankan rutin mengajar dengan memberi fokus kepada soalan peperiksaan.
Mata
pelajaran Matematik khususnya, murid-murid di sekolah telah terbiasa dengan
kaedah pembelajaran secara latih tubi untuk cemerlang dalam peperiksaan . Ini
kerana, mereka telah sedia maklum bahawa mata pelajaran ini sangat penting
untuk dikuasai terutamanya untuk yang bercita-cita untuk menyambungkan
pelajaran dalam bidang Sains dan Teknologi. Pendapat ini disokong oleh Nadzri
Mohamed, Jamri Awang Besar, dan Norhasliza Ahmad (2006) dan mereka menyatakan
dalam kajian mereka mengenai pendapat umum dalam pendidikan Matematik iaitu
“Lulus dengan cemerlang dalam Matematik menjadi syarat bagi pelajar untuk ke
tingkatan empat di sekolah berasrama penuh. Selepas menduduki SPM, kelulusan
dalam Matematik sekali lagi menjadi jaminan untuk melanjutkan pelajaran ke
universiti dan pusat pengajian tinggi dalam kebanyakan bidang pengajian”. Maka,
tidak hairanlah pada hari ini kebanyakan guru mengambil langkah untuk
menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran berdasarkan peperiksaan kerana
ia juga menjadi kehendak murid-murid dan ibu bapa.
Isu
pengajaran dan pembelajaran berdasarkan peperiksaan boleh dibincangkan melalui
dua kaedah iaitu, pertama, bentuk soalan peperiksaan kebiasaannya dilatih dalam
bilik darjah, dan yang kedua, kebanyakan guru hanya menumpu kepada kandungan
mata pelajaran Matematik dalam sukatan pelajaran yang disediakan. Bagi
guru-guru, mata pelajaran Matematik diajar seperti ia adalah hanya ilmu
kira-kira, kebolehan menggunakan rumus-rumus penghafalan, dan latih tubi untuk
cemerlang dalam peperiksaan. Kenyataan ini urut disokong oleh Zaleha Ismail dan
Arinah Zaidan (2010) dan di dalam laporan kajian yang sama mereka memetik
kata-kata Peter Grootenboer (2004), “Kaedah ini (pengajaran dan pembelajaran
berdasarkan peperiksaan) dikatakan lebih senang dan tidak perlu menyediakan
bahan bantu mengajar. Namun, pengajaran seperti ini tidak dapat menggalakkan
pelajar untuk mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat”. Ini bermakna, kaedah
ini mudah untuk dipraktikkan tetapi akan merugikan murid-murid kerana terdapat
beberapa kelemahan.
Walau
bagaimanapun, menurut kajian yang dilakukan oleh Johari Hassan dan Yeong Wai
Chung (2010) yang bertajuk “Keupayaan dan Kelemahan Menyelesaikan Masalah
Matematik dalam Kalangan Pelajar Tingkatan Lima” memberi kesimpulannya yang
tersendiri. Kesimpulannya ialah, kegagalan untuk menyelesaikan masalah dengan
berkesan bukan disebabkan kekurangan
dalam penguasaan isi kandungan Matematik. Keterampilan isi kandungan adalah
perlu tetapi bukan wajib untuk penyelesaian masalah, sebaliknya pengalaman dan
pendedahan kepada kemahiran dan strategi penyelesaian masalah mungkin adalah
faktor yang lebih penting.
Seterusnya
isu yang kedua dalam pentaksiran berasaskan peperiksaan ialah guru hanya
tertumpu pada kandungan mata pelajaran matematik dalam sukatan pelajaran. Oleh
sebab pentaksiran menggunakan ujian formatif seperti ujian dan peperiksaan
untuk menentukan markah dan gred, para guru lebih banyak memberi penekanan
kepada keputusan peperiksaan sehingga mengabaikan proses pembelajaran pelajar.
Hasilnya, asas pembelajaran seperti konsep
matematik tidak dapat dicapai sepenuhnya sekali gus menghilangkan keseronokan
ketika belajar matematik. Akibat daripada itu juga menyebabkan pelajar yang
tidak mendapat markah tinggi dalam peperiksaan terabai. Situasi ini dilihat
berbeza di China. Kajian telah dilakukan
oleh Lim Chap Sam (Malaysia) dan Zhao Xiao Ping (Shanghai)(2005) bertajuk Assessment and Examination System : A
comparative Study between Malaysia and Shanghai (China) yang mengkaji
faktor-faktor yang menyebabkan prestasi pelajar dalam mata pelajaran matematik
di China lebih baik daripada di Malaysia. Dalam kajian menunjukkan ketinggian
tahap kandungan pengajaran di China adalah disebabkan guru matematik cenderung
untuk mengajar lebih daripada apa kandungan kurikulum yang diperlukan. Selain
itu, guru juga digalakkan untuk memupuk keupayaan pelajar dalam inovasi dan
penerokaan dalam pendidikan matematik. Kandungan pelajaran yang diajar oleh
guru di China juga lebih sukar berbanding buku teks sekolah dan kurikulum yang
ditetapkan. Berbeza dengan di negara kita iaitu Malaysia di mana guru di
Malaysia tidak mengajar di luar sukatan yang ditetapkan walaupun sukatan yang
dinyatakan bertujuan untuk mencapai kecekapan minimum. Malah sesetengah guru
mungkin memilih untuk mengorbankan beberapa kandungan sukatan matematik atau
topik-topik di mana mereka merasakan ia terlalu sukar untuk difahami oleh para
pelajar. Keadaan ini menyebabkan pelajar hanya belajar untuk peperiksaan semata-mata
dan bukan untuk memperoleh ilmu. Selain itu, antara punca kelemahan
pembelajaran berorientasikan peperiksaan ialah pelajar seolah-olah dibentuk
melalui mesin. Pelajar ialah produk yang terhasil daripada mesin iaitu
pembelajaran yang mengandungi bahan-bahan yang ditetapkan seperti kurikulum
pendidikan kita. Penekanan pembelajaran juga lebih tertumpu pada buku sebagai
bahan rujukan kedua selepas guru. Penguasaan konsep yang pelajar peroleh
daripada latih tubi di buku hanya tertumpu pada konsep yang sedia ada sahaja.
Konsep yang ada terhad untuk mengatasi masalah tertentu sahaja dan tidak dapat
disepadukan dengan dunia luar. Pelajar dilihat kurang mengaplikasikan
pembelajaran dengan dunia luar. Pembelajaran seperti ini menjarakkan lagi dunia
pendidikan dengan dunia realiti.
KEPENTINGAN
PENTAKSIRAN
Pentaksiran merupakan bahagian yang penting
dalam sistem pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Hal ini kerana dengan pentaksiran
guru dapat menilai murid dengan lebih terperinci lagi. Namun hanya segelintir
sahaja yang sedar akan kepentingan pentaksiran. Antara kepentingan pentaksiran
adalah membolehkan guru dan murid menetapkan standard kerja mereka dan
memikirkan cara mereka dapat memperbaiki mutu pencapaian mereka. Salah satu
cara untuk guru menilai pengajaran dan pembelajaran guru tersebut dapat
mencapai objektif yang telah ditetapkan dalam sukatan pembelajaran dan memantau
ke atas kualiti pelajaran yang disampaikan kepada murid-murid dan dapat
memastikan murid dapat mencapai skor pentaksiran yang baik dan cemerlang.
Pentaksiran juga membantu guru merancang
pengajaran yang berkesan yang memenuhi keperluan individu setiap pelajar. Melalui pentaksiran guru sebenarnya akan
lebih mengenali murid dengan lebih dekat kerana guru perlu membuat penilaian
dan pentaksiran dari segi sahsiah dan pencapaian murid. Apabila guru dekat dan
mengenali murid-murid mereka guru dapat memotivasikan murid. Malahan,
pentaksiran juga sebenarnya memberi peluang guru membantu murid mendapatkan
maklumat yang lengkap tentang pilihan pendidikan dan kerjaya
masing-masing.
KESAN PENTAKSIRAN
Terdapat pelbagai kesan yang positif terhadap
murid-murid bagi pelaksanaan pentaksiran di sekolah. Hal ini kerana melalui
pentaksiran murid dapat membantu diri mereka menjadi pemantau yang lebih baik
dalam pembelajaran mereka sendiri. Mereka akan dapat melihat apabila mereka
tidak dapat menguasai sesuatu topik dan tidak dapat band yang baik jadi mereka akan sedar bahawa mereka mempunyai
masalah dalam menguasai topik tersebut. Kesan lain kepada murid adalah membantu
menunjukkan sebarang aspek yang perlu diberi perhatian dan mencadangkan
perubahan positif bagi meningkatkan pencapaian mereka. Malahan, apabila
pentaksiran dijalankan secara tidak langsung guru menunjukkan keprihatinan
terhadap murid bagi setiap pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan
pentaksiran berjalan dengan lancer. Malahan, pentaksiran memberi kesan kepada
murid dengan membantu meningkatkan harga diri dan keyakinan diri. Hal ini
kerana apabila menjalankan pentaksiran
melalui kerja projek atau pembentangan, murid akan mengetahui apa yang mampu
mereka capai dan boleh berbangga dengan keupayaan diri mereka daripada hasil
pentaksiran.
Manakala dari segi kesan pentaksiran kepada
guru adalah guru dapat memastikan rancangan pengajaran mereka sama ada berkesan
dan bersesuaian bagi jangka panjang atau jangka pendek. Jika terdapat
permasalahan ketidakfahaman dan objektif tidak dicapai, guru akan memperbaiki
kaedah pengajaran dengan pendekatan yang berbeza supaya objektif dapat dicapai
dan pembelajaran yang dijalankan dengan berkesan. Hal ini secara tidak langsung
guru akan bertindak memastikan segala strategi pengajaran dan pembelajaran
terbukti berkesan bagi setiap pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan.
Selain itu, guru dapat meningkatkan kesedaran
guru atau murid dan memperkukuh hubungan positif melalui proses pembelajaran.
Guru akan memberi penerangan kepada ibu bapa mengenai pencapaian pentaksiran
murid-murid. Dalam pentaksiran, tahap pencapaian murid adalah bergantung kepada
penilaian guru dari segi pencapaian menggunakan bahan pentaksiran dan
pentaksiran dari segi nilai insaniah murid-murid. Oleh itu, guru perlu
mengetahui secara keseluruhan sikap dan pencapaian murid supaya guru dapat
memberi makluman kepada ibubapa murid. Secara tidak langsung, guru dapat
mengeratkan hubungan antara ibubapa murid dan murid-murid.
Kesan
lain bagi pelaksanaan pentaksiran adalah meningkatkan hubungan antara guru dan
murid. Hal ini kerana guru akan menilai bukan sahaja dari segi pencapaian
akademik tetapi dari segi sikap murid semasa di sekolah. Guru dapat
meningkatkan kemahiran dalam psikologi terhadap murid-murid bagi mengenali
personaliti dan sikap murid-murid. Hal ini juga menunjukkan bahawa guru
berminat untuk mengetahui kemajuan dan pencapaian murid-muridnya dari semasa ke
semasa. Hal ini dapat memberi peluang guru mengenalpasti murid yang bermasalah
dalam akademik dan tingkah laku di sekolah. Secara tidak langsung guru akan
bertanggungjawab mempertingkatkan dan memperbaiki dengan berusaha mencari
penyelesaian bagi masalah yang terjadi.
Tambahan
lagi, pentaksiran dapat memberi kesan kepada dalaman murid dan guru. Murid dan
guru akan berasa yakin dan menghargai diri mereka. Antara kesan positif
pentaksiran apabila individu bertambah yakin dan menghargai diri, secara
automatik menggalakkan rasa pencapaian, memberi ganjaran atas segala matlamat
dan pencapaian. Malahan, guru lebih memberi pdp yang baik dalam gambaran yang
lebih luas supaya murid dapat melihat pencapaian keseluruhan mereka dan
menambahbaikkan pencapaian bagi yang kurang mencapai sasaran. Malahan,
pentaksiran ini adalah satu tindakan yang dapat mengalakkan rasa tanggungjawab
murid kepada pencapaian dalam pembelajaran mereka. Oleh itu, terdapat banyak
kesan yang positif dalam pelaksanaan pentaksiran dalam sistem pendidikan
negara.
Bias Dalam
Penilaian
Isu
yang kedua yang ingin dibincangkan ialah wujudnya bias dalam penilaian. Definisi bias dalam penilaian ini mempunyai
pelbagai perspektif dan pandangan yang berbeza.
Bias ialah wujudnya kriteria – kriteria tertentu yang mana akan memberi
kesan yang berbeza terhadap pencapaian individu dengan kebolehan yang sama
namun berbeza dari segi kumpulan, etnik, jantina, budaya dan agama. (Hambleton,
Ronald dan Janne, 1995). Menurut Dorans dan Holland (1993), bias ini berlaku
jika sesuatu item itu berfungsi berbeza kepada sesuatu kumpulan yang lain. Manakala dalam The American Heritage
Dictionary, definisi bias boleh dikatakan sebagai kecenderungan atau
kecondongan yang mana akan menghalang penilaian yang adil. Daripada definisi-definisi tersebut, dapat
disimpulkan bahawa bias dalam penilaian merupakan ketidakadilan yang wujud
dalam sesuatu penilaian.
Item
soalan ujian, penilaian melalui pemerhatian, penilaian secara lisan dan
penilaian melalui penulisan merupakan aspek-aspek yang tergolong dalam bias
ini. Aspek yang pertama ialah item
soalan ujian. Sesuatu item itu bias
apabila seseorang individu yang sama tahap kebolehan, daripada kumpulan yang
berbeza tidak mempunyai kebarangkalian yang sama untuk menjawab item tersebut
dengan betul (Zaubedah, 2007). Jantina
dan lokasi sekolah merupakan dua sebab yang sering dikaitkan dengan wujudnya
bias dalam penilaian. Jika dilihat faktor jantina, sesuatu item soalan akan
menjadi bias apabila item soalan yang dibina akan cenderung kepada satu jantina
sahaja. Menurut Black (1998), pelajar
perempuan secara umumnya tidak begitu berminat dalam soalan objektif berbanding
soalan esei kerana mereka kurang pandai meneka (guessing) apabila tidak boleh
menjawab dan ini berbeza dengan pelajar lelaki.
Manakala menurut kajian TIMSS (1998), item-item soalan matematik yang
panjang dan memerlukan pelajar memahami maksud lebih memihak kepada pelajar
perempuan manakala item-item yang memerlukan keupayaan ‘visualization’ lebih
memihak kepada lelaki. Oleh itu, guru
haruslah bijak dalam membina item-item soalan yang ingin diberikan kepada
pelajar untuk mengurangkan bias dalam penilaian berlaku.
Aspek
yang kedua pula ialah bias dalam penilaian melalui pemerhatian. Penilaian ini merupakan proses untuk
mengetahui apa yang pelajar tahu, dan bagaimana hendak melakukan tugasan dalam
masa sebenar. Biasanya, perkara yang
dinilai melalui pemerhatian adalah hasil kerja, tingkah laku komunikasi dan
juga interaksi antara pelajar. Bias ini
mungkin berlaku disebabkan oleh persepsi guru itu sendiri, mereka hanya menilai
melalui mata kasar sahaja di mana pandangan luaran tidak dapat membuktikan
keadaan yang sebenar. Aspek yang
seterusnya ialah, bias dalam penilaian secara lisan. Penilaian ini berlaku semasa mengumpul
maklumat melalui interaksi antara murid dengan guru, murid dengan murid atau
murid dengan bahan. Perkara yang dapat
dinilai secara lisan ialah kefahaman sesuatu konsep, kecekapan mendengar,
keyakinan, tahap pemikiran dan juga penggunaan bahasa yang tepat. Kesukaran pelajar berbahasa akan menyebabkan
guru memberi tanggapan bahawa pelajar itu tidak mencapai tahap pemahaman yang
baik dalam sesuatu subjek. Ini berlaku
mungkin disebabkan kelemahan pelajar dalam berbahasa namun tidak semestinya
mereka tidak memahami langsung apa yang diajar oleh guru. Selain itu, faktor ketakutan pelajar juga
akan menjadi salah satu penghalang kepada pelajar memberi pendapat ketika
proses pengajaran dan pembelajaran (PDP).
Aspek
yang terakhir ialah bias melalui penulisan.
Penilaian ini berlaku ketika proses yang melibatkan aktiviti menyemak
dan memeriksa tugasan dan kerja penulisan pelajar. Perkara yang dapat dinilai
melalui penulisan bergantung kepada tugasan yang diberi seperti kreativiti
penulisan, susunan ayat atau penggunaan bahasa, kaedah yang digunakan serta
kekemasan penulisan. Bias dalam
penulisan ini juga melibatkan persepsi guru di mana guru akan memberi markah
penulisan yang berbeza mengikut persepsi mereka. Bias dalam penilaian ini akan menyumbang
kepada faktor ketidakadilan dalam penilaian.
Bias dalam penaksiran memberikan beberapa keburukan yang
boleh memberikan impak negatif kepada sistem pendidikan negara. Perkara
sebegini merupakan sesuatu yang perlu dihindari. Jika bias tetap berlaku dalam
sistem pendidikan, ia akan memberikan penaksiran yang kurang berkualiti. Hal
ini kerana penaksiran setiap guru adalah berbeza. Lebih-lebih lagi jika dalam
penaksiran dari segi pemerhatian yang melibatkan emosi. Hal ini akan seterusnya
memberikan penaksiran yang pilih kasih antara pelajar. Guru-guru yang gemar
membuat penaksiran berdasarkan pilih kasih akan memberikan kesan kepada emosi
para pelajar. hal ini kerana, pelajar yang tersisih akan merasa rendah diri dan
seterusnya mengurangkan motivasi intrinsik mereka. Jika perkara ini berterusan,
ia mampu menimbulkan situasi tegang antara para pelajar.
Oleh itu, para guru perlu bijak memilih item ujian yang
sesuai dengan kesemua para pelajar mereka. Jangan terlalu menyebelahi sesuatu
pihak sahaja. Biar ujian yang dilaksanakan mampu menilai setiap pelajar dengan
adil. Seterusnya guru perlu menyediakan satu borang penaksiran yang standard
untuk semua pelajar. Hal ini akan mengurangkan bias dalam penaksiran. Akhir
sekali, guru perlu professional dalam menjalankan penaksiran. Emosi perlu
dijaga sebaik mungkin. Guru perlu mengelakkan daripada pilih kasih dan
memandang semua pelajar adalah sama. Mereka datang ke sekolah adalah untuk
mencapai satu matlamat yang sama. Oleh itu, sebagai guru kita perlu membantu
mereka untuk mencapai matlamat tersebut.
No comments:
Post a Comment