Tuesday, December 15, 2015

Jurang Pencapaian Matematik Pelajar Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah dari Segi budaya




Pengenalan

Perkataan sekolah berasal dari Bahasa Latin iaitu skhole, scola atau skholai yang didefinisikan sebagai pengisian masa lapang dengan perkara yang berfaedah seperti membaca, menulis dan mengira. Sekolah juga dikatakan sebagai sebuah institusi pendidikan yang berperanan untuk mengubah dan membentuk pemikiran, tingkahlaku dan sikap pelajar dalam melahirkan generasi yang seimbang dari segi rohani, emosi dan jasmani sebagaimana yang diperjelaskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (Norazlinda Saad dan Surendran Sankaran, 2000). Akta Pendidikan pula mentakrifkan sekolah sebagai tempat dimana pelajar akan diajar didalam sebuah kelas atau bilik darjah untuk melakukan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Selanjutnya, Mohd Yusof Othman (1999) menyatakan sekolah sebagai sebuah institusi formal yang melaksanakan proses pendidikan dari tahap pra persekolahan sehingga ke menengah atas. Setiap peringkat akan didedahkan dengan sukatan pelajaran yang pelbagai sesuai dengan objektif yang ingin dicapai. Dalam erti kata lain, sekolah diibaratkan sebagai sebuah “acuan”. Cantiknya sesebuah acuan, maka cantiklah kuih yang terhasil. Kuih yang dimaksudkan ialah guru dan pelajar.

Walaupun setiap sekolah dibekalkan dengan matlamat kurikulum yang sama dan selaras, tetapi jurang pencapaian pelajar dalam pendidikan masih ketara jelasnya. Pencapaian ini dinilai dari kategori gred, skor ujian, pemilihan kursus dan kadar keciciran sebagaimana yang dinyatakan dalam Majalah Education Week. Menurut kajian yang dijalankan di Malaysia, mereka mendapati bahawa faktor utama dalam mendorong kepada perbezaan jurang pencapaian ialah faktor sosial, lokaliti dan budaya. Faktor ini akan dipecahkan lagi kepada beberapa faktor yang lebih khusus. Kenyataan ini turut dipersetujui oleh Abdullah Sani dalam Azman (2001) yang menyatakan bahawa budaya yang diamalkan disekolah juga merupakan tunjang kepada kejayaan pelajar.
 
Budaya sekolah
Menurut Deal dan Peterson (1999), budaya merupakan entiti keseluruhan komplex yang merangkumi aspek kehidupan serta kebiasaan yang diwarisi, diperolehi dan dipraktikkan oleh manusia sebagai anggota masyarakat. Manakala budaya sekolah merupakan kompenan cara hidup sekolah yang meliputi segala amalan di sekolah sama ada diluar atau didalam bilik darjah yang akan mencerminkan nilai, kepercayaan dan norma yang dikongsi bersama oleh warganya (Rusni, 2005). Budaya sekolah dikatakan sebagai warisan turun-temurun dan dibentuk oleh warganya sendiri. Yaakob (2007) menaktifkan budaya sekolah sebagai pengumpulan nilai dan norma daripada warganya.
Terdapat tiga jenis budaya sekolah iaitu budaya instrumental, budaya moral dan budaya ekspresif. Budaya instrumental ialah budaya yang menekankan kepada mengumpul pengetahuan, kemahiran dan sikap yang diperlukan untuk lulus dalam peperikasaan disamping melahirkan pelajar dan warganegara yang sempurna. Manakala budaya ekspresif bertujuan memenuhi kehendak kreatif dan seni pelajar bagi menghilangkan tekanan. Akhir sekali ialah budaya moral yang bersangkutan dengan melahirkan pelajar bermoral dan berkemampuan dalam membuat pertimbangan tentang tingkah laku. Kesemua budaya ini saling bergantungan. Bagaimana pula, budaya sekolah ini dikatakan pendorong kepada jurang prestasi pelajar dalam pendidikan. Persoalan ini menjadi isu yang akan dikupas dengan lebih mendalam yang merangkumi budaya sekolah, guru dan pelajar disesebuah sekolah.  



Isu berkaitan budaya sekolah         


Lima aspek yang akan dibincangkan ini adalah penting dalam merungkaikan persoalan yang selalu bermain di minda masyarakat kini.



a)      Sistem kepimpinan sekolah

Kemantapan sistem kepimpinan sekolah adalah kunci utama dalam penghasilan pendidikan yang berkualiti. Sebagai seorang pengetua, pengamalkan kepimpinan yang berkualiti adalah penentu kepada kecemerlangan sekolah (Lokman et.al., 2008). Namun, kepimpinan sekolah bukan sahaja bertanggungjawab dalam membina budaya sekolah yang menjurus kepada kecemerlangan akademik semata-mata tetapi juga kecemerlangan akal budi, semangat perpaduan sesama manusia dan berpotensi menggerakkan peradaban tinggi bangsa Malaysia.

Tidak dinafikan bahawa setiap sekolah mempunyai persamaan daripada segi kurikulum, kelayakan guru dan prasarana tetapi yang membezakan setiap sekolah ialah bagaimana sekolah itu ditadbirkan. Ini akan menjadi penentu kepada keberkesanan sekolah dalam pencapaian pelajar (Sharifah Md Nor, 2000). Salah satu budaya sekolah yang diamalkan oleh kebanyakkan pucuk kepimpinan sekolah di Malaysia adalah penggunaan ‘Tracking System’ dimana pelajar akan dikelaskan mengikut pencapaian dalam peperiksaan. Pelajar yang cerdik pandai ditempatkan dalam kelas pertama, kedua dan ketiga manakala pelajar yang lemah akan ditempatkan dalam kelas keempat, kelima dan seterusnya. Aktiviti dan cara pengajaran guru adalah berbeza mengikut kelas.
Walaubagaimanapun setiap sesuatu mesti ada kesan negatifnya. Antara kesan negatif mengamalkan sistem ini ialah terbentuklah dua puak pelajar iaitu pelajar pandai dan pelajar lemah. Malahan yang paling membimbangkan adalah pelajar yang pandai akan membuli pelajar lemah. Secara tidak langsung akan berlakunya kes buli dan sebagainya. Tambahan lagi, pelajar lemah akan berasa rendah diri dan terasing kerana guru lebih memberikan perhatian kepada kelas yang pandai berbanding kelas yang lemah.


Selain itu, budaya kepimpinan disetiap sekolah juga berbeza dari konteks strategi pengurusan pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang mendorong kepada jurang pencapaian akademik pelajar. Ini dibuktikan oleh Prof. Lim Chap Sam dalam kajian yang dijalankan untuk mengenal pasti amalan budaya di dua aliran sekolah yang dominan di Malaysia iaitu SK dan SJKC dimana pencapaian akademik di sekolah jenis kebangasaan (SJK) adalah lebih tinggi berbanding sekolah kebangsaan (SK) berikutan budaya kepimpinan yang diamalkan dikedua-dua sekolah ini adalah berbeza sebagaimana yang diperjelaskan dalam Rajah 3.1 dibawah:
 

 






Rajah 3.1 : Perbandingan pengurusan pengajaran dan pembelajaran di SJK dan SK
Ini jelas membuktikan bahawa pucuk kepimpinan SJK amat mementingkan pencapaian akademik berbanding SK. Oleh sebab demikianlah, SJK dikatakan penyumbang kepada kecemerlangan UPSR negara kita. Tambahan lagi, akhbar Sinar Harian mengeluarkan headline “UPSR 2013 Catat Keputusan Terbaik” pada 14 November 2013 yang lepas yang menyatakan bahawa seramai 466,167 calon yang menduduki UPSR pada tahun ini telah menyumbang kepada peningkatan Gred Purata Nasional (GPN) bagi pencapaian keseluruhan sebanyak 0.04. Ini juga boleh dilihat menerusi laman portal Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Namun, bagi subjek Matematik telah menurun sebanyak 0.03 mata GPMP berbanding tahun lepas dan 70% daripada jumlah ini adalah daripada pelajar di SJKC.

b)     Masalah disiplin guru
Masalah disiplin di sekolah merupakan masalah dalam budaya yang wujud sejak sekian lama bukan sahaja berlaku kepada pelajar malah guru juga tidak terkecuali dalam masalah ini. Menurut Siswanto Sastrohadiwiryo (2003), disiplin boleh ditakrifkan sebagai suatu sikap menghormati, menghargai, patuh dan taat terhadap peraturan-peraturan yang berlaku serta sanggup menerima hukuman apabila ia melanggar tugas dan yang diberikan kepadanya. Walaupun disiplin guru adalah masalah yang kecil jika dibandingkan dengan disiplin murid, tetapi masalah ini hendaklah dibendung kerana guru merupakan salah satu elemen yang penting dalam membentuk budaya sekolah yang sihat, bak kata pepatah, guru kencing berdiri, murid kencing berlari.
Antara isu yang berkaitan dengan disiplin guru ialah sikap guru yang suka melepak. Walaupun perkara ini kurang diambil perhatian oleh sesetengah pihak terutamanya pihak pengurusan sekolah, tetapi perkara ini dapat memberi kesan yang buruk kepada pelajar terutamanya. Masalah  ini semakin menjadi-jadi sekarang apabila ianya mempengaruhi guru yang lain. Kebanyakannya guru di sekolah suka menghabiskan masa berjam-jam duduk di kantin sekolah dengan berborak kosong. Bukan sahaja kantin sekolah, malah bilik guru, makmal komputer dan pondok pengawal keselamatan juga menjadi lokasi mereka melepak. Selain itu, guru wanita pula suka menjalankan perniagaan. Antaranya ialah menjual produk kecantikan dan pakaian. Hal yang demikian menyebabkan mereka leka serta mengabaikan tugas utama mereka sebagai seorang pendidik.
Di samping itu, sikap dan tingkah laku guru yang terlalu garang tidak sepatutnya berlaku. Hal ini kerana pelajar akan berada dalam ketakutan dan suasana pembelajaran akan menjadi pasif. Tingkah laku guru mudah mempengaruhi pelajar-pelajar. Pelajar mudah untuk menginterpretasi tingkah laku seseorang guru. Sepatutnya guru menghabiskan masa terluang untuk merangka pengajaran mereka seterusnya atau mencari idea  lebih menarik untuk pengajaran seterusnya.
 
 c)      Kredibiliti guru
Mengikut Hi send (2006), kredibiliti dilihat sebagai suatu konsep yang mempunyai pelbagai dimensi yang berkait rapat dengan personaliti atau karakter penyampai dalam proses komunikasi. Penyampai yang berkredibiliti mampu memberi impak terhadap sikap penerima mesej, perhatian dan perlakuan. Kredibiliti seseorang guru boleh dilihat apabila guru tersebut dapat memberi komitmen yang tinggi dan menitikberatkan kejayaan dan pencapaian sekolah. Komitmen guru berkait rapat dengan keberkesanan sekolah, pencapaian kerja dan pencapaian pelajar. Hal ini dapat dilihat daripada perilaku guru yang bersemangat mengajar, tidak curi tulang, memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerja dan mutu kerja serta meletakkan kepentingan organisasi mengatasi kepentingan peribadi. Guru yang komited lebih bermotivasi untuk menjayakan sesuatu perubahan.
Seseorang guru yang berpersonaliti menarik juga menjadi ikutan kepada pelajar disekolah. Dalam erti kata lain, guru sebagai “role model”. Menurut Stolp (1995), personaliti guru dapat mempengaruhi pelajar ke arah situasi pembelajaran yang menggalakkan serta membentuk cara budaya pelajar yang sesuai berikutan tahap kepercayaan pelajar terhadap guru adalah lebih tinggi berbanding ibu bapa. Selain itu, guru juga perlu mengendalikan emosi dengan baik dan stabil. Sekiranya emosi tidak berfikir secara waras, maka akan timbullah perasaan tertekan terhadap bebanan kerja yang sebenarnya merupakan tanggungjawab pendidik sendiri.

d)     Kaedah pengajaran guru
Kaedah pengajaran merupakan satu proses guru mengajar yang mana merangkumi cara dan strategi yang akan digunakan untuk mengajar. Ianya boleh dibahagikan kepada kaedah pengajaran berasaskan tradisional dan multimedia. Menurut sumber Pembangunan Pendidikan 2001-2010, salah satu punca pencapaian pelajar rendah adalah kerana majoriti guru masih menggunakan kaedah pengajaran tradisional dan kurang menggunakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) untuk menarik minat dan tidak mampu merangsang proses pembelajaran pelajar dalam mata pelajaran tersebut.
Menurut Neo dan Rafi (2007), pengajaran secara tradisional merupakan kaedah ‘kapur dan cakap’. Daripada pemerhatian yang dibuat, kaedah ini tidak menarik dan sukar difahami kerana cara penyampaian guru yang mendatar dan membosankan. Pengajaran berasaskan multimedia merupakan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi seperti video, animasi, grafik dan sistem berasaskan komputer. Kaedah ini lebih menarik dan berkesan untuk penguasaan dan pencapaian para pelajar.
Jika diterokai dengan lebih mendalam, kaedah pengajaran boleh diklasifikasikan kepada tiga iaitu pengajaran berpusatkan guru, pengajaran berpusatkan bahan dan pengajaran berpusatkan pelajar. Kaedah berpusatkan guru bermaksud guru mempunyai kuasa dan mengawal sepenuhnya kelas. Segala maklumat, pengetahuan, contoh dan perkembangan topik adalah bergantung sepenuhnya pada guru. Jika luas dan mendalam pengetahuan guru mengenai sesuatu topik, maka luaslah penerangan guru. Jika tidak, ia akan berlaku sebaliknya. Kaedah ini tidak menggalakkan pelajar memberi pendapat mereka sendiri.
Kaedah berpusatkan pelajar adalah kaedah yang memberi tumpuan kepada perkembangan pembelajaran pelajar. Guru memberi pilihan kepada pelajar untuk mengaitkan pengalaman yang dipelajari dengan pengajaran yang disampaikan. Manakala guru hanya bertindak sebagai fasilitator. Keadah ini membenarkan komunikasi dua hala berlaku antara guru dan pelajar seterusnya dapat membina satu hubungan yang erat antara guru dan pelajar. Guru lebih mudah mendekati pelajar dan pelajar lebih mudah bertanyakan guru mengenai perkara yang mereka tidak faham atau keliru.

e)      Sikap, minat dan komitmen pelajar
Isu seterusnya yang akan dibangkitkan ialah sikap, minat dan komitmen pelajar. The New Oxford American Dictionary (2005) mendefinisikan sikap sebagai suatu kecenderungan untuk bertindak terhadap seseorang, objek, keadaan, kejadian atau idea. Sikap dapat mengambarkan personaliti. Sikap adalah sesuatu yang berbentuk dalaman dan sukar untuk difahami. Mashita (2002) dan Chong (2003) mendapati bahawa sikap mempengaruhi pencapaian matematik pelajar. Sikap dapat dibahagikan kepada dua iaitu sikap positif dan sikap negatif, dimana pelajar yang mempunyai  sikap positif mempunyai peluang yang cerah dalam mencapai kejayaan bagi setiap yang diusahakan. Berlainan dengan pelajar yang mempuyai sikap negatif seperti malas, sambil lewa, tidak fokus dan kurang memberi perhatian terhadap pembelejaran, dimana pelajar seperti ini memerlukan jangka masa yang panjang untuk mendapat kejayaan dalam perkara yang diusahakannya. Seringkali didengari keluhan daripada guru-guru berkenaan sikap pelajar yang mempengaruhi pencapaian pelajar dalam setiap ujian yang dilaksanakan.
Dilanjutkan pula kepada konteks minat pelajar. Minat ialah sesuatu yang dapat merangsang seseorang untuk melakukan perkara yang diusahakannya dengan baik. Minat juga dirujuk kepada kecenderungan seseorang untuk mendekati sesuatu objek atau keinginanya. Dimana minat akan wujud apabila individu tersebut sedar tentang kecenderungan terhadap objek itu. Quek (2006) mendapati bahawa minat mempunyai pengaruh yang positif kepada pencapaian murid dalam mata pelajaran matematik. Ringkasnya, minat mempunyai kaitan dengan sikap.
Apabila seseorang meminati sesuatu maka ia akan bersikap postif terhadap perkara tersebut. Hal ini akan menghasilkan sesuatu yang bermakna dan berkesan. Menurut Noraini (2008) dalam kajiannya mengatakan bahawa pembelajaran yang berkesan wujud jika ada minat dalam kalangan pelajar dan minat boleh dilihat menerusi kaedah dan aktiviti pengajaran yang dilaksanakan. Keadaan ini berbeza apabila minat tidak wujud. Perkara negatif akan diketengahkan oleh pelajar. Antaranya ialah tidak memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pengajaran guru, menyiapkan kerja yang diberi dan mempamerkan sikap yang negatif dalam pembelajaran matematik. Selanjutnya, mencari jalan untuk ponteng kelas matematik.
Komitmen mempunyai peranan yang penting dalam mencapai kejayaan bagi sesuatu perkara. Ini kerana melalui komitmen yang terlahir dalam diri setiap individu, maka tujuan yang hendak dicapai akan terlaksana dengan mudah. Begitu juga dalam pembelajaran matematik ini, jika seseorang pelajar mempunyai komitmen yang rendah atau kurang dalam pengajaran matematik, maka apa yang hendak dicapai oleh pelajar tersebut akan dilaksanakan secara sambil lewa. Ini berbeza dengan pelajar yang mempunyai komitmen yang tinggi akan sentiasa berusaha untuk menyelesaikan kerja yang diberikan dengan baik, mencari masa tanpa melengah-lengahkan perkara yang perlu diselesaikan.
 


Cara Mengatasi Jurang Pencapaian Pelajar dalam Matematik
Menurut Fullan, sekolah perlu memiliki kompetensi dalam empat aspek apabila memantau pencapaian pelajar. Aspek-aspek yang perlu diberi penekanan ialah:

  •   Kemampuan menganalisa pencapaian dan keputusan pelajar secara terperinci.
  •  Melaksanakan perubahan kritikal.
  • Keupayaan memahami perkembangan di bilik darjah dan merancang pelan pembangunan sekolah bagi meningkatkan prestasi.
  •  Mengambil langkah terbuka dan proaktif apabila berdepan dengan isu prestasi sekolah.
  • Selain itu, budaya kerja sekolah cemerlang perlu dicontohi sebagai contoh, Kolej Tunku Kursiah, (TKC), Seremban telah memperoleh keputusan yang cemerlang dalam PMR dan SPM. Kajian yang dijalankan oleh Nor, Pihie dan Ali(2008) menunjukkan pendekatan headcount berjaya meningkatkan kecemerlangan akademik sekolah itu.

Pelajar lemah memerlukan masa yang lebih untuk pembelajaran (Connelly,2008). Dengan mengkaji data penilaian pelajar, guru dapat merancang atau menggunakan strategi pengajaran yang sesuai untuk golongan ini. Levy (2008) pula berpendapat, pendekatan pengajaran yang berbeza (differentiated instruction) dapat membantu pelajar mencapai atau melepasi standard akademik yang dikehendaki. Pencapaian murid dapat dipantau melalui kandungan pengajaran, proses dan hasil yang diperoleh.
           
Penutup
Secara kesimpulanya, lima aspek budaya sekolah yang telah dikupas dengan terperinci menyentuh kepada sistem kepimpinan sekolah, masalah disiplin guru, kreadibiliti guru, kaedah pengajaran guru serta sikap, minat dan komitmen pelajar. Berdasarkan kepada kelima-lima aspek yang dibincangkan, dapatlah dirumuskan bahawa budaya sekolah memberikan kesan yang ketara bagi pencapaian pelajar.
Perlu diingatkan bahawa, semua isu ini terjadi bukanlah disebabkan oleh satu pihak semata-mata, tetapi merangkumi kesemua pihak. Berhentilah menunding jari kepada pihak yang lain sebagaimana yang sering berlaku disekolah kini dimana pihak sekolah yang beranggapan bahawa jurang pencapaian ini terjadi disebabkan oleh guru dan pelajar. Tetapi pihak guru pula menyatakan masalah ini terjadi berpunca daripada pihak kepimpinan dan pelajar. Seterusnya pelajar akan menyalahkanya kepada pihak kepimpinan dan guru. Situasi sebegini akan terus berlanjutan selagi jurang pencapaian pelajar dalam pendidikan tidak diatasi. Malah situasi ini juga akan menyebabkan berlakunya masalah yang tidak diingini disekolah dan menjatuhkan lagi prestasi pelajar.
Tuntasnya, ayuhlah! Kita sama-sama berkumpul disatu meja untuk merungkaikan segala masalah ini sistematik dan sihat. Ingatlah bahawa ciri-ciri budaya sekolah ialah budaya ilmu, budaya insan yang kamil seperti yang dihasratkan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan, budaya sihat dan budaya komunikasi yang baik.

No comments:

Post a Comment