Wednesday, December 16, 2015

Pertikaian antara PPSMI dan MBMMBI






Pengenalan PPSMI
Pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa  Inggeris (PPSMI) diwujudkan pada sesi persekolahan 2003 di bawah pentadbiran Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun Dr Mahathir bin Mohamad. Perintis kepada dasar PPSMI ialah murid Tahun Satu di sekolah rendah serta murid Tingkatan Satu dan Tingkatan Enam Rendah di Sekolah Menengah. Pelaksanaan penuh bermula pada tahun 2008 bagi sekolah rendah dan 2007 bagi sekolah menengah. Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengambil langkah untuk melaksanakan PPSMI dengan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dalam dwibahasa bermula daripada tahun 2003 hingga 2007.
            Apabila keputusan dasar kerajaan ini diumumkan, terdapat pelbagai reaksi termasuk daripada pemimpin masyarakat, guru dan ibu bapa. Terdapat golongan yang menyokong dan ada juga yang tidak menyokong akan dasar ini. Salah faham timbul tentang apakah matlamat dasar ini dibuat serta rasional kerajaan memilih mata pelajaran Sains dan Matematik yang lebih mudah difahami jika diajar dalam bahasa ibunda. PPSMI seterusnya dimansuhkan mulai tahun 2012 di sekolah rendah dan sekolah menengah. Walau bagaimanapun, bahasa Inggeris tetap menjadi bahasa pengantar di peringkat universiti, matrikulasi dan tingkatan enam. Pemansuhan itu diumumkan oleh Menteri Pelajaran Malaysia pada 8 Julai 2009.

Pelaksanaan PPSMI
Terdapat beberapa objektif pelaksanaan dasar PPSMI. Antaranya ialah memudahkan murid untuk memahami bahan rujukan dan maklumat mengenai perkembangan sains dan matematik yang rata-ratanya banyak terdapat dalam Bahasa Inggeris. Apabila mereka mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka mengakses sumber pembelajaran dalam Bahasa Inggeris dengan baik. Jika kita lihat, buku-buku rujukan, jurnal dan artikel-artikel berkaitan subjek Sains dan Matematik lebih mudah didapati dalam Bahasa Inggeris. Sumber yang datang daripada Bahasa Melayu adalah terhad. Pelbagai inovasi dan penemuan baru berlaku dengan pantas dan kebanyakan sumbernya adalah dalam Bahasa Inggeris. Apabila mereka dapat mengakses segala maklumat tanpa sebarang masalah, ilmu pengetahuan yang mereka perolehi adalah meluas.
            Objektif yang kedua ialah memudahkan perolehan ilmu dalam Sains dan Matematik. Peluang pendidikan Sains dan Matematik amat meluas di peringkat global. Sekiranya murid mempunyai asas Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris maka mereka tidak mengalami masalah yang besar sekiranya ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih di universiti-universiti dalam mahupun luar negara. Mereka telah menyesuaikan diri dengan Bahasa Inggeris sebagai medium mencari ilmu Sains dan Matematik sejak dari bangku sekolah rendah lagi. Ini tidak memberikan satu kejutan yang besar sekiranya mereka belajar di peringkat yang lebih tinggi kelak. Dengan terlaksananya dasar ini akan menyebabkan mereka lebih bersedia dari segi ilmu pengetahuan Sains dan Matematik untuk bersaing dengan pelajar-pelajar luar. Jika kita lihat dengan lebih mendalam, kebanyakan bidang pengajian seperti perubatan, pergigian, kejuruteraan dan lain-lain memerlukan mereka untuk fasih dan memahami Bahasa Inggeris dengan baik. Rata-rata negara menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium penyampaian ilmu.
            Untuk negara mencapai taraf negara maju selaras dengan Wawasan 2020 juga memerlukan warganegara yang celik dan fasih berbahasa Inggeris. Ini bukan bermaksud negara mengabaikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda dan bahasa rasmi negara. Kita harus melihat konteks mendalami atau menekankan Bahasa Inggeris ini dalam konteks yang positif. Kerajaan mengambil langkah atau inisiatif ini adalah untuk kesan jangka panjang. Dengan penggunaan Bahasa Inggeris dalam Pendidikan Sains dan Matematik, akan menyediakan pelajar yang mampu bersaing di peringkat global standing dengan pelajar-pelajar hebat dari negara luar. Kita sendiri sedia maklum bahawa Bahasa Inggeris merupakan bahasa pengantar antarabangsa. Untuk meneroka dunia luar memerlukan kita faham dan boleh menggunakan Bahasa Inggeris dengan baik. Pemilihan pengambilan pekerja juga lebih menekankan mereka yang mahir berbahasa Inggeris. Ketika mencadangkan dasar ini, Tun Dr Mahathir bin Mohamad berpendapat bahawa Malaysia adalah makin ketinggalan dalam arus globalisasi, dan mengharapkan dasar ini lebih membawa kebaikan kepada negara dengan mencontohi Singapura dan India yang semakin kehadapan kerana kebiasaan dengan Bahasa Inggeris.


Implikasi PPSMI
Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2003 mendapat banyak jenis reaksi dari pelbagai pihak sama ada dari segi penerimaan mahupun penentangan kepada dasar tersebut sehinggalah ianya dimansuhkan pada Julai 2009. Sepanjang tempoh pelaksanaan dasar PPSMI tersebut pelbagai pihak terutamanya pihak pendidik dapat melihat keburukan atau kelemahan-kelemahan yang telah membawa kepada pemansuhan PPSMI. Walau bagaimanapun terdapat juga kesan positif yang dapat dilihat melalui penerapan atau pelaksanaan PPSMI ini di seluruh sekolah di Malaysia.
            Antara implikasi positif bagi pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris adalah ianya boleh memudahkan perolehan ilmu oleh pelajar terutamanya dari segi istilah-istilah yang terdapat dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Hal ini kerana terdapat banyak istilah Bahasa Inggeris yang telah diterjemahkan kepada Bahasa Melayu dan kadangkala menyebabkan murid salah faham atau kurang faham dengan istilah tersebut. Tambahan pula kebanyakkan bahan rujukan bagi Sains dan Matematik adalah dalam Bahasa Inggeris dan dengan melaksanakan PPSMI murid akan dapat memahami bahan rujukan tersebut dengan mudah.
            Selain itu melalui PPSMI ini juga negara telah dapat membangunkan generasi pelajar yang mampu menguasai bidang Sains dan Matematik di tahap yang tinggi. Ini kerana melalui pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris, negara Malaysia dapat melahirkan pelajar yang mahir dan cerdik pandai bagi ketiga-tiga mata pelajaran iaitu sains, matematik dan juga Bahasa Inggeris. Perkara ini juga membolehkan murid menjana ilmu dan teknologi baru dalam bidang-bidang tersebut pada masa akan datang sebagai satu sumbangan kepada masyarakat dan negara. Selain dapat menyumbang kepada masyarakat, pendedahan kepada sains dan matematik dalam PPSMI juga dapat membantu murid mengakses dan menerokai maklumat dengan mudah. Perkara ini sekaligus memberi kesedaran kepada semua rakyat Malaysia tentang pentingnya menguasai Bahasa Inggeris agar negara kita mampu bersaing dengan negara maju yang lain .


            Selain memberi manfaat kepada murid dalam mengakses maklumat, PPSMI juga mampu melahirkan pekerja yang berwibawa dan berkualiti standing dengan kualiti pekerja yang dimiliki oleh negara maju yang lain yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan. Ini kerana para pekerja yang berpengalaman melalui dasar PPSMI sewaktu di zaman persekolahan berpeluang meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris terutamanya dalam sains dan matematik dan menyebabkan mereka lebih berkeyakinan dalam menggunakan dan bertutur dalam Bahasa Inggeris dalam bidang pekerjaan yang mereka ceburi.
            Walaupun dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris ini mempunyai kebaikan yang tersendiri namun wujud juga kritikan negatif yang mengatakan dasar ini tidak wajar diteruskan dan akhirnya membawa kepada pemansuhan dasar ini pada tahun 2009. Antara keburukan atau kesan negatif bagi PPSMI yang dapat dilihat sepanjang ianya dilaksanakan selama lebih kurang 7 tahun ini adalah pertama dari segi kesan negatif terhadap nasionalisme. Nasionalisme adalah satu semangat yang merujuk kepada perasaan cinta akan negara. Terdapat pihak yang menganggap bahawa pelaksanaan PPSMI ini boleh menyebabkan bahasa ibunda iaitu Bahasa Melayu akan ketinggalan dan dilupakan. Mereka juga beranggapan bahawa PPSMI ini boleh menyebabkan masyarakat terutamanya murid yang menjalani dasar ini kurang mempunyai semangat nasionalisme untuk memartabatkan bahasa ibunda negara agar standing dengan negara lain.
            Bagi pihak yang mungkin lebih fasih bertutur dalam bahasa Inggeris mereka mungkin beranggapan bahawa PPSMI ini banyak memberi manfaat dan wajar diteruskan namun terdapat pihak lain yang berpendapat pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu adalah lebih mudah difahami kerana ianya merupakan bahasa yang digunakan dalam kehidupan seharian. Terdapat juga pandangan yang menyatakan bahawa pelaksanaan PPSMI tidak akan menyelesaikan masalah penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid kerana masalah tersebut berpunca pada mata pelajaran bahasa Inggeris itu sendiri dan bukannya dengan menukar pengajaran sains dan matematik kepada bahasa Inggeris. Masalah penguasaan murid dalam bahasa Inggeris tersebut berpunca daripada kaedah pengajaran dalam mata pelajaran itu sendiri dan dapat diselesaikan dalam pengajaran mata pelajaran itu sendiri tanpa melibatkan mata pelajaran lain seperti sains dan matematik.

            Selain itu perbezaan ketara dapat dilihat melalui pencapaian murid di sekolah bandar dan luar Bandar dalam sains dan matematik apabila dasar ini dilaksanakan. Perkara ini dapat disimpulkan bahawa dasar ini jelas kelihatan lebih memihak kepada murid di sekolah Bandar yang mempunyai lebih banyak kemudahan untuk belajar. Hal ini juga kemungkinan disebabkan oleh perbezaan pendedahan kepada murid di sekolah Bandar dan luar Bandar. Kebanyakkan murid yang berada di sekolah Bandar lebih terdedah kepada kemudahan teknologi daripada murid sekolah luar Bandar yang kekurangan kemudahan teknologi. Kebanyakan ibubapa bagi murid sekolah Bandar juga mempunyai pekerjaan dan tahap pendidikan yang lebih baik daripada ibubapa bagi murid yang berada di sekolah luar Bandar.
            PPSMI ini juga mewujudkan perbezaan prestasi antara murid yang mempunyai ibu bapa berpendapatan rendah sama ada di luar Bandar dan di Bandar. Perkara ini kerana ibu bapa yang berpendapatan rendah kurang mampu untuk menghantar anak mereka ke kelas tambahan untuk membantu anak mereka mendapat pengetahuan tambahan selain daripada pengetahuan yang diperolehi daripada kelas biasa di sekolah. Ini menyebabkan murid tersebut tidak mempunyai peluang yang sama dengan murid yang mempunyai ibu bapa berpendapatan lebih tinggi atau sosioekonomi yang lebih baik. Walaupun terdapat pihak yang berpendapat bahawa taraf hidup tidak mempengaruhi pencapaian murid dan hanya usaha yang membezakan pencapaian tersebut  namun tidak dapat dinafikan bahawa perbezaan peluang tersebut dapat dilihat dengan jelas dalam kalangan murid.
            Keburukan atau kesan negatif yang terakhir yang akan dibincangkan adalah mengenai risiko pelaksanaan dasar PPSMI itu sendiri. Keputusan kerajaan untuk melaksanakan dasar itu sendiri pada tahun 2003 merupakan satu risiko yang sangat besar. Risiko tersebut wujud dari segi kemampuan guru itu sendiri dalam melaksanakan dasar tersebut atau melaksanakan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Ini kerana guru sains dan maatematik tidak semestinya guru yang fasih dan mahir berbahasa Inggeris. Perkara ini dikhuatiri akan menjadi halangan yang paling besar dalam menyampaikan isi pengajaran dalam sains dan matematik serta mempengaruhi objektif pembelajaran yang ditetapkan bagi sesuatu pengajaran tersebut. Dalam perkara ini, risiko terbesar yang perlu ditanggung oleh pelbagai pihak adalah wujud kemungkinan tiada peningkatan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid dan pada masa yang sama penguasaan ilmu sains dan matematik terjejas disebabkan masalah bahasa.

Konflik dalam PPSMI
Terdapat beberapa konflik yang timbul semasa pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Antara konflik tersebut adalah reaksi dari pelbagai pihak yang menyatakan bahawa PPSMI mewujudkan jurang perbezaan dua kumpulan. Kewujudan PPSMI juga telah mewujudkan Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) serta konflik mengenai guru tidak terlatih mengajar dalam Bahasa Inggeris serta perbezaan pencapaian antara murid di sekolah Bandar dan luar Bandar. Empat konflik yang dinyatakan ini merupakan yang utama walaupun masih terdapat konflik lain yang timbul dan mungkin diperkatakan ketika PPSMI ini dilaksanakan.
            Konflik pertama yang akan dihuraikan adalah berkaitan dengan wujudnya jurang perbezaan antara dua kumpulan. Dua kumpulan tersebut adalah golongan murid mahupun guru yang mampu belajar dan mengajar dalam bahasa Inggeris dan juga golongan murid atau guru yang kurang mahir dalam bahasa Inggeris. Murid yang mahir dan boleh menerima bahan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris akan mempunyai anggapan positif terhadap dasar PPSMI malah dapat memanfaatkan peluang tersebut untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka. Mereka juga dapat memikirkan rasional pelaksanaan dasar PPSMI ini dan mengangggap diri mereka bertuah kerana berpeluang memahirkan diri secara tidak langsung dalam menggunakan bahasa pengantara kebangsaan iaitu bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun bagi murid yang kurang mahir dan tidak dapat menerima bahan pengajaran dalam bahasa Inggeris akan cenderung hilang minat terhadap mata pelajaran tersebut disebabkan tidak faham akan isi pengajaran yang disampaikan.
            Hal yang sama juga terjadi kepada para guru yang kurang mahir dalam menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran mereka. Jurang ini dapat dilihat melalui pencapaian murid yang diajar bagi mata pelajaran Sains dan Matematik. Guru yang mahir dan berkebolehan mengajar dalam bahasa Inggeris dapat menyampaikan isi pengajaran dengan berkesan dan sekaligus dapat meningkatkan pencapaian murid manakala guru yang kurang mahir mengajar dalam bahasa Inggeris berkemungkinan akan terus mengajar dalam bahasa Melayu dan menyebabkan murid tidak dapat menjawab soalan peperiksaan yang diberikan kerana ianya dalam bahasa Inggeris.
            Konflik seterusnya adalah mengenai kewujudan Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP). Gerakan ini telah diwujudkan dengan tujuan untuk membantah pelaksanaan PPSMI dan mencadangkan pemansuhan PPSMI atas sebab-sebab tertentu. Antara sebab GMP membantah PPSMI adalah kerana ianya dinyatakan tidak sah di sisi undang-undang serta bertentangan dengan beberapa Akta Pendidikan seperti Seksyen 2 yang mentafsirkan bahawa Sekolah Kebangsaan mahupun Sekolah Menengah sebagai sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama. Seksyen 17(1) Akta Pendidikan pula memperuntukkan bahawa Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah-sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah Seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan daripada sub seksyen ini.
            Antara lain objektif GMP adalah kerana PPSMI ini dianggap membunuh Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu dalam jangka masa yang panjang. Selain itu, dasar ini juga dinyatakan telah menggelapkan masa depan pelajar sekolah luar Bandar dalam bidang Sains dan Matematik. Ahli Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) juga menyatakan bahawa mereka menyokong sekuatnya pengajaran bahasa Inggeris sebagai suatu bahasa tetapi tidak melalui mata pelajaran Sains dan Matematik. Secara ringkasnya, motif bagi penubuhan GMP ini adalah berhubung kait dengan nasionalisme, identiti bangsa serta semangat patriotisme.
            Selain konflik penubuhan GMP, konflik lain yang wujud disebabkan PPSMI ini adalah dari segi pencapaian murid terutamanya murid di sekolah luar Bandar yang kurang terdedah kepada penggunaan teknologi dan kemudahan dalam pembelajaran. Jurang pencapaian ini mungkin tidak begitu jelas dan ketara di kawasan Bandar kerana murid yang berada di Bandar lebih terdedah kepada kemudahan teknologi dan kurang mengalami kejutan budaya pelaksanaan dasar PPSMI tersebut. Walau bagaimanapun bagi murid yang berada di sekolah luar Bandar yang mempunyai pencapaian sederhana dalam Sains dan Matematik walaupun diajar dalam bahasa kebangsaan apatah lagi apabila ianya diajar dalam Bahasa Inggeris menghadapi masalah dalam memahami bahan pengajaran bagi mata pelajaran tersebut. Oleh yang demikian perkara ini dapat disimpulkan bahawa walaupun terdapat kebaikan yang boleh dilihat dan dirasai dalam pelaksanaan dasar PPSMI namun ianya akhirnya tidak menampakkan dan memberikan hasil yang membolehkannya dikekalkan dalam sistem pendidikan negara.


Pengenalan MBMMBI
MBMBMBI ialah singkatan bagi Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris. Ia sebenarnya mula diperkenalkan setelah terdapat pelabagai polemik dan ketegangan dalam masyarakat sejak PPSMI yang mula dilaksanakan pada tahun 2003. Pada 8 Julai 2009, Kabinet memutuskan untuk melaksanakan MBMMBI ini setelah terdapat kajian dan pemantauan Pelaksanaan PPSMI serta Meja Bulat PPSMI.

Definisi Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI)
Memartabatkan Bahasa Melayu bermaksud meletakkn Bahasa Melayu pada tempat yang sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia. Bahasa Melayu juga merupakan bahasa pengantar utama pendidikan berdasarkan Akta Pendidikan 1996. Memperkukuh Bahasa Inggeris pula membawa maksud memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa yang wajib dipelajari, bahasa komunikasi dan bahasa ilmu di peringkat nasional dan antarabangsa.

Tujuan MBMMBI
 Tujuan utama untuk memartabatkan Bahasa Melayu adalah kerana Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan, bahasa perhubungan utama dan bahasa ilmu kea rah membina Negara bangsa untuk mencapai hasrat 1 Malaysia. Tujuan utama memperkukuh Bahaa Inggeris pula adalah kerana Bahasa Inggeris merupakan bahasa komunikasi antarabangsa yang perlu dikuasai dengan baik dan berkesan bagi membolehkan penerokaan pelbagai ilmu untuk bersaing di peringkat nasional dan global.

Rasional MBMMBI
Rasionalnya pelaksanaan MBMMBI menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeri (PPSMI) adalah rentetan daripada status pelaksanaan PPSMI itu sendiri. Didapati bahawa keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran MAlaysiai (SPM) memperlihatkan pencapaia murid dalam Bahasa Melayu adalah jauh lebih tinggi daripada Bahasa Inggeris sama ada bagi murid-murid di kawasan Bandar dan luar Bandar. Keputusan menunjukkan murid akan lebih mudah mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Melayu berbanding Bahasa Inggeris.
Selain itu, keputusan peperikaan Sains dan Matematik UPSR di Sekolah Kebangsaan (SK) menunjukkan penurunan pencapaian gred ABC bagi kohort pertama yang melalui PPSMI sepenuhnya di sekolah rendah. Jurang pencapaian antara sekolah Bandar dan luar Bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik juga semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan. Dapatan  United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) menunjukkan pelajar lebih mudah mempelajari pelajaran dalam bahasa ibunda pada peingkat awal persekolahan. Profisiensi Bahasa Inggeris guru pada tahap cemerlang dan baik adalah sekitar 25%. Hanya sebahagian kecil guru menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik. Ini menyukarkan proes pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
Secara purata peratusan penggunaan Bahasa Inggerisa adalah antara 53-58 peratus daripada keseluruhan masa yang digunakan bagi matapelajaran Sains dan Matematik. Penggunaan Bahasa Inggeris oleh guru dalam bilik darjah adalah sekitar 55%. Laporan Trends in Mathematics Science Study (TIMSS) 2007 menunjukkan pencapaian murid Malysia merosot dari tempat ke 10 pada tahun 2003 ke 20 bagi Matematik dan bagi mata pelajaran Sains dari tempat ke 20 pada 2003 ke 21 pada tahun 2007.
Kajian pelbagai pihak menunjukkan kebanyakan murid khususnya daripada luar bandar sukar memahami pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Kajian universiti-universiti tempatan pula mendapai tahap peningkatan penguasaan Bahasa Inggeri murid adalah normal, iaitu tidak lebih 3 peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI. Tahap penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris. Selain itu, penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar telah mantap bagi semua mata pelajaran yang dimulakan sejak tahun 1970an dan kebanyakan negara di dunia berusaha keras untuk memartabatkan bahasa kebangsaan mereka masing-masing sebagai bahasa ilmu.

Pelaksanaan MBMMBI
Antara strategi pelaksanaan MBMMBI dalam memartabatkan Bahasa Melayu ialah pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia di Tingkatan Satu hingga Lima di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Kebangsaan (SK) manakala Bahasa Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Bahasa Tamil di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), menambah waktu pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia di SJKC dan SJKT, menggunakan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia, menyediakan bahan bacaan Bahasa Malaysia dan memperkenalkan seni bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris.
            Manakala strategi bagi memperkukuh penguasaan Bahasa Inggeris pula ialah melalui penyediaan guru Bahasa Inggeris yang mencukupi menerusi pengambilan guru bersara, guru dari luar negara dan IPTS selain pengambilan melalui Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), menyediakan guru Bahasa Inggeris di luar norma iaitu dua orang guru bagi setiap kelas berenrolmen tinggi contoh : melebihi 35 orang pelajar), menyediakan bahan bacaan Bahasa Inggeris dan memperkenalkan seni bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris.
            Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bil. 12/2011 Pelaksanaan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bertarikh 4 November 2011 yang menjelaskan pelaksanaan dasar MBMMBI. Di bawah dasar MBMMBI, pengajaran Sains dan Matematik dilaksanakan dalam Bahasa Malaysia di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Bahasa Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan bahasa Tamil di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). Bagi melicinkan pelaksanaan dasar tersebut dala tempoh peralihan ini, garis panduan berikut disediakan bagi membantu pihak sekolah untuk membuat keputusan tentang pemilihan bahasa dalam melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.
            Garis panduan ini hendaklah dibaca bersama-sama dengan SPI Bil. 12/2011. Pihak sekolah boleh meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran bagi Sains dan Matematik berdasarkan situasi semasa yang sedang dijalankan di peringkat sekolah masing-masing iaitu :
a) Kelas yang menggunakan bahasa Malaysia dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik hendaklah terus menggunakan bahasa tersebut atau
b) Kelas yang menggunakan Bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik juga boleh terus menggunakan bahasa tersebut atau
c) Bagi kelas yang menggunakan dwibahasa, penggunaan bahasa Malaysia amat digalakkan. Walaubagaimanapun, penggunaan Bahasa Inggeris dibenarkan bagi menerangkan istilah dan konsep.
d) Murid dibenar untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa yang diikuti sebelum ini.
            Pemilihan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik tertakluk kepada kesediaan guru dan murid di peringkat sekolah. Kesediaan guru ini bermaksud kompetensi guru yang sediaada di sekolah untuk mengajar dalam bahasa Inggeris dan Jawatankuasa Kurikulum Sekolah mempertimbangkan kesediaan murid untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Inggeris.
            Selain itu, pihak sekolah dibenar untuk menentukan bilangan kelas yang akan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris atau bahasa Malaysia berdasarkan keputusan Jawatankuasa Kurikulum Sekolah. Sekolah pula diminta menggunakan glosari yang dibekalkan oleh Kementerian Pendidikan dalam usaha untuk menerangkan istilah dan konsep Sains dan Matematik dalam pengajaran iaitu :
a) Sekolah akan dibekalkan dengan buku glosari bagi membantu PdP Sains dan Matematik.
b) Sekolah juga boleh memuat turun glosari daripada laman web Kementerian Pendidikan.
            Tambahan pula, pengetua sekolah yang menerima murid Tingkatan 1 hendaklah mengealpasti bahasa yang digunakan dalam pembelajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik semasa murid tersebut berada di Tahun 6. Bagi tujuan pendaftaran atau penempatan murid ke Tingkatan 1, dasar dan prosedur penempatan yang sedia ada dikekalkan. Urusan pendaftaran murid Tingkatan 1 perlu dilaksanakan pada awal bulan Disember.
            Tujuan utama memartabatkan Bahasa Malaysia sangat jelas kerana ia merupakan bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan, bahasaperhubungan utama dan bahasa ilmu ke arah membina negara dan bangsa untuk menacapai hasrat 1Malaysia. Begitu pula dengan memperkukuh Bahasa Inggeris kerana ia merupakan bahasa komunikasi antarabangsa yang perlu dikuasai bagi membolehkan penerokaan pelbagai ilmu untuk bersaing di peringkat nasional dan global.
            Dalam melaksanakan dasar MBMMBI, PdP Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris diperlukan menerusi pendekatan yang lebih berkesan. Dengan pemansuhan menerusi PPSMI, mulai tahun 2011, murid tahun satu Sekolah Kebangsaan akan menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.
            Dalam usaha menjayakan dasar ini, Kementerian Pendidikan Malaysia mengangkat kembali mata pelajaran Bahasa Melayu sebagai mata pelajaran utama dan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama negara, semua rakyat negara malaysia khususnya guru mestilah menjaga dan memelihara Bahasa Malaysia kerana hilang bahasa lenyaplah bangsa.  Oleh demikian peruntukan masa untuk pengajaran Bahasa Melayu akan ditambah mulai tahun 2011, apabila dasar MBMMBI dilaksanakan sepenuhnya. Pertambahan masa BahasaMelayu daripada 270 minit kepada 330 minit di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina atau Tamil, manakala untuk Sekolah Kebangsaan dikekalkan kepada 270 minit, menunjukkan komitmen KPM dalam usaha memartabatkan kembali BahasaMelayu di sekolah.
            Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, inisiatif berkenaan diambil sebagai usaha melaksanakan MBMMBI yang menggantikan PPSMI mulai 2011. Namun begitu, denganpertambahan masa tersebut tidak akan memanjangkan waktu persekolahan semasa kerana ia hanya melibatkan pengubahsuaian peringkat dalaman sahaja.Menurut pelbagai sumber media dasar yang diperkenalkan amat ditunggu-tunggu oleh sebahagian besar rakyat Malaysia yang sebenarnya lebihs elesa menggunakan bahasa melayu sebagai bahasa pengantar. Langkah menambahkan masa pembelajaran dalam Bahasa Inggeris adalah amat wajar bagi memperkukuhkan penguasaan para pelajar. Kita perlu faham, Bahasa Inggeris bukan untuk Sains dan Matematik sahaja, tetapi untuk semua mata pelajaran.



1 comment: