TANGGUNGJAWAB GURU
Guru
adalah individu yang dilatih untuk menyampaikan ilmu kepada individu yang
dipanggil pelajar. Guru memegang watak penting dalam pengajaran untuk
memberikan maklumat yang bernas untuk diaplikasikan oleh pelajarnya. Guru
merupakan satu diantara pembentuk-pembentuk utama calon masyarakat
(Akhyak,2005). Oleh itu, guru sebenarnya memegang tanggungjawab untuk sentiasa
mencari ilmu dan mengamalkannya bagi memenuhi keperluan pendidikan dan masa
depan generasi muda negara.
- Mengajar atau mendidik
Guru
bukan sahaja mengajar seharusnya juga mendidik para pelajar. Mereka yang
berniat untuk mendidik akan sentiasa menganggap kerjaya guru ini adalah satu
amanah yang perlu dilaksanakan untuk membangunkan bangsa dan negara.
Sesungguhnya pendidikan merupakan medium yang boleh mempengaruhi keberhasilan
sesebuah negara. Perkataan mengajar dan mendidik merupakan dua perkataan yang
berada dalam ruang lingkup yang sama namun dalam konteks makna masing-masing
berbeza. Dengan hanya mengajar sahaja belum tentu seorang guru mampu mengubah ‘orang’
kepada ‘manusia’. Pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan belum tentu
cemerlang dalam kehidupannya. Hal ini kerana mengajar adalah menyampai ilmu
berdasarkan apa yang akan ditanya dalam peperiksaan dan bukannya menerapkan
simulasi permasalahan harian yang menjurus kepada amalan dunia akhirat. Maka
tidak hairanla ramai pelajar yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia
tetapi tidak mampu beradaptasi dengan dunia universiti.
Dalam
konteks mendidik, guru menyiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran agar dapat
menyediakan pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada pelajar yang akan
digunakan untuk menegakkan keadilan dan kebenaran serta digunapakai untuk
memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara. Pendidik bertanggungjawab
memberi pertolongan kepada anak didik dalam perkembangan jasmani dan rohaninya
agar mencapai peringkat kedewasaan, mampu berdikari dan memenuhi tuntutan
kehidupan dan sosialnya. Pelajar yang terdidik fizikal, emosi, jasmani dan
rohani mampu bertahan dalam apa jua keadaan serta boleh beradaptasi dengan
pelbagai situasi kehidupan. Selaras dengan matlamat pendidikan negara iaitu
untuk melahirkan individu yang mampu
berfikir di luar konteks kehidupannya.
- Guru Kurang Realistik
“Realistik”
didefinisikan secara umum dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (2012) sebagai
perihal yang bersifat atau menunjukkan kenyataan yang sebenarnya. Dalam konteks
Pengajaran dan Pembelajaran, realistik merujuk kepada kaitan isi pengajaran
dengan dunia nyata atau realiti iaitu pengajaran
yang menampilkan contoh sebenar yang wujud di sekeliling kehidupan pelajar.
Freudenthal (1971) ada menyatakan “matematik mesti dikaitkan
dengan realiti dan perlu melihat matematik sebagai aktiviti kemanusiaan”. Beliau
yang merupakan pelopor kepada model pembelajaran realistik di Netherlands telah
membuktikan bahawa pembelajaran secara realistik dapat meningkatkan tahap
pencapaian pelajar. Pembelajaran realistik ini bukan hanya menerapkan kaitan
masalah matematik dengan dunia sebenar tetapi turut menggalakkan pelajar berimaginasi terhadap sesuatu masalah
matematik. Guru berperanan untuk memilih apa sahaja pendekatan dalam pengajaran
untuk membolehkan pelajar berimaginasi terhadap permasalahan matematik yang
diutarakan. Maka dengan itu, realistik dalam pengajaran dan pembelajaran adalah
bagaimana seorang guru mampu mengaitkan isi pembelajaran dalam lingkup
kehidupan pelajar.
Guru kurang realistik adalah individu yang kurang menerapkan
konsep matematik dengan permasalahan harian pelajar. Mereka ini hanya menyampai
ilmu berdasarkan susunan tajuk-tajuk matematik dalam buku teks sahaja dan
menyasarkan pelajar dapat menguasai kesemua konsep tersebut hanya secara
teoritikal. Pada mereka pencapaian pelajar dalam peperiksaan merupakan tanda
ukur utama kepada kejayaan pengajarannya. Amalan sebegini membina jurang
pengalaman pembelajaran bermakna bagi pelajar. Mereka hanya dapat menyelesaikan
masalah matematik di atas kertas sahaja tanpa mampu menyelesaikan masalah yang
sama dalam konteks kehidupan sebenar. Hal ini juga menyumbang kepada kemahiran
berfikir aras rendah pelajar sedangkan kerajaan menyasarkan pelajar perlu
dilatih untuk berfikir pada aras tinggi supaya mampu bersaing dengan masyarakat
global.
FAKTOR GURU KURANG REALISTIK
a) Kurang
Berpengetahuan
Guru kurang
berpengetahuan merupakan salah satu daripada faktor utama guru kurang
realistik. Menurut Kamus Dewan, pengetahuan yang diterbitkan dari kata kerja
tahu disinonimkan dengan ilmu, kepandaian, kebijakan, kebijaksanaan,
kepakaran, kemahiran, kepintaran, keahlian, pelajaran dan pendidikan. Guru
kurang pengetahuan boleh didefinisikan sebagai guru yang kurang ilmu,
kepandaian, kepakaran, dan kemahiran dalam sesuatu bidang terutamanya dalam
bidang pendidikan yang diceburi mereka. Menurut Aziz Omar, Sabri Ahmad &
Tengku Azwawi (2006), adakalanya guru yang mengajar matematik merupakan mereka
yang kurang berkelayakan dan tidak berpengalaman dalam bidang matematik.
Guru
kurang pengetahuan pula berpunca dari pelbagai aspek. Salah satu daripadanya
adalah guru bukan opsyen. Dewasa ini, terdapat lambakan siswazah yang masih
lagi menganggur. Apabila tidak mendapat kerja yang berkaitan dengan opsyen yang
dipilih, mereka mengambil keputusan untuk mengambil Diploma Perguruan Lepasan
Ijazah (DPLI) dengan harapan mereka akan dapat menjadi guru dengan hanya
setahun pengajian. Di sini timbul isu guru kurang berpengetahuan dari segi
pedagogi walaupun mereka mahir dari segi kandungan subjek tersebut. Pengetahuan
pedagogi dapat membantu guru mengajar dengan berkesan. Pengajaran dapat
berjalan dengan baik dan pelajar pula mendapat manfaat daripada pengajaran itu
(Esah Sulaiman, 2004). Asas pedagogi yang kurang boleh menyebabkan pelajar
tidak tertarik dan faham dengan pengajaran yang dilakukan guru.
Di
sekolah, guru-guru baru diberikan tanggungjawab untuk mengajar subjek yang
bukan opsyen asalnya. Suka atau tidak, guru terpaksa memikul tanggungjawab yang
diberikan kerana ia telah ditetapkan kepadanya. Masrizal (2003) dalam kajiannya
menunjukkan bahawa akan timbul
masalah
kepada guru-guru yang mengajar mata pelajaran yang bukan pengkhususannya.
Kesannya guru tidak dapat menjelaskan konsep dengan baik dan sempurna serta
tidak dapat membuatkan pelajar mengaitkan apa yang mereka pelajari dengan
kehidupan seharian. Guru bukan opsyen juga akan mengajar dengan sambil lewa
memandangkan subjek yang diajar bukan bidang yang digemarinya. Mereka juga
kurang bersedia memandangkan mereka kurang pengetahuan tentang konsep dan
pedagogi.
Guru
kurang menganalisis kandungan setiap topik juga menjadi punca guru kurang
pengetahuan. Bagi guru-guru baru, mereka mengambil masa yang agak lama untuk
memantapkan diri mereka dengan kandungan bagi setiap topik yang diajar. Apabila
di dalam bilik darjah, terdapat beberapa soalan berkaitan tidak dapat dijawab
terus oleh guru malah guru mengambil masa sehingga P&P yang seterusnya
untuk menjawab soalan tersebut kerana perlu membuat rujukan terlebih dahulu.
Bagi guru-guru yang telah lama berkhidmat dalam bidang pendidikan, mereka
mungkin tidak mempunyai masalah dalam menguasai setiap topik yang diajar.
Menurut Tengku Zawawi, Ramlee & Abdul Razak (2009), guru berpengalaman dan
mempunyai pengetahuan matematik yang tinggi, memiliki pengetahuan pedagogi isi
kandungan yang baik.
Selain
itu, guru lemah konsep matematik juga menjadi punca kepada jurang pencapaian
pelajar dalam matematik. Dalam mencapai matlamat kurikulum dan objektif yang
telah ditetapkan, guru memainkan peranan yang amat penting dalam menyampaikan
isi kandungan yang telah dinyatakan dalam standard kurikulum (Aini Hayati et.al, 2013). Dalam hal ini, guru bukan
opsyen matematik dikaitkan. Mereka menghadapi masalah dalam menguasai konsep
matematik kerana mereka bukanlah mempelajari kursus matematik semasa pengajian
ijazah mereka.
b) Jangkaan
Guru
Faktor
kedua yang mempengaruhi jurang pencapaian matematik pelajar sekolah rendah atau
sekolah menengah adalah jangkaan guru. Menurut Kamus Dewan, jangkaan
ditakrifkan sebagai apa-apa yg dijangka, dugaan dan sangkaan. Jangkaan guru
boleh ditakrifkan sebagai tanggapan guru terhadap para pelajarnya. Menurut
Sharifah Alawiyah (1987), terdapat beberapa jenis atau bentuk pengaliran dan
pembezaan yang biasa dilaksanakan di sekolah atau bilik darjah dalam sistem
pendidikan sesebuah negara, iaitu pengaliran, bukan pengaliran, pengaliran
berband (banding) dan pengaliran tersembunyi, pengaliran berset (setting) dan
pengaliran bergred (grading).
1. Pengaliran
Tersembunyi
Pengaliran
jenis ini ialah tidak berdasarkan penilaian kebolehan, tingkah laku dan latar
belakang keluarga sebaliknya ia berdasarkan kriteria atau pandangan guru yang
tersendiri. Biasanya pada peringkat murid-murid yang baru masuk ke sekolah
rendah atau Darjah Satu, guru telah membuat pemilihan berdasarkan tingkah laku
atau pandangan serta kepercayaan guru sendiri. Kumpulan tersebut biasanya
dikekalkan untuk beberapa tahun.
2. Pengaliran
Berset (Setting)
Mengumpulkan
murid berdasarkan kebolehan mata pelajaran tertentu. Misalnya murid yang
mendapat pencapaian yang baik dalam mata pelajaran Matematik dan Sains dalam
PMR bolehlah diletakkan ke kelas aliran sains. Di Malaysia pengaliran banyak
bermula pada Tingkatan Empat.
3. Pengaliran
Bergred (Grading)
Pengumpulan
jenis ini ialah berdasarkan kemajuan dan pencapaian pelajar dan bukan
berdasarkan ukuran kebolehan atau umur. Ia banyak dilaksanakan di Amerika dan
Rusia.
Jangkaan guru yang tinggi dan
positif akan membantu pelajar menghadapi persekolahan mereka dengan penuh minat
dan bersemangat untuk berjaya. Keinginan dan motivasi yang tinggi lahir
daripada sikap yang positif (Sufean, 1996). Apabila seseorang pelajar mendapat
jangkaan yang tinggi dan positif dari seorang guru, mereka beranggapan bahawa
guru menaruh harapan yang tinggi kepadanya dan sebagai seorang pelajar mereka
tidak mahu menghampakan guru mereka. Menurut kajian yang dijalankan oleh (Wan
Zah et.al, 2009), persepsi pelajar
kelas lemah adalah agak negatif jika dibandingkan dengan pelajar kelas pandai
terhadap jangkaan guru terhadap mereka. Bagi pelajar, jika guru sudah
beranggapan rendah terhadap kemampuan mereka, secara automatiknya tahap
motivasi mereka menurun dan membuatkan mereka tidak mempunyai semangat untuk
berjaya. Mereka beranggapan tidak ada gunanya mereka berjaya sedangkan guru
awal-awal lagi memandang rendah akan kebolehan mereka.
c) Kurang
Berpengetahuan
Faktor
ketiga yang membawa kepada guru kurang realistik adalah disebabkan oleh kurang
pergetahuan dari guru tersebut. Pengetahuan yang rapi sebelum memulakan sesuatu
kerja amat dititikberatkan untuk memastikan hasil yang berkualiti dan mencapai
objektif serta sasaran yang ditetapkan. Begitu juga dengan tanggungjawab
sebagai seorang guru. Sebelum memulakan pengajaran, seorang guru perlu
menyediakan Rancangan Pengajaran Harian (RPH). Di dalam RPH ini seorang guru
akan merancang kaedah, strategi dan teknik yang akan digunakan untuk mencapai
hasil pembelajaran tajuk berikut. Pelbagai kemungkinan boleh terjadi sepanjang
proses pengajaran dan pembelajaran sama ada di dalam bilik darjah ataupun
makmal.
Segala masalah yang bakal timbul
sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran ini akan mengganggu kelancaran
pengajaran guru. Sebagai langkah pencegahan, guru tersebut perlu mempersiapkan
diri sebelum memulakan tugas mengajar. Menurut (Mok, S.S. 2002), persediaan
mengajar mempunyai tiga komponen penting iaitu komponen persediaan, penyampaian
dan penutup. Oleh itu, guru itu sendiri perlu mempersiapkan diri dengan teknik
bagaimana yang mereka perlu guna untuk menarik minat murid meneruskan pembelajaran,
cara penyampaian yang digunakan perlulah bersesuaian dengan tahap kebolehan dan
pengetahuan sedia ada mereka serta kaedah penutup sesi pembelajaran yang
bagaimana ingin digunakan oleh guru.
Seterusnya, kita kupas isu yang
berkaitan dengan persediaan isi kandungan dan bahan pengajaran. Menurut Laporan
Penilaian Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) yang dilakukan oleh para
pensyarah maktab-maktab perguruan di Malaysia mendapati sebilangan besar
guru-guru tetap dan kekal mengamalkan gaya pengajaran sehala iaitu “chalk
and talk”. Menurut Mohd Majib Konteng (1997), kenyataan ini disokong oleh
Jemaah Nazir Sekolah pada tahun 1992 di mana mereka menjelaskan bahawa guru
masih kekal dengan peranan lama mereka sebagai pengajar dan masih lagi
membahaskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran ke arah peperiksaan
semata-mata. Hal ini berlaku disebabkan
guru malas untuk membuat persediaan dan perancangan dalam pengajaran yang bakal
berlangsung terutamanya guru perempuan yang sudah berkeluarga. Segelintir dari
mereka sibuk dalam menguruskan rumah tangga sehingga tiada masa untuk
memikirkan kaedah pengajaran.
Selain itu, terdapat juga segelintir
guru veteran yang tidak suka akan perubahan kerana bagi mereka kaedah
menggunakan papan hitam ini merupakan kaedah yang terbaik. Sedangkan jika
dilihat pada sikap dan penerimaan murid pada masa kini, mereka lebih gemarkan
kaedah pembelajaran yang mencabar dan menarik. Tidak menjadi satu kesalahan
jika guru ingin menggunakan kaedah “talk and chalk” tetapi bagaimana teknik penyampaian
mereka adakah bersesuaian dengan peringkat umur murid? Adakah bersesuaian
dengan masa? Dan yang paling penting adakah murid dapat menerima ilmu yang kita
sampaikan?. Bagi golongan guru yang sudah berpengalaman mungkin mereka sudah
arif tentang perkaitan antara tajuk yang diajar dengan kehidupan seharian
tetapi adakah pengetahuan mereka selaras dengan pembangunan negara?. Sebagai
contoh, jika seorang murid bertanya apakah kepentingan untuk mereka belajar
tajuk pembezaan dan pengamiran dalam hidup mereka? Jika seorang guru yang
kurang pengetahuan mungkin akan memberi alasan yang tidak dapat membuktikan
kepentingan pembelajaran tajuk pembezaan dan pengamiran dalam kehidupan mereka.
Oleh itu, murid hanya akan belajar untuk lulus peperiksaan bukan untuk diaplikasikan
dan akan melupakan tajuk berikut setelah tamat peperiksaan. Oleh itu, kurang
persediaan dari segi isi kandungan dan bahan pengajaran ini akan menyebabkan
guru-guru tersebut tidak dapat membawa murid berfikir di luar kotak serta tidak
dapat mengaitkan pembelajaran mereka dengan kehidupan seharian.
Jika difikirkan kembali, apakah yang
dilakukan oleh guru sehingga tiada masa memikirkan persediaan mengajar sebelum
mengajar? Ibu bapa mungkin mengatakan guru makan gaji buta tetapi sedarkah ibu
bapa bahawa tugas seorang guru bukan sekadar menyampaikan ilmu di kelas?. Pada
hakikatnya, guru juga memikul tugas bukan akademik seperti tugas-tugas
pengkeranian, tugas-tugas khas dan tugas kokurikulum. Merujuk kepada akhbar
bertarikh 1 April 2010 keratan yang bertajuk ‘Seksa Jadi Guru’. Berdasarkan
artikel ini, dikatakan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) telah
membuat aduan mengenai beban tugas guru kepada Yang Amat Berhormat Timbalan
Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin
pada 20 Mac 2010.
Berdasarkan keratan akhbar tersebut,
Jemali Paiman selaku Pengerusi Majlis Permuafakatan Kesatuan Guru Malaysia
menyatakan tugas guru kelas adalah yang paling teruk contohnya guru perlu
menyediakan maklumat peribadi murid, mengutip yuran, sediakan buku kedatangan
murid, dapatkan maklumat murid dan keluarga serta menjadi pegawai kesihatan
untuk merekodkan maklumat kesihatan. Berdasarkan artikel ini juga dapat
dirumuskan bahawa isu beban tugas guru perlu dipandang serius bukan sahaja oleh
pihak kerajaan, malahan semua pihak termasuk masyarakat. Ini kerana, beban
tugas yang semakin bertambah dan kian mencabar telah menyebabkan prestasi
seorang guru terjejas dan ini secara tidak langsung menjejaskan prestasi
murid-murid di sekolah.
d)
Pendekatan yang tidak sesuai
Faktor seterusnya yang boleh membawa
kepada guru kurang realistik adalah dari segi pendekatan yang digunakan.
Menurut Kamus Dewan (1998), pendekatan merupakan cara atau langkah-langkah yang
diambil bagi memulakan dan melaksanakan sesuatu tugas. Apabila melihat kepada
konsep pendekatan iaitu cara mendekati sesuatu, ia merujuk kepada cara
bagaimana sesuatu mata pelajaran itu diajarkan untuk mencapai objektifnya. Guru
yang mengajar mestilah terlebih dahulu mengenal pasti latar belakang murid. Ia
akan membantu guru untuk memilih dan merancang pengajaran dengan menggunakan
pendekatan yang sesuai.
Selain itu, kaedah pengajaran adalah
merupakan satu proses guru mengajar di mana ia merangkumi cara dan strategi
yang digunakan untuk mengajar. Guru akan menggunakan sama ada pendekatan
penyampaian maklumat iaitu berpusat guru atau pendekatan perubahan konsep iaitu
berpusatkan pelajar. Kaedah pembelajaran yang dipilih juga akan mempengaruhi
strategi yang akan digunakan oleh guru atau murid bagi memperoleh maklumat yang
berlainan dan menyesuaikan diri dalam situasi pembelajaran yang berlainan.
Pendekatan penyampaian maklumat
tidak menggalakkan murid memberi pendapat mereka sendiri walaupun
berkemungkinan besar mempunyai lebih pengetahuan sedia ada dalam diri mereka
melalui pemerhatian atau pengalaman sendiri. Maklumat yang disampaikan pula
bergantung sepenuhnya pada guru. Jika luas pengetahuan guru mengenai tajuk
tersebut maka luas dan panjang lah penerangan guru. Pendekatan berpusatkan guru
boleh di ibarat guru memberi syarahan dan murid mendengarnya di meja
masing-masing. Situasi sebegini akan menimbulkan kebosanan dan hilang tumpuan
murid di dalam kelas.
Walaupun sudah sedia maklum dengan
kelebihan dan kekuatan pengajaran dan pembelajaran berpusatkan murid, guru pada
masa kini masih menggunakan kaedah pembelajaran berpusatkan guru sedangkan
pendekatan yang disarankan adalah pendekatan berpusatkan murid sejajar dengan
National Council for Teaching of Mathematics (NCTM, 2000) yang menyatakan
pengajaran yang berkesan memerlukan persekitaran yang kondusif, menggalakkan
murid berfikir, menyoal dan menyelesaikan masalah. Jika tidak menggunakan
pendekatan berpusatkan pelajar, apakah kepentingan disediakan makmal Matematik
di sekolah? Apakah kegunaan makmal komputer di sekolah?
Seperti mana yang dapat saya
perhatikan semasa menjalani praktikal, kebanyakan guru Matematik tidak memberi
peluang kepada murid untuk berfikir di luar kotak. Pembelajaran yang dijalankan
hanya merujuk dan berpandukan buku teks dan buku latihan. Ia disebabkan oleh
sebilangan mereka berpendapat bahawa murid akan menjalani ujian PBS dan jika
tidak mencapai band, murid dibolehkan untuk mengulangi ujian tersebut sehingga
murid tersebut mencapai band yang disasarkan.
Pendekatan berpusatkan pelajar bukan
sahaja tertumpu pada penggunaan teknologi tetapi boleh juga diwujudkan dengan
penggunaan objek maujud. Kita ambil contoh pada tajuk pepejal geometri, guru
boleh meminta pelajar duduk di dalam kumpulan kecil dan melakukan aktiviti
seperti melukis bentangan bagi kubus dan kuboid. Seterusnya meminta mereka
untuk membentuk kubus dan kuboid serta mengenal pasti jumlah bucu, sisi dan
garisan simetri. Pendekatan berpusatkan pelajar ini sememangnya memudahkan
murid untuk memahami tetapi memerlukan tahap kerajinan yang tinggi di kalangan
guru.
Kesimpulannya, faktor-faktor seperti
kurang persediaan guru untuk mengajar akan menyebabkan guru tidak menggunakan
pendekatan yang sesuai sewaktu sesi Pengajaran dan Pembelajaran dilaksanakan.
Ia juga berkait rapat dengan tugas-tugas sampingan sebagai guru. Guru yang di
tugaskan untuk mengajar mata pelajaran bukan dari bidang mereka akan
menimbulkan masalah kepada mereka dan murid. Selain itu, guru perlu sentiasa
mengikuti perkembangan teknologi supaya dapat menarik minat dan kecenderungan
murid untuk mempelajari mata pelajaran khususnya mata pelajaran Matematik yang
memerlukan penguasaan konsep yang betul dan tepat.
4.0 KESAN
GURU KURANG REALISTIK
a)
Pelajar tidak mampu berfikir pada aras
yang lebih tinggi
Kesan
guru kurang realistik menyebabkan jurang pencapaian pelajar sekolah rendah dan
juga sekolah menengah. Gaya pengajaran guru terhadap pelajar yang boleh di
anggap lapuk dan lama menyebabkan pelajar tidak dapat menghasilkan pemikiran
yang kreatif dan inovatif. Kajian menunjukkan ‘fobia’ matematik terutamanya
dalam kalangan pelajar yang lemah adalah konsep matematik yang kurang diberikan
penekanan oleh guru yang dianggap terlalu abstrak untuk difahami (Kilpatrik et
al, 2001; Romberg et al, 2005). Ini akan menyebabkan pelajar bersikap negatif
terhadap matematik dengan mengganggap ianya satu mata pelajaran yang sukar dan
menjemukan kerana tidak dikaitkan dengan kehidupan seharian (Ronis, 2008).
Idea
yang diberikan oleh pelajar semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung
sangat penting. Idea adalah buah fikiran
kreatif dan inovasi yang sangat penting kerana dengan ada idea yang diberikan
oleh pelajar dapat membuat keputusan, menyelesaikan masalah dan menjana idea
produk konkrit dan abstrak. Jika guru hanya mengajar berpandukan buku teks,
memberikan soalan pada aras rendah dan tidak mencabar pemikiran pelajar dengan
memberikan soalan pada aras tinggi, menggunakan cara pengajaran yang lama,
tidak menggunakan alatan teknologi akan menyebabkan setiap tahun jurang
pencapaian matematik bagi sekolah rendah dan menengah akan meningkat.
Sedangkan
pada tahun 2013, Kementerian Pendidikan Malaysia telah memperkenalkan Program
Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) di mana dengan melaksanakan KBAT dalam
subjek matematik dapat menghasilkan pelajar yang cerdas, kreatif dan inovatif
bagi memenuhi cabaran abad ke -21 agar negara mampu bersaing dipersada dunia.
Jika pelajar tidak mampu berfikir pada aras tinggi, pembelajaran berdasarkan
pembelajaran kognitif tidak dapat dipenuhi. Antara hasil pembelajaran kognitif
yang digunakan dalam KBAT ialah
a) Mengetahui
/ Mengingati
b) Memahami
c) Menggunakan
d) Menganalisis
e) Mensinstesis
f) Menilai
Menurut
ahli-ahli psikologi kognitif seperti Kohler, Bruner, Gagne dan Ausubel,
berpendapat bahawa pembelajaran merupakan suatu proses dalaman yang berlaku
dalam akal fikiran dan tidak dapat diperhatikan secara langsung daripada
tingkah laku manusia. Teori-toeri pembelajaran di bawah mazhab kognitif ini juga
dikenali sebagai teori Gestalt adalah ditumpukan kepada cara pembelajaran
seperti pemikiran celik akal, kaedah penyelesaian masalah, penemuan, kategori
pembelajaran dan resepsi. Mengikut kajian tokoh-tokoh mazhab kognitif,
pembelajaran hanya boleh berlaku berdasarkan murid yang mempunyai cukup
pengalaman yang berkaitan untk mempelajari pengalaman baru, disamping mempunyai
motif serta rela mengambil inisiatif diri sendiri untuk menjalankan aktiviti
pembelajaran. Apabila guru kurang realistik semasa mengajar, maka guru tidak
mampu merangsang minat pelajar untuk meminati subjek matamatik.
Persoalan
yang boleh ditimbulkan mengapa jurang pencapaian dalam subjek matematik timbul
dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah adalah kesan daripada cara
pelajar berfikir yang diterapkan oleh guru yang kurang realistik. Mengapa
kebanyakkan pelajar kurang kreatif dan inovatif serta tidak dapat berfikir pada
aras tinggi boleh diperhatian dari beberapa aspek. Antaranya ialah :
a) Kurang
rela memberi jawapan?
b) Takut
menjawab atau memberi pandangan?
c) Pasif
dan lebih cenderung kepada memberi jawapan berasaskan LOTS (lower order
thinking skills)?
d) Suka
menjadi neutral atau tidak ingin melibatkan diri sama ada dalam menjawab atau
perbincangan?
e) Kurang
mahir untuk memberi pandangan yang luar dari norma/biasa?
f) Aktif
menjawab semasa kecil tetapi semakin pasif apabila umur semakin meningkat?
b)
Pelajar kurang aktif di dalam kelas
Fenomena
pelajar kurang aktif dan pasif sering berlaku ditambah dengan masalah guru yang
kurang realistik. Antara sebab yang sering dilihat mengapa pelajar pasif di
dalam kelas ialah pelajar tidak mempunyai inisiatif dalam pembelajaran dan
terlalu bergantung kepada motivasi dan pengajaran guru. Selain itu, soalan yang
dikemukakan oleh guru kurang mencabar dan tidak melibatkan pelajar membuat
aktiviti. Galakkan teknik penyoalan yang tidak merangsang minda pelajar
menyebabkan pelajar menjadi bosan seterusnya melahirkan pelajar yang pasif di
dalam kelas. Pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan setiap hari di dalam
kelas juga memainkan peranan melahirkan pelajar yang pasif di mana pelajar
hanya di dedahkan dengan pengajaran bersandarkan papan putih, buku teks, dan
kertas soalan. Kurangnya teknik pengajaran yang guru persembahkan berasaskan
bilik darjah berinformasi seperti menggunakan sistem teknologi seperti
penggunaan video, slide dan lain-lain menyebabkan pemikiran pelajar menjadi
pasif dan tidak cenderung untuk menjadi pelajar yang aktif di dalam kelas.
Seharusnya
guru perlu kreatif dan inovatif dalam melaksanakan pdp dengan menggunakan model
seperti penemuan, konstruktivisme dan pembelajaran berasaskan pelbagai projek.
Seterusnya boleh mewujudkan kelas yang kondusif bagi menggalakan kemahiran
berfikir pelajar dan melahirkan pelajar yang aktif di dalam kelas dengan
memberikan pelbagai pendapat serta bersaing secara sihat. Guru yang berkaliber
dan memahami situasi pelajar dapat mengetahui bagaimana gaya atau corak pelajar
mereka di dalam kelas. Selalunya pelajar yang pasif di dalam kelas semasa guru sedang
melakukan pdp adalah pelajar yang bukan aktivis, reflektif dan teoris.
a) Aktivis
Cara
belajar seseorang individu yang merupakan gaya pembelajaran yang aktivis adalah
orang yang melibatkan diri secara aktif dan agresif dalam aktiviti
pembelajaran. Golongan murid yang mengamalkan gaya pembelajaran aktivis ini
biasanya mempunyai ciri-ciri seperti berikut:
·
Mempunyai sikap tidak sabar dan tindakan
tergesa-gesa
·
Mempunyai naluri ingin tahu yang tinggi
terhadap perkara-perkara baru
·
Bergerak pantas dan cepat membalas
·
Gemar mencari pengalaman baru dengan
cuba jaya diri sendiri
·
Penuh bersemangat, fleksibel dan
berfikiran terbuka
·
Mempunyai motivasi intrinsic yang kuat
dan sentiasa mengambil inisiatif untuk menyelesaikan masalah
·
Mempunyai kemahiran berfikir secara kritis
dan kreatif
Murid yang tergolong dalam kumpulan ini
biasanya suka melibatkan diri dalam latihan amali dan aktiviti kokurikulum.
Oleh itu, seseorang guru itu perlu tahu teknik dan kaedah mengajat yang sesuai
untuk kumpulan pelajar sebegini adalah kaedah inkuiri-penemuan, perbincangan
dan juga kerja praktik.
b) Reflektif
Cara
belajar seseorang yang mengamalkan gaya pembelajaran reflektif adalah orang
yang suka memerhati, memikir dan membuat refleksi kendiri terhadap apa yang
dipersepsikab dalam alam belajar. Antara ciri-ciri gaya pembelajaran reflektif
ialah :
·
Mempunyai kemahiran berfikir secara
kritis dan kreatif
·
Suka mentafsir dan menilai sesuatu
perkara, prinsip, keputusan atau projek serta membuat refleksi kendiri
·
Belajar dan membuat kerja secara
sistematik
c) Teoris
Golongan
pelajar yang mempunyai gaya pembelajaran bersifat teoris ialah gemar
menggunakan prinsip dan teori untuk membuat kesimpulan berdasarkan analisis
fakta-fakta sesuatu perkara. Antara ciri-ciri golongan pelajar ini ialah :
·
Memiliki fikiran rasional dan logical
·
Mempunyai sikap berdisiplin serta
mempunyai visi
·
Suka membentuk hipotesis dan membuat
kesimpulan berdasarkan bukti.
Kaedah dan teknik mengajar yang guru perlu tahu ialah kaedah induksi dan
deduksi, bertukar pendapat melalui perbincangan, dan mengumpul data untuk
membuat analisis, tafsiran dan membuat rumusan.
Bukan itu sahaja, pelajar yang kurang
aktif di dalam kelas tidak boleh menentukan objektif pembelajaran sendiri. Hal
ini kerana pelajar sudah terbiasa menerima dan terus menerima daripada guru
tanpa perlu berfikir dan menguji diri. Gaya dan teknik pengajaran guru yang
sukar difahami juga penyumbang kepada pelajar menjadi pasif di dalam kelas.
c) Pelajar
akan gagal dalam peperiksaan
Menurut
petikan surat akhbar keluaran UTUSAN bertarikh 14 Februari 2010, pendedahan 60
peratus pelajar tahap satu di sekolah seluruh negara masih belum dapat
menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) oleh Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengejutkan rakyat negara ini.
Ahli- ahli akademik menyatakan mereka sangat terkejut dengan pendedahan
tersebut dan berharap satu tindakan yang serius dan komprehensif perlu diambil
oleh kerajaan bagi mengatasi masalah ini. Tokoh pendidikan, Profesor Tan Sri
Dr, Khoo Kay Kim berkata, keadaan ini berlaku mungkin berpunca kerana guru
zaman sekarang hanya menyasarkan pelajar tersebut lulu peperiksaan semata-mata.
Kelemahan
sistem pembelajaran sekarang juga menyebabkan guru-guru tidak dilatih dengan sempurna
untuk benar-benar menjadi seorang pendidik. Selain itu, apabila guru yang tidak
pakar mengajar dalam subjek matematik, kesanya jurang pencapaian matematik
murid sekolah rendah dan sekolah menengah bertambah lebih-lebih lagi ramai yang
gagal dalam memperolehi keputusan peperiksaan. Apabila guru tidak masuk kelas
sebab bercuti atau berkursus, kemungkinan pelajar akan tertekan dengan cara
pengajaran guru kerana ketinggalan silibus yang banyak menyebabkan guru
mengajar sambil lewa kerana ingin menghabiskan tajuk-tajuk yang ditinggalkan
sehingga pelajar tidak dapat mengikuti apa yang di ajar oleh guru. Seterusnya
tahap pencapaian pelajar akan merundum.
d) Pembelajaran bermakna
Kesan
daripada guru yang tidak realistik ini akan memberi kesan kepada pelajar dan
juga guru. Hal ini akan menimbulkan pelbagai masalah semasa guru menjalankan
pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Tambahan pula, guru tersebut
haruslah memainkan peranan ketika di dalam kelas sama ada dari segi persediaan
dan juga teknik atau pendekatan yang digunakan dalam bagi menarik perhatian
pelajar dalam memupuk minat mereka belajar di dalam kelas. Pembelajaran adalah
suatu proses yang berlaku dalam akal fikiran ataupun kognitif dan kesan
daripada proses ini akan dapat dilihat melalui perubahan dalam tingkah laku dan
percakapan. Pemahaman pelajar terhadap masalah yang dikemukakan merupakan aktiviti kognitif di mana pelajar
perlu bersikap aktif untuk berfikir dan memberikan hasil iaitu daripada
pengalaman ataupun pengetahuan sedia ada.
Antara
kesan dari guru yang tidak realistik ini adalah akan menyebabkan pembelajaran
itu menjadi tidak bermakna. Teori pembelajaran bermakna itu adalah satu idea
pembelajaran bermakna yang dibina daripada teori yang diasaskan oleh Ausubel
(1963). Apabila bercakap mengenai teori pembelajaran bermakna kita akan
mengaitkan dengan seorang tokoh psikologi pendidikan iaitu David P Ausubel.
Menurut beliau pembelajaran bermakna ini adalah satu proses pembelajaran yang
mana informasi baru dihubungkan dengan struktur pengertian yang sudah dimiliki
seseorang yang sedang melalui proses pembelajaran. Hal ini bermakna, apabila
seseorang itu mendapat informasi atau pengetahuan baru akan dihubungkaitkan
dengan pengetahuan sedia ada melalui proses pembelajaran yang sedang dilaluinya.
Tambahan lagi, bahan tersebut hendaklah sesuai dan releven dengan struktur
kognitif yang dimiliki. Kini, kita boleh lihat kebanyakkan guru mengajar dengan
menggunakan teknik menghafal (rote learning) dimana tidak dianggap sebagai
pembelajaran bermakna. Sebagai contohnya, rumus Phitagoras iaitu c² = a² + b² ,
rumus luas sfera iaitu 4πr² dan lain-lain. Dimana guru memperkenalkan pelbagai
rumus kepada pelajar dan meminta pelajar untuk hafal. Sepatutnya guru hendaklah
menerangkan sedikit asal-usul rumus-rumus itu terbentuk. Hal ini tidak
menggalakan percambahan pemikiran pelajar dalam subjek tersebut dan guru juga
boleh memberitahu apa kegunaan rumus-rumus itu kepada pelajar untuk mengaitkan
dengan persekitaran supaya pembelajaran menjadi lebih bermakna.
Menurut
Ausubel (1968) pembelajaran bermakna mempunyai tiga komponen utama iaitu
pengetahuan sedia ada pelajar, penggunaan bahan atau strategi pembelajaran yang
betul dan kesanggupan pelajar untuk melibatkan diri secara aktif dalam
pembelajaran bermakna. Guru hendaklah mengenalpasti pengetahuan sedia ada para
pelajar sebelum memulakan pengajaran dan merupakan tugas yang penting bagi
seorang guru. Guru tersebut boleh menguji tahap pengetahuan pelajar tersebut
dengan beberapa soalan berdasarkan pengalaman dan pengetahuan sedia ada. Ausubel menyatakan bahwa kebanyak orang belajar
dimulai dengan Belajar menerima (reception learning), dan bukannya penemuan.
Sebagai contohnya, guru meminta pelajar memberi ukuran barang yang berhampiran
dengan mereka kemudian kaitkan dengan konsep sentimeter, meter dan lain-lain.
Seterusnya, barulah guru mengaitkan dengan luas dan isipadu sesuatu bahan dan
kaitkan dengan benda-benda yang berda disekeliling mereka. Hal ini akan
menjadikan pembelajaran itu bermakna kerana guru tersebut menanam kefahaman dan
penemuan pelajar dalam sesuatu perkara.
Seterusnya
adalah penggunaan bahan atau strategi pembelajaran yang betul. Teori Ausubel
ada menekan dua perkara dalam pembelajaran bermakna iaitu model pembelajaran
ekspositori dan penyusunan awal. Ausubel menyatakan bahawa manusia ini
memperolehi ilmu pengetahuan dalam bentuk resepsi dan bukan penemuan. Oleh itu,
model pembelajaran ekspositori diperkenalkan oleh Ausubel iaitu dengan
menekankan penerangan bahan pembelajaran oleh guru dalam bentuk fakta yang
tersusun dan dijelaskan mengikut urutan serta fakta yang lengkap. Oleh itu,
pembelajaran ini haruslah berkembang daripada bentuk yang umum (deduktif)
kepada spesifik. Sebagai contohnya, guru hendaklah terlebih dahulu menjelaskan
mengenai definisi, prinsip dan konsep kemudian diikuti dengan latihan dan
aplikasi kepada konsep yang telah dipelajari. Tambahan lagi, guru hendaklah
menyatakan kepada pelajar mengenai objektif yang harus dicapai sebelum
menjalankan pembelajaran dan pengajaran supaya pelajar jelas dan mendapat
sedikit gambaran mengenai topik yang akan dipelajari serta menggunakan teknik
dan pendekatan yang sesuai dengan topik tersebut. Penyusunan awal berfdungsi
sebagai untuk menjelaskan kepada guru dan pelajar mengenai perkara-perkara yang
perlu difahami bagi sesuatu pelajaran. Penyusunan awal juga menghubungkan
konsep baru dengan konsep yang telah dipelajari. Oleh itu, tujuan penggunaan
penyusunan awal adalah untuk memberi gambaran tentang apa yang penting dalam
PdP, menjelaskan hubungan antara konsep yang akan dihuraikan dan menggerakkan
minda pelajar untuk meningat semula konsep yang berkaitan yang telah
dipelajari.
Faktor
seterusnya adalah kesanggupan pelajar untuk melibatkan diri secara aktif dalam
pembelajaran bermakna. Hal ini sangat penting, jika pelajar tidak mahu terlibat
dengan pengajaran dan pembelajaran dalam kelas maka pembelajaran tersebut akan
menjadi tidak bermakna. Pelajar haruslah memainkan peranan yang penting dan
terlibat secara langsung dalam melaksanakan pembelajaran bermakna supaya dapat
mencapai objektif yang telah ditetapkan oleh guru.
Terdapat
banyak kelebihan yang diperolehi daripada pembelajaran bermakna iaitu ilmu yang
dipelajari secara bermakna lebih lama diingati. Hal ini kerana dalam teori
Ausubel ini lebih menekankan pembelajaran dari penemuan daripada pembelajaran
hafalan (rote learning). Oleh itu, pembelajaran dari penemuan lebih berkesan
kerana pelajar belajar melalui penemuan dan pengalaman sendiri. Kemudian,
informasi baru yang telah dikaitkan dengan konsep-konsep relevan sebelumnya
dapat meningkatkan konsep yang telah dikuasai sebelumnya sehingga memudahkan
proses belajar mengajar berikutnya untuk memberi pelajaran yang hampir sama.
Hal
ini bermakna konsep yang baru dikaitkan dengan konsep lama dan sekaligus dapat
meningkatkan tahap penguasaan konsep yang sebelum dan semasa dan memudahkan
pembelajaran. Seterusnya adalah informasi yang pernah dilupakan setelah pernah
dikuasai sebelumnya masih diingati sehingga memudahkan proses belajar untuk
tajuk pelajaran yang hampir sama walaupun sudah dilupai. Ini bermakna tajuk
yang menggunakan konsep yang hampir sama mampu mengingatkan seseorang itu
mengenai konsep yang telah dipelajari walupun sudah dilupai. Oleh itu,
pembelajaran bermakna ini amat penting bagi guru dalam melaksankan pembelajaran
dan pengajaran dalam kelas.
d) Pelajar
menjadi bosan dalam pembelajaran dan pengajaran.
Pelajar
menjadi bosan merupakan salah satu kesan yang boleh kita lihat ketika dalam
PdP. Hal ini kerana pelajar telah hilang minat dengan beberapa sebab seperti
kaedah pengajaran, pendekatan guru serta sikap guru dan pelajar itu sendiri.
Proses pengajaran dan pembelajaran merupakan elemen penting dalam memastikan
para pelajar dapat mengikuti isi kadungan dalam subjek yang dipelajari. Hal ini
kerana di dalam proses PdP itu mempunyai pelbagai elemen yang penting seperti
rancangan pengajaran harian, pendekatan guru, teknik pengajaran dan lain-lain
untuk mencapai objektif yang hendak dicapai. Bukan itu sahaja malah kaedah juga
memainkan peranan yang penting dalam melaksanakan proses pengajaran dan
pembelajaran. Kaedah pengajaran yang baik ialah yang mempunyai langkah-langkah
dan strategi yang tersusun serta objektif yang tepat dan boleh dicapai. Di
samping itu, matlamat yang hendak dituju juga mestilah terang dan jelas.
Hal
ini kerana kebanyakkan guru kini menggunakan teknik pengajaran yang lama iaitu
pembelajaran tradisional. Sepatutnya seorang guru tersebut hendaklah
menggunakan kaedah pengajaran mengikut perkembangan semasa pendidikan dan teknologi
kini. Hal ini kerana suasana dan perkembangan pelajar dahulu dan sekarang
sangat berbeza dan seorang guru itu juga hendaklah sentiasa cakna dengan
perkembangan semasa mengenai kaedah pengajaran supaya tiada lagi isu yang
timbulnya mengenai pelajar bosan ketika dalam pengajaran dan pembelajaran.
An-Nashmy (1980) mencadangkan supaya guru memilih kaedah yang boleh memberi
kesan yang mendalam bukan sahaja kepada kefahaman pelajar malah yang memeberi
kepada jiwa dan menyentuh perasaan pelajar. dengan cara ini, pelajar akan
memberi tumpuan yang padu dan dapat meningati pelajaran dengan lebih cepat dan
lama. Pembelajaran konvensional ataupun pembelajaran tradisional ini sudah
tidak layak lagi digunakan sepenuhnya dalam suatu proses pengajaran.
Menurut
Roestiyah N.K (1998) pembelajaran tradisional ini telah lama dijalankan
sehingga kini dengan cara mengajar dengan ceramah atau lisan. Dimana guru
menyalurkan pengetahuannya pada pelajar secara lisan. Bagi seorang guru untuk
mengubah model pembelajaran itu sangat susah kerana mereka harus memiliki
kemampuan dan ketrampilan menggunakan kaedah lain sama ada teknologi dan
lain-lain. Kaedah konvensional ini atau dikenali sebagai konsep ceramah yang
diiringi dengan penjelasan serta pembahagian tugas dan latihan. Jadi, kegiatan
guru yang utama adalah menerangkan kepada pelajar dan mereka mendengar atau
mencatat apa yang disampaikan oleh guru. Pembelajaran seperti ini merupakan
pembelajaran klasik dan pelajarnya tidak mengetahui apa tujuan mereka belajar dan
hanya menerima isi kandungan pengajaran yang disampaikan oleh guru tanpa banyak
menyoal. Perkara ini akan menimbulkan rasa bosan dalam diri pelajar.
Pembelajaran
tradisional ini lebih berpusat kepada guru dimana guru memberi penerangan di
hadapan, pelajar di belakang mungkin melakukan perkara lain dan menyebabkan
mereka tidak menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran. Kebanyakkan
pelajar masih menganggap mereka boleh mengatasinya dengan cara membaca semula
nota yang diberikan oleh guru di luar waktu kelas. Ia boleh dilakukan bagi
sesetengah subjek tetapi bukan subjek grafik di mana pelajar perlu menumpukan
perhatian sepenuhnya bagi mengetahui langkah-langkah yang diajar.
Walaubagaimanapun cara belajar dengan menghafal tidak berkesan sama sekali bagi
pengajaran pada zaman kini.
Kaedah
tradisional ini lebih kepada cara pengajaran yang memusatkan guru. Sebagai
contohnya, nota-nota diberikan kepada pelajar sama ada di papan hitam ataupun
lembaran kertas dan pelajar hanya menerima apa yang diajar. Masalah ini
dikenali sebagai ‘spoon feeding’ dimana pelajar ‘disuap’ oleh guru dengan
pelbagai latihan, ilmu dan sebagainya sehingga tiada langsung konsep yang
memerlukan percambahan minda pelajar. Hal ini akan membantutkan perkembangan
minda mereka jika kaedah tradisional in masih digunakan oleh seorang guru
tersebut. Oleh itu, guru berperanan dalam menentukan pendekatan dan bahan-bahan
pengajaran dan pembelajaran yang mampu mewujudkan rangsangan dan kemudian
bertindak memperkembangkan kecerdasan dan pengalaman pelajar (Kamaruddin,1990).
Kaedah ‘chalk and talk’ juga merupakan cara pengajaran utama yang digunakan
oleh para guru kerana kaedah ini dapat mengatasi masalah bilangan pelajar yang
ramai dalam satu kelas dan masalah menghabiskan sukatan pelajaran (Becker &
Watts, 2001). Hal ini kerana ia akan memudahkan guru dalam mengawal pelajar
dalam kelas serta menghabiskan sukatan pelajaran. Kaedah ini merupakan
pengajaran sehala manakala penglibatan pelajar semasa pembelajaran pula sangat
terbatas dan pasif.
Hal
ini akan menghasilkan pelajar yang tidak faham dan minat dengan apa yang diajar
oleh guru tersebut. Tambahan lagi, interaksi dan pergerakan dalam kelas akan
terbatas semasa proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan oleh guru. Oleh
itu, banyak kesan yang kita perolehi jika seorang guru itu tidak realistik
dalam menjalankan tugasannya sebagai guru atau pendidik dalam masayrakat itu.
Hal ini kerana pelajar atau remaja itu merupakan aset negara yang mana akan
memimpin negara dan dunia pada masa hadapan.
terima kasih di atas perkongsian anda
ReplyDelete