Tuesday, December 15, 2015

Peranan Sosial dalam Pencapaian Matematik




Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Jurang Perbezaan Pencapaian Pelajar dalam Aspek Sosial.
Sosial bermaksud
Menurut Dr. Affizal Ahmad dalam kajiannya mengenai kepentingan pendidikan dalam pembentukan kualiti hidup sejahtera menyatakan pendidikan boleh menjelaskan keupayaan individu dalam mengurus hidup berkualiti kerana faktor ekonomi dan sosial bergantung kepada pendidikan yang diterima. Pendidikan sangat efektif bagi menentang kemiskinan, membina demokrasi dan membentuk masyarakat yang sejahtera. Pendidikan juga bertindak sebagai pemangkin kesejahteraan hidup ke arah sumber ekonomi yang mantap, keupayaan kawalan diri dan kestabilan hubungan sosial. Pendidikan berkualiti merupakan suatu konsep yang dinamik, berubah dan berkembang mengikut masa dan berubah dalam konteks sosial, ekonomi dan persekitaran setempat. 

2.1 Sosioekonomi
Berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), jurang sosioekonomi dilihat daripada tiga aspek utama iaitu pendidikan tertinggi ibu bapa, purata pendapatan isi rumah serta purata murid menerima bantuan asas kewangan bawah kumpulan Wang Amanah pelajar Miskin (KWAMP). Sosioekonomi yang rendah mempengaruhi pencapaian akademik pelajar. Hal ini sejajar dengan kajian yang dilakukan oleh Abdul Razaq Ahmad dan Zalizan Mohd Jelas (2009) dalam kajian kesedaran pendidikan dalam kalangan masyarakat orang asli, dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap sosioekonomi yang rendah mempengaruhi pencapaian akademik anak-anak orang asli. Faktor pertama ialah tahap pendidikan ibu bapa yang sangat memainkan peranan penting dalam pencapaian akademik anak-anak mereka sebagai contoh pemikiran ibu bapa yang mempunyai tahap pendidikan yang tinggi mampu membantu anak-anak mereka dalam membuat sesuatu keputusan dan mereka sedar akan kepentingan pendidikan itu sendiri. Perkara ini berbeza apabila ibu bapa tidak mempunyai tahap pendidikan yang tinggi. Mereka tidak dapat membantu anak mereka dalam pelajaran, tidak mampu membuat keputusan dalam memilih kerjaya anak mereka dan lebih menyedihkan lagi mereka lebih menumpukan kepada pekerjaan untuk menampung keperluan hidup sehingga mengabaikan pendidikan anak-anak mereka. Tahap pendidikan ibu bapa juga membataskan komunikasi antara anak-anak dengan ibu bapa. Jika anak-anak menghadapi sebarang masalah dalam akademik, ibu bapa yang mempunyai tahap pendidikan yang tinggi akan membantu dalam akademik dan disini akan mewujudkan komunikasi antara ibu bapa dan anak-anak berbeza dengan ibu bapa yang mempunyai tahap pendidikan yang rendah. Hubungan di antara anak-anak dan ibu bapa akan menjadi lebih rapat.  Kebanyakan ibu bapa di luar bandar akan menyerahkan segala urusan pendidikan kepada pengurusan pihak sekolah sedangakan ibu bapa yang mempunyai tahap pendidikan yang tinggi akan membantu anak-anak mereka dalam membuat keputusan mengikut bidang yang anak-anak mereka minati.
            Selain itu, faktor kedua ialah purata pendapatan isi rumah. Menurut Khoo Wei Sheng et al. (2011) dalam kajiannya faktor sosioekonomi mempengaruhi minat membaca dalam kalangan pelajar Tingkatan 6 Atas mendapati status sosioekonomi keluarga menentukan pembentukan minat membaca anak-anak. Pelajar-pelajar yang berasal daripada keluarga yang berstatus ekonomi tinggi akan dapat kemudahan pembacaan serta bahan-bahan bacaan yang merangsang minat membaca anak-anak. Berdasarkan kajian itu juga, kita dapat membuat rumusan apabila sesebuah keluarga mempunyai pendapatan yang tinggi maka kemudahan pembelajaran anak-anak akan disediakan dengan lengkap dan baik. Bagi golongan yang berpendapatan rendah pula tidak mampu menyediakan kemudahan pendidikan dari segi peralatan, buku latihan dan sebagainya.
            Kajian yang dilaksanakan oleh Mohamad Johdi Salleh et. al (2009) menunjukkan bahawa pendapatan ibu bapa yang rendah tidak mampu menyediakan ruang belajar untuk anak-anak. Berdasarkan pemerhatian pengkaji di perkampungan orang asli  Batu 12 dan Ulu Chemperoh, kebanyakan rumah hanya mempunyai satu bilik dan ada sesetengahnya yang langsung tidak mempunyai bilik dimana disitu tempat mereka tidur, disitu tempat mereka makan dan disitu jugalah tempat mereka belajar. Keadaan yang tidak kondusif ini menyukarkan anak-anak orang asli untuk belajar. Ibu bapa juga perlu menyara keluarga kerana kebanyakan mereka yang berpendapatan rendah mempunyai anak yang ramai. Bagi masyarakat orang asli, anak-anak merupakan sumber tenaga kerja untuk membantu keluarga dalam mencari rezeki dan mereka tidak menerima pandangan bahawa pendidikan boleh membantu masyarakat orang asli memperbaiki kehidupan mereka.  Walaupun terdapat segelintir anak-anak orang asli telah berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi tetapi mereka tidak mahu membantu dalam memajukan serta menyedarkan masyarakat orang asli akan kepentingan pendidikan itu sendiri.
            Namun begitu, pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan untuk membantu penduduk luar bandar khususnya masyarakat orang asli bagi merapatkan jurang pendidikan sekolah luar bandar dan bandar. Antara usaha yang dilakukan oleh kerajaan ialah memberi peruntukan yang besar dalam bajet 2014 dengan memberi penekanan kepada usaha memperkasakan pendidikan luar bandar serta pelaksanaan sistem pembelajaran menerusi 1bestarinet. Bagi penduduk orang asli pula, kerajaan telah mewujudkan sebuah jabatan iaitu Jabtaan Hal Ehwal Orang Asli (JHEAO) yang bertujuan untuk menjaga kebajikan masyarakat orang asli. Antara usaha yang telah dilaksanakan oleh JHEAO dari segi pendidikan ialah menyediakn segala kemudahan tempat tinggal di asrama dan keperluan persekolahan secara percuma tetapi jurang pendidikan di sekolah luar bandar dan bandar masih berada di tahap yang membimbangkan pihak kerajaan.

2.2 Peranan Guru
Selain daripada sosioekonomi, kualiti guru juga dapat menyumbang kepada jurang pencapaian matematik. Seperti yang kita maklum, guru merupakan pemacu yang sangat penting bagi pencapaian pelajar. Guru bukan sahaja bertindak sebagai pengajar namun sebagai pendidik yang mendidik pelajar menjadi individu yang berguna. Begitulah besar tugas dan pengorbanan seorang guru. Menurut Baber dan Mourshed (2007), kualiti sesuatu sistem sekolah tidak boleh melebihi kualiti guru. Ini menunjukkan bahawa jika kita ingin membentuk kejayaan sesebuah sekolah, kita perlu meningkatkan kualiti gurunya terlebih dahulu. 
            Terdapat pelbagai isu yang menyebabkan kualiti seseorang guru diragui. Namun, isu yang ingin dibincangkan di sini adalah apabila wujudnya guru yang mengajar bukan opsyen di sekolah. Seperti sedia maklum, kebanyakan graduan-graduan Ijazah sarjana Muda (ISMP) sekarang tidak mendapat opsyen masing-masing. Sedangkan, opsyen tersebut telah ditentukan semasa tempoh praperkhidmatan. Perkara ini selaras dengan matlamat kementerian untuk memastikan bakal guru mempunyai pengetahuan kandungan dan kefahaman yang mencukupi untuk mengajar mata pelajaran tersebut dengan berkesan. Namun, matlamat kementerian untuk menempatkan guru mengikut opsyen setelah mereka tamat menjalani latihan tidak dapat dicapai sepenuhnya. Keadaan ini berlaku akibat daripada ketidaksepadanan dalam pengagihan guru mengikut opsyen.
            Situasi ini dapat dilihat berdasarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), di mana ia menyatakan bahawa wujudnya sebilangan guru yang terpaksa mengajar mata pelajaran bukan opsyen dan mengajar mata pelajaran yang mereka kurang mahir. Sebagai contoh, pada tahun 2011, hampir 6,000 guru mata pelajaran Bahasa Malaysia bagi sekolah rendah telah ditempatkan untuk mengajar mata pelajaran lain disebabkan terdapat lebihan guru berbanding dengan kekosongan jawatan bagi mata pelajaran tersebut. Isu tersebut semakin parah apabila terdapat guru bukan opsyen terpaksa mengajar mata pelajaran kritikal seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris bagi memenuhi keperluan pelajar.
            Isu ini telah memberi impak yang besar kepada para pelajar mahupun guru. Antara impak yang diperolehi guru adalah mereka kurang bersedia untuk mengajar akibat daripada tahap penguasaan pengetahuan pedagogi isi kandungan (PPIK) yang lemah.  Guru yang merasa diri mereka dipaksa pula akan bersikap sambil lewa dan kurang persediaan untuk mengajar. Menurut Maisarah Ismail (2013), guru diminta mengajar mata pelajaran bukan kepakarannya dan perkara ini hanya memberi kesan negatif kepada pembelajaran murid dan membawa kepada hasil yang kurang berkesan dalam bidang pendidikan mahupun pengetahuan murid. Selain itu, murid juga akan merasa kurang yakin dengan ilmu yang ada pada guru bukan opsyen.
            Tambahan lagi, guru mengajar bukan opsyen akan mengalami masalah dalam menguasai sesuatu konsep matematik. Konsep guru yang tidak jelas dan kukuh akan menyebabkan mereka mengalami masalah dalam proses memberi penjelasan kepada pelajar. Sedangkan, kefahaman konsep di dalam matematik adalah amat penting dalam proses pembelajaran. Pendapat ini turut disokong oleh Yazid (2008), yang menyatakan bahawa guru yang lemah konsep Sains dan Matematik dan strategi pengajaran telah menyebabkan pelajar mengalami masalah pembelajaran dalam Sains dan Matematik. Selain itu, menurut Norasliza Hassan (2008), kefahaman konsep yang tidak mencukupi tidak mampu untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang bermakna dan mencabar. Ini bertepatan dengan konsep guru yang rendah dan menyebabkan mereka sukar untuk melaksanakan pembelajaran yang berkualiti.
            Berbalik kepada jurang matematik, tidak semua guru bukan opsyen ditempatkan di luar bandar mahupun bandar. Namun, isu tersebut jelas dapat menimbulkan jurang dalam pencapaian matematik.          

 2.3 Mentaliti Masyarakat
Masyarakat terdiri daripada beberapa lapisan ahli atau kelas yang mempunyai orientasi yang berbeza dan salah satu sumber ke arah kecemerlangan bidang pendidikan. Mengikut Kamus Dewan (1998) dalam buku Pendidikan Di Malaysia (Mok Soon Sang, 2003), masyarakat terdiri daripada sekumpulan manusia yang hidup bersama dalam sesuatu tempat mengikut peraturan dan cara tertentu. Perubahan yang berlaku dalam masyarakat turut mempengaruhi sistem pendidikan di sekolah. Menurut Durkheim (1956), dipetik daripada buku Sekolah Dan Masyarakat menyatakan perkembangan pendidikan adalah berkait secara langsung dengan perubahan-perubahan idea dan keperluan dalam masyarakat.
            Menurut kajian yang dibuat Steve Nettleton (2007) menyatakan kedudukan geografi masyarakat orang asli yang terletak jauh di pedalaman telah mengukuhkan pemikiran kebanyakan orang asli bahawa tiada faedah untuk anak-anak mereka ke sekolah. Mentaliti masyarakat orang asli yang menerima apa sahaja tanpa ada usaha untuk memajukan diri dan meningkatkan taraf hidup turut mempengaruhi pencapaian akademik orang asli. Contohnya, segelintir masyarakatnya yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi tidak mahu pulang berbakti memajukan dan menyedarkan masyarakat sendiri.
            Selain itu, peranan PIBG juga memainkan peranan penting dalam pencapaian akademik pelajar di mana membantu sekolah dalam pelbagai aktiviti demi kebaikan anak-anak yang belajar di sekolah tersebut. Contoh yang boleh dilihat ialah PIBG boleh membantu menambah sumber kewangan dan meningkatkan kemudahan dengan menubuhkan tabung pendidikan yang bertujuan untuk kebajikan dan manfaat kepada sekolah dan para pelajar. Peranan PIBG tidak boleh dipandang remeh oleh masyarakat kerana dapat bergabung dengan para guru membentuk satu komuniti yang dapat meningkatkan pencapaian pelajar seperti mengadakan seminar, motivasi dan bengkel selain dapat dapat menangani pelajar bermasalah dengan mengadakan program pemulihan akhlak, kem bina semangat dan sesi kaunseling. Hal ini bukan sahaja dapat mengurangkan masalah disiplin malah dapat meningkatkan prestasi akademik para pelajar.
            Di samping itu, terdapat dua teori yang boleh dikaitkan dengan pendidikan dan masyarakat di mana dua teori tersebut ialah Teori Fungsionalisme oleh Comte, Spencer dan Durkheim mengkaji fungsi perlakuan sosial atau institusi menyumbang kepada penerusan masyarakat. Mereka turut menyatakan masyarakat dilahirkan dengan kebolehan dan bakat yang berbeza antara satu sama lain. Manakala, teori konflik oleh Marx pula melibatkan masyarakat yang sentiasa berubah-ubah, berkonflik dan sentiasa ingin memperjuangkan kepentingan masing-masing.

No comments:

Post a Comment