Pembelajaran
Abad Ke-21
Pengenalan
Dalam proses menyediakan warganegara Malaysia
dengan pendidikan yang lengkap bagi mengisi dua keperluan utama iaitu keperluan
individu dan keperluan negara, kurikulum perlu dirancang dan diurus dengan
teliti. Ini amat penting untuk menentukan supaya kurikulum ini sesuai dengan
keperluan dan berkualiti cemerlang. Pembangunan tenaga manusia dan tenaga
rakyat menjelang abad ke 21 tidak terhad kepada penyediaan danpembekalan tenaga
pekerja yang berketrampilan dalam sektor-sektor perindustrian dan perdagangan
sahaja.
Kurikulum bagi abad ke-21
perlu dibentuk supaya relevan dan koheran dengan keadaan pada masa itu dan
boleh memenuhi matlamat-matlamat yang ditentukan. Garis panduan tentang bentuk,
isi dan pelaksanaan kurikulum itu pastinya ditentukan oleh senario yang
dapat dilihat dari aliran pembangunan dan kemajuan teknologi.
Perancangan kurikulum abad
ke-21, mestilah bersifat futuristik, fleksibel dan dinamik supaya dapat
menentukan corak masyarakat dan profil bangsa dan warganegara Malaysia.
Warganegara Malaysia bagi abad ke-21 mestilah dapat menangani cabaran yang akan
dibawa arus oleh globalisasi, ledakan ilmu dan maklumat. Warganegara berupaya
merancang masa depan mereka dan mampu membuat pilihan yang bijak dan tepat
sesuai dengan budaya dan nilai-nilai semasa.
FOKUS / PENEKANAN KURIKULUM
Untuk memenuhi matlamat mewujudkan masyarakat
Malaysia yang bersikap terbuka dan kreatif, kurikulum yang direncanakan
mestilah mampu membekalkan pelajar dengan kesediaan diri yang kukuh dari segi
intelek, rohani, jasmani dan emosi. Fokus pengisian kurikulum semestinya lebih
daripada penguasaan pengetahuan dan kemahiran asas tetapi kepada penguasaan
berbagai-bagai kemahiran iaitu :-
•
kemahiran berfikir secara kritikal dan kreatif
•
kemahiran berkomunikasi secara berkesan
•
kemahiran menikmati keindahan ciptaan dan seni
•
kemahiran membuat pilihan dan membuat keputusan
•
kemahiran mencari, menginterpretasi dan mengaplikasi maklumat
•
kemahiran bergaul dan bekerjasama dengan orang lain
•
kemahiran kepimpinan dan pengurusan
PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Pengajaran dan pembelajaran merupakan aspek
penting dalam pelaksanaan kurikulum. Menjelang abad ke 21 pelajar perlu
mendapat segala kemudahan yang disediakan untuk membantu mereka dalam proses
pembelajaran. Komputer sudah pasti digunakan secara meluas.
Ciri-ciri pelajar untuk
abad ke 21 ialah pelajar perlu memiliki beberapa aspek tertentu. Di mana,
pelajar abad ke 21 merupakan pelajar yang celik dari segala-galanya tidak kira
dalam teknologi maklumat mahupun akademik. Pelajar abad ke 21 perlu memiliki
aspek seperti :
- Pelajar berupaya membuat hubung kait di antara subjek yang dipelajari dengan keadaan sekeliling.
- Bijak menyoal guru ketika berada di dalam bilik darjah.
- Yakin untuk berkomunikasi terutamanya kepada guru dan rakan-rakan di dalam bilik darjah.
- Berani untuk mengambil risiko untuk belajar dan membuat kerja yang diberikan oleh guru dan juga berani mencuba.
- Dahagakan ilmu pengetahuan dan sentiasa ingin untuk menimba ilmu.
- Mempunyai perasaan ingin tahu.
- Bijak dan kreatif menjana idea serta fleksibel.
- Tidak pernah berputus asa.
- Sentiasa mendengar dan membuat refleksi di dalam bilik darjah semasa sesi P&P dijalankan.
- Berkemahiran kritis dan mampu untuk menguasai kemahiran literasi.
- Mampu berfikir sendiri dan membuat inisiatif.
- Pelajar abad ke 21 juga mampu untuk bekerja dengan orang lain dan berusaha untuk membuat perubahan.
- Mempunyai keperibadian yang tinggi serta berintegriti di dalam mahupun di luar bilik darjah.
Di samping itu, para guru juga perlu beralih
kepada beberapa aspek memandangkan proses pengajaran dan pembelajaran untuk
abad ke 21 amat mencabar. Guru-guru untuk abad ke 21 memerlukan beberapa ciri
tertentu seperti berikut:
- Guru perlu menguasai subjek iaitu penguasaan terhadap kandungan kurikulum.
- Mahir dan berketerampilan dalam pedagogi semasa sesi pengajaran dan pembelajaran.
- Memahami perkembangan murid-murid dan menyayangi murid.
- Memahami psikologi pembelajaran iaitu “Cognitive Psychology”.
- Memiliki kemahiran kaunseling.
- Menggunakan teknologi terkini tidak kira semasa sesi pengajaran dan pembelajaran mahupun di luar sesi tersebut.
Sumber pengetahuan utama
abad ke 21 kelak merupakan sumber yang berkaitan dengan teknologi maklumat.
Dengan itu kemudahan seperti komputer, multimedia, cekera padat dan corridorraya
multimedia seperti 'internet' perlu disediakan untuk digunakan oleh
semua pelajar. Adalah diharapkan pengajaran dan pembelajaran pada abad ke-21
dibentuk sepenuhnya oleh komputer. Ini bukan bertujuan menggantikan guru dengan
penggunaan teknologi tetapi untuk menimbulkan suasana pengajaran dan
pembelajaran yang lebih menyeronokkan, berkesan dan lebih bermakna kepada
pelajar.
(a) Teknologi Maklumat/Komputer
Dalam konteks pendidkkan, teknologi maklumat
merupakan peralatan teknologi komunikasi atau sistem rangkaian elektronik yang
boleh digunakan untuk mengumpul, menyimpan, memproses, menyalurkan dan
menyampaikan maklumat secara pantas dan tepat seperti internet atau multimedia
atau hypermedia untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran. Perkembangan
bidang teknologi maklumat telah dapat memudahkan manusia berkomunikasi dalam
mengurus, menyimpan dan menyebar maklumat dengan lebih canggih sama ada dalam
bentuk data teks, imej atau suara.
Pelajar dalam abad ke 21 pasti berada dalam
gelombang teknologi maklumat, untuk itu setiap pelajar perlu celik komputer.
Ini kerana komputer beupaya meningkatkan mutu pembelajaran. Sudah sampai
ketikanya komputer menjadi alat standard di semua sekolah di peringkat rendah,
menengah dan lepasan menengah.
(b) Pengajaran dan
Pembelajaran Berpusatkan Pelajar
Proses pengajaran dan pembelajaran dalam abad
ke 21 masih tetap berpusatkan pelajar. Malah ia perlu dipertingkatkan dariapda
apa yang diamalkan sekarang. Guru memainkan peranan lebih penting kepada
pelajar dengan melibatkan pelajar sepenuhnya secara aktif dalam semua aktiviti
sama ada di dalam atau di luar darjah. Guru lebih-lebih lagi berperanan sebagai
pemudah (fasilitator) pembelajaran dan berperanan sebagai pembekal maklumat.
Pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran
perlu dirancang oleh guru bagi membina dan mengukuhkan minat murid terhadap
pembelajaran. Murid dibimbing supaya bersedia menerima pengajaran dan berupaya
untuk meneruskan pembelajarannya sendiri. Pelajar ketika itu perlu dilatih
untuk berdikari, yakin pada diri sendiri dan meningkatkan rasa tanggungjawab.
Dalam rangka pengajaran dan pembelajaran
berpusatkan pelajar, tenaga pengajar/guru di sesebuah bilik darjah sekurangnnya
terdiri daripada seorang guru dan seorang pembantu guru untuk membimbing
pelajar yang tidak melebihi 25 orang pelajar. Keadaan kelas dengan dua orang
guru dengan sekelompok murid patut dijadikan amalan bagi meningkat dan
mengukuhkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan pelajar.
(c) Pendidikan Jarak Jauh
Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) merupakan
kesinambungan inovasi kreatif dalam pendidikan diri abad ke 20 ke abad ke 21.
Peluasan PJJ seharusnya sampai ke sekolah dari peringkat rendah lagi tidak
sahaja terhad di pusat-pusat pengajian tinggi. Pendidikan Jarak Jauh dalam
proses pengajaran dan pembelajaran abad ke 21 mengambil kira faktor-faktor
berikut:
•
Bilangan hari persekolahan adalah fleksibel (mungkin tidak lebih tiga hari
seminggu)
•
Setiap sekolah mempunyai kemudahan komputer
•
Penggunaan bahan pembelajaran yang telah diterbitkan sebagai asas untuk pelajar
•
Bahan khusus yang terancang untuk memenuhi keperluan belajar individu
•
Kebolehubahan (flexibility) kandungan kurikulum bahan pembelajaran melalui
struktur modular
•
Pembentukan bahan pembelajaran yang terancang dan sistematik mengandungi
objektif yang jelas, alat ujian kendiri, aktkviti pembelajaran dan maklum balas
pelajar.
(d) Pendekatan Modular
Pendekatan secara modular berperingkat
kesukaran bagi setiap tajuk disediakan dalam bentuk bercetak dan/atau CD-ROM
untuk satu-satu tahun pengajian. Modul ini disediakan untuk semua mata
pelajaran di semua peringkat persekolahan.
Pelajar boleh beralih ke modul berikutnya
apabila selesai menggunakan modul yang disediakan tanpa menunggu arahan guru.
Pendekatan modul ini telah diamalkan di institusi pengajian tinggi tempatan.
Apa yang perlu ialah menyesuaikannya mengikut tahap kebolehan pelajar.
(e) Mastery Learning
Pendekatan pembelajaran berfokus kepada
penguasaan pelajar terhadap sesauatu perkara yang diajarkan kepada mereka.
Penguasaan pelajar ditentukan melalui ujian diagnostik. Tindakan susulan
diberikan kepada mereka yang belum menguasai supaya kelemahan mereka tidak
terhimpun di akhir setiap pembelajaran.
(f) 'Tracking' dan 'Banding'
Bergantung kepada tahap penguasaan
pembelajaran, pelajar ditempatkan dalam beberapa kumpulan sama ada kumpulan
asas (basic), kumpulan umum (general) atau kumpulan maju (advance).
Pembelajaran juga dilaksanakan mengikut sistem banding iaitu 'vertical' dan
'horizontal'. Melalui sistem ini pelajar berubah kelas mengikut kebolehan dalam
mata pelajaran. Misalnya pelajar Tahun 2 sekolah rendah boleh mempelajari
matematik Tahun 3 sekiranya ia sudah menguasai kemahiran matematik Tahun 2.
(g) Sistem Kredit
Unit kredit adalah nilai masa/tempoh dan
tugasan yang diperlukan oleh pelajar untuk menyiapkan kerja-kerja kursus yang
telah ditetapkan bagi setiap kursus pengajian. Kerja-kerja kursus ini
termasuklah menghadiri kelas, membuat kerja projek, tugasan, kerja-kerja makmal
dan amali. Pelajar dibenarkan mengulang mata pelajaran yang tidak mencapai asas
yang ditetapkan.
PENILAIAN
Aspek penilaian kemajuan pelajar adalah
penting untuk menentukan tahap penguasaan, kemahiran dan penghayatan. Maklumat
tentang tahap penguasaan pelajar menjadi petunjuk untuk membuat perancangan
pengajaran dan pembelajaran seterusnya. Alat-alat dan perkaedahan penilaian
mestilah benar-benar dapat mengukur dengan tepat kebolehan dan keupayaan
pelajar seperti berikut
a) Penilaian Berasaskan Sekolah
b) Penilaian Berterusan
c) Penilaian Berasaskan Elemen Subjek
d) Penilaian Proses di samping Penilaian Hasil
e) Authentic Assessment
f) Penilaian Hasil Pembelajaran (Learning Outcomes)
g) Bench Marking
h) Ujian/ Peperiksaan Secara Online
PENUTUP
Perlu ditegaskan bahawa apapun bentuk
reformasi kurikulum yang dianjurkan tidak akan dapat hasil yang diharapkan jika
tidak diikuti dengan penyusunan semula di dalam bidang-bidang lain, kerjasama
di antara agensi-agensi di Kementerian Pendidikan dan mengambil perhatian yang
berat tentang pelaksanaannya. Dalam menjayakan hasrat penubuhan Sekolah
Bestari, tumpuan utama seharusnya diberikan kepada pembangunan prasarana
teknologi, penyediaan latihan semula guru, penyediaan bahan kursus dan format
penilaian, di samping penglibatan pihak swasta, ibubapa dan komuniti dalam
menangani tugas yang besar ini.
No comments:
Post a Comment