Wednesday, December 16, 2015

Penggunaan Teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran





Pengenalan
Pada era globalisasi kini, kepelbagaian penggunaan teknologi telah diperkenalkan di seluruh pelosok dunia dalam pelbagai bidang. Seiring dengan itu, pendidikan juga tidak ketinggalan dengan kemajuan teknologi yang semakin membangun pesat dari hari ke hari. Peredaran masa yang berlaku sehingga ke hari ini telah menyebabkan bidang pendidikan ini perlu untuk melalui satu transformasi ke arah penambahbaikan supaya dapat melahirkan generasi yang dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah seiring dengan negara-negara maju yang lain. Seperti sedia maklum, pendidikan merupakan suatu perkara utama kerana kekuatan sesebuah negara itu diukur dengan tingginya tahap pendidikan, pengetahuan serta kematangan masyarakat negara tersebut. Oleh itu, dalam uasaha menjayakan sistem pendidikan negara, guru perlu membuat satu anjakan paradigma dengan beralih dari satu takuk yang lama kepada satu pembaharuan yang dapat meningkatkan dan melahirkan generasi yang mempunyai intelek dan budaya sesebuah negara maju.
Sehubungan dengan itu, pelbagai inisiatif dan penambahbaikan telah dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara seperti pengaplikasian teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran demi memastikan anak-anak bangsa mendapat tahap pendidikan yang berkualiti. Hal ini demikian kerana, globalisasi meluaskan konsep dunia tanpa sempadan memberikan cabaran terhadap guru tentang bagaimana perancangan pengajaran dan pembelajaran serta dunia boleh dimajukan dari perspektif global yang melibatkan penyelesaian kurikulum, penjadualan belajar, penerokaan maklumat melalui teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pengawalan dan penyeliaan serta peranan efektif guru dalam meningkatkan martabat dunia pendidikan (Abd Rahim, 2005). Jelaslah, bahawa penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran memberi impak yang besar dalam sistem pendidikan negara.
 Namun begitu, keberkesanan pengaplikasian teknologi ini bergantung kepada bagaimana seseorang guru menggunakan ICT tersebut supaya murid dapat meningkatkan pemahaman mereka terhadap sesuatu konsep dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Hal ini demikian kerana menurut Irfan Naufal dan Nurullizam (2011), ICT meliputi semua teknologi yang membentu penyampaian sesuatu maklumat seperti radio, televisyen, internet, komputer dan sebagainya. Penyataan tersebut jelas menerangkan bahawa teknologi hanya berperanan sebagai satu alat yang memudahkan proses penyampaian maklumat. Oleh itu, dengan menggunakan teknologi sesi pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih menarik dan efektif.

1.0              Dasar Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Bagi merealisasikan penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yasin telah melancarkan satu dasar iaitu Dasar ICT dalam Pendidikan Malaysia pada 12 Oktober 2010 yang lalu. Dasar ini memberi fokus kepada tiga objektif utama iaitu:
1)      Pembangunan modal insan secara berterusan.
2)      Penggunaan ICT yang bersesuaian dalam pendidikan.
3)      Transformasi proses pendidikan melalui teknologi.
Ketiga-tiga objektif tersebut menjurus kepada penerapan atau pengintegrasaian teknologi dalam sistem pendidikan di Malaysia. Berdasarkan dasar tersebut, guru-guru disarankan untuk membuat satu perubahan terhadap sistem pendidikan dengan mengubah kaedah pengajaran secara tradisional kepada pengaplikasian teknologi. Dengan ini, guru bukan sahaja dapat menarik minat murid, malah guru juga dapat mempertingkatkan kemahiran mereka dalam penggunaan teknologi.
Selain itu, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) (2013-2025) juga telah menggariskan penggunaan teknologi untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Dasar ini tersenarai dalam 11 anjakan yang telah dikemukakan supaya dapat meningkatkan sistem pendidikan negara. Dalam anjakan ke-7, beberapa matlamat telah disenaraikan iaitu:
1)      Menyediakan akses internet dan persekitaran pembelajaran maya melalui 1 Bestari Net bagi kesemua 10, 000 buah sekolah.
2)       Menambahkan kandungan dalam talian untuk perkongsian amalan terbaik bermula dengan video guru terbaik menyampaikan pengajaran Sains, Matematik, Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.
3)      Memaksimumkan penggunaan ICT bagi pembelajaran jarak jauh dan pembelajaran kadar kendiri untuk memperluas akses kepada pengajaran berkualiti tinggi tanpa mengira lokasi atau tahap kemahiran murid.
Perkara ini secara tidak langsung jelas menunjukkan bahawa pihak kementerian telah memberikan komitmen yang tinggi dalam menjayakan hasrat negara untuk menerapkan penggunaa teknologi dalam pendidikan.

2.0              Isu-isu Penggunaan Teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran Matematik
Setelah menetapkan dasar penggunaan teknologi dalam pendidikan, pelbagai alat teknologi telah ditempatkan di sekolah-sekolah seperti komputer, LCD projector dan sebagainya. Namun begitu, menurut berita-berita di akhbar-akhbar tempatan telah melaporkan bahawa alatan ICT ini tidak digunakan secara kerap semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Rajah 3.1 menunjukkan peralatan ICT yang terbiar di sebuah sekolah:


Rajah 3.1: Alatan ICT yang terbiar dan disalahgunakan

Menurut satu laporan yang menyatakan bahawa banyak pealatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang dibekalkan di sekolah tidak dapat dimanfaatkan oleh guru dan murid. Akibatnya, lebih kurang 25% hingga 50% daripada peralatan yang bernilai lebih RM 500 juta untuk projek Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di anatara tahun 2003 hingga 2008 (Berita Harian, 2012). Terdapat pelbagai isu yang telah dikenal pasti seperti berikut:
1)      Guru    : Kurang pengetahuan dan kemahiran dalam penggunaan ICT.
2)      Sekolah: Kurang prasarana dan bahan sokongan dalam pengajaran dan pembelajaran.
3)      Murid  : Sikap terhadap penggunaan ICT
Isu-isu tersebut merupakan antara isu-isu yang berlaku dalam pelaksanaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran.

 Guru Kurang Pengetahuan dan Kemahiran dalam Penggunaan ICT

Penggunaan ICT dalam kalangan guru merupakan satu fasa yang baharu dalam sistem pendidikan Malaysia. Oleh itu, bagi memastikan guru dapat mengaplikasikan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran, guru telah didedahkan tentang pengetahuan dan kemahiran untuk menggunakan ICT di dalam bilik darjah. Namun begitu, kajian yang telah dijalankan oleh Imran Ismet (2000) mendapati bahawa 81% guru membuat pengakuan bahawa mereka tidak memanfaatkan kelebihan ICT dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, begitu juga dengan guru-guru yang telah mendapat kursus Sekolah Bestari yang telah mencatatkan kurang 50% guru yang menggunakan pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer. Perkara ini menunjukkan bahawa guru tidak bersungguh-sungguh semasa menjalani kursus tersebut seterusnya menyebabkan mereka tidak tahu bagaimana untuk mengendalikan ICT di dalam bik darjah. Abd. Rahman (2000) juga menyatakan bahawa guru kurang menggunakan teknologi di dalam bilik darjah disebabkan kurang pengetahuan dan kemahiran menggunakan ICT.
            Terdapat beberapa kesan yang berlaku hasil daripada isu guru kurang pengetahuan dan kemahiran menggunakan ICT ini. Antaranya adalah, apabila seseorang guru tidak mahir dalam penggunaan teknologi, guru tersebut akan lebih cenderung untuk menyampaikan pengajaran secara tradisional atau lebih dikenali dengan kaedah chalk and talk. Kaedah ini merupakan kaedah biasa yang kurang menarik minat murid untuk belajar tentang sesuatu konsep. Walaubagaimanapun, guru lebih gemar menngunakan kaedah ini kerana mereka berpendapat bahawa penggunaan ICT memperuntukkan masa yang panjang untuk menyediakan alatan ICT dan sebagainya. Tambahan pula, penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran juga merupakan satu proses yang lama yang akan mengakibatkan guru gagal menlengkapkan silibus yang telah ditetapkan. Hal ini demikian kerana penggunaan ICT ini memerlukan pengawalan kelas yang baik supaya setiap murid dapat mengaplikasikan ICT dalam pembelajaran tanpa merosakkan atau menyalahgunakan alatan ICT yang telah dibekalkan kepada sekolah untuk perkara-perkara selain pembelajaran.
            Selain itu, juga guru yang kurang pengetahuan dan kemahiran dalam penggunaan ICT juga tidak dapat menilai perisian yang sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran bagi sesuatu konsep. Hal ini telah menyebabkan mereka kurang yakin untuk menggunakan ICT dalam pengajaran. Apabila perkara ini berlaku, guru mengambil keputusan untuk tidak menggunakan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran sebagai satu langkah mudah. Sebaliknya, guru perlu menggunakan alatan ICT secara kerap untuk meningkatkan pengetahuan serta kemahiran mengendalikan ICT dalam pengajaran. Perkara ini selari dengan penyataan yang telah dinyatakan oleh Gan (2000), kekurangan latihan merupakan satu faktor penghalang penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran. Oleh yang demikian, isu kurang pengetahuan dan kemahiran dalam kalangan guru menyebabkan guru kurang menggunakan ICT dalam pengajaran kerana terdapat perkaitan antara kemahiran ICT guru dengan sikap menggunakan kemudahan tersebut dalam pengajaran (Ahmad, 2008).

           
Kekurangan Prasarana dan Bahan Sokongan

Bagi memanfaatkan teknologi dalam pendidikan di Malaysia, RM 6 billion telah diperuntukkan untuk teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Sehubungan dengan itu, sekolah telah dibekalkan dengan pelbagai alatan ICT seperti komputer, LCD projektor dan sebagainya yang boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran. Dengan berbekalkan alatan ICT yang telah disediakan di sekolah, guru-guru dapat menggunakan alatan tersebut untuk membantu meningkatkan tahap kefahaman konsep murid terhadap sesuatu konsep di damping dapat menarik minat murid dalam mata pelajaran Matematik. Namun begitu, kajian yang telah dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun 2010 yang lepas mencatatkan lebih kurang 80% guru menggunakan ICT kurang dari 1 jam seminggu. Perkara ini menunjukkan bilangan guru menggunakan teknologi adalah tinggi tetapi dari sudut kekerapan penggunaan teknologi tersebut adalah kurang memberangsangkan. Hal ini disebabkan oleh faktor kekurangan prasarana dan bahan sokongan yang dibekalkan di sekolah.
            Kebanyakan sekolah mengalami masalah bilangan komputer yang tidak mencukupi. Bilangan murid dan bilangan komputer yang dibekalkan kepada sekolah adalah tidak selari. Terdapat sekolah yang menempatkan 1000 orang murid, namun bilangan komputer yang terdapat di dalam makmal komputer adalah kurang daripada 100 unit. Perkara ini secara tidak langsung akan mengganggu perjalanan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Oleh yang demikian, murid terpaksa berkongsi komputer seramai 3 atau 4 orang satu komputer. Akibatnya, murid tidak dapat mengeksplor maklumat secara individu dan mereka tidak dapat mempelajari kemahiran menggunakan teknologi tersebut dengan tepat dan betul. Tambahan pula, guru juga terpaksa menempah makmal komputer dan menunggi giliran untuk menggunakan makmal komputer dan juga peralatan ICT yang lain. Perkara ini juga mengakibatkan teknologi kurang diaplikasikan dalam pengajaran.
            Selain itu, pihak sekolah juga tidak menempatkan seseorang yang mahir dalam penyelenggaraan alatan ICT di sekolah. Hal ini juga boleh menyebabkan guru kurang mengaplikasikan ICT semasa mengajar kerana apabila berlakunya masalah teknikal, guru perlu menyelesaikan masalah tersebut sendiri. Akhirnya, banyak masa terbuang dengan menyelenggara alat ICT yang ingin digunakan. Selain masalah tersebut, perisian yang disediakan oleh kementerian juga adalah terhad. Guru-guru terpaksa mencari sendiri perisisan yang ingin digunakan untuk mengajar seperti Geometer’s Sktchpad (GSP), Mathematica dan sebagainya. Perisian-perisian yang boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran matematik memerlukan kos yang tinggi. Oleh itu, guru lebih memilih untuk tidak menggunakan teknologi dalam pengajaran untuk mengelakkan masalah-maslah seperti yang telah dinyatakan. Seterusnya, guru menggunakan kaedah chalk and talk yang dinggap berkesan kerana kandungan perisian yang dibekalkan oleh KPM adalah terhad (Harison Bakar, 2008). Jelaslah bahawa kekurangan prasarana dan bahan sokongan di sekolah juga merupakan satu isu yang menyebabkan penggunaan teknologi adalah kurang dalam kalangan guru.

 Sikap Murid Terhadap Penggunaan ICT
Sikap merupakan faktor penting yang dapat mempengaruhi individu dalam membuat keputusan. Menurut Liaw et al. (2007), sikap seseorang juga memainkan peranan dalam penggunaan ICT. Seperti sedia maklum, sikap dapat dibahagikan kepada dua kategori iaitu sikap positif dan sikap negatif. Kedua-dua sikap ini akan mempengaruhi proses pembelajaran seseorang individu (Ajzen & Fishben, 2005). Oleh itu, sikap murid terhadap penggunaan ICT juga merupakan satu faktor yang menghalang penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Hal ini demikian kerana murid yang yang bersikap positif akan menggunakan ICT sebagai satu alat yang dapat membantu mereka dalam memahami sesuatu konsep. Menurut Alessi dan Trollip (2001), pembelajaran menerusi ICT mempunyai banyak kelebihan. Antaranya adalah:
1)      Murid dapat mencapai bahan pembelajaran pada bila-bila masa dan di mana jua mereka berada.
2)      Bahan pembelajaran boleh dirangkaikan daripada sumber tambahan yang terdapat di seluruh dunia.
3)      Pengurusan dan mengemaskini  bahan menjadi semakin mudah dan pantas.
4)      Pelbagai bentuk saluran komunikasi boleh digunakan bagi kegunaan guru dan murid.
Dengan ini, murid akan bermotivasi tinggi untuk mempelajari matematik. Guru juga akan lebih cenderung mengaplikasikan ICT dalam pengajaran supaya dapat meningkatkan minat murid terhadap mata pelajaran ini.
            Namun demikian, sekiranya murid menunjukkan sikap yang megatif terhadap penggunaan teknologi dalam pembelajaran, mereka akan mengambil kesempatan yang diberikan untuk melayari facebook, youtube dan sebagainya. Perkara ini sering berlaku apabila pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer dan internet. Murid sekolah kini lebih berminat menggunakan ICT, melayari internet untuk mengakses maklumat serta mempunyai laman web mereka sendiri dengan mendaftar dalam myspace, friendster, blogspot, facebook dan sebagainya. Perkara ini merupakan fenomena yang sudah menjadi trend dalam kalangan murid (Liaw Huang & Chen, 2007). Perkara ini sangat membimbangkan guru kerana dengan internet murid dapat mencari pelbagai sumber percuma yang bermanfaat dan tidak bermanfaat. Dengan capaian yang pantas, guru tidak dapat mengawal keseluruhan murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Seterusnya, guru memilih untuk tidak menggunakan teknologi dalam pengajaran. Walaupun begitu, menurut Lankshear & Knobel (2003) dan Marsh (2004), komputer dan kemudahan ICT dapat memberi impak yang baik atau sebaliknya bergantung kepada kemahiran dan kecekapan bagaimana teknologi tersebut digunakan.

 Kesimpulan
Pengaplikasian atau pengintegrasian ICT dalam pengajaran dan pembelajaran merupakan salahsatu inisiatif yang terbaik dalam memperkenalkan pembelajaran secara kontekstual kepada murid-murid (Rosenberg, 2001). Selain itu, ICT juga membantu murid menyelesaikan masalah yang sukar dan dapat meningkatkan tahap kefahaman murid terhadap sesuatu konsep. Oleh itu, pelbagai transformasi telah dikemukakan untuk merealisasikan hasrat untuk memanfaatkan ICT dalam pendidikan Malaysia. Pelbagai pihak termasuk kementerian, sekolah, guru serta murid telah telah bertungkus lumus dalam menjayakan hasrat ini. Namun demikian, pelbagai isu telah dikenal pasti sepanjang proses menjayakan penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran matematik.
Isu-isu yang telah berlaku merupakan cabaran yang baharu dalam dunia pendidikan era teknologi maklumat kini kerana memerlukan penglibatan guru dan aktiviti-aktiviti pembelajarn sepenuhnya yang menjurus ke arah pengajaran dan pembelajaran berterusan (Ambigapathy & Shanti, 2004). Hal ini adalah kerana bagi memastikan matlamat ini tercapai sepenuhnya, pelbagai penambahbaikan perlu dijalankan terhadap sekolah, guru dan murid. Sebagai contoh, kementerian perlu menganjurkan kursus yang lengkap kepada guru-guru tentang penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran. Pihak sekolah juga perlu menyediakan prasarana dan bahan sokongan yang lengkap untuk menggalakkan penggunaan teknologi dalam kalangan guru. Namun begitu, teknologi tidak boleh menggantikan tugas hakiki guru untuk menyampaikan ilmu pengetahuan. Penggunaan ICT hanyalah merupakan satu alat yang boleh membantu guru memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran (Burnett, 2010).




1 comment:

  1. Salam..saya nak minta izin untuk jadikan rujukan untuk tugasan

    ReplyDelete