Wednesday, December 16, 2015

Sikap Guru part 2







Pengenalan

Guru merupakan antara pihak yang sangat memberi pengaruh kepada keberkesanan sistem pendidikan di sekolah. Sikap guru dalam pendidikan terutamanya dalam menjalankan sebarang tugas sebagai pendidik haruslah sentiasa mengacu kepada tujuan pendidikan secara utuh. Ini kerana sebarang keputusan dan tindakan guru akan memberi kesan atau impak yang besar terhadap pencapaian tujuan pendidikan sama ada secara negatif atau positif. Tugas guru tidak tertumpu kepada pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah sahaja malah banyak lagi aspek lain seperti ibu bapa, murid, rakan sejawat, masyarakat dan juga negara. Sikap yang perlu ada pada seorang guru berkait rapat dengan aspek yang terdapat dalam kod etika profesion perguruan. Kod etika tersebut sepatutnya dijadikan rujukan dan panduan oleh semua golongan pendidik dalam menjalankan tugas dengan penuh dedikasi.

            Etika yang dinyatakan ini adalah merujuk kepada beberapa pengertian daripada pihak-pihak tertentu seperti Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (1995) yang menyatakan bahawa etika merupakan nilai-nilai yang menjadi pegangan seseorang atau sesuatu kumpulan. Menurut Institut Integriti Malaysia (2007) pula, etika boleh diertikan sebagai himpunan nilai dan moral yang menjadi piawaian bagi tingkah laku individu, organisasi dan profesion. Selain itu, istilah etika juga didefinisikan sebagai prinsip moral (Kamus Oxford, 1994) atau disiplin yang dapat menerangkan nilai baik dan buruk sesuatu tindakan seperti yang dinyatakan oleh Mackie (1977). Manakala dalam fahaman Islam pula, etika dinyatakan sebagai tingkah laku baik yang dituntut al-Quran dan Hadith.

            Menurut beberapa pendapat yang dikemukakan oleh ahli-ahli perniagaan berdasarkan soalan yang telah diberikan oleh Raymond Baumhart (1968) iaitu mengenai makna etika, mereka menyatakan bahawa etika merupakan prinsip yang ditentukan oleh tradisi. Selain itu etika juga boleh ditentukan oleh undang-undang dan agama serta haruslah sesuatu yang tidak bertentangan dengan masyarakat atau dalam erti kata lain diterima masyarakat. Mereka juga berpendapat bahawa etika boleh diperolehi hasil daripada penerapan nilai yang diajarkan oleh pelbagai pihak seperti ibu bapa sejak dari kecil serta didikan guru semasa berasa di sekolah.

 Fungsi dan Kepentingan Kod Etika Profesional

Kod etika dibuat dan diwujudkan sebagai garis panduan bagi semua ahli sesuatu profesion atau organisasi untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti perkhidmatan. Ianya juga dibuat bagi memastikan disiplin sewaktu bekerja sentiasa dipatuhi dan mengelakkan berlakunya perilaku yang tidak beretika seperti rasuah, pecah amanah, mementingkan diri sendiri dan sebagainya. Ini kerana sikap amanah, jujur dan dedikasi adalah sangat penting dalam apa sahaja jenis profesion bagi menjamin nama baik dan imej profesion tersebut. Terdapat empat fungsi utama kod etika profesion yang memberi penekanan terutamanya dari apsek peraturan, peranan nilai dan tingkahlaku profesion.

            Fungsi yang pertama adalah sebagai pedoman atau panduan. Seperti semua pihak sedia maklum, kod etika menggariskan standard tingkahlaku yang harus dipatuhi dan diamalkan oleh semua ahli profesion. Selain itu pelbagai perkara juga turut dikelaskan mengikut perbuatan diperbolehkan dan dilarang untuk dilakukan. Kandungan yang terdapat dalam kod etika professional ini secara tidak langsung menjaga kepentingan semua pihak serta membolehkan kerja-kerja dijalankan dengan lebih baik dan teratur. Selain itu kod etika juga digunakan oleh pelbagai pihak sebagai asa untuk menyiasat sebarang penyelewengan ahli-ahli profesion tersebut. Perkara ini secara tidak langsung akan menerapkan disiplin dalam kalangan ahli-ahli profesion serta menjadi peringatan agar sentiasa berpegang kepada prinsip yang telah dipersetujui bersama.

            Selain menjadi panduan serta mendisiplinkan ahli profesion, kod etika ini juga dibuat bagi memastikan maruah dan imej profesion tersebut sentiasa dipelihara dan sentiasa berada pada satu standard etika yang tinggi. Hal ini seterusnya akan membolehkan masyarakat sekeliling lebih yakin terhadap profesion berkenaan. Tanggapan masyarakat sekeliling terhadap profesion tersebut seterusnya akan menjadi faktor kepada ahli profesion untuk menjadikan kod etika tersebut untuk mempertahankan integriti profesion masing-masing. Secara ringkasnya, kod etika berfungsi sebagai panduan, galakan, sokongan serta bagi mengelakkan berlakunya sebarang konflik dan rasa tidak puas hati pihak-pihak tertentu terhadap profesion tersebut.

Tatasusila Kod Etika Profesion Guru Malaysia
 Guru yang dimaksudkan dalam konteks tatasusila ini ialah orang yang menyebarkan ilmu pengetahuan di sesebuah institusi peringkat rendah, menengah dan tinggi, termasuk guru terlatih yang bertugas dalam pentadbiran, organisasi dan penyeliaan pendidikan. Terdapat empat tatasusila yang perlu dipatuhi dan dijadikan panduan oleh semua golongan pendidik atau para guru iaitu tanggungjawab terhadap pelajar, tanggungjawab terhadap ibu bapa, tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara serta tanggungjawab terhadap rakan sejawat dan profesion. Empat tanggungjawab ini merupakan panduan umum mengenai tatasusila kod etika profesion guru di Malaysia.

            Tatasusila yang pertama adalah mengenai tanggungjawab guru terhadap murid. Sebagai pihak yang paling dekat kepada murid selain ibu bapa murid tersebut, guru harus lebih mengutamakan kebajikan dan keselamatan murid daripada hal-hal lain. Hal ini diikuti dengan sikap adil terhadap semua murid tanpa mengira faktor-faktor lain seperti jasmani, mental, emosi, politik, ekonomi, sosial, keturunan dan agama murid tersebut. Tanggungjawab lain guru terhadap murid adalah amanah iaitu dengan merahsiakan maklumat ikhtisas atau sulit mengenai murid kecuali kepada mereka yang berhak tahu maklumat tersebut. Sebagai seorang pendidik juga, guru perlulah sentiasa membimbing atau mengajar murid tanpa sebarang bayaran atau menuntut sebarang bentuk pemberian daripada murid. Di samping itu seorang guru juga wajar memberikan contoh yang baik kepada murid baik dari segi cara berpakaian, pertuturan mahupun tingkahlaku agar murid mempunyai motivasi untuk menjadi lebih berdisiplin.

            Selain tanggungjawab terhadap pelajar atau murid, guru juga perlu menunaikan tanggungjawab terhadap ibu bapa murid tersebut. Guru perlu menghormati tanggungjawab utama ibu bapa terhadap anak-anak mereka dan perlu mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang erat di antara institusi pendidikan dengan rumahtangga. Seorang guru juga harus amanah dalam menyimpan semua maklumat berkaitan yang diberikan oleh ibu bapa mengenai anak-anak mereka serta menggunakan maklumat  yang diberikan tersebut dengan teliti dan bijaksana. Perkara lain yang juga perlu diberi perhatian oleh guru adalah mengelakkan diri daripada bersikap tidak adil dan dipengaruhi oleh faktor sosioekonomi ibu bapa murid tersebut serta mengelakkan diri daripada mengeluarkan kata-kata yang tidak wajar dikatakan.

            Tatasusila lain yang menjadi panduan guru adalah dari segi tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara. Berdasarkan tanggungjawab ini, kita boleh lihat bahawa tanggungjawab guru semakin besar dan tidak hanya ditunaikan kepada muridnya sahaja malah kepada masyarakat dan negara. Seorang guru perlu mengelakkan diri daripada menyebarkan sesuatu ajaran yang boleh merosakkan kepentingan murid, masyarakat, negara atau pun bertentangan dengan Rukun Negara. Mereka juga harus berkebolehan dalam membimbing dan menerapkan sikap serta nilai dalam diri setiap murid bagi membentu murid menjadi warganegara yang taat setia, bertanggungjawab dan berguna di masa akan datang. Sebagai profesion yang dianggap mulia oleh masyarakat juga, guru perlulah menunjukkan rasa hormat terhadap masyarakat di sekelilingnya dengan mengambil bahagian dalam sebarang kegiatan mereka. Sokongan lain juga perlulah diberikan kepada masyarakat seperti menggalakkan kerjasama dan persefahaman di antara guru dengan ibu bapa dan sebagainya. Selain itu, seorang guru juga harus sentiasa berpegang kepada tingkahlaku yang sopan yang diterima baik oleh masyarakat.

            Dari segi tanggungjawab terhadap rakan sejawat dan profesion pula, guru secara keseluruhannya perlu membawa kesejahteraan di antara rakan sejawat serta menjaga maruah dan imej profesion perguruan itu sendiri. Setiap guru perlulah masing-masing mengelakkan diri daripada menjadi batu api yang boleh mencemarkan nama baik guru lain di hadapan murid. Guru juga perlulah ikhlas dalam menunaikan tugas dan tanggungjawab sebagai pendidik dengan menunjukkan kesungguhan dalam menjalankan tugas selaras dengan kemajuan ikhtisas dan sosial. Selain itu, seorang guru juga perlu sentiasa bersedia membantu rakan sejawat apabila mereka perlukan bantuan. Perkara lain yang paling penting untuk dijadikan peringatan kepada semua guru adalah menjaga maruah dan nama baik profesion keguruan serta memberikan sokongan dengan menjadi ahli sesebuah pertubuhan guru di sekolah.



 Isu Terhadap Sikap Guru
Seringkali kita mendengar dan membaca dan mendengar di media cetak dan elektronik berkenaan salah laku guru. Sebagai contoh, guru bergaduh dengan murid, guru tidak menggunakan masa dengan betul, guru memukul pelajar hingga mati, guru berniaga di sekolah, guru tidak masuk ke kelas, penyalahgunaan dadah dalam kalangan guru, kesantunan dari segi komunikasi, pakaian dan tingkah laku, kepedulian guru terhadap kepelagaian murid, kebajikan dan pendidikan, penampilan guru, kerjaya sambilan sebagai memenuhi tuntutan hidup dan sebagainya. Masyarakat kini sudah peka dan mula memandang serius tentang tingkah laku guru kerana sedikit sebanyak menjejaskan profesion perguruan. Perlu diingtkan bahawa peristiwa-peristiwa sedemikian hanya melibatkan segelintir daripada 450,000 guru di Malaysia.

Saya akan menekankan tentang empat isu sahaja iaitu berniaga di sekolah, kerja sambilan, gangguan sekual dan rogol serta diskriminasi dan layanan yang tidak adil oleh guru. Pertama sekali, marilah kita lihat tentang isu guru berniaga di sekolah. Perniagaan bermaksud perihal urusan jual beli yang melibatkan barangan dan bertujuan untuk mencari keuntungan. Ia melibatkan produk ataupun perkhidmatan kepada pelanggan. Ramai guru terlibat dalam perniagaa di sekolah samaada secara terus ataupun sistem MLM (Multilevel Marketing). Terdapat kes-kes di mana bilik guru menjadi kawasan perniagaan. Ada antara guru yang ghairah berniaga sampai lupa dan mengabaikan tanggungjawab mereka. Ada pula guru yang menjalankan perniagaan dari boot kereta! Tindakan guru sedemikian menjejaskan imej profesion perguruan yang beitu mulia. Guru sepatutnya melaksanakan tanggungjawab sebagai pendidik di dalam bilik darjah dan bukan menjalankan perniagaan di sekolah. Amalan ini melanggar kod etika perguruan dan Perintah Am.

Seterusnya adalah isu kerja sambilan dalam kalangan guru. Sebahagian besar guru di Malasysia adalah tergolong sebagai penjawat awam dan tertakluk kepada peraturan Perintah Am Kerajaan dan tatalaku. Oleh itu, penjawat awam perlu memohon kebenaran untuk melakukan kerja sambilan bagi menambah pendapatan. Kelulusan hanya diberikan jika kerja sambilan itu tidak bercanggah dengan peraturan yang ditetapkan seperti tidak dilakukan dalam waktu bekerja serta tidak menjejaskan tugas. Keja sambilan yang kerap dilakukan oleh guru adalah mengadakan kelas tuisyen. Guru mengadakan kelas tambahan untuk menambahkan pendapatan mengikut pekeliling Kementerian Pelajaran Malaysia (Surat Pekeliling Perkhidmatan Kementerian Pelajaran Malaysia, 2006). Berikut ialah garis panduan serta syarat meluluskan pekerjaan luar sebagai guru tuisyen atau tenaga pengajar sambilan:-

1)      Pemohon hendaklah terdiri daripada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang telah disahkan dalam jawatan;
2)      Permohonan hendaklah sampai kepada pihak berkuasa di mana terdapat kelulusan sekurang-kurangnya 2 bulan sebelum khidmat tuisyen atau mengajar secara sambilan bermula;
3)      Pekerjaan luar sebagai guru tuisyen atau tenaga pengajar sambilan hendaklah tidak melebihi 4 jam seminggu;
4)      Pemohon hendaklah memeperoleh markah prestai tahunan yang tinggi iaitu bersamaan atau melebihi 80% bagi tahun yang sebelumnya;
5)      Pemohon adalah dilarang sama sekali melakukan khidmat tuisyen di dalam syarikat atau pusat tuiyen yang dimiliki oleh mana-mana ahli keluarga termasuk yang mana dikhuatiri mempunyai kepentingan peribadi;
6)      Pemohon dilarang sama sekali mengedar atau mempromosi pusat tuisyen atau seumpama dengannya, dengan sebarang bentuk cara termasuklah melalui risalah atau secara lisan kepada pelajar;
7)      Pemohon yang diluluskan dengan kebenaran hendaklah member khidmat tuisyen di pusat-pusat tuisyen yang berdaftar dengan Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing;
8)      Khidmat mengajar yang diberikan tidak mengganggu tugas rasmi pegawai sebagai guru dan dijalankan di luar waktu pejabat;
9)      Pemohon tidak dibenar menggunkan kemudahan peralatan pejabat untuk tujuan menjalankan aktiviti mengajar secara sambilan.

            Menurut Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying & Wong Kiet Wah (2010, h:43). Ada kalangan guru yang menganggap kerjaya mereka sebagai sambilan dan mereka mengutamakan kegiatan mencari pendapatan tambahan dengan mengadakan kelas tuisyen di rumah mereka. Mereka menitikberatkan kelas tuisyen berbanding dengan tanggungjawab mereka di sekolah. Jadi sebenarnya guru-guru perlulah mengetahui apa skop kerjaya mereka dan menghargai kerjaya yang mereka perolehi sekarang.

Isu seterusnya adalah isu gangguan seksual dan rogol. Gangguan seksual ialah apa jua kelakuan berunsur seksual yang tidak ingini oleh mangsa dan boleh dianggap sebagai satu pencabulan maruah atau penghinaan atau ancaman terhadap dirinya (Kod Amalan Pencegahan dan Peinbasinian Gangguan Seksual Di Tempat Kerja 1999). Gangguan seksual boleh diklasifikasikan kepada beberapa pecahan iaitu gangguan secara lisan seperti usikan atau gurauan berunsur seks, gangguan secara bukan lisan  seperti isyarat tangan ang membayangkan perlakuan seks, gangguan visual seperti menunjukkan bahan lucah, gangguan psikologi seperti mengulangi jemputan yang tidak dilayani dan akhir sekali ialah gangguan fizikal seperti sentuhan yang tidak diingini. Hubungan guru dan pelajar adalah suci dan guru bereperanan sebagai “Pengganti Ibu Bapa’. Malangnya, segelintir guru telah mengambil kesempatan dan melakukan jenayah yang sungguh kejam, iaitu merogol pelajar, termasuk murid sekolah rendah. Bayangakan masa depan mangsa yang dirogol. Kemungkinan trauma yang dialami akan kekal sepanjang hayat hingga dewasa. Kanun keseksaan Malaysia menjadikan sebarang hubungan seksual dengan individu di bawah umur 16 tahun sebagai rogol, sama ada dilakukan dengan kerelaan mangsa ataupun tidak. Ini juga disebut sebagai rogol statuary (statuary rape). Ini bermakna tidak kira apa juga alaan yang diberikan, jika didapati mangsa it di bawah umur 16 tahun ketika hubungan seks itu dilakukan, maka ia adalah jenayah rogol. Sementara itu, hukuman yang boelh dikenakan ke atas orang disabitkan keslaahan dengan jenayah rogol terdapat dalam Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu :

Barangsiapa melakukan rogol hendaklah dihukum penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun dan hendaklah dikenakan hukuman sebat.”

Isu terakhir sekali yang dibincangkan adalah berkaitan dengan diskriminasi dan layanan yang tidak adil dalam kalangan guru. Diskriminasi secara ringkasnya adalah apabila pelajar itu dilayan dengan cara yang kurang menyenangkan oleh guru atau pihak pentadbiran sekolah. Kod etika perguruan menekankan bahawa :
            “ guru haruslah mendidik dan mengambil tindakan secara adil terhadap semua murid tidak kira bangsa, warna kulit, jantina, bahasa, agama, kepercayaan politik, tempat aala, asa-usul keluarga, intelek, akademik dan status-status lain.”

            Guru yang beretika akan mengamalkan keadilan dan mewujudkan peluang-peluang pengajaran dan pembelajaran sama kepada semua pelajar yang amat penting dalam perkembanagn dan kemjuan pendidikan selaras denagan Falsafah Pendidikan Negara (Foo Say Fooi; Noriati A. Rashid, Lee Keok Cheon, Zulkufli & Zakiah Noordin, 2012)

Nilai-Nilai Etika Kerja
Sebagai seorang pendidik, guru haruslah mengamalkan nilai-nilai etika kerja. Ini kerana guru merupakan seorang pendidik yang sentiasa menjadi contoh atau idola kepada murid-murid. Sekiranya guru tidak mengamalkan nilai etika dengan betul, maka murid mahupun masyarakat di luar sana sudah pasti akan mempertikaikan nilai kerja guru. Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengenal pasti tujuh nilai utama yang menjadi teras fokus Etika Kerja.

            Nilai yang pertama ialah amanah (trust). Seorang pendidik haruslah mempunyai sifat bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas tanpa menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya sebagai seorang guru. Guru perlulah menjalankan tugas yang telah diamanahkan dengan penuh tanggungjawab tanpa sebarang penyelewangan sama ada dalam bentuk masa, wang atau sebagainya. Guru juga hendaklah bersikap jujur dan setia pada organisasi tanpa menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya. Guru perlulah amanah dengan penggunaan masa iaitu dengan menyiapkan tugas dalam tempoh yang telah ditetapkan serta tidak menggunakan masa kerja untuk kegunaan peribadi. Seorang guru juga hendaklah berdisiplin serta mengawal diri dan tidak melakukan sesuatu kerja yang membolehkan ia hilang kepercayaan orang lain terhadap dirinya. Guru juga bertanggungjawab untuk melaporkan sebarang penyelewangan dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku di tempat kerja.

            Di samping itu, nilai etika yang kedua ialah benar (truth). Seseorang guru mestilah mempunyai niat dan perbuatan yang benar. Guru mestilah mempunyai niat yang baik dan jujur dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Dalam percakapan, perbuatan atau tingkah laku seseorang guru, sikap seperti sentiasa bercakap benar dan menepati janji menjadi suatu tuntutan yang besar. Guru haruslah bercakap benar tidak kira dalam apa jua situasi. Guru perlu bersedia untuk mempelajari atau menerima nasihat daripada orang lain dengan tidak bersikap sombong atau angkuh. Seorang guru mesti memberi dan menerima arahan yang jelas dan tepat serta tidak mengelirukan.  Guru boleh berkongsi pengalaman, ilmu dan kepakaran untuk kejayaan bersama.

            Selain itu, nilai etika yang ketiga yang telah dikenal pasti oleh Kementerian Pelajaran Malaysia ialah nilai bijaksana (thoughtful). Guru hendaklah menggunakan pemikiran dengan bijaksana dalam membuat keputusan dan tindakan sesuai dengan masa serta keadaan. Ia haruslah menggunakan seluruh potensi, keupayaan dan kepakaran untuk menjayakan sesuatu tugas dengan cemerlang dan tidak mengambil jalan mudah. Seorang guru yang bijaksana mestilah berusaha menghasilkan kerja yang bermutu tinggi dan berkualiti serta sentiasa mempertingkatkan ilmu di dada, kepakaran dan profesionalismenya. Guru hendaklah mempunyai pemikiran yang rasional serta pertimbangan yang saksama dalam menyelesaikan sesuatu masalah tanpa mengikut perasaan dan emosi.

            Nilai yang keempat ialah bersyukur (thankful). Guru hendaklah mempunyai perasaan dan perlakuan yang menghargai nikmat dan pemberian yang diterimanya tanpa mengganggap kejayaan sebagai hak dirinya. Guru haruslah memiliki sifat yang tenang dalam menghadapi sebarang masalah serta rela menerima kegagalan dan tidak mudah berputus asa. Nilai seterusnya pula ialah dedikasi (dedication). Seorang guru hendaklah berminat dan rela mengorbankan masa dan tenaga mereka secara berterusan dalam menghasilkan kerja yang berkualiti dan bermutu. Seorang pendidik perlu bekerja tanpa jemu dan bosan serta bersedia menerima tugas dengan tidak mencari helah. Seorang guru perlu sanggup untuk berkorban demi kepentingan perkhidmatan. Guru harus tekun, rajin dan bersikap positif dalam melaksanakan supaya hasil yang berkulaiti diperolehi.

            Nilai yang keenam ialah ikhlas (sincere). Ikhlas di sini membawa maksud seorang pendidik perlu menunaikan tanggungjawab untuk menghasilkan kerja yang terbaik tanpa mengharapkan ganjaran. Seorang guru yang ikhlas akan menjalankan tugas semata-mata untuk mencapai matlamat sekolah, bukan kerana pangkat, kedudukan atau untuk mendapat perhatian. Guru yang ikhlas akan cuba memberikan layanan yang baik dan sama rata kepada orang-orang di sekelilingnya seperti rakan-rakan guru dan anak murid. Guru perlu bersedia dan menerima dengan terbuka sekiranya ditegur dan dikritik hasil kerjanya.

            Nilai yang terakhir ialah penyayang (caring). Seorang guru mestilah mengambil berat dan menghargai pelanggan. Seorang pendidik yang penyayang mempunyai sifat pemaaf, tidak sombong dan tidak suka meninggi diri. Guru harus menganggap setiap orang mempunyai harga diri yang perlu dihormati tanpa sebarang prasangka buruk. Ia bersifat timbang rasa dan suka mengambil berat dalam melaksanakan tugas. Menjadikan sekolah sebagai sebuah keluarga besar yang penuh kemesraan serta bersifat simpati dan empati dalam menjalankan tugas seharian.

Perbezaan Guru Lelaki Dan Guru Wanita
Berdasarkan statistik terkini Kementerian Pendidikan Malaysia, jumlah bilangan guru antara guru lelaki dan guru wanita adalah sangat ketara. Pada peringkat sekolah rendah, guru lelaki ialah 73, 166 orang manakala guru wanita pula ialah 167, 902 orang. Perbezaan antara guru lelaki dan guru wanita di sekolah rendah ialah 94, 736 orang. Pada peringkat sekolah menengah pula, jumlah guru lelaki ialah 55, 456 orang, manakala guru wanita ialah 123, 416. Ini menunjukkan perbezaan jumlah guru ialah 67, 960 orang. Kita perlu menerima hakikat bahawa jumlah guru wanita lebih ramai berbanding guru lelaki. Namun, jika dilihat daripada Jabatan Statistik Negara, jumlah lelaki mencecah 14.56 juta orang, iaitu lebih tinggi berbanding 13.77 juta wanita. Dimanakah perginya jumlah lelaki yang ramai ini? Berkemungkinan individu lelaki ini menceburi bidang lain seperti kejuruteraan, kedoktoran dan sebagainya.

            Zakaria bin Kasa dan Abdul Rahman bin Md Aroff (1995) telah manjalankan kajian dengan tajuknya Sikap dan Masalah Guru Pelatih dalam Menjalani Latihan Mengajar. Kajian ini bertujuan mengenalpasti sikap pelajar terhadap latihan mengajar dan masalah yang dihadapi semasa menjalani latihan tersebut. Dapatan kajian mendapati lebih 50% guru pelatih perempuan menyatakan mereka menghadapi kesukaran dalam semua aktiviti iaitu mengajar dalam tempoh yang membolehkan murid memberi tumpuan sepenuhnya, memilih alat bantu mengajar yang sesuai, memilih kaedah mengajar yang sesuai, mengetahui latar belakang setiap murid yang diajar, mengingati semua nama murid yang diajar, mengatasi masalah kewangan, mengatasi masalah kerisauan dan menyediakan berbagai-bagai jenis soalan. Berbeza pula dengan guru lelaki, lebih 50% daripada mereka menyatakan sukar menyediakan berbagai-bagai jenis soalan, mengingati semua nama murid yang diajar dan mengatasi masalah kewangan. Lantaran itu, jelaslah di sini, terdapat perbezaan antara guru lelaki dan guru wanita dari segi sikap dan masalah dalam menjalani latihan mengajar. Untuk mengelak daripada menghadapi banyak masalah semasa menjalani latihan mengajar, guru pelatih perlu mengenalpasti masalah yang mungkin dihadapi sebelum menjalani latihan mengajar dan kemudian membuat satu rancangan yang logikal untuk mengatasinya.

            Azizi bin Yahya dan Nik Diana Hartika binti Nik Husain (2002) ada menjalankan kajian berkaitan Tahap Stres dan Faktor-Faktor yang Mempengaruhinya di Kalangan Guru-Guru Sekolah Menengah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor. Kajian ini bertujuan mengenalpasti tahap stres serta faktor-faktor yang mempengaruhinya di kalangan guru sekolah menengah. Dapatan kajian mendapati tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara faktor stres dengan jantina guru. Bagi aspek bebanan kerja, hubungan interpersonal dan masalah peraturan sekolah tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara guru lelaki dan guru wanita. Ini menunjukkan guru-guru di sekolah menengah mengahadapi stres bebanan kerja yang sama antara lelaki dan perempuan. Tiada perbezaan stres yang dapat dilihat dari ketiga-tiga aspek ini. Walaubagaimanapun, dari aspek masalah displin pelajar, terdapat perbezaan yang signifikan antara guru lelaki dan guru wanita. Ini menunjukkan terdapat perbezaan antara guru lelaki dan guru wanita dalam menghadapi stres berkaitan masalah displin pelajar. Sehubungan itu, penyelidik berpendapat langkah berjaga-jaga haruslah diambil bagi mengelakkan stres ini mereka dan berada pada tahap yang tinggi.


            Selain itu, kajian yang dilakukan oleh Sukiman bin Saad, Noor Shah bin Saad dan Mohd Uzi bin Dollah (2003) yang bertajuk Pengajaran Kemahiran Berfikir : Persepsi dan Amalan Guru Matematik semasa Pengajaran dan Pembelajaran di Bilik Darjah bertujuan untuk melihat sama ada terdapat perbezaan pengajaran amalan pengajaran kemahiran berfikir antara jantina dan pengalaman mengajar. Fokus utama diberikan kepada persepsi guru terhadap pengajaran kemahiran berfikir yang merangkumi aspek pendekatan pengajaran, bilai dan kepentingan pengajaran kemahiran berfikir efikasi guru, dan juga sokongan kurikulum dan sekolah. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa tidak terdapat perbezaan persepsi dan amalan guru Matematik semasa pengajaran dan pembelajaran antara guru lelaki dan guru wanita.

Kesimpulan

            Sebagai kesimpulannya, setiap guru itu berbeza dari segi sikap dan tingkah lakunya. Terdapat sikap yang positif atau negatif. Justeru kita sebagai bakal guru berada pada tahap yang atas atau bawah. Namun demikian, kita seharusnya sentiasa membimbing diri kita ke arah yang lebih baik pada masa akan datang. Langkah kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menyeimbangkan pengambilan guru pada tahun akan datang pada kadar sama, iait 50 peratus untuk guru lelaki dan guru wanita, patut disambung secara positif dan merupakan langkah baik serta memandang ke hadapan. Langkah dan usaha positif ini sebenarnya sudah lama ditunggu-tunggu oleh guru-guru dan ia patut disokong oleh ibu bapa serta masyarakat bagi mengatasi beberapa masalah displin di sekolah. Pada masa ini, nisbah guru lelaki dan guru wanita di sekolah tidak seimbang. Majoriti guru wanita melebihi guru lelaki dan jurangnya amat ketara, terutama di bandar-bandar iaitu 70 wanita berbanding 10 lelaki.   
 




No comments:

Post a Comment