Wednesday, December 16, 2015

Kualiti Guru






Pendahuluan
Ilmu merupakan sesuatu yang paling penting bagi menjalani kehidupan di dunia ini. Ilmu itu tidak mudah diperoleh sekiranya tidak dicari dan dipelajari. Justeru itu, setiap insan di dunia ini perlu berusaha untuk mencari dan menuntut ilmu sebanyak mungkin dan haruslah meningkatkannya dari semasa ke semasa. Hal ini menjadikan guru sebagai memainkan peranan yang sangat besar untuk membimbing dan menjadikan generasi yang seterusnya menjadi insan yang berilmu.
            Guru yang berkualiti ialah guru yang memiliki sifat-sifat terpuji seperti jujur, ikhlas, amanah serta sabar dalam melaksanakan tugas yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka. Selain daripada itu juga, guru yang berkualiti juga ialah guru yang mempunyai sikap positif dan berdaya maju seperti komited, dedikasi, prihatin, berwibawa, cekal dan tidak mudah putus asa ketika menghadapi apa jua cabaran dan rintangan semasa menjalankan tugas. Guru juga sentiasa berusaha meningkatkan ilmu dan kemahiran yang ada serta sentiasa meneroka dan mencari kaedah yang pelbagai dan sesuai bagi menarik minat murid untuk belajar. Setiap guru haruslah menjadi yang berkualiti supaya dapat menyalurkan ilmu dan mendidik murid dengan lebih berkesan. Guru yang berkualiti sudah tentu akan memastikan setiap muridnya bukan sekadar berilmu ataupun lulus dalam peperiksaan sahaja bahkan juga memastikan murid mereka mempunyai akhlak dan peribadi yang mulia lagi terpuji. Bagi melahirkan guru yang berkualiti bagi menjamin masa depan dalam pendidikan beberapa langkah dirancang dan dijalankan seperti yang terdapat di dalam Rancangan Malaysia Ke-10 berkaitan dengan kualiti guru. Salah satunya adalah dengan meningkatkan daya tarikan keguruan dan menghasilkan guru terbaik.

 2.0       Meningkatkan Daya Tarikan Keguruan Dan Menghasilkan Guru Terbaik

Kualiti guru merupakan penentu utama kepada prestasi pelajar seperti ditujukkan dalam carta dibawah. Pengalaman daripada sistem sekolah berprestasi tinggi global menunjukkan bahawa prestasi pelajar akan hanya boleh ditingkatkan dengan meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Sistem sekolah berprestasi tinggi berupaya menarik dan menerima hanya calon terbaik sebagai guru, meningkatkan prestasi mereka secara berterusan serta memupuk budaya berprestasi tinggi di sekolah. Dalam tempoh Rancangan, Kerajaan akan mengambil pendekatan yang sistematik untuk meningkatkan kualiti guru baru serta menambah baik kualiti dan profesionalisme guru sedia ada.(RMK-10, Bab 5)




Mempertingkatkan Kualiti Guru Baru Secara Signifikan.

Setiap tahun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerima lebih 175,000 permohonan untuk menyertai profesion keguruan dan 20,000 orang ditempatkan di sekoah. Ramai pemohon tidak mempunyai sikap dan aptitude yang sesuai untuk menjadi guru. Daripada permohonan kemasukan ke program latihan perguruan di IPG pada tahun 2010, hanya tujuh peratus mendapat 7A dank ke atas dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Bagi Kursus Perguruan Lepasan Ijazah pula, hanya tiga peratus pemohon mempunyai purata gred terkumpul 3.5 dan ke atas daripada 4.0. Ini menunjukkan profesion keguruan bukanlah pilihan calon cemerlang.
            Profesion keguruan di Australia atau Singapura sentiasa menjadi pilihan utama siswazah. Di Republik Korea dan Finland pula, kelayakan untuk memohon program latihan perguruan hanya terhad kepada sepuluh peratus dan lima belas peratus siswazah terbaik daripada setiap kohort. Syarat kemasukan yang ketat membantu meningkatkan imej profesion keguruan sebagai profesion yang hanya menerima calon terbaik.


Menjadikan Profesion Keguruan Pilihan Utama

Tujuan menjadikan profesion keguruan pilihan utama adalah bagi mneraik siswazah cemerlang menyertai keguruan adalah kritikal. Dalam tempoh rancangan, kerajaan akan melancarkan kempen profil tinggi untuk meningkatkan kesedaran tentang keguruan sebagai profesion yang berprestij. Selain daripada itu, kerajaan akan menjadikan profesion perguruan sebagai kerjaya pilihan dengan menekankan empat perkara iaitu:
             Ganjaran Kewangan
            Profesion keguruan merupakan antara profesion yang menyediakan gaji permulaan yang tinggi.

Pembangunan Kerjaya
Melalui tawaran baru untuk guru, prospek kerjaya guru akan menjadi menarik dengan adanya peluang pembangunan profesionalisme yang lebih luas selain daripada peluang kenaikan pengkat yang lebih cepat kepada guru yang cemerlang.


Berprestij
Sebagai kerjaya elit, profesion keguruan akan menggunakan criteria pemilihan dan proses penilaian yang ketat. Hanya calon yang cemerlang akan diterima daalam profesioan ini

Pembangunan Nusa Bangsa
Profesion keguruan bertanggungjawab membentuk generasi pemimpin masa depan dan penting dalam membawa Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi.


 Pengukuhan Latihan Perguruan Malalui Latihan Praktikum.

Pengalaman praktikum merupakan elemen penting dalam latihan perguruan kerana dapat memberi pengalaman pengajaran dan pembelajaran secara sebenar di dalam bilik darjah. Seterusnya, dalam sistem persekolahan terbaik seperti di Finland dan New Zealand, latihan dan pengalaman praktikum guru pelatih, dari segi kualiti dan kuantiti, sentiasa dipertingkatkan. Oleh itu, kerajaan akan mengambil langkah untuk meningkatkan kualiti dan ketekalan latihan praktikum kepada guru pelatih seperti memanjangkan tempoh latihan praktikum dan meningkatkan kerjasama guru berpengalaman yang mempunyai kemahiran membimbing yang tinggi untuk menyelia guru pelatih. Tambahan pula, dalam tempoh rancangan, latihan praktikum kepada guru pelatih akan ditingkatkan melalui langkah berikut:
a.       Kursus Perguruan Lepasan Ijazah akan dilanjutkan satu tahun kepada satu tahun setengah untuk meningkatkan pengalaman praktikum guru pelatih.
b.      Jabatan Pelajaran Negeri akan menyelaras penempatan guru pelatih di sekolah yang layak melaksanakan program ini dan memantau pematuhan oleh guru pembimbing.
c.       Guru berpengalaman akan diberikan kursus pembimbing untuk meningkatkan kebolehan membimbing mereka.
d.      Program praktikum akan menjadi sebahagian daripada prestasi sekolah dan guru pembimbing.


Penghapusan Jaminan Penempatan Guru Pelatih

Pada masa ini, guru pelatih IPG dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dijamin pelantikan sebagai guru tanpa mengambil kira prestasi mereka. Jaminan pelantikan ini akan dihapuskan dalam tempoh Rancangan. Dengan ini, hanya guru pelatih yang memperoleh pencapaian terbaik dan berkelayakan akan ditawarkan jawatan guru. Penghapusan jaminan pelantikan ini bertujuan memastikan penetapan keperluan kualiti minimum bagi guru baru.


Peralihan Kepada “Sistem Terbuka” Dalam Latihan Guru.

Pelaksanaan latihan perguruan akan diperluaskan kepada universiti swasta berbanding hanya daripada IPG dan IPTA. Langkah ini akan meliberalisasikan sistem latihan guru dan beralih kepada ‘sistem terbuka’ bagi menambah sumber guru terlatih. Dengan pertambahan ini, lebih ramai guru pelatih yang cemerlang dapat dilantik sebagai guru di sekolah rendah dan menengah. Pendekatan ini akan meningkatkan persaingan di kalangan guru pelatih dan menambah baik kualiti sistem pendidikan secara keseluruhan.

Tawaran Baru Untuk Semua Guru Bagi Meningkatkan Kualiti Perkhidmatan.

Dalam tempoh Rancangan, Kerajaan akan melancar dan melaksanakan Tawaran Baru yang menyeluruh kepada semua guru bagi menjadikan profesion keguruan lebih menarik serta meningkatkan profil dan profesionalisme kerjaya ini. Di samping itu, Kerajaan akan meningkatkan guru berijazah di sekolah menengah daripada 89.4% dalam tahun 2009 kepada 90.0% menjelang tahun 2015. Bagi sekolah rendah pula, kadar ini akan ditingkatkan daripada 28% dalam tahun 2009 kepada 60% menjelang tahun 2015. Tawaran Baru ini mengandungi tiga elemen:
a.       Peluang kenaikan pangkat yang cepat berdasarkan kecekapan dan prestasi;
b.      Meningkatkan pembangunan profesional berterusan (CPD) secara sistematik kepada semua guru
c.       Kaedah pengurusan prestasi baru yang lebih mantap.

 Kemajuan Kerjaya Lebih Cepat Berasaskan Kompetensi.

Kemajuan kerjaya yang perlahan merupakan antara sebab utama siswazah di Malaysia tidak memilih kerjaya perguruan. Sepanjang 30 tahun perkhidmatan, kebanyakan guru menikmati hanya satu atau dua kali kenaikan pangkat sahaja. Mengikut dasar kenaikan pangkat berasaskan tempoh perkhidmatan, pada kebiasaannya guru mengambil masa selama 10 tahun untuk dinaikkan daripada gred permulaan ke gred jawatan yang seterusnya.
            Kemajuan kerjaya yang cepat untuk guru berprestasi tinggi adalah penentu untuk menjadikan profesion keguruan lebih menarik terutama kepada calon guru yang berpotensi tinggi. Pendekatan ini juga membolehkan lebih ramai guru berpeluang mencapai gred yang lebih tinggi dalam masa yang singkat dan dengan ini boleh membimbing guru baru lebih awal.
            Melalui inisiatif Tawaran Baru, pergerakan gred yang lebih cepat berasaskan kompetensi dan prestasi akan dilaksanakan. Laluan cepat untuk kenaikan pangkat secara automatik akan diberi kepada semua guru tanpa mengira tempoh perkhidmatan dan keperluan memajukan permohonan. Sistem laluan kerjaya baru dijangka bermula pada tahun 2011 dan dilaksana sepenuhnya menjelang tahun 2015.


Pembangunan Professional Yang Berterusan Yang Bersesuaian Bagi Menyokong Pembangunan Keupayaan Dan Kemajuan Kerjaya.

Latihan yang berfokus kepada bidang tugas baru berdasarkan kenaikan pangkat dan memberi penambahbaikan kepada kebolehan pengajaran akan memberi faedah kepada guru. Pada masa ini, tiada pendekatan yang sistematik berkaitan CPD dalam sistem pendidikan. Pendekatan CPD yang menyeluruh akan dilaksana pada tahun 2011 dan mengandungi elemen berikut:
a.       Modul CPD yang bersesuaian mengikut keperluan dirangka untuk setiap gred jawatan bagi melengkapkan guru dengan peranan baru selepas kenaikan pangkat;
b.      Modul ini memberi lebih fokus kepada peluang pembelajaran di sekolah
c.       Pelbagai modul CPD seperti kursus latihan formal, pengajian pasca siswazah, pengajian jarak jauh dan aktiviti bimbingan akan membolehkan guru membuat pilihan terbaik untuk pembangunan kerjaya mereka tanpa mengganggu pengajaran dan pembelajaran.


Pelaksanaan Instrument Dan Proses Baru Untuk Penilaian Dan Penaksiran Guru.

Kaedah penilaian semasa ke atas guru adalah sama dengan penilaian penjawat awam yang lain. Kaedah ini tidak mengambil kira prestasi pelajar, keupayaan sebenar pengajaran atau kecekapan utama yang diperlukan dalam profesion keguruan. Skor penilaian untuk guru akan menjadi lebih bermakna sekiranya ia dapat mengukur prestasi sebenar guru, kurang subjektif dan berasaskan bukti.
            Satu pendekatan baru yang selari dengan amalan di sekolah berprestasi tinggi akan dilaksana pada tahun 2011 untuk memastikan penilaian dibuat secara tekal, objektif dan dapat memupuk budaya cemerlang di sekolah. Pendekatan ini akan mengandungi instrumen baru bagi menilai guru yang menggunakan kombinasi berwajaran beberapa aspek utama seperti penekanan kepada pengajaran dan pembelajaran, nilai profesional, aktiviti di luar kelas dan sumbangan kepada sekolah dan masyarakat.

Kesimpulan

Kesimpulannya, cabaran guru pada masa kini bukanlah sekadar untuk memberi ilmu tetapi juga mendidik dan mengajar pelajaran untuk menjadi seorang murid yang mempunyai daya fikir yang tinggi dan kritis, kreatif dan berinovasi. Guru yang berkualiti akan menyahut cabaran tersebut dengan berlapang dada dan akan berusaha sedaya upaya untuk menjadikan anak murid mereka menjadi murid yan berinovasi. Dalam usaha guru-guru mendidik anak murid mereka untuk menjadi insan yang berilmu dan berakhlak mulia, guru itu sendiri juga perlu muhasabah diri untuk memiliki akhlak yang mulia seperti mana yang diajar kepada anak-anak murid mereka. Dengan demikian secara tidak langsung guru-guru akan menjadi contoh atau role model kepada anak-anak murid mereka. Ingatlah apabila negara mempunyai masyarakat yang berpendidikan tinggi maka kemajuan ekonomi akan meningkat. Jika ini tercapai maka kita akan lihat Malaysia duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju menjelang tahun 2020.


No comments:

Post a Comment